HALLOWEEN DAN PENGAT LABU
Aku tiba di Palo Alto penghujung bulan September
1986. Menyambung pelajaran di Stanford University. “Rezeki’ budak kampung ini
dapat melanjutkan pelajaran di sebuah university terkenal di dunia. Ada orang
kata Stanford University ini sebagai “Harvard of the West’.
Sememangnya dalam hidup aku sentiasa mengalami
‘culture shock’. Dalam blog aku yang lepas telah aku ceritakan pengalaman aku
ketika mula-mula menjejakkan kaki di London tahun 1978. Kali ini aku akan
ceritakan berbagai pengalaman aku ketika mula-mula berada di California ( Palo
Alto). Sebelum ini aku hanya mengetahui mengenai California melalui pelajaran
Geografi yang pernah diajar oleh guru aku, Mr. Michael de Silva yang mengatakan
bahawa hasil eksport California ialah buah-buahan kerana cuacanya yang sesuai
untuk buah-buahan.
Sememangnya betul apa yang dikatakan oleh guru
Geografi aku tu. Sesampai saja aku dan keluarga di rumah ‘ibu angkat’ (yang
disediakan oleh Stanford University untuk menyambut kedatangan pelajar baru),
sudah kelihatan pokok limau di hadapan rumahnya menghasilkan buah kekuningan
yang masak ranum. Hendak rasanya aku memetiknya. Teringat pula ‘ajaran’ ibu
semenjak kecil bahawa jangan diambil sembarangan buah-buahan orang sekiranya
tidak mendapat kebenaran. Aku tahu anak-anak aku juga amat teringin untuk
memetik limau berkenaan tetapi mereka juga telah ‘diajar’ jangan berbuat
demikian.
Selepas tiga minggu berada di Escondido Village (rumah
university yang disediakan untuk pelajar yang berkeluarga dengan sewaan
sebanyak RM 1900.00 ( USD 620.00) sebulan) aku berhasrat untuk ‘meneroka’
kawasan yang agak jauh dari Palo Alto. Sementelahan pula aku baru saja membeli
sebuah kereta “Pontiac” yang sudah berusia tiga tahun. Jadi dapatlah aku
membawa isteri dan anak-anak aku bersiar-siar sambil melihat keindahan kawasan
San Francisco yang sentiasa di bawah alunan ombak lautan Pasifik pada hari-hari
cuti.
Aku sampai di sebuah tempat bernama Half-Moon
Bay. Tidak jauh dari pantai lautan Pasifik. Begitu cantik sekali. Malah dapat
aku katakan sepanjang perjalanan aku dari Palo Alto merentasi beberapa kawasan
‘kampung’ menuju ke Half-Moon Bay adalah amat cantik sekali mata memandang. Apatah
lagi apabila aku menyusuri pantai akan dapat dirasakan kenikmatan yang tidak
terhingga yang dikurniakan Allah.
Kami mengalami ‘culture shock’ pertama apabila
sampai sahaja di suatu perkampungan di Half-Moon Bay. Ketika itu hari petang
musim Autumn. Tidak dapat dibayangkan suasana yang nyaman dan cantik pada
ketika itu. Aku ternampak sekumpulan manusia sedang membeli buah labu. Luar
biasa pandangannya disebabkan belum pernah aku lihat suasana yang sedemikian di
negara kita Malaysia. Tidak pernah aku lihat di Malaysia juga manusia
berpusu-pusu datang untuk membeli buah labu.
Dan yang tambah menghairankan aku lagi ialah
tentang keadaan buah labu yang bukan kepalang besarnya. Ada buah labu terdapat
di situ yang sepemeluk besarnya walaupun kebanyakannya sebesar labu yang
terdapat di negara kita. Warna buah labu di Half Moon Bay adalah kekuningan
yang luar biasa. Melihatkan pemandangan yang sedemikian kami mengambil gambar
kenangan di situ. Bagi ‘orang putih’ di situ tentulah mereka agak pelik
melihatkan gelagat anak-anak aku yang semacam ‘gila’ melihatkan pemandangan
yang luar biasa itu.
Buah labu tentulah tidak asing bagi aku. Di
belakang rumah aku ( dikampung) emak menanam labu di tepi pagar dan membiarkan
pohon labu itu menjalar menyusuri pagar dawai yang mengelilingi rumah. Apabila
sampai masanya untuk menghasilkan buah, maka akan kelihatanlah buah-buah labu
bergayutan di tepi-tepi pagar rumah. Dan tentulah buah labu yang ada di kampung
aku tidak sebesar labu yang terdapat di Half Moon Bay ini. Dan emak menggunakan
buah labu untuk dibuat gulai atau dibuat pengat (bubur) labu atau dibuat kuih
Bengkang (Bingka) atau direbus dan dicicah dengan kelapa parut bercampur gula.
Dan pucuk labu boleh juga dibuat gulai atau direbus sahaja dan dicolek dengan
sambal belacan. Amat menyelerakan……..
Aku mencadangkan kepada isteri aku untuk membeli
labu berkenaan ( di Half Moon Bay) untuk dibuat gulai atau dibuat pengat labu.
Untuk dibuat Bengkang tentulah mustahil kerana tidak ada sabut kelapa untuk
digunakan untuk memasaknya. Sementara itu aku memikirkan juga apakah ‘orang
putih’ ini membeli labu-labu itu untuk dibuat gulai sepertimana yang aku
rancang dengan isteri aku. Tak mungkin, kata hati kecil aku. Dan mereka membeli
labu-labu itu bukannya sebiji tetapi beberapa biji. Tidak terfikir pula aku
bahawa orang putih juga suka makan labu!!... Di Malaysia tidak pernah pula aku
lihat orang putih membeli labu di pasaraya-pasaraya di Malaysia.
Sudah agak lama juga kami tidak makan gulai-gulai
seperti gulai labu. Maklumlah sudah tinggal di negara orang putih. Namun sambal
belacan tidak akan dilupakan. Hampir satu kilo belacan ( dari Pasar Minggu
Cangkat Jering, Taiping) aku bawa
bersama aku. Jikalau mahu dikatakan bahawa orang Melayu tidak boleh
‘berenggang’ dengan belacan dan petai, katalah. Aku tak malu…..
Dalam perjalanan pulang dari Half Moon Bay ke
Palo Alto (Stanford), aku masih memikirkan tentang orang putih yang ‘suka makan
gulai labu’. Itu hanya anggapan aku. Tetapi betulkah orang putih suka makan
gulai labu. Apakah betul buah labu yang dibeli oleh mereka itu untuk dibuat
gulai atau dibuat Pengat Labu seperti dilakukan oleh isteri aku? Tidak ada
jawapan….
Hanya pada malam 31 Oktober 1986 barulah terjawab
segala persoalan yang sentiasa menyerang kepala aku selama itu. Rupanya orang
putih menggunakan buah labu itu sebagai syarat mereka merayakan perayaan Halloween
(perayaan agama Kristian) dan bukanlah untuk dijadikan gulai atau Pengat Labu
atau Bengkang Labu seperti yang dilakukan oleh arwah ibu ku.
Betul kata orang tua-tua, ‘ jauh perjalanan luas
pandangan’.
abuhassnadam
31 Oktober 2014