KERJASAMA PAS-UMNO : APAPAKH PISANG AKAN BERBUAH DUA KALI?
Nampaknya sudah terdengar suara-suara yang agak
lantang (dan tidak lagi sembunyi-sembunyi menyarankan agar PAS bergabung dengan
UMNO. Berbagai alasan dikemukkakan. Tetapi yang nampak jelas hujahnya ialah tentang
‘keuntungan’ yang akan diperolehi orang
Melayu sekiranya penyatuan sebegini dapat diwujudkan. Orang Melayu dapat
bersatu semula.
Tetapi jikalau diperhalusi pula dan dikemukakan
pertanyaan tentang bilakah orang Melayu yang dalam keadaan berpecah-belah. Dan
ramai juga yang mengatakan bahawa perpaduan UMNO-PAS akan menyelamatkan orang
Melayu daripada ‘serangan’ orang asing di Malaysia. Ini juga merupakan
kenyataan dan persolan yang ‘memeningkan’ ramai orang. Ingin juga aku
mempersoalkan tentang bilakah tergugatnya orang Melayu? Aku tidak nampak
keadaan sedemikian berlaku.
PAS dan UMNO telah pun bergabung pada tahun 1973.
Telah pun terbentuk kerajaan campuran atas nama Barisan Nasional yang disertai
oleh PAS pada zaman kepimpinan Dato Asri Haji Muda dulu. Dan pada ketika itu
juga telah diwar-warkan hasrat penggabungan itu – untuk menyelamatkan orang
Melayu. Tetapi nampaknya sekiranya dilihat dari hasrat sedemikian orang Melayu
kini masih juga tidak maju dan masih juga tergugat mengikut setengah pihak di
Malaysia kini sehinggalah berlaku ‘penceraian’ antara UMNO dan PAS.
Aku
agak setuju sekiranya dikatakan bahawa orang Melayu masih mundur berbanding
dengan kaum lain di Malaysia. Itupun bukan semata-mata disebabkan oleh kaum
Cina. Orang Melayu itu sendiri yang patut dipersalahkan disamping pihak kerajaan
yang juga patut dipersalahkan. Tetapi untuk menyatakan bahawa orang Melayu
tergugat dan terancam di negara ‘kepuk padi’ ini, aku kurang bersetuju.
Sekiranya dikatakan bahawa orang Melayu tergugat, pastilah ada pihak yang
menggugatnya. Dan jikalau dikatakan orang Melayu dalam keadaan terancam, maka
tentulah ada kumpulan yang mengancamnya.
Dan
sekiranya pihak UMNO (yang menjadi teras
pemerintahan negara ini ) mengatakan bahawa orang Melayu terancam, maka UMNO
itu yang patut dipersalahkan kerana kelemahannya sebagai kerajaan untuk
menyelamatkan orang Melayu. Mengapa perlu menuding jari ke arah orang lain
untuk melindungi kesalahan sendiri?
Aku masih yakin dengan pandangan dan penelitian
aku ia itu sekiraanya betul orang Melayu tergugat ( sekiranya betul pandangan
sedemikian) maka yang menyebabkan keadaan terjadi demikian adalah disebabkan
orang Melayu itu sendiri. Samada itu merupakan kesalahan dan sikap negatif
orang Melayu ataupun ada terdapat golongan orang Melayu yang ‘kuat’ menindas
golongan Melayu ‘lemah’ ataupun ada terdapat golongan Melayu yang ‘berkkuasa’
menindas golongan Melayu yang ‘tidak berdaya’.
Seingat
aku semenjak zaman berzaman orang Melayu sentiasa dalam ‘ketakutan’.
Sistem feudal yang mencengkam masyarakat Melayu semenjak zaman berzaman
sentiasa menyebabkan orang Melayu hidup dalam ketakutan. Orang Melayu menjadi
satu bangsa yang sentiasa takut dan terasa seperti selalu terancam, walaupun
tidak ada sesuatu yang boleh menakutkan. Sekiranya sememangnya tidak ada yang
mengancam mereka, orang Melayu akan mewujudkan satu ‘lembaga’ atau bayangan
yang boleh menyebabkan orang Melayu lain rasa takut dan terancam. Orang Melayu
akan mewujdukan ‘hantu’ untuk menakutkan dirinya…….
