BOLEHKAH UMNO BERTINDAK SEBAGAI PEMBANGKANG YANG BERKESAN?
Mahu
tak mahu UMNO (BN) telah pun menjadi parti pembangkang. Dan Pakatan Harapan
telah menjadi parti kerajaan. Yang ditakuti kalau-kalau ada wakil rakyat UMNO
yang ‘terlupa’ yang mereka telah bergelar pembangkang. Mungkin juga ‘Tan Sri Speaker’ juga sudah
lupa bahawa beliau juga sudah tidak boleh lagi ‘berlagak’ sebagai ‘tuan’ dalam
parlimen. Mungkin juga beliau terlupa bahawa beliau juga boleh ditegah
meneruskan ucapan sekiranya tidak dibenarkan oleh Speaker yang akan dilantik
oleh Pakatan Harapan nanti.
Terlalu
banyak keadaan yang menyedihkan dan begitu juga terlalu banyak suasana yang
mengembirakan. Yang aku ingin persoalkan ialah tentang kesanggupan wakil rakyat
Barisan Nasional yang akan bertindak sebagai pembangkang. Memanglah mereka
boleh jadi pembangkang. Tetapi yang aku persoalkan ialah samada mereka mampu
menjadi wakil pembangkang yang berkesan.
Tentulah
parlimen yang akan terbentuk selepas ini bukan lagi parlimen yang semacam tidak
‘berperadababan’ sepertimana yang telah menjadi amalan perbincangan parlimen
zaman ‘dahulu kala’. Maksud ‘dahulu kala’ ialah zaman pemerintahan kerajaan
Barisan Nasional sebelum ini. Tentu ramai yang masih ‘ternampak’ bagaimana ahli
parlimen ‘beraksi’ ketika menyampaikan hujah-hujah mereka yang diselang selikan
dengan ‘carut-capai’ seolah-olah mereka berada dalam zaman ‘Neolitik’. Tentu
ramai yang masih ingat bagaimana ahli parlimen BN begitu angkuh seolah-olah
memperkecilkan kemampuan ahli pembangkang (ketika itu). Mereka agak ‘angkuh’
disebabkan mereka merasakan bahawa pihak tertentu menyebelahi mereka. Lantas
mereka merasakan bahawa mereka sebagai ‘king’ apatah lagi ‘falsafah’ yang
diamalkan pada ketika itu ialah ‘cash is king’.
Kini
giliran ahli parlimen BN pula menjadi pembangkang. Persoalannya ialah dapatkah
mereka mengeluarkan hujah-hujah yang bernas memperbahaskan sesuatu isu
sekiranya mereka sudah lama tidak ‘memegang’ buku yang boleh membantu mereka
mengukuhkan hujah yang diberi. Mereka sudah ‘hidup’ dalam zon selesa untuk buat
beberapa ketika yang kehidupan mereka dalam keadaan yang begitu mewah ‘disumbat
dengan dedak-dedak yang bertaburan’.
Mungkin
Tun Mahathir akan mengambil satu langkah yang drastik dengan membuat persidangan
parlimen dibuat secara ‘LIVE’ sebagaimana yang berlaku pada parlimen British
atau Amerika Syarikat. Aku rasakan sudah sampai masanya Parlimen Malaysia
bertindak sedemikian mendahului persidangan parlimen dari negara-negar lain di
Asia. Dengan berbuat demikian memungkinkan kita bergerak selangkah kehadapan
untuk memastikan setiap ahli parlimen kita membuat persiapan yang cukup sebelum
melangkah ke parlimen untuk berhujah.
Tidak
keterlaluan rasanya jikalau aku katakan bahawa rakyat Malaysia begitu sangsi
dengan kemampuan wakil rakyat BN untuk beraksi di parlimen kita disebabkan
sudah begitu lama berada di zon selesa. Telah kita perhatikan bahawa
seolah-olah peranan ahli parlimen (BN) sebelum ini hanya untuk ‘mengangkat
tangan’ meluluskan sesuatu undang-undang. Dan tidak lebih dari itu. Sekiranya
diajak berhujah oleh wakil rakyat pembangkang ( pada ketika itu) maka akan
kedengaranlah jeritan dan carut mencarut dari pihak BN. Dan kadang-kadang
rakyat merasa tidak puas hati dengan kelulusan sesuatu rang undang-undang yang
tidak dibahaskan secara ilmiah.
Mungkinkah
keadaan yang sedemikian akan berulang pada persidangan parlimen akan datang.
Aku yakin bahawa keadaan sedemikian tidak berulang. Yang pastinya Perdana
Menteri akan sentiasa berhujah dan mempertahankan sesuatu tindakan di parlimen
dan bukan ‘lari’ dari tanggungjawab sedemikian. Dan sekirannga Saudara Anwar Ibrahim
(Insyallah akan terjadi sedemikian) berada di Parlimen, maka tentunya parlimen
Malaysia akan menjadi lebih menarik dan berkesan.
Mampukah
wakil Parlimen BN menjadi pembangkang yang berkesan? Sama-sama kita tunggu.
abuhassanadam
12 Mei 2018