Tuesday, March 31, 2015

ZAMAN PENJAJAHAN - DALAM KENANGAN

Aku terpaksa bersikap adil juga apabila membincangkan tentang Akta Hasutan. Dan tentulah ‘memalukan’ sekiranya dengan ‘kail (aku) yang panjang sejengkal hendak menduga laut yang dalam’. Maknanya tentulah tidak layak bagi aku untuk membincangkan isu besar sebegini diukur dari pengetahuan aku yang cetek mengenainya. Tentulah amat tidak layak sekiranya aku pula boleh membuat penilaian samada wajar atau tidaknya Akta Hasutan berkenaan terus menerus dilaksanakan di Malaysia.

Melihat kepada peruntukan yang ada dalam Akta Hasutan 1948 ada satu peruntukan yang amat menarik perhatian aku ia itu yang berbunyi, “Seditious tendency 3. (1) A “seditious tendency” is a tendency— e) to promote feelings of ill will and hostility between different races or classes of the population of Malaysia”. Bagi aku sekiranya peruntukan lain dilihat secara negatif tetapi peruntukan yang ini mesti terus dikekalkan dan jangan diganggu-gugat.

Bagi aku peruntukan ini mesti dikekalkan demi menjaga keharmonian dalam negara yang tercinta ini. Peruntukan itu menyatakan (lebih kurang maksudnya) bahawa adalah dikira sebagai menghasut sekiranya wujud sebarang kecenderungan untuk menimbulkan keresahan dikalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia”. Amat relevan.

Walaupun ada yang melihat bahawa Akta Hasutan di Malaysia kini banyak membawa kepada hal-hal yang negatif namun, peruntukan yang berkisar ke arah usaha untuk memelihara perpaduan di Malaysia amatlah aku setuju.

Ada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh setengah pemimpin kita yang dirasakan menyentuh tentang sensitiviti kaum di negara ini tetapi semacam tidak diendahkan oleh pihak berkuasa. Malah kadang-kadang ucapan-ucapan pemimpin itu disuarakan dalam majlis-majlis perdana dan dipancarkan secara langsung yang menyentuh tentang isu yang membabitkan hubungan kaum yang kesannya boleh menimbulkan keadaan yang tidak diingini dari segi hubungan kaum di Malaysia.

Yang merunsingkan sebahagian kecil rakyat kini ialah sikap semacam ‘pilih bulu’ yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa di negara ini. Ada pihak tertentu yang seolah-olah boleh melakukan apa saja dan tidak ada tindakan diambil walaupun tindakan mereka boleh diambil berasaskan Akta Hasutan yang ada. Seolah-olah golongan ini ‘beraja di mata dan bersultan di hati’. Maknanya boleh melakukan apa saja dan tidak akan ada pihak berwajib yang akan ‘menjentik’ mereka.

Sebaliknya pula ada semacam wujud suasana seperti keadaan hubungan ‘ibu tiri’ dengan ‘anak tiri’ di negara ini. Setiap tindakan yang dilakukan oleh anak tiri ( walaupun dianggap betul dan sesuai) akan dilihat sebagai satu kesalahan. Tetapi sebaliknya yang dilakukan oleh anak kesayangan (anak benar), walaupun amat bertentangan dengan norma-norma pemerintahan dan perundangan akan ‘dipejamkan  sebelah mata’.

Ini merupakan persepsi segelintir manusia seperti aku dan mungkin jauh berbeza dengan persepsi sebahgian besar rakyat Malaysia yang lain. Dan mungkin juga merupakan pentafsiran yang tidak tepat apabila dikatakan wujud suasana seperti hubungan ‘anak tiri-ibu tiri’ di negara ini. Namun persepsi tetap persepsi. Itulah yang dikatakan persepsi. Itulah juga merupakan suara hati kecil aku. Tidak akan boleh dipadam-padam. Dan amat berbeza dengan kenyataan sebenar tentunya. Dan berkemungkinan juga sebahagian besar rakyat Malaysia berfikiran sedemikian. Mungkin.