Dalam
tahun-tahun 1950an dan 1960an, pihak pemerintah akan menggunakan isu ‘pemerintahan
Jepun’ untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Isu pemerintahan Jepun’ ini akan
‘didendangkan’ menjelang sesuatu pilihan raya pada ketika itu. Orang Melayu
(terutamanya di kampung-kampung) akan sentiasa ‘dingatkan’ tentang penderitaan
yang dialami oleh orang Melayu dalam zaman pemerintahan Jepun (1939-1945).
Kemunculan
generasi baru yang tidak dapat merasakan penderitaan yang dialami pada zaman
pemerintahan Jepun dan zaman pemerintahan Komunis menyebabkan pihak-pihak
tertentu terpaksa mencari isu baru untuk dijadikan bahan menakutkan orang
Melayu. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan ‘jembalang’ yang agak
berkesan untuk menakutkan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga masyarakat
Malaysia secara umumnya. Sesiapa sahaja yang pernah berada dalam suasana 13 Mei
itu, merasakan bahawa peristiwa sedemikian tidak perlulah berulang. Masyarakat
Malaysia menjadikan Peristiwa 13 Mei sebagai ‘sempadan’ dalam sejarah Malaysia.
Tidak
ada sebab yang boleh menyebabkan orang Melayu masih terancam dan tergugat
memandangkan ‘kelengkapan’ yang cukup memadai untuk melindungi
orang Melayu di Malaysia. Perlembagaan Malaysia dengan berbagai-bagai
peruntukan yang disediakan adalah untuk melindungi orang Melayu. Dasar Ekonomi
Baru yang diperkenalkan pada tahun 1970 ( dan dipersetujui dan direstui oleh
bukan Melayu) telah jelas untuk ‘memagari’ kepentingan orang Melayu. Tanah
Rizab Melayu yang diperkenalkan oleh British dulu turut melindungi kepentingan
orang Melayu supaya tidak menjualkan tanah kepada orang asing. Cuma pihak berwajib
kini, terutama di negeri-negeri yang berusaha untuk ‘melanggar’ syarat yang
telah dikenakan oleh British itu.Banyak lagi yang boleh dihujahkan untuk
menyatakan bahawa tidak ada sebab yang orang Melayu akan tergugat.
Tetapi
soalnya mengapa masih ada NGO yang mengatakan bahawa orang Melayu sedang
terancam dan tergugat. Para NGO berkenaan seharusnya mengkaji apakah kelemahan
orang Melayu kini disebabkan oleh ancaman oleh orang asing ataupun digugat oleh
orang Melayu sendiri. Pendedahan yang dibuat oleh beberapa pihak tentang
‘kehilangan’ punca pencarian orang Melayu di Johore Bharu ekoran daripada
pembangunan secara pesat harus mendapat perhatian pihak NGO yang (kononnya)
sentiasa memperjuangkan nasib orang Melayu. Mereka seharusnya berada di medan hadapan
mempertahankan nasib orang Melayu di Johore yang sentiasa dihimpit dan
terhimpit. Mungkin satu masa nanti negeri yang merupakan tempat asal UMNO
Johore ini akan berpindah tangan. Mungkin….
Kesimpulannya sekiranya alasan ‘demi perpaduan
orang Melayu’ yang mendorong PAS bergabung dengan UMNO maka tentunya merupakan
alasan yang lemah. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa PAS dan UMNO
telah bergabung menggunakan alasan yang sama. Dan sehingga kini (mereka juga
mengatakan) orang Melayu masih lemah dan tergugat.
Justeru ahli PAS terutama golongan mudanya perlu
mengingati pesanan orang tua-tua agar pisang jangan berbuah dua kali. Apakah
golongan muda dalam PAS sedar apakah yang telah dideritai oleh mereka ketika
PAS bergabung dengan UMNO pada tahun-tahun 1970an dulu.
Mungin Cikgu Musatafa Ali boleh memberikan tunjuk
ajar tentang pengalaman lama yang agak pahit itu.
abuhassanadam
24 Februari 2015
orang Melayu terancam atau Islam atau Umno hilang kusa?
ReplyDeleteorang Melayu terancam atau Islam atau Umno hilang kusa?
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete