SI KITUL
“Maka ada seorang Keling, keluarga pada Nina
Suara Dewana, Kitul namanya. Akan Kitul itu berhutang pada Raja Mendeliar
sekati emas…maka pada waktu tengah malam Kitul pergilah ke rumah Raja
Mendeliar. Dipalunya pintu Raja Mendeliar. Maka Raja Mendeliar terkejut
katanya,” Siapa kamu di luar pintu itu?”
Maka sahut Kitul, maka disuruh pun Raja Mendeliar
bukai pintu. Maka Kitul pun masuklah. Maka dilihatnya Raja Mendeliar duduk
bersuka-suka dengan anak isterinya.
Maka kata Kitul,’Hamba Raja Mendeliar, baik
sekali tuan hamba bersuka-suka pada malam ini, tiada tuan hamba tahu kerama
akan datang pada tuan hamba?” Maka oleh Raja Mendeliar dipimpinnya tangan
Kitul, dibawanya kepada tempat yang sunyi. Maka kata Raja Mendeliar, ‘Hai
Kitul, apa juga khabar? Adakah tuan dengar?”
Maka kata Kitul,’ Malam tadi Nina Suara Dewana
datang kepada Bendahara, dipersembahkannya emas sebahara, hendak membunuh tuan
hamba. Akan sekarang bendahara sebicaralah dengan Nina Suara Dewana, tuan hamba
hendak dikerjakannya” Demi Raja Mendeliar mendengar kata Kitul itu maka Raja
Mendeliar mengambil surat hutang Kitul, dicariknya.
Maka kata Raja Mendeliar kepada Kitul,’ Adapun
utang tuan hamba sekati itu halallah dunia akhirat. Tuan hambalah saudara hamba”
Pada malam itu juga diambil Raja Mendeliar emas
sebahara dan permata indah-indah dan pakaian yang baik-baik, dibawanya kepada
Laksamana; (Laksamana) terlalu karib pada Sultan Mahmud Syah………Maka Raja
Mendeliar pun masuklah mengadap Laksamana. Maka segala arta yang dibawanya itu
semua dipersembahkannya kepada Laksamana.
Maka sembah Raja Mendeliar pada
Laksamana,” Saya mengadap orang kaya ini berlepas taksir. Hendaklah orang kaya
persembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan supaya jangan sahaya dikatakan
sebicara dengan penghulu sahaya kerana (sahaya) telah sahaya ketahuilah bahawa
Bendahara Seri Maharaja hendak derhaka, sedia berebut takhta kerajaan, kasadnya
hendak naik raja di dalam Melaka ini.” Setelah Laksamana melihat arta terlalu
banyak maka hilanglah budi akalnya sebab disamun oleh arta dunia.
Maka kata Laksamana kepada Raja
Mendeliar, “ Hambalah berpersembahkan dia ke bawah Duli Yang Dipertuan”
Maka Laksamana pun masuklah
mengadap Sultan Mahmud Syah. Maka kata Raja Mendeliar itu semuanya
dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mahmud Syah. (Setelah Sultan Mahmud
Syah) mendengar sembah Laksamana itu kabul pada hati baginda kerana baginda
sedia berdendam akan Bendahara Seri Maharaja sebab anaknya.
Maka Sultan Mahmud Syah menitahkan
Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara membunuh Bendahara Seri Maharaja………..
Maka dibunuhlah Bendahara Seri
Maharaja dan Seri Nara Diraja dan segala anak buahnya yang mahu mati sama-sama
dengan dia………..
Setelah Bendahara Seri Maharaja
sudah mati maka segala pusaka Bendahara Seri Maharaja semuanya dibawa masuk ke
dalam. Maka dilihat oleh Sultan Mahmud Syah yang seperti berita orang itu tiada
sungguh. Maka baginda terlalu amat masyghul dan menyesal oleh membunuh
Bendahara Seri Maharaja tiada dengan periksa.
Maka Raja Mendeliar disuruh oleh
Sultan Mahmud Syah bunuh pula oleh ia mengadakan fitnah. Syahadan Kitul disuruh
baginda sulakan melintang. Maka Laksamana disuruh mengasi oleh baginda”
(Petikan dari“SULALAT AL-SALATIN’
karangan TUN SERI LANANG )
abuhassanadam
18 Februari 2015
No comments:
Post a Comment