Disamping itu aku tertarik pula dengan kenyataan YB Hanipa Maidin apabila beliau menyoal Prof. Khoo Kay Kim dalam suatu perbicaraan. Katanya,’ Kesan darurat itu, British akan tangkap mereka yang menentang British termasuk British gubal Akta Hasutan 1948 menangkap mereka yang melawan British atas alasan menghasut orang ramai benci British dan undang-undang ini diambil daripada India semasa British jajah India” Dan Prof Khoo Kay Kim menjawab, “ Ya, benar” (Petikan dari Harakah)

Berdasarkan petikan di atas, jelas menunjukkan bahawa asal mulanya Akta Hasutan ini diperkenalkan ialah di India ketika Britsh menjajah India. Dan kemungkinan juga ia diperkenalkan untuk mengawal kegiatan penentangan oleh Mahatma Gandhi dan Nehru pada ketika itu. Mungkin. Dan Akta Hasuta ‘dieksport’ pula ( atau ‘diimport’) ke Tanah Melayu. Diperkenalkan sebagai Akta Hasutan 1948. Dan kini diteruskan oleh kerajaan Malaysia pada Kurun ke 21. Berkemungkinan juga agaknya keadaan di Malaysia kini sama dengan suasana yang wujud dalam zaman penjajahan dulu.

Ataupun mungkin suasana negara kita Malaysia kini dianggap masih lagi berada di takuk lama – tahun 1948.

Mungkin….

abuhassanadam
31 Mac 2015


Monday, March 30, 2015

MENGAPA DITANGKAP….. MENGAPA TIDAK BERDEBAT?

Aku tidak mengatakan bahawa pihak berkuasa seharusnya berlembut setiap masa apabila berhadapan dengan tugas untuk memelihara keamanan dan menegakkan undang-undang negara. Aku tak kata begitu. Ada masa dan ketikanya pihak polis terutamanya kena berkeras dan tegas dalam menjalankan tugas mereka terutama apabila bertindak terhadap pihak yang sememangnya menggugat keamanan negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

Rakyat Malaysia umumnya akan memberikan sokongan padu kepada pihak yang menjaga keamanan negara sekiranya dapat bertegas dalam menjalankan tugas memerangi penyeludupan dadah ke negara ini misalnya. Pihak polis akan sentiasa disanjungi sekiranya kes-kes ragut dapat dikurangkan.Rakyat akan ‘tabik spring’ kepada pihak polis sekiranya keadaan seperti ‘war zone’ di setengah kawasan perumahan dapat dikurangkan ataupun dapat dihapuskan supaya keadaan aman seperti yang pernah berlaku sebelum ini dapat diwujudkan semula.

Jangan dikatakan rakyat tidak menghargai sumbangan pihak yang menjaga keamanan di Malaysia khususnya pihak polis. Cuma rakyat agak terkilan apabila ada segelintir yang menjalankan tugas keamanan ini kadang-kadang kelihatan seperti ‘lebih sudu daripada kuah’. Rakyat merasa kurang selesa melihatkan perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini apabila ramai wakil-wakil rakyat pembangkang ditangkap dan ditahan dibawah Akta Hasutan. Yang menggusarkan ramai orang ialah tentang cara wakil rakyat ini ‘diperlakukan’. Misalnya apabila melihatkan YB Rafizi Ramli digari dan berkaki ayam memberikan gambaran bahawa pihak tertentu seolah-olah tidak tahu menghormati dan menilai seseorang pesalah.

Satu hakikat yang perlu disedari ialah bahawa Ahli Parlimen seperti YB Rafizi atau YB Khalid Samad atau YB Tien Chua adalah wakil rakyat. Mereka menang dalam pilihan raya diatas sokongan rakyat di kawasan tertentu. Mereka adalah semacam ‘lidah’ penyambung antara rakyat yang diwakili dengan pihak kerajaan. Mereka bukan sebagai wakil sesuatu parti ( UMNO misalnya) tetapi adalah wakil rakyat disesuatu kawasan yang diktiraf. Lantas mereka perlu dihormati apatah lagi isu yang diperjuangkan oleh mereka adalah isu yang membabitkan masalah negara. Dan sekiranya mereka dipersalahkan mengikut akta-akta tertentu maka cara mereka diperlakukan seharusnya sesuai dengan pangkat dan taraf mereka sebagai ahli parlimen dan bukanlah sepertimana yang pernah disarankan oleh setengah pihak supaya mengenepikan prinsip-prinsip beradab dan meneruskan ‘kebiadaban’ sebagaimana yang telah dilakukan.

Aku merasakan satu cara jalan keluar yang boleh diamalkan di Malaysia bagi meredakan kemelut yang berlaku kini ialah dengan jalan mengadakan perdebatan dan perbahasan. Sesuatu isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang yang menimbulkan kerunsingan kepada mereka sepatutnya ‘dibuka’ untuk dibahaskan samada di parlimen atau di majlis-majlis forum yang dianjurkan. Dan aku pasti ramai penganjur yang sudi dan bersedia untuk menganjurkan majlis sedemikian.

Lagi pun perdebatan atau pertukaran fikiran secara bebas adalah merupakan ‘pasak’ kepada kesuburan prinsip demokrasi. Dan aku perhatikan kegiatan berdebat amat kurang dijalankan di negara ini samada di parlimen atau pun di majlis-majlis forum berbanding dengan negara-negara maju lain yang mengamalkan demokrasi berparlimen seperti USA dan Great Britain.

Diperhatikan hampir setiap hari David Cameron ( Perdana Menteri Britain) akan berdepan dengan ahli parlimen untuk membincangkan sesuatu isu. Di Malaysia amat kurang dilakukan perbahasan di parlimen sebagaimana perbahasan dalam ertikata yang sebenarnya ( bukannya menjawab soalan). Perbahasan tidak semestinya antara Perdana Menteri dengan pihak pembangkang sahaja. Para Menteri sepatutnya berbahas dan mempertahankan sesuatu dasar yang dikemukakannnya. Mengenai GST misalnya tidak nampak ‘pertentangan’ atau ‘penjelasan’ yang jitu antara Menteri berkenaan dengan pembangkang. Mungkin ada.

Mungkin ada jawapan yang telah diberikan di parlimen berkaitan dengan GST. Dan rakyat tahu bahawa jawapan-jawapan parlimen berkenaan disediakan oleh pegawai-pegawai dari kementerian tertentu. Dan Menteri yang berkaitan hanya perlu membaca apa yang ditulis oleh para pegawai di kementerian berkenaan. Yang diharapkan oleh rakyat ialah kemampuan seseorang menteri untuk berhujah dan mempertahankan hujahnya mengenai sesuatu dasar yang hendak diperkenalkan. Hal yang sebegini yang amat berkurangan seolah-olah menandakan yang seorang menteri kurang arif dengan dasar yang diperkenalkan oleh kementeriannya.

Berkemungkinan juga para pembangkang di parlimen kini ‘merindui’ suasana parlimen sepertimana yang parlimen yang wujud  dalam tahun-tahun 1980an dan 1990an dimana parlimen jarang sunyi dengan perdebatan. Aku masih ingat suasana ketika itu dimana Dr. Mahathir akan terus berdepan dengan apa saja isu yang ditimbulkan oleh pembangkang pada ketika itu. Bukan sahaja Dr Mahathir yang lantang bersuara tetapi suara-suara lain seperti dari Saudara Anwar Ibrahim ( masih dalam kerajaan), TS Rafidah Aziz telah menambahkan gema di parlimen Malaysia ketiak itu. Mungkin suasana yang sedemikian yang diharapkan oleh pemimpin pembangkang kini. Kelihatan kini agak sunyi dengan perbincangan dan perbahasan yang bermakna ( dan bukan maki hamun seperti yang dilakukan oleh anak-anak).

Dan sekiranya begitulah harapan para pembangkang maka sudah sampai masanya DS Najib menunjukkan taringnya untuk mengambil sikap ‘confrontational’ terhadap sebarang isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang. Perdana Menteri bukan sahaja boleh menggunakan parlimen sebagai saluran menjelaskan sesuatu isu tetapi pihak kerajaan boleh menggunakan TV dan akhbar arus perdana juga untuk menyampaikan maklumat berguna kepada rakyat.

Mungkin keadaan dan cara demikian agaknya yang diharapkan oleh rakyat. Mungkin rakyat mahu melihat dengan jelas kehebatan DS Najib sebagai pemimpin negara ini.

Mungkin……

abuhassanadam
30 Mac 2015





Sunday, March 29, 2015

RAFIZI

Aku mengenali Rafizi seperti juga mengenali ‘anak-anak’ yang lain yang telah berjaya dalam lapangan masing-masing. Ramai yang telah berjaya menduduki jawatan penting dalam bidang masing-masing di negara ini, namun tidak kurang juga yang telah mengambil jalan dan langkah sepertimana yang dilakukan oleh Rafizi.

Rafizi telah datang ke rumah aku pada suatu malam pada tahun 1997 di Prothero Gardens, Hendon, London untuk diperkenalkan kepada aku oleh seorang kawan rapatnya, Adelan Benan Omar (Almarhum) yang pada ketika itu merupakan Presiden (UKEC) United Kingdom Executive Council). Isu yang diperbincangkan ialah mengenai kesinambungan kepimpinan UKEC setelah Adelan pulang ke Malaysia setelah berjaya menamatkan pengajiannya di University Cambridge. Dan Adlan Benan telah memberikan jaminan sepenuhnya kepada aku yang Rafizi akan dapat menjalankan tugas berkenaan dengan jayanya.

Malangnya Adlan Benan tidak lama dapat bersama dengan kita. Beliau meninggalkan kita dalam usia yang begitu muda. Arwah telah menunjukkan bakat kepimpinan yang luar biasa ketika berada di University Cambridge ataupun ketika memimpin UKEC. Bukan itu saja, beliau telah bekerjasama dengan Jabatan Penuntut Malaysia UK &Eire dalam menganjurkan berbagai forum dan seminar bertaraf antarabangsa demi untuk menggilap bakat anak-anak Malaysia yang sedang menuntut di UK &Eire ketika itu. Sayangnya beliau tidak lama untuk bersama-sama dengan kita. Tuhan lebih sayangkan dia.

Rafizi adalah pemimpin pelapis. Tepat sebagaimana yang dikatakan oleh Adlan bahawa Rafizi akan dapat menjalankan tugas sebagaimana yang telah dilakukannya. Dan secara bergurau Adlan memberitahu aku bahawa, ‘inilah orangnya (Rafizi) yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti…”

Kini Rafizi berada dalam tahanan polis atas kesalahan yang dianggap bersalah dibawah Akta Hasutan. Bukan tugas aku untuk mempersoalkan samada Rafizi bersalah atau tidak. Namun sekiranya ditanya aku samada Rafizi itu bersalah atau tidak, maka terus terang aku katakan dia tidak bersalah. Tetapi itu bukan isunya. Hakim yang menetukan salah betulnya.

Tok Janggut, Dato Bahaman, Dato’ Maharajalela, Haji Abdul Rahman Limbong adalah pejuang-pejuang yang mempertahankan kebenaran tetapi dianggap sebagai pengkhianat oleh Inggeris. Lantas mereka dipersalahkan dan dijatuhkan hukuman oleh Inggeris. Tok Janggut dihukum gantung dengan kakinya di atas dan kepalanya ke bawah. Bukan itu saja, malah mayatnya diarak dikeliling Kota Baharu untuk dipertontonkan kepada rakyat bahawa itulah cara dan balasannya sekiranya ada pihak yang menentang Inggeris.

