Wednesday, February 4, 2015

YB ISMAIL SABRI ‘BERSUARA’– KE MANA ‘HILANGNYA’ MENTERI BERTANGGUNGJAWAB?

Bagi aku ‘seruan’ YB Ismail Sabri Yaakub (Menteri Pertanian dan Asas Tani) untuk mengajak masyarakat Malaysia bersatu menurunkan harga barang setelah harga minyak turun adalah sesuatu yang wajar. Cuma yang agak kurang menyenangkan apabila dikaitkan dengan kaum Cina. Sememangnya perniagaan di Malaysia dikuasai oleh kaum Cina tetapi demi untuk menjaga perpaduan di negara yang tercinta ini amat tidak sesuai rasanya beliau mengaitkan peniaga Cina (sahaja) yang menyebabkan kenaikan harga barang di Malaysia.

Dan ekoran daripada kenyataan YB Ismail Sabri itu telah timbul berbagai reaksi dari pihak-pihak tertentu yang ‘menyokong’ dan ‘menentang’ saranan Menteri berkenaan. Kadang-kadang kelihatan apa yang ditentang oleh pihak-pihak tertentu sudah jauh menyimpang daripada isu yang sedang diperjuangkan. Perbincangan ‘Melayu-Cina’ telah menenggelamkan isu yang sedang diperkatakan, ia itu tentang isu kenaikan harga barang. Dan terfikir juga di kepala aku apakah sememangnya itu tujuannya YB Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan sedemikian sebagai ‘wakil’ pihak-pihak tertentu untuk mengalihkan pandangan masyarakat daripada membincangkan isu yang sebenar – kenaikan harga barang.

Apabila Menteri Pertanian yang ‘bersuara’ pastinya pula rakyat Malaysia tertanya-tanya tentang ke mana ‘hilangnya’ Menteri yang sebenar-benarnya bertanggungjawab tentang hal yang berkaitan. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian berkenaan bagi menghadapi keadaan negara yang amat meruncing ini berkaitan dengan kenaikan harga barang. Rakyat pastinya sudah jemu dan hampir ‘meluat’ (agaknya)  mendengar kenyataan, ‘kami akan mengambil tindakan sewajarnya……’ atau ‘ kami sedang berunding dengan pihak-pihak pengeluar barangan tertentu bagi mengawal harga barang…’

Sebenarnya rakyat sudah betul-betul bosan dan kecewa dengan ‘tindakan’ kementerian berkenaan yang kelihatan semacam tidak menampakkan sebarang kesan positif. Sepatutnya kementerian berkenaan sudah dapat menduga keadaan sebegini akan berlaku dan sekiranya kementerian berkenaan diterajui oleh seorang menteri yang cekap bertindak tentulah sudah menyediakan pelan bertindak yang sesuai untuk dilaksanakan demi untuk mengawal harga barangan ini. Berbagai undang-undang dan peraturan telah tersedia dan hanya memerlukan penguatkuasaan dan keberanian untuk melaksanakan peraturan yang ada. Tidak ada langkah yang lebih berkesan selain daripada menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang ada. Bukankah negara ini ada peraturan dan undang-undangnya…….

Aku tidak tahu jumlah kakitangan yang ada dibawah Kementerian yang bertanggungjawab (panjang sangat nama kementerian berkenaan!!)  di seluruh negara. Aku tidak tahu jumlah peruntukan kewangan yang diberikan untuk kementerian ini tetapi pastinya lumayan. Apakah para pegawai di kementerian ini yang diketuai oleh Ketua Setiausahanya dan ribuan pegawai bawahan tidak dapat langsung bertindak untuk mengatasi masalah ini. Apakah YB Menterinya dan para pegawai tinggi masih bermesyuarat dan terus bermesyuarat bagi menghadapi keadaan yang sedang melanda ini?. Apakah mesyuarat kabinet yang diadakan pada setiap hari Rabu itu tidak membincangkan hal yang amat menyusahkan rakyat ini?

Rakyat di negara ini terutamanya yang berada di sebelah pantai timur semenanjung telah mengalami kesusahan yang bukan kepalang akibat banjir baru-baru ini. Dan kita telah dapat melihat sendiri betapa ‘lemahnya’ pengurusan bencana berkenaan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Rakyat faham bahawa kita tidak mendapat menduga ‘ujian’ yang diturunkan oleh Tuhan tetapi sekurang-kurangnya pihak-pihak tertentu menunjukkan persediaan yang rapi menghadapi kemungkinan banjir berkenaan kerana ‘suasana’ banjir akan menjelang saban tahun. Dan tentulah ada prosedur yang rapi bagi mengawal keadaan sedemikian.

Aku bukanlah mahu menuduh sebarangan berkaiitan dengan kelemahan pengrusan banjir di pantai timur baru-baru ini, tetapi daripada maklumbalas yang diterima semangnya terlalu banyak yang perlu diperbaiki demi untuk kepentingan pengurusan bencana banjir pada masa hadapan. Dan yang amat jelasnya keadaan positif ekoran daripada peristiwa banjir berkenaan ialah tentang keperihatinan rakyat yang tidak mengira kaum dan agama dalam memberikan pertolongan kepada mangsa banjir berkenaan. Itu jelas dan amat positif. Semua kaum di Malaysia turut menghulurkan bantuan demi untuk membantu yang malang yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu.

Dengan kenyataan YB Ismail Sabri ini seolah-olah telah menyebabkan ‘luka’ berdarah kembali. Kaum Cina terutama para peniaga Cina pastinya juga ‘terguris’ dengan kenyataan sedemikian. Dan mujurlah cepat-cepat diperbetulkan kenyataannya. Yang sebenarnya beliau menujukan kritikannya itu kepada peniaga-peniaga Cina yang tidak bertanggungjawab menaikan harga barang dengan sewenang-wenangnya. Sepatutnya YB Ismail Sabri menghalakan kritikannya itu kepada pihak-pihak lain juga yang sama-sama bertanggungawab menaikan harga barang. Ini termasuk juga syarikat-syarikat besar yang dimiliki oleh Melayu, Cina dan India yang berperanan boleh menurunkan harga barang di negara ini sekiranya mereka peka dengan penderitaan rakyat.

Dan yang paling penting ialah sudah sampai masanya YAB Perdana Menteri ‘bersuara’ dan menentukan dengan tegas arah tuju negara kini terutama yang berkaitan dengan masalah terkini yang dikira amat meruncing ini.

Mesyuarat Kabinet pada hari ini (Rabu) seharusnya membincangkan secara terperinci hal sedemikian.

abuhassanadam
4 Februari 2015



No comments:

Post a Comment