Thursday, May 6, 2021

 AZAN ENCIK KONTAK

Apabila masuk waktu Isyak, maka Encik Kontak pun mengalunkan azannya. Nama sebenar Encik Kontak ialah Abdul Rahman tetapi semua orang kampung mengenalinya  dengan panggilan Encik Kontak. Dia bukan sahaja 'tukang azan' di surau Kampung Ekor Dusun tetapi semacam pemimpin kecil tempat orang 'menumpang kasih' disamping sebagai 'pusat pengaduan' sekiranya ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Dan beliau pula dengan rela hati mahu menolong.

Encik Kontak berperanan sebagai tukang azan bukan sahaja di surau Kampung Ekor Dusun sahaja tetapi ketika solat Jumaat, Encik Kontak juga 'tukang azan' di masjid Kampung Keroh Hilir. Maknanya memang hebatlah alunan suara Encik Kontak dalam mengalunkan azan. Ibarat macam suara Bilal pada zaman Rasullallah. Agaknya begitu ler.

Apabila sudah kedengaran alunan suara Encik Kontak mengalunkan azan maka kami (kanak-kanak tahun 1950an) berhenti main kejaran disekitar surau Kampung Ekor Dusun dan bersedia pula untuk menunaikan solat Isyak dan seterusnya Solat Terawikh. Kadang-kadang terfikir juga aku bahawa apakah benar hasrat dan tujuan kami ketika itu, ia itu antara untuk mendapat pahala solat Isyak dan Terawikh ataupun mengharapkan jamuan kuih muih selepas solat terawikh. Sejujurnya aku katakan bahawa kebanyakan kami lebih mengharap kepada jamuan More yang disediakan selepas solat terawikh. Biasalah, kanak-kanak...

Hampir semua (yang bertaraf) kanak-kanak di Kampung Ekor Dusun hadir menunaikan solat terawikh disamping ibu bapa kami yang juga turut serta. Jadi riuh rendahlah surau Ekor Dusun pada bulan Ramdan dan tentu sekali berbeza dengan malam-malam lain yang bukan bulan Ramdan. Seolah-olah surau kampung kami hanya dipenuhi pada bulan Ramdan dan kesunyian pada malam yang lain. Nampaknya semacam begitu. Kini surau itu sudah tidak ada lagi. Hanya tinggal kenangan.

Kedudukan surau Kampung Ekor Dusun memang strategik. Maksud aku amat sesuai sebagai tempat untuk mencari ketenangan. Mungkin bagi orang muda kini sesuai dilabelkann sebagai sesuai untuk tempat melepak. Apa tidaknya. Terletak berhampiran sungai yang airnya sentiasa jernih mengalir deras, di pinggiran sawah padi yang luