Sunday, October 26, 2014

SAUDARA ANWAR ‘……..THE LAST STRAW….”

Peribahasa Inggeris ada menyebut, ‘ it is the last straw that breaks the camel’s back’. Lebih kurang maknanya adalah sesuatu keadaan yang pada mulanya dianggap kecil akan bertukar menjadi sesuatu yang besar disebabkan sesuatu peristiwa yang dianggap remeh atau tidak mendatangkan kesan yang mendalam.

Perbicaraan mengenai rayuan Saudara Anwar Ibrahim yang akan datang bukan merupakan peristiwa ‘ditelan mati emak dan diluah mati bapak”. Bagi aku tidak ada ‘dilemma’nya dalam menentukan keputusan perbicaraan itu. Namun demikian segala keputusan terletak di atas kebijaksanaan para hakim yang mengendalikan kes berkenaan. Bagi ‘orang luar’ seperti aku sekiranya Saudara Anwar ‘dihumban’ ke penjara bermakna akan lahir seorang lagi ‘Nelson Mandela’ di negara kita Malaysia.

Itulah senario yang dapat aku bayangkan yang akan terjadi di Malaysia dan tentang bagaimana reaksi rakyat Malaysia secara keseluruhannya terhadap pemenjaraan Saudara Anwar adalah diluar kemampuan aku untuk menggambarkannya. Berbagai spekulasi telah diutarakan oleh penganalisis politik tanah air. Sekiranya Saudara Anwar dipenjarakan begini jadinya dan sekiranya ‘dilepaskan’ begitu pula jadinya.

Bagi aku tidak ada ‘kalau’nya. Minat aku terhadap perjuangan Nelson Mandela dan Martin Luther King tidak ada batasnya. Dan mengikut pengamatan aku perjuangan Saudara Anwar Ibrahim juga adalah lebih kurang sama dengan perjuangan kedua-dua tokoh ini. Mungkin agak keterlaluan bagi setengah pihak apabila aku membuat perbandingan sedemikian. Namun setelah mengikuti sekian lama perjuangan Saudara Anwar Ibrahim tidak syak lagi bahawa ‘langkah’ Anwar adalah lebih kurang sama dengan ‘langkah’ Mandela dan Martin Luther Kings.

Ada pihak yang merasakan bahawa Pakatan Rakyat akan menghadapi masalah sekiranya ketiadaan Saudara Anwar. Apakah ‘padam’ api perjuangan rakyat Afrika menentang Apartheid setelah Mandela dipenjarakan selama 27 tahun? Apakah malap perjuangan rakyat kulit hitam di Amerika Syarikat setelah Martin Luther King di tembak. “I have a dream’nya terus menjadi mimpi dan igauan rakyat kulit hitam sehingga akhirnya berjaya juga meletakkan Obama (kulit hitam) ditakhta Presiden Amerika. Dan sekiranya kita beranjak ke belakang lagi melihat sejarah perjuangan Jose Rizal menentang Sepanyol, akan dapat lihat bahawa obor perjuangan tokoh-tokoh ini tidak akan padam. Berbagai tindakan dilakukan oleh Sepanyl namun gagal juga akhirnya.

Begitu jugalah dengan perjuangan yang telah dilancarkan oleh Saudara Anwar Ibrahim. Sebagaimana yang pernah aku katakan dalam blog terawal bahawa ‘Anwar’ sudah berada di mana-mana dalam hati sanubari rakyat Malaysia, samada di bandar, di kampung, golongan elit, pemuda,wanita dan yang paling menakjubkan lagi ialah beliau telah menjadi ikon rakyat Malaysia dari semua bangsa dan keturunan. Lebih jauh dari itu perjuangan beliau telah diketahui oleh kebanyakan penduduk dunia yang mengikuti siaran CNN, BBC, Aljazeera, dan puluhan akhbar dunia yang menyiarkan ucapan dan temuramahnya.

