Friday, April 30, 2021

 UPSR - MARAHKAN 'NYAMUK' MENGAPA 'KELAMBU' DIBAKAR?

Sememangnya keputusan memansuhkan UPSR boleh dianggap sebagai satu tindakan yang tergesa-gesa. Itu pandangan yang diutarakan oleh DS Anwar Ibrahim yang merupakan sebagai ketua pembangkang tetapi pernah berpengalaman luas dalam merencanakan pendidikan negara pada suatu ketika dahulu.

Beliau juga mempersoalkan tentang apakah keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu sudah difikirkan dan tindakan terbabit telah mengambil kira kesan jangka panjang dan jangka pendek. Menurutnya, setiap keputusan melibatkan dasar utama dalam kementerian berkenaan mesti dibahaskan di banyak peringkat.

"Ini bukan soal menteri dan beberapa orang pakar, mesti tanya ibu bapa, guru-guru, pakar-pakar pendidikan dalam pelbagai bidang dan selalunya dibahaskan secara lebih terbuka, kemudian ambil keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Aplikasi Tuisyen Percuma Port Dickson di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, dekat sini pada Khamis.

Memang betul apa yang disuarakan oleh beliau dan itulah merupakan tindakan yang beliau lakukan ketika menerajui Kementerian Pendidikan pada suatu ketika dahulu khususnya sesuatu tindakan yang berkaitan dengan dasar baru yang hendak dikemukakan kepada umum. Masih segar dalam ingatan bahawa akulah yang ditugaskan untuk memanggil tokoh-tokoh yang mahir dalam dalam lapangan pendidikan negara untuk memberikan pencerahan kepada beliau tentang apakah tindakan yang hendak dilakukan. Akulah orangnya (ketika itu sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan ) yang akan berusaha untuk menjemput segala tokoh-tokoh berkenaan ke suatu mesyuarat di Pusat Bandar Damansara pada ketika itu.

Pada ketika itu sumber maklumat yang paling penting yang boleh menasihati Menteri Pendidikan yang berkaitan dengan dasar-dasar baru yang hendak diperkenalkan ialah pemimpin Kesatuan/ Persatuan Guru-Guru. Aku masih ingat tentang sumbangan yang amat bererti diberikan oleh tokoh-tokoh seperti Cikgu ( Dato') Nordin Mahmud dan Cikgu Kassim Muhammad ( dari Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat), Dato Siva Subramaniam dan Cikgu Nalathamby ( dari National Union Teaching Profession (NUTP), Tuan Haji Muhammmad Mustafa, Cikgu Kassim Harun ( dari Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab Perguruan) dan lain-lain. 

Melalui perbincangan yang diadakan secara ikhlas dan jujur, mereka telah memberikan input dan maklumat yang sangat berguna kepada Menteri Pendidikan. Dan yang paling penting ialah mereka akan menjadi tokoh dihadapan mempertahankan apa juga dasar yang hendak dilaksanakan pada ketika itu. Dan yang pastinya tidak akan ada ibu bapa yang berani menyanggah apa sahaja yang diperkenalkan disebabkan sudah dihazam dan dibincangkan semasak-masaknya sebelum di'hidangkan'. Itulah hebatnya Menteri Pendidikan pada waktu itu.

Banyak kali perbincangan sedemikian yang melibatkan tokoh-tokoh dari kesatuan'persatuan guru diadakan pada bulan Ramadhan. Satu perkara yang unik dan 'berani' yang dilakukan oleh DS Anwar Ibrahim pada ketika itu ialah menjemput tokoh-tokoh pemimpin kesatuan guru (yang bukan beragama Islam) untuk sama-sama berbuka puasa di rumahnya di Bukit Damansara selepas mesyauarat diadakan sebelah petangnya. Dan para pemimpin guru dengan penuh rela datang , Disitulah wujudnya keikraban yag amat kuat dan hubungan yang begitu bermakna antara Menteri Pendidikan dengan para guru. Bak kata peribahasa seperti aur dengan tebing.

Kini tidak begitu kedengaran hubungan rapat sedemikian antara pihak pembuat dasar di Kementerian dengan para guru. Seolah-olah para pemimpin kesatuan guru-guru diketepikan dan pandangan mereka tidak diendahkan sedangkan merekalah yang sebenarnya yang boleh membantu memberikan pandanagan yang bernas tentang sesuatu tindakan yang akan dilakukan kerana merekalah yang berada di medan hadapan dan yang menjalankan 'pertempuran'

Sudahkah pihak Menteri Pendidikan kini menghubungi para pemimpin kesatuan guru untuk bertanyakan tentang wajar tidaknya UPSR dimansuhkan. Apakah pihak Menteri Pendidikan hanya mengharapkan dan bertumpu kepada nasihat para pegawai di Kementerian Pendidikan di Putrajaya semata-mata untuk mewajarkan keputusan yang dibuat. Tidak terlalu lewat rasanya bagi Menteri Pendidikan melakukan sesuatu yang 'luar biasa' demi menyelamatkan satu keutusan yang boleh memberi manfaat kepada bangsa dan negara.

Didoakan berjaya.

abuhassanadam

Padang Rengas,

30 April 2021




Thursday, April 29, 2021

 

SEKETUL  ICE DI BULAN RAMADHAN

Kata Peter Drucker dalam bukunya, "Post Capitalist Society', " Every few hundred years in Western history there occurs a sharp transformation. We cross what in an earlier book (The new Realities) I called a 'divide'. Within a few short decades, societies rearranges itself - its world view, its basic valued, its social and political structure, its arts: its key institutions. Fifty years later there is a new world. And the people born then cannot even imagine the world in which their grandparents lived and into which their own parents were born'

Kenyataan ringkas itu yang menyebabkan aku terpanggil untuk melakarkan coretan yang aku merasakan sangat berguna dan bermakna dan akan merupakan satu kerugian besar sekiranya tidak diabadikan. Tentulah apa yang akan aku lukiskan di halaman ini merupakan  isu yang jauh dari apa yang dibincangkan oleh Peter Drucker. Dia membincangkan tentang 'transformation' dalam berbagai  bentuk dan aku hanya membincangkan tentang 'seketul ice di bulan Ramadhan'.

Anak-anak zaman ini tentu tidak dapat mengerti tentang apa pentingnya seketul ice pada bulan Ramadhan itu. Memang tidak nampak kepentingannya tetapi 'penjual ice ketul' akan muncul di kampung-kampung hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Akan berkeliaranlah penjual ice di merata kampung pada waktu petang tatkala menunggu waktu berbuka puasa.

Tentulah timbul lagi persoalan mengapa jadi begitu?

Begitulah keadaannya suasana pada bulan Ramadhan di kampung-kampung pada ketika itu. Tidak seperti keadaan kini dimana ice boleh didapati dari peti sejuk yang berada di rumah, namun pada ketika itu tidak seorang pun ( di kampung  aku' yang mampu memiliki peti sejuk. Jikalaupun ada yang termampu maka belum ada lagi kuasa eletrik yang masuk ke kampung aku.

Biar aku ceritakan latarbelakang kampung aku dan suasana yang menyelubungi Ramadhan pada ketika itu. Kampung Ekor Dusun namanya. Pada ketika itu hanya terdapat lebih kurang tiga puluh keluarga disitu. Semuanya 'berbau bacang'. Maknanya kaum keluarga, kait mengait antara satu dengan yang lain. Kenal mengenali antara satu dengan yang lain. Harmoni sungguh kehidupan pada ketika itu. Seronok sangat rasanya dan teringin benar untuk kembali pada zaman itu.

Sebuah surau di kampung itu ( kini surau itu dah tidak ada lagi) memainkan peranan yang cukup besar dalam menyatu dan memeriahkan suasana di kampung ku. Terletak berhampiran dengan sawah padi di kampung ku. Dan pada waktu2 padi menguning maka ramailah yang 'bersidai' di bawah surau itu disamping menikmati angin petang yang bertiup kencang dari Gunung Pondok.

Berhampiran dengan surau Ekor Dusun itu pula terdapat 'swimming pool' yang boleh dimanfaat oleh kanak-kanak di kampung ini untuk belajar berenang. Aku juga mendapat manfaat dari 'swimming pool' ini. Dari situlah akau belajar berenang - kuak lentang ke kuak tiarap ke. Hanyalah tali air yang diempang dan di sekat untuk mengalirkan air ke sawah padi. Itulah 'swimming pool' kami anak kampung.

Dari surau Ekor Dusun terdapat sebatang jalan ( bukan jalan raya!!), jalan basikal untuk menuju ke pekan kecil Padang Rengas yang jauhnya lebih kurang dua kilometer. Inilah jalan yang digunakan oleh penduduk kampung pada ketika itu untuk pergi balik ke Padang Rengas disamping untuk mendapatkan keperluan barangan harian.

Sedikit latarbelakang tentang apa yang aku akan ceritakan nanti.

Suasana penceritaannya tentulah pada tahun-tahun 1950an dimana sudah tidak ramai lagi yang masih ada di dunia ini. Sekurang-kurangnya aku akan mneceritakan apa yang berlaku pada ketika itu supaya dapat diketahui dan diselami oleh anak-anak kini tentang kehidupan di zaman itu.

Tunggulah...

abuhassanadam

29 April 2021

Nuzulquraan