Bagi penyokong Pakatan Rakyat dan majoriti pengundi di Pandan akan tetap mengatakan yang Rafizi tidak bersalah. Bermati-matian mereka pasti akan mengatakan yang Rafizi tidak bersalah tetapi bagi pihak kerajaan dan khususnya pihak polis pula akan mengatakan sebaliknya. Dengan sebab itulah mereka mengambil tindakan menahan Rafizi apatah lagi mendapat kebenaran pula daripada mahkamah.

Sebagaimana aku katakan sebelum ini bahawa bukan tugas aku untuk memperkatakan salah betul Rafizi ditahan. Dalam kes Saudara Anwar Ibrahim misalnya, ramai yang merasakan bahawa beliau tidak sepatutnya dijatuhi hukuman sedemikian kerana pada anggapan ramai beliau tidak melakukan perkara terkutuk sedemikian. Tetapi mahkamah dunia telah mengatakan yang beliau telah melakukannya. Lantas dipersalahkan. Lalu merengkoklah beliau di penjara walaupun sebahgian besar rakyat Malaysia mengatakan yang beliau tidak bersalah.

Dalam hal Rafizi aku yakin ramai malah sebahgian besar rakyat Malaysia merasakan bahawa ‘budak baik’ ini tidak bersalah. Dan yang paling menyedihkan ramai orang juga ialah apabila melihat wajah yang ‘tidak bersalah’ ini berkaki ayam dan digari tangannya seperti pesalah yang telah melakukan kesalahan yang amat besar kepada negara. Hati mana yang tidak sedih dan perasaan mana yang tidak tersentuh melihatkan ‘layanan’ yang diberikan kepadanya.

Mulalah orang bertanya.
Apa salah dia sehinggakan sampai begitu diperlakukan kepada beliau?
Berapa ratus jutakah wang negara yang telah dilesapkannya sehinggakan rakyat menderita akibat daripada tindakannya?
Pernahkah beliau melakukan pembunuhan sehinggakan beliau dilayan sedemikian?
Apakah pernah beliau menjalankan usaha untuk mengkhiananti negara ini dengan melakukan kerjasama dengan pihak tertentu?
Apakah pernah beliau ‘menipu’ pihak kerajaan dengan mengemukakan projek ternakan sehinggakan kerajaan rugi ratusan juta ringgit wang rakyat.

Kini Rafizi dalam tahanan. Rafizi dikatakan bersalah mengikut akta-akta tertentu kerajaan yang memerintah kini sepertimana  jugalah Tok Janggut, Dato’ Bahaman dipersalahkan oleh Inggeris yang menjadi pemerintah di negeri Kelantan dan Pahang pada suatu ketika dahulu.

Apakah Rafizi juga akan diberikan pengiktirafan sebagai wira negara seperti Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Dato Maharajalela atau Haji Abdul Rahman Limbong oleh rakyat Malaysia satu ketika nanti?

Hanya keadaan yang menetukan….

abuhassanadam
29 Mac 2015





Saturday, March 28, 2015

JANGAN DI LARANG…….

Aku teringat berbagai peristiwa ketika membesarkan anak-anak. Kini mereka sudah ‘besar panjang’. Dan tentulah aku berpuas hati membesarkan mereka dan tentu jugalah aku bersyukur kepada Tuhan kerana mereka kini sudah boleh hidup sendiri. Ada yang sudah berkeluarga dan ada yang masih belum. Namun aku merasa bahagia kerana mereka tidak ‘menyusahkan’ aku. Malah sentiasa membahagiakan aku sebagai orang tua.

Tentulah banyak peristiwa yang berlaku ketika ‘membesarkan’ mereka. Peristiwa gembira, sedih, melucukan, ‘memanaskan’ dan berbagai-bagai. Namun antara beberapa banyak peristiwa yang aku ‘tewas’ dengan arwah emak dalam mendidik anak-anak ialah tentang  ‘didikan’ yang diberikannya kepada anak-anak aku dan aku juga .

