MENGAPA MASIH ADA PEMIMPIN BERSIFAT RASIS
Kenyataan Media
yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri yang memetik bahawa Perdana
Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah menegaskan bahawa kerajaan
Barisan Nasional akan terus membela dan menjaga kepentingan semua kaum.Oleh
itu, sebarang pertelingkahan yang boleh menuju kepada polarisasi kaum di negara
ini tidak sepatut dipanjangkan kerana ia hanya akan membawa kemudaratan kepada
kita semua”
Bagi
aku kenyataan DS Najib itu amat tepat dan amat sesuai pada masanya. Dan aku
juga memikirkan bahawa mengapalah baru sekarang DS Najib mengeluarkan kenyataan
yang ‘sebernas’ itu untuk dihazam oleh rakyat Malaysia. Alangkah baiknya beliau
bertindak demikian dan mengeluarkan ‘arah tuju’ dan ‘pedoman’ yang sesuai untuk
dimanfaatkan oleh rakyat terbanyak. Rakyat sememangnya menunggu-nunggu saranan
dan ‘nasihat’ dari Perdana Menteri sebagai pemimpin negara yang tercinta ini,
agar tidak timbul sebarang syak wasangka dari kalangan masyarakat berbilang kaum
di negara ini.
Rakyat
Malaysia sanggup mengenepikan sebarang perselisihan demi untuk mewujudkan
persefahaman yang mantap di negara ini. Maaf memaaf adalah merupakan amalan
budaya masyarakat Malaysia semenjak zaman berzaman. Hal ini telah terbukti dan tidak
siapa yang dapat menafikan tentang kebenarannnya. Semenjak kedatangan
beramai-ramai golongan imigran yang terdiri dari orang Cina dan India ke Tanah
Melayu pada awal kurun ke 20 tidak pernah berlaku perselisihan dan perbalahan
antara kaum-kaum terbesar di negara ini. Dan berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969
mungkin merupakan kali pertama dan terakhir berlakunya perbalahan kaum di
Malaysia.
Untuk
membuktikan bahawa masyarakat di Malaysia adalah merupakan masyarakat yang
mencintai perdamaian dapat juga dibuktikan dengan pemulihan yang begitu pantas
akan hubungan kaum terutama selepas berlakunya peristiwa 13 Mei itu. Rakyat
Malaysia sedar bahawa tidak ada gunanya berpecah dan berbalah. Lantas perpaduan
terus dipupuk dan terus kukuh sepanjang tahun-tahun selepas 1969 sehinggalah
akhir-akhir ini yang menampakkan bahawa perpaduan kaum di Malaysia sekalan-akan
tergugat dan tercabar. Seolah-olah perpaduan di negara ini agak longgar dan
semakin luntur.
Suasana
perpaduan kaum kini agak berbeza dengan zaman-zaman yang pernah aku lalui
semenjak zaman berzaman. Satu perkara yang agak unik yang dapat aku perhatikan
ialah semacam sudah hilang perasaan hormat menghormati antara satu kaum dengan
kaum yang lain. Dulu keadaan sebegini pernah juga wujud tetapi tidak ketara berlaku
dikalangan pemimpin-pemimpin sebagaimana yang dapat dilihat kini.
Mungkin
agak keterlaluan sekiranya aku katakan bahawa ada dikalangan pemimpin di negara
kini yang sudah tidak merasa segan dan silu menyuarakan apa juga hasrat yang
berbau perkauman demi untuk mendapatkan populariti dikalangan pengikut. Dalam
bahasa kasarnya para pengikut akan menjadi pengikut yang membuta tuli diatas
apa juga tindakan pemimpinnya tanpa memikirkan samada tindakan yang dilakukan
pemimpin berkenaan rasional atau tidak.
Kenyataan
yang berbentuk perkauman atau rasis sebagaimana yang dikatakan yang selalu
diperkatakan, biasanya datangnya dari mulut golongan yang tidak berkedudukan
dalam masyarakat. Itu dulu. Dan pastinya kenyataan mereka itu tidak
mendatangkan kesan ke atas masyarakat kerana yang melafazkan kata-kata demikian
bukan pemimpin yang berkedudukan. Bukan pemimpin negara yang disegani dan
dihormati.
Berbanding
dengan keadaan pada hari ini ucapan berbentuk rasis adalah ‘mainan’ setengah
pemimpin negara dan pemimpin-pemimpin pertubuhan-pertubuhan untuk mendapatkan
sokongan. Kadang-kadang aku terfikir tentang tujuan pemimpin tertentu
mengeluarkan kenyataan yang berbentuk rasis itu. Apakah mereka tidak sedar
bahawa dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian akan sedikit sebanyak ‘mengguris’
hati golongan yang mendengarnya dan merosakkan perpaduan di negara ini. Ataupun
apakah mereka sengaja berbuat demikian untuk tujuan tertentu. Sekiranya ‘untuk
tujuan tertentu’ timbul pula persoalan dalam benak aku untuk menyoal, ‘ untuk
tujuan apa?’
Dan
ekoran daripada keadaan sedemikian tentulah tertanya-tanya pula hati kecil kita
bahawa apakah pemimpin sedemikian sesuai untuk wujud di Malaysia yang mempunyai
penduduk yang berbilang kaum ini. Dan apakah pemimpin yang sedemikian tidak terfikir
bahawa kepimpinannya adalah diperlukan oleh semua kaum dan bukan setakat
kaumnya sahaja. Apakah begitu cetek cara berfikirnya yang boleh mengeluarkan
kenyataan rasis yang boleh membayangkan tentang rendahnya akal budinya dan
seolah-olah tidak layak menjadi pemimpin negara yang berbilang kaum ini.
DS
Najib diharapkan agar terus bertindak memperkukuhkan perpaduan kaum di negara
ini. Tindakannya harus dilihat sebagai tindakan yang boleh betul-betul
mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini. DS Najib tidak harus bertolak ansur
dengan golongan yang cuba mengadu-domba dan memecah-belahkan perpaduan di
negara ini.
Sekurang-kurangnya
DS Najib mengenang semula hasrat dan jerih payah Tun Abdul Razak memulihkan
perpaduan kaum terutama selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 dahulu.
abuhassanadam
5
Februari 2015
No comments:
Post a Comment