Saturday, May 1, 2021

 SEBUAH KEDAI MELAYU DI PADANG RENGAS

Tahun 1955 hanya terdapat sebuah kedai runcit milik Melayu di pekan Padang Rengas. Dan pada Kurun ke 21 tidak lagi terdapat sebuah kedai milik Melayu di pekan ini. Jangan tanya aku mengapa begitu keadaannya. Cuma yang aku selalu dengar ialah sungutan, kebebalan orang kampung aku tentang ketiadaan orang Melayu yang melibatkan diri dalam perniagaan di sini. Masing-masing menyalah dan menuding jari kearah satu dengan yang lain. Begitulah keadaannya. Semenjak zaman menuntut kemerdekaan ( tahun 1955) sehinggalah tahun 2021, puluhan tahun selepas kemerdekaan.

Tuan punya kedai runcit di pekan Padang Rengas tu namanya Pak Mail ( Ismail lah tu). Sebelah kedai Moh Kaw ( kedai Cina ler tu). Kini dah tidak ada lagi. Kedai Pak Mail pun tidak ada, kedai Moh Kaw pun tidak ada. 'Meghacun!' kata orang Perak.

Yang aku ingat dan segar dalam ingatan aku ialah arwah bapak ( Pak Adam) sentiasa menyantuni dan sentiasa berusaha untuk memakmurkan kedai Pak Mail. Barangan keperluan rumah sentiasa dibeli di kedai Pak Mail. Tidak pula dinyatakan bahawa dia mahu menolong dan memakmurkan perniagaan orang Melayu. Tak pernah aku dengar dia kata begitu. Cuma dia menyuruh aku membeli belah di kedai pak Mail saja sekiranya memerlukan sesuatu.

Tak ramai orang Melayu di kawasan Padang Rengas yang 'berusaha' untuk memajukan perniagaan Pak Mail. Dan kedai Pak Mail pun semacam hidup segan mati tak mahu. Tidak mendapat sokongan dari orang Melayu di kawasan Padang Rengas ini sedangkan penduduk di kawasan ini adalah majoriti orang Melayu. Aku tak tahu apa sebabnya jadi begitu. Orang Melayu tak mahu memajukan perniagaan bangsanya sendiri. Sehingga kini masih begitu keadaannya. Aku pun hairan dan tidak ada jawapan.

Sebelah kedai Pak Mail tu ialah kedai milik Moh Kaw. Hampir keseluruhan orang Melayu di kawasan Padang Rengas ini tertumpu ke kedai Moh Kaw. Ini termasuklah arwah Mak yang pastinya mengunjungi kedai Moh Kaw sekiranya dia ke pekan Padang Rengas. Moh Kaw tu kawan lama dia, katanya. Kawan dari kecil. Sememangnya arwah emak dengan Moh Kaw sememangnya rapat. Malah Moh Kaw dan aku dan adik aku juga begitu rapat dengan dia.

Kononnya ada satu jalinan cerita yang panjang bagaimana terjalinnya hubungan persahabatan yang rapat antara Moh Kaw dengan arwah emak. Diceritakan oleh arwah emak bahawa keluarga Moh Kaw (Ah Soon - bapak Moh Kaw) pernah tinggal di kampung, menumpang tanah atuk aku sebelum mereka berpindah ke New Village (kawasan petempatan) di Padang Rengas. Jadi memanglah berkawan rapat semenjak dari kecil sehinggalah sama-sama menempuh zaman tuanya. Dengan sebab itulah persahabatan arwah emak dengan Moh Kaw begitu rapat sekali. Macam adik beradik. Amat menghairankan aku!

Semangat perpaduan Melayu/Cina/ India bukan sahaja tumbuh dengan subur di Padang Rengas tetapi di kebanyakan tempat lain pun begitu juga. Cuma yang akan aku sentuh ialah Padang Rengas yang amat dekat dengan hati dan perasaan aku ia itu tempat kelahiran aku. Maka dengan demikian denyut nadi yang 'berdenyut' di Padang Rengas dapat aku rasakan. Dan yang menyebabkan aku terpanggil untuk menulis tentang hal perkauman ialah terasa 'jijik'nya aku apabila melihat sesorang yang memperkatakan tentang perpaduan bangsa di Malaysia secara negatif, apatah lagi sekiranya seorang itu terdiri dari golongan yang dianggap berpengetahuan .

Perpaduan kaum di Malaysia adalah merupakan isu yang berpanjangan dan berterusan. Isu ini juga digunakan oleh ahli politik untuk memancing undi terutamanya apabila menjelangnya musim pilihanraya. Dan selepas pemilihan akan diwujudkan pula suasana damai, sedamai-damainya perpaduan Melayu/Cina/India itu. Dan trend sedemikian juga diterima ramai. Itulah namanya masyarakat Malaysia yang mampu hidup secara aman dan damai di tanah bertuah ini.

Sebenarnya aku merasa amat hairan tentang mengapa tidak terdapat satu perniagaan orang Melayu di pekan Padang Rengas. Aku bukan mahu menyentuh soal perkauman. Dan aku juga yakin bahawa kaum Cina dan India di kawasan ini juga hairan mengapa tidak terdapat walau sebuah kedai Melayu di pekan ini sedangkan pembelinya rata-rata orang Melayu. Bukan tidak ada ditubuhkan kedai Melayu di sini. Ada. Tetapi tak tahan lama. Satu ketika dulu, zaman sebelum merdeka ( sebelum 1957) ada kedai membeli getah milik Watan &Co milik Pak Sidun. Kemudian ada juga kedai beli getah milik Tuan Haji Abdul Rahman. Dan kedai runcit hanya ada sebuah iaitu milik Pak Mail. Kini setelah negara mencapai kemerdekaan tidak ada lagi walau sebuah kedai pun milik Melayu di Padang Rengas. Mengapa jadi begitu.

Tak tahu aku nak memberikan jawapannya...

abuhassanadam

Padang Rengas

1 Mei 2021

No comments:

Post a Comment