Friday, April 30, 2021

 UPSR - MARAHKAN 'NYAMUK' MENGAPA 'KELAMBU' DIBAKAR?

Sememangnya keputusan memansuhkan UPSR boleh dianggap sebagai satu tindakan yang tergesa-gesa. Itu pandangan yang diutarakan oleh DS Anwar Ibrahim yang merupakan sebagai ketua pembangkang tetapi pernah berpengalaman luas dalam merencanakan pendidikan negara pada suatu ketika dahulu.

Beliau juga mempersoalkan tentang apakah keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu sudah difikirkan dan tindakan terbabit telah mengambil kira kesan jangka panjang dan jangka pendek. Menurutnya, setiap keputusan melibatkan dasar utama dalam kementerian berkenaan mesti dibahaskan di banyak peringkat.

"Ini bukan soal menteri dan beberapa orang pakar, mesti tanya ibu bapa, guru-guru, pakar-pakar pendidikan dalam pelbagai bidang dan selalunya dibahaskan secara lebih terbuka, kemudian ambil keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Aplikasi Tuisyen Percuma Port Dickson di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, dekat sini pada Khamis.

Memang betul apa yang disuarakan oleh beliau dan itulah merupakan tindakan yang beliau lakukan ketika menerajui Kementerian Pendidikan pada suatu ketika dahulu khususnya sesuatu tindakan yang berkaitan dengan dasar baru yang hendak dikemukakan kepada umum. Masih segar dalam ingatan bahawa akulah yang ditugaskan untuk memanggil tokoh-tokoh yang mahir dalam dalam lapangan pendidikan negara untuk memberikan pencerahan kepada beliau tentang apakah tindakan yang hendak dilakukan. Akulah orangnya (ketika itu sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan ) yang akan berusaha untuk menjemput segala tokoh-tokoh berkenaan ke suatu mesyuarat di Pusat Bandar Damansara pada ketika itu.

Pada ketika itu sumber maklumat yang paling penting yang boleh menasihati Menteri Pendidikan yang berkaitan dengan dasar-dasar baru yang hendak diperkenalkan ialah pemimpin Kesatuan/ Persatuan Guru-Guru. Aku masih ingat tentang sumbangan yang amat bererti diberikan oleh tokoh-tokoh seperti Cikgu ( Dato') Nordin Mahmud dan Cikgu Kassim Muhammad ( dari Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat), Dato Siva Subramaniam dan Cikgu Nalathamby ( dari National Union Teaching Profession (NUTP), Tuan Haji Muhammmad Mustafa, Cikgu Kassim Harun ( dari Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab Perguruan) dan lain-lain. 

Melalui perbincangan yang diadakan secara ikhlas dan jujur, mereka telah memberikan input dan maklumat yang sangat berguna kepada Menteri Pendidikan. Dan yang paling penting ialah mereka akan menjadi tokoh dihadapan mempertahankan apa juga dasar yang hendak dilaksanakan pada ketika itu. Dan yang pastinya tidak akan ada ibu bapa yang berani menyanggah apa sahaja yang diperkenalkan disebabkan sudah dihazam dan dibincangkan semasak-masaknya sebelum di'hidangkan'. Itulah hebatnya Menteri Pendidikan pada waktu itu.

Banyak kali perbincangan sedemikian yang melibatkan tokoh-tokoh dari kesatuan'persatuan guru diadakan pada bulan Ramadhan. Satu perkara yang unik dan 'berani' yang dilakukan oleh DS Anwar Ibrahim pada ketika itu ialah menjemput tokoh-tokoh pemimpin kesatuan guru (yang bukan beragama Islam) untuk sama-sama berbuka puasa di rumahnya di Bukit Damansara selepas mesyauarat diadakan sebelah petangnya. Dan para pemimpin guru dengan penuh rela datang , Disitulah wujudnya keikraban yag amat kuat dan hubungan yang begitu bermakna antara Menteri Pendidikan dengan para guru. Bak kata peribahasa seperti aur dengan tebing.

Kini tidak begitu kedengaran hubungan rapat sedemikian antara pihak pembuat dasar di Kementerian dengan para guru. Seolah-olah para pemimpin kesatuan guru-guru diketepikan dan pandangan mereka tidak diendahkan sedangkan merekalah yang sebenarnya yang boleh membantu memberikan pandanagan yang bernas tentang sesuatu tindakan yang akan dilakukan kerana merekalah yang berada di medan hadapan dan yang menjalankan 'pertempuran'

Sudahkah pihak Menteri Pendidikan kini menghubungi para pemimpin kesatuan guru untuk bertanyakan tentang wajar tidaknya UPSR dimansuhkan. Apakah pihak Menteri Pendidikan hanya mengharapkan dan bertumpu kepada nasihat para pegawai di Kementerian Pendidikan di Putrajaya semata-mata untuk mewajarkan keputusan yang dibuat. Tidak terlalu lewat rasanya bagi Menteri Pendidikan melakukan sesuatu yang 'luar biasa' demi menyelamatkan satu keutusan yang boleh memberi manfaat kepada bangsa dan negara.

Didoakan berjaya.

abuhassanadam

Padang Rengas,

30 April 2021




No comments:

Post a Comment