Beliau akan terus ‘hidup’ walaupun dipenjarakan. Sekiranya ada pihak yang merasakan bahawa dengan memenjarakan beliau akan melemahkan Pakatan Rakyat, bagi aku tanggapan sedemikian merupakan satu kesilapan yang amat besar.

Saudara Anwar Ibrahim adalah merupakan ‘catalyst’ sesuatu perjuangan. Maksud aku bukan badan tubuh Anwar Ibrahim yang dilihat oleh rakyat terbanyak, tetapi roh perjuangannya akan ‘menakluki’ hati dan perasaan rakyat terbanyak. Aku yakin yang musuh politik Saudara Anwar juga faham tentang hakikat ini. Sekiranya mereka tidak faham, masakan berbagai langkah dan tindakan yang dilakukan bagi menyekat kemaraan Saudara Anwar dalam politik tanah air.

Mungkin ada juga yang memikirkan bahawa sekiranya Saudara Anwar Ibrahim dipenjarakan, pasti akan wujud suatu ‘mercu tanda’ baru dalam pemikiran rakyat terbanyak bahawa perjuangan yang dilancarkan oleh Saudara Anwar Ibrahim perlu diteruskan tanpa ada titik noktahnya. Mungkin keadaan politik kini agak ‘sejuk’ disebabkan tidak ada petanda baru yang ‘menghangatkannya’. Dan sekiranyalah Anwar dipenjarakan maka akan muncul suatu kesedaran baru dikalangan rakyat sepertimana tindakan mereka terhadap ‘mata lebam’ pada tahun 1999 dulu.

Barisan Nasional terselamat pada ketika itu disebabkan kesedaran golongan bukan Melayu terhadap persitiwa demikian kurang meluas berbanding dengan keadaan yang berlaku kini. Lantas undi bukan Melayu masih memihak kepada Barisan Nasional disamping belum wujudnya media sosial secara meluas dan berkesan. Dan dalam masa yang singkat, isu ‘mata lebam’ telah menjalar seperti ‘api ditiup angin’ keseluruh pelusuk negara.

Itu suasana tahun 1999 setelah Saudara Anwar dipenjara. Kini adalah tahun 2014, lebih kurang tiga tahun menjelangnya PRU 14. Pasti isunya adalah ‘ Anwar dipenjara’. Isu sedemikian pasti digembar-gemburkan dan seolah-olah memberikan ‘peluru’ yang amat berkesan kepada pihak pembangkang. Jikalau pada tahun 1999, kempenya kurang berkesan tetapi kempen kali ini akan jauh lebih berkesan daripada keadaan sebelumnya.

Perkembangan terbaru yang membimbangkan pihak tertentu adalah keberanian yang ditunjukkan oleh setengah pemimpin pelajar dari pusat pengajian tinggi terhadap perjuangan Saudara Anwar Ibrahim. Hal ini tidak berlaku sebelum ini. Dan sekiranya para pelajar sudah mula tampil, maka sesuatu perubahan pasti akan berlaku. Sejarah telah menunjukkan bahawa sesuatu perubahan biasanya dicetuskan oleh pelajar pusat pengajian tinggi.

Sekiranya ada pihak tertentu yang boleh berperanan untuk ‘menghalang’ Saudara Anwar dari dipenjara, aku pasti tindakan sedemikian perlu dilakukan kerana ‘jangan disangka air tenang tiada buiaya’. Itulah gambaran sebenar di negara ini. Mungkin para pemimpin atasan tidak melihat ‘kocakan’ yang berlaku ‘di bawah’ dan janganlah meletakkan harapan begitu tinggi kepada ‘pengaruh’ BRIM, kerana ‘pengaruh’ sedemikian akan lenyap dalam sekelip mata.

Hanya sekadar mengajak rakyat berfikir…..

abuhassanadam
26 Oktober 2014



No comments:

Post a Comment