Tuesday, April 3, 2018


PEMIMPIN KERAJAAN UMNO (BN) SUDAH TIDAK BERFIKIRAN RASIONAL

            Dua persidangan parlimen yang membabitkan isu persempadan semula pilihan raya dan isu yang membabitkan kelulusan anti berita palsu betul-betul meyakinkan rakyat bahawa para wakil rakyat dan pemimpin UMNO ( Barisan Nasional) sudah tidak boleh berfikir dengan waras. Betul kata Tun Mahathir bahawa sekiranya sudah ‘ditetapkan’ yang undang-undang berkenaan hendak diluluskan apa perlunya lagi untuk dibahasakan dengan memperuntukan sepuluh minit seorang wakil rakyat untuk membahaskannnya. Dan apabila diperbahaskan sudah jelas menampakkan bahawa undang-undang berkenaan  pasti akan diluluskan tanpa ada sebarang pindaan.

            Rakay biasa yang mengikuti perbahasan parlimen melalui media sosial amat kecewa dengan ‘tingkah laku’ ahli parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan. Sepatutnya isu itu dibawa ke parlimen untuk diperbahaskan.Sepanjang apa yang diperhatikan bahawa isu-isu berkenaan di bawa ke parlimen hanaya untuk dilulus dan dijadikan undang dan langsung tidak nampak hasrat kerajaan membawa sesuatu isu ke parlimen untuk diperbincangkan dan dikaji buruk baiknya sesuatu undang-undang itu setelah diluluskan oleh YDP Agung.

            Agak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa perbahasan yang dilakukan oleh ahli parlimen itu seolah-olah hanya sebagai melepaskan batuk ditangga sahaja. Walaupun tidak semua wakil parlimen bersikap demikian, namun sebahagian besarnya begitulah. Mereka datang ke parlimen untuk menunjukkan kejagguhan mereka dalam ‘arena pertandingan menjerit’ dan ‘mencarut’. Kadang-kadang kelihatan langsung tidak ada lagi perasaan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain. Kononnya merekalah jaguh dalam hal perbahasan yang dianggap begitu ‘professional’ dengan tidak menyebut nama tetapi hanya menyebut kawasan yang diwakili.

            Namun begitu apakah terhakis agaknya pandangan masyarakat terhadap wakil rakyat yang mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak harus terkeluar dari seorang pemimpin seperti perkataan ‘bodoh’, ‘bangang’ dan yang paling teruk dan memalukan sudah terkeluar perkataan dan ungkapan seperti ‘go to hell!’ Seolah-olah wakil rakyat kita telah menodai ‘kesucian’ parlimen kita yang dianggap ‘bangunan agung’ di negara ini dimana segala perkara penting yang bersabit dengan kenegaraan dibincangkan.

            Kerapkali ketika  berada di luar negara samada di London atau di Amerika Syarikat, kita betul-betul merasakan kita berada disebuah negara yang berperadaban tinggi apabila memerhatikan cara ahli parlimen mereka berbahas antara satu sama lain. Walaupun ternampak ‘permusuhan’ (dari segi politik) namun apa yang disampaikan oleh mereka mendapat perhatian kedua belah pihak samada pihak kerajaan atau pembangkang.  Ada ketikanya sesuatu cadangan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan ‘tewas’ apabila pengundian dijalankan disebabkan ada wakil kerajaan yang menyokong para pembangkang.

            Keadaan sedemikian nampaknya tidak berlaku di sini. Sesuatu isu yang dibawa ke parlimen akan mendapat sokongan dari ahli Parlimen kerajaan walaupun sesuatu perkara itu boleh diperdebatkan dan tidak perlu diluluskan. Namun disebabkan semangat ‘setiakawan’ yang cukup tinggi yang ditambah dengan ‘minyak pelincir’ yang berbagai-bagai jenama maka pastinya setiap undang-undang yang diinginkan oleh pihak atasan akan mendapat kelulusan seratus peratus.

            Seingat aku parlimen Malaysia tidak sebegitu ‘ragam’nya pada suatu ketika dahulu terutama zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Hussein Onn dan Dr Mahathir Muhammad.  Zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, setiap ahli parlimen diberi kebebasan untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka. Pada ketika itulah muncul tokoh-tokoh seperti Zulkifli Muhammad, DR Seenivasagam, Dr Tan Chee Khoon dan lain-lain. Walaupun mereka berada dipihak pembangkang, namun apa yang disampaikan oleh mereka diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Itulah yang sebenar-benarnya apa yang dinamakan sebagai demokrasi sesebuah negara yang subur.

            Kini apa yang dilihat keadaan sedemikian semacam sudah tidak wujud lagi. Rakyat menunggu zaman kegemilangan seperti yang pernah berlaku pada suatu ketika dahulu. Rakyat hanya mengharapkan agar pertukaran kerajaan pada PRU 14 nanti akan mengembalikan zaman kegemilangan demikian. Harapnya biarlah ‘ sekali air bah sekali pantai berubah’.

            Kepada Allah kita berserah.

abuhassandam
3 April 2018

No comments:

Post a Comment