Thursday, February 26, 2015

MEREKA BERKEMBAN DAN BERGULUNG KAIN

‘Berkemban’ Itu orang kampung aku panggil ‘bergetang dada’. Maksudnya ialah tidak memakai baju dan mengikat kain di paras dada ( bagi kaum wanita yang sudah berumur). Memang ‘seksi’ bunyinya bagi orang zaman ini tetapi itulah rupa keadaannya pakaian yang dipakai oleh kebanyakan kaum ibu di kampung aku. Termasuklah arwah ibu ku dan pangkat emak saudara aku Wan (MakCik) Meriam. Memang itulah rupa pakaian yang dipakai oleh mereka. Bukan sahaja dipakai dipersekitaran rumah, malah apabila mereka bertandang ke rumah jiran pun, mereka hanya bergetang dada, berkemban. Sekiranya ingin ‘bersopan’ sikit (mungkin), mereka menutup bahagian atas tubuh mereka dengan kain basahan atau tuala mandi.

Jarang sekali aku melihat golongan wanita pada tahun-tahun 50an dan 60an yang bertudung seperti kaum wanita zaman ini. Ibuku dan sepupunya Wan Meriam pernah menuntut di sekolah Arab (agama) Aldiniah Kampung Lalang, tetapi jarang sekali aku melihat mereka memakai tudung kecualilah untuk ke masjid atau ke surau mendengar syarahan agama yang disampaikan oleh Ustaz Salleh atau Ustaz Jidin atau Pak Alang Jawa. Ataupun ketika menghadiri majlis khenduri atau pengurusan jenazah. Itupun selendang yang dipakai oleh mereka hanya sekadar untuk melilit tengkuk sahaja.

Yang memakai tudung seperti kebanyakan wanita sekarang ialah golongan guru agama. Ustazah. Maknanya sekiranya kelihatan wanita pada ketika itu yang bertudung lingkup seperti wanita sekarang bererti seorang ustazah lah tu.

Bukan setakat tidak bertudung, tetapi kebanyakan wanita pada ketika itu ‘berkaran’ rambut’. “Bab’ ini tidak berlaku kepada ibu ku dan Wan Meriam. Namun begitu ada juga isteri para guru agama di bandar yang ‘berkaran’ rambut (mengerintingkan rambut). Kebanyakan pelajar-pelajar perempuan yang belajar di sekolah Inggeris pada ketika itu memakai blouse dan gown. Bagi yang belajar di sekolah Melayu memakai baju kurung dan berkain sarung. Tidak bertudung seperti sekarang ini.

Seingat aku, golongan laki-laki pula jarang sangat aku lihat mereka memakai baju. Di kampung aku ler. Sekiranya mereka memakai baju maka pasti samada mereka pergi ke pekan Padang Rengas ataupun menghadiri jemputan khenduri kahwin ataupun ke masjid untuk sembahayang Jumaat. Pendek kata zaman itu mereka tidak memerlukan baju yang banyak. Paling banyak pun mungkin tidak melebihi tiga helai. Lagipun pada ketika itu orang kampung aku tidak mempunyai wang untuk membeli pesalinan baju yang banyak.

Ke sana ke mari, orang kampung aku memakai kain sarung bergulung besar. Kain pulikat cap siput kebiasaannya. Dan kebiasaanya mereka tidak memakai seluar dalam seperti kita sekarang ini. Mereka amat yakin yang kain mereka tidak ‘terselak’ atau pun tidak ‘terlondeh’. Jarang sangat aku melihat kain mereka terlondeh. Hanya golongan muda belia sahaja yang memakai seluar panjang. Kain ‘kot’ putih. Itu pun dipakai sekiranya hendak ke pekan Padang Rengas atau ke Kuala Kangsar. Di kampung biasanya orang muda hanya memakai kain sarung juga. Tidak berbaju. ‘Bolin’. Dan pastinya akan kelihatan tompok-tompok panau (penyakit kulit) di tubuh-tubuh kebanyakan penduduk kampung pada ketika itu.

Bagaimana pula dengan kasut. Maksudnya apakah mereka memakai kasut pada zaman itu. Kebanyakannya mereka ke sana ke mari mereka berkaki ayam. Sepanjang aku bersama dengan Atuk aku, tidak pernah aku melihat Atuk aku memakai kasut walaupun pergi ‘makan angin’ ke Kuala Kangsar bersama dengan Opah. Yang agak ‘hebat’ mengenai Atuk aku ialah ke sana ke mari dia memakai baju ‘coat’ berbutang lima. Coklat warnanya.

Aku masih terbayang keadaan Atuk aku apabila kami bersama-sama pergi ke pejabat tanah Kuala Kangsar untuk membayar hasil tanahnya di Pejabat Tanah Kuala Kangsar. Biasanya Atuk akan mengenakan pakaian baju Coat butang limanya berwarna coklat. Yang anihnya Atuk tidak mengenakan kancing butangnya. Dibiarkan sahaja terbuka. Tetapi Atuk tidak pula memakai kemeja seperti yang selalu dipakai oleh kebayakan orang. Atuk tidak memakai seluar tetapi memakai kain sarung. Dan aku yakin Atuk tidak memakai seluar dalam……Dan ke mana saja dia pergi pastinya kaki ayam. Yang menghairankan aku tapak kaki Atuk aku boleh menahan kepanasan jalan raya pada ketika itu.

Sebenarnya bukan Atuk aku seorang sahaja yang berpakaian begitu pada ketika itu. Hampir semua orang kampung berpakaian demikian pada ketika itu. Di Gapis ke, di Talang ke. Lubuk Merbau ke, Laneh ke, Paya Lintah ke, Teroso ke, Cegar Galah ke, Sayung ke, Tanah Merah ke …….begitulah pakaian orang tua-tua. Mungkin ikut cara orang putih agaknya. Tetapi orang putih tak pakai kain sarung pulak. Dan orang putih biasanya memakai kasut dan tidak pula berkaki ayam seperti Atuk aku……

Dan aku perhatikan juga bahawa baju ‘coat’ Atuk aku sentiasa tersangkut di dinding rumah kami. Aku pasti tidak  pernah dibasuh walau sekali pun semasa ‘usianya’…..Mungkin….

abuhassanadam
26 Februari 2015





4 comments:

  1. Penceritaan mengamit kembali nostalgia silam.
    Terkadang hampir lupa kisah2 silam yang penuh dengan keindahan.
    Teruskan lah penceritaan
    Tulisan2 tuan sentiasa kami ikuti

    ReplyDelete
  2. Four Wire,

    Saya akan usahakan setakat termampu.

    Pak Abu

    ReplyDelete
  3. T kasih tuan atas tulisan. Dalam gurauannya,ada sindiran sinisnya, dalam selambanya,ada elemen yg mnjentik minda.. Kita kehausan tulisan2 sedemikian yg mencerna minda utk terus berfikir..Teringat kembali ketika membaca tulisan2 arwahnya Pak Hamka ketika remaja dulu. Tahniah dan teruskan penulisan tuan,moga tuan diberkati Allah hendaknya

    ReplyDelete
  4. T kasih tuan atas tulisan. Dalam gurauannya,ada sindiran sinisnya, dalam selambanya,ada elemen yg mnjentik minda.. Kita kehausan tulisan2 sedemikian yg mencerna minda utk terus berfikir..Teringat kembali ketika membaca tulisan2 arwahnya Pak Hamka ketika remaja dulu. Tahniah dan teruskan penulisan tuan,moga tuan diberkati Allah hendaknya

    ReplyDelete