Rumah aku di kampung diperbuat dari papan. Peninggalan arwah Atuk aku yang diturun-temurunkan kepada emak aku. Dindingnya diperbuat daripada papan yang diatur secara mengiring. Dan apabila pulan ke kampung, pada dinding ini lah anak-anak aku paling suka memanjatnya. Lantas keadaan dinding yang sedemikian dijadikan oleh anak-anak aku (ketika mereka masih kecil ) sebagai ‘tangga’ untuk mereka memanjat sampai ke ceiling. Malah sampai ‘berjaya’ mereka mencecah atap. Tentulah merisaukan , takut-takut jikalau terjatuh.

Sekiranya mereka melaku ‘acrobatic trick’ itu di hadapan mata, tentulah boleh dilarang atau dimarahi. kadang-kadang mereka melakukan kegiatan sedemikian pada ketika aku tidak ada di rumah. Atau di luar pandangan mata aku dan isteri. Seperti kanak-kanak lain, anak aku juga tidak kurang nakalnya. Lagi banyak dilarang supaya jangan melakukan perbuatan sedemikian lagi ‘rancak’ lah kegiatannya.

Sehinggalah arwah emak ‘campurtangan’. Dia tidak bertindak terhadap cucunya seperti aku bertindak terhadap anak-anak aku. Dia tidak melarang cucunya mengadakan ‘acrobatic trick’ itu sebaliknya seolah-olah dia menggalakkan cucunya berbuat demikian. Dia menyuruh cucu-cucunya memanjat dinding berkenaan dan dia berada berhampiran dengan dinding di mana cucu-cucunya melakukan ‘acrobatic trick’ itu untuk ‘menyelamatkan’ cucu-cucunya sekiranya terjatuh.

Setelah beberapa kali menaik dan menurun dinding berkenaan, tentulah cucu-cucunya agak keletihan dan mahu berhenti. Sebalinya arwah emak terus menerus menyuruh anak-anak aku memanjat dinding berkenaan sehinggalah anak-anak aku ‘surrender’ dan tidak mahu lagi memanjat dinding-dinding berkenaan.

Dalam hati kecil aku, aku juga ‘surrender’ dengan cara yang dilakukan oleh emak dalam mengajar anak-anak. Emak aku berjaya dalam mendidik bukan sahaja aku tetapi anak-anak aku juga dengan cara yang tidak dipelajarinya dari mana-mana professor atau dari mana-mana universiti samada dari dalam negara atau dari luar negara.

Dalam suasana negara kini di mana berlaku tunjuk perasaan terhadap pihak tertentu, mengapakah pihak berwajib tidak bertindak sepertimana yang dilakukan oleh arwah emak aku terhadap ‘kenakalan’ cucu-cucunya.  Aku yakin sekiranya pihak tertentu melakukan sesuatu yang agak ‘cerdik’ dalam menangani kerenah ‘anak-anak’ ini maka tentulah dapat diselesaikan dengan jayanya tanpa ‘menyakiti’ hati mana-mana pihak.

Aku tidak mengatakan yang ‘anak-anak ’ ini tidak mempunyai isu untuk diperjuangkan. Pihak kerajaan perlu juga melihat ‘diri’ yang menyebabkan ‘anak-anak’ ini  menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Tentu ada. Jikalau tidak ada masakan mereka sanggup ‘berarak’ setiap minggu menyatakan ketidakpuasan mereka. Dan bagi aku pihak polis sepatutnya bertindak dengan bijaksana untuk melayan kerenah sedemikian.

Tentu ada caranya untuk menyelesaikan kemelut ini secara damai.
Dan terpulanglah kepada pihak-pihak tertentu untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Aku pasti bahawa caranya bukan dengan kekerasan….

abuhassanadam
28 Mac 2015