‘PEMERGIAN’ TG NIK AZIZ DAN ‘KETIADAAN’ SAUDARA
ANWAR -SEPERTI ANAK AYAM KEHILANGAN IBU
Sudah lebih kurang seminggu mereka ( TG Nik Aziz
dan Saudara Anwar Ibrahim) hilang dari pandangan. Namun begitu rakyat akan terus
mengenang dan tidak akan melupakan. Benar kata orang tua-tua, harimau mati
meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
“Ketiadaan” Saudara Anwar Ibrahim adalah seperti tidak adanya Nelson Mandela
ketika beliau dipenjarakan di Robben Island. Pemergian TG Nik Aziz adalah
seperti kematian Jose Rizal setelah beliau ditembak mati di hadapan ‘firing
squad’ di Manila. ‘Kehilangan’ mereka adalah seperti ‘pemergian’ Prof. HAMKA
yang telah begitu banyak meninggalkan jasa dan sumbangan bakti kepada bangsa
keturunan Melayu yang buka sahaja di negara Indoensia tetapi seluruh kepulauan
Melayu.
Walaupun mereka sudah ‘tiada’ tetapi sebenarnya
mereka berada di mana-mana terutama di hati para petani yang letih mencari
sesuap nasi untuk menyara keluarga miskin di desa-desa terpencil seluruh tanah
air. Mereka berada di hati dan perasaan
nelayan yang sentiasa mengharapkan nasib mereka diperjuangkan. Mereka juga
berada di hati dan perasaan penoreh getah dan warga FELDA yang mengharapkan
harga kelapa sawit dan getah ditingkatkan. Mereka juga berada di hati dan
perasaan para mahasiswa yang mengharapkan mereka memperjuangkan nasib para
mahasiswa negara yang sentiasa terhimpit dan tertindas ekoran tidak dapat
menyuarakan hasrat hati kesan dari belenggu Akta Universiti.
Malangnya mereka sudah tidak kelihatan kelibatnya.
Rakyat berbilang kaum sudah mula merindui pidato Saudara Anwar Ibrahim yang
sentiasa memperjuangkan ‘the conscience of the majority’. Mereka juga
‘meratapi’ hasrat yang tidak tercapai ia itu hasrat Saudara Anwar untuk membela
nasib ‘anak Melayu adalah anak aku’, ‘anak Cina adalah anak aku’, ‘anak India
juga anak aku’, ‘anak Iban, Dayak Bidayuh, adalah anak aku’. Pastinya mereka
merenung dan memandang dengan pandangan jauh memikirkan apakah hasrat
sedemikian akan tercapai. Ataupun mungkinkah hasrat sedemikian berkemungkinan
hanya tinggal harapan dan impian…
Mereka seolah-olah seperti anak ayam kehilangan
ibu….
Apakah terbukti peribahasa Melayu yang mengatakan
‘patah tumbuh hilang berganti’ ataupun lebih tepat sebagaimana kata-kata yang
selalu disuarakan juga bahawa ‘ walaupun yang patah akan tumbuh namun yang
mengganti tidak sama dengan yang patah’. Apakah begitu keadaannya.
‘Ketiadaan’ mereka betul-betul menenggelamkan
harapan kebanyakan rakyat di negara ini. Kepada mereka digantungkan harapan untuk
membela yang tertindas dan yang tidak bernasib baik. Kepada mereka digantungkan
harapan untuk membetulkan yang mana yang telah tersilap, meluruskan yang mana
yang telah terbengkok, mengejutkan yang mana yang telah tertidur, menyedarkan
yang mana yang masih bermimpi.
Kini TG sudah tiada di dunia ini dan pidato
Saudara Anwar Ibrahim tidak dapat didengar lagi.
Rakyat pasti merinduinya dan akan terus
merinduinya.
Dan rakyat akan terus menanti seperti rakyat
Afrika Selatan menanti kemunculan Nelson Mandela suatu ketika dahulu.
abuhassanadam
21 Februari 2015
No comments:
Post a Comment