ROTAN
Aku masih ingat hari yang bersejarah itu. Awal
tahun 1950an. Bapak mengayuh basikal tuanya menuju ke Sekolah Pondok, yang terletak
tidak berapa jauh dari kampung aku. Aku tercelapak di pelantar basikal tuanya,
beralsakan kain buruk yang disediakan oleh emak.
Hari itu merupakan hari pertama aku mula mengaji
Quraan di Sekolah Pondok. Mengaji dengan Ustaz Mohd Noor. Aku sememangnya sudah
pun mengaji Quran dengan Pak Haji Sulaiman di kampung aku. Itu merupakan ‘kelas
malam’. Agaknya disebabkan ramai kanak-kanak di kampung mengaji juga dengan
Ustaz Mohd. Noor, maka aku dihantar juga untuk mengaji di Sekolah Pondok ( yang
merupakan madrasah tempat bapak aku mengaji juga dan bergurukan Ustaz Mohd Noor
juga). Kelas waktu siang pulak. Lepas sekolah.
Pelajaran agama Islam amat penting, kata bapak
aku.
Bapak membawa bersamanya sebilah rotan untuk
diberikan kepada Ustaz Mohd Noor. Walaupun tidak ramai ibu bapak ketika itu
yang berbuat seperti bapak aku, namun bapak seolah-olah telah meletakkan syarat
kepada dirinya bahawa beliau mesti ‘menghadiahkan’ rotan kepada siapa sahaja
yang menjadi guru Quran aku. Kepada Pak Haji Sulaiman juga ‘dihadiahkannya’
sebilah rotan.
Cara bapak ‘menyerahkan’ diriku kepada Ustaz Mohd
Noor amat tertib sekali. Maklumlah Ustaz Mohd Noor juga adalah gurunya juga.
Kini aku pula akan berguru kepada Ustaz Mohd Noor. Penghormatan yang diberikan
oleh bapak kepada Ustaz Mohd Noor adalah luar biasa. Dia menyerahkan aku
bersama dengan rotan yang disediakan dengan iringan kata-kata yang tidak mudah
aku lupakan. Kata bapak,’ Encik buatlah apa yang encik fikir baik untuk anak
saya ni. Jangan patah dan buta udah ler……”
Ringkas saja ‘ucapan’ penyerahan bapak aku tetapi
amat berkesan sehingga kini. Jawab Ustaz Mohd Noor pula, ‘ Usahlah kamu risau,
macam mana aku ajar kamu dulu, begitu jugalah aku buat kepada anak kamu…..”
Sebenarnya rotan yang dibekalkan oleh bapak aku
kepada Ustaz Mohd Noor tidak pun pernah digunakannya sehinggalah aku tamat
mengaji Quran dengan Ustaz Mohd Noor. Tidak pernah sekali pun rotan itu
‘hinggap’ di samada di badan aku atau di tapak tangan aku. Tak pernah.
Bukanlah bermakna bahawa Ustaz Mohd Noor tidak
pernah menggunakan rotannya kepada kanak-kanak lain. Ada. Tetapi jarang sangat.
Ustaz Mohd Noor hanya menggunakan sekiranya amat perlu beliau bertindak
demikian. Seorang rakan aku yang pernah menerima ‘habuan’ demikian adalah
disebabkan kenakalannya yang luar biasa. Tetapi kesan daripada ‘habuan’ yang
diterimanya itu beliau telah menjadi ‘orang’ yang berguna bukan sahaja kepada
masyarakat di kampung tetapi untuk negara juga. Jawatan terakhirnya ialah
sebagai Ketua Polis sebuah negeri di Malaysia. Mungkin disebabkan ‘hadiah’
rotan Ustaz Mohd Noor juga. Mungkin…..
Kini telah hebuh diperkatakan tentang hukuman
rotan disekolah. Ada yang mengatakan bahawa merotan adalah juga mendera. Ada
juga yang mengatakan bahawa merotan sepatutnya terus diamalkan untuk
mendisiplinkan anak-anak. Tentulah ada ‘pros’ dan ‘cons’nya.
Masih teringat dan terbayang di kepala aku
tentang bagaimana seorang rakan aku yang dituduh mencuri ketika kami
bersama-sama di sekolah menengah dulu. Pihak sekolah mengatakan bahawa mereka
cukup bukti mengatakan sememangnya beliau mencuri barang berkenaan sedangkan
beliau bermati-matian ‘bersumpah’ dengan aku dan dengan guru disiplin juga yang
beliau tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.
Kami berasal dari kampung yang sama. Dan aku tahu
latarbelakang keluarganya. Miskin seperti aku juga tetapi walaupun miskin kami
tidak dididiik untuk melakukan perbuatan terkutuk seperti mencuri. Kami serba
kekurangan dari segi material tetapi ibu bapa kami mengajar kami berbudi
bahasa.
Hukuman ke atas melakukan kecurian adalah amat
berat ia itu ‘public canning’ ia itu hukuman rotan di khalayak ramai. Kawan aku
sudah menjelaskan dan menerangkan berkali-kali kepada guru disiplin yang beliau
tidak melakukan kecurian itu, namun tidak diendahkan penjelasannya. Lantas
beliau dijatuhkan juga hukuman ke atasnya. Aku masih sedih dan ‘sebak’
mengenangkan peristiwa pada hari dan waktu kawan aku itu dirotan dikhalayak
ramai. Aku tidak dapat membayangkan kesedihan yang terpancar di wajahnya. Aku
tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rakan ku itu. Dan hanya
berserah saja. Apalah yang dapat dilakukan oleh anak kampung yang miskin dan
dhaif ini untuk menyelamatkan rakan baiknya dari dikenakan hukuman sedemikian.
Disebabkan kesedihan dan rasa malu yang amat
sangat agaknya, maka rakan ku itu terus tidak bersekolah lagi. Aku dapat
rasakan kesedihan yang dideritainya. Tetapi yang paling menyedihkan aku
sehingga kini ialah ‘hilang’nya sebiji permata. Kawan aku itu jauh lebih pintar
dan cerdik daripada aku. Aku yakin sekiranya beliau terus menerus belajar
adalah amat besar kemungkinan yang beliau akan menjadi manusia yang amat
berguna kepada bangsa dan negara.
Berdasarkan keadaan sedemikian aku merasakan
bahawa merotan ( seperti yang dilakukan oleh Ustaz Mohd Noor) elok diteruskan (
tetapi bukan dijadikan amalan) tetapi sebaliknya ‘public canning’ patut
diharamkan di sekolah-sekolah, takut berlaku keadaan seperti yang dialami oleh
rakan aku yang terainaya itu.
abuhassanadam
2 Februari 2015
No comments:
Post a Comment