KE MANALAH TEMPAT HENDAK MENGADU?
Ketika masih kanak-kanak aku masih teringatkan
suasana di kampung yang aman damai. Tahun 1950an. Masih zaman pemerintahan
British. Zaman penjajahan. Tetapi aku tidak pun merasakan bahawa zaman itu
sebagai zaman penjajahan. Tidak pun merasakan kesusahannya berada di bawah
penjajahan British walaupun sentiasa diselubungi kemiskinan.
Suatu perkara yang aku masih ingat dan masih
mengimpikan suasana sedemikian ‘datang kembali’ ialah suasana tenang dan
harmoni di kampung. Jarang sangat berlaku pergaduhan di kampung aku yang boleh
membawa kepada pertumpahan darah. Tidak pernah berlaku pergaduhan seperti itu.
Jikalau ada pun, hanya merupakan pergaduhan kecil yanhg melibatkan isu-isu
kecil.
Pendek kata setiap penduduk kampung merasa selesa
dan sentiasa merasa selamat tinggal di desa yang aman damai itu. Apa tidaknya.
Semangat kejiranan dan bergotong royong sentiasa diamalkan sehinggakan boleh
dikatakan setiap penduduk di kampung aku menikmati suasana kehidupan yang
hampir sama. Tidak ada yang terlalu kaya dan tidak pula ada yang terlalu miskin
Kami tidak mengharapkan pertolongan dan bantuan
orang lain, apatah lagi pertolongan dari kerajaan. Penjajah British pada ketika
itu tidak menghulurkan sebarang pertolongan kepada penduduk kerana yang
dipentingkan oleh mereka tentulah ‘pertolongan’ yang boleh mendatangkan
keuntungan kepada mereka. Tetapi kini kerajaan sentiasa menghulurkan bantuan
kepada penduduk kampung tetapi ada pula kedengaran tentang amalan pilih kasih
yang diamalkan oleh pihak yang memberikan pertolongan. Terdengar juga khabar
yang mengatakan sebarang bantuan hanya diberikan kepada penyokong kerajaan
semata-mata. Mungkin tak betul berita berkenaan. Mungkin juga betul….
Selepas mencapai kemerdekaan kehidupan di kampung
aku masih menyeronokan. Ikatan kekeluargaan masih terus diamalkan. Walaupun
sudah mencapai kemerdekaan dan sudah ada pilihan raya, namun wakil rakyat yang
kami pilih jarang sekali datang ke kampung. Malah hampir tidak pernah menjenguk
langsung kawasan yang diwakilinya. Hendak berjumpa dengan beliau pun adalah
seperti berjumpa dengan Sultan atau pembesar lain. Payah benar. Keadaa kini pun
begitu juga, kata orang kampung aku. Terlalu sukar untuk berjumpa dengan wakil rakyat
kecualilah apabila menghampiri suasana pilihan raya.
Orang kampung aku sememangnya tidak mengharapkan
pertolongan dan bantuan dari sesiapa pun. Seingat aku arwah bapak tidak pernah
pun menyuarakan hasratnya untuk memohon bantuan dari sesiapa walau dalam
keadaan keperitan kehidupan yang dalaminya. Dan begitu juga dengan orang
kampung aku yang lain. Kebanyakannya akan menempuh hidup dengan cara yang
tersendiri tanpa meminta bantuan dari orang lain.
Namun begitu sifat tolong menolong dan bantu
membantu adalah amalan penduduk kampung aku dan mungkin kampung lain juga
begitu. Mereka tidak akan membiarkan sesebuah keluarga itu menderita.
Seboleh-bolehnya mereka akan membantu. Aku masih teringat bagaimana arwah bapak
aku dan juga jiran-jiran yang berhampiran membantu sebuah keluarga yang secara
tiba-tiba kehilangan kedua ibu bapa akibat kemalangan jalan raya. Orang
kampung membantu dan terus membantu
sehinggalah keluarga berkenaan boleh berdiri di atas kaki sendiri.
Itulah kehebatan orang kampung aku yang pernah
aku lihat dengan ‘mata kepala’ aku sendiri. Mungkin mereka telah melaporkan
kepada pihak berwajib pada ketika itu (di bawah pemerintahan kerajaan Malaysia)
namun tidak ada sebarang bantuan yang sampai. Tidak ada bantuan dari pihak
kerajaan. Orang kampung berbangga dengan keadaan demikian kerana mereka sendiri
mampu menguruskan rakan-rakan yang ditimpa kemalangan.
Suasana di kampung kini sudah agak berbah apatah
lagi suasana yang wujud di negara kita. Kadang-kadang aku terfikir pada
siapalah lagi hendak mengadu sekiranya menghadapi sesuatu keadaan yang
menyusahkan. Kehidupan di Malaysia kini semacam sudah seperti peribahasa
Melayu, ‘ seperti enau dalam belukar, masing-masing mahu melepaskan pucuk
masing-masing.
Sudah tidak wujud lagi suasana sepertimana di
kamung dulu dimana kehidupannya, ‘seperti aur dengan tebing, ringan sama
dijinjing dan berat sama dipikul’
Melalui media arus perdana seringkali kita
mendengar yang kerajaan memberikan pertolongan tetapi apa yang aku dengar dari
orang kampung ( bukan dari kampung aku saja) segala bantuan dan pertolonga
hanya khusus untuk orang tertentu.
Tidak pula dijelaskan golongan mana yang bertuah
itu……
abuhassanadam
17 Februari 2015
No comments:
Post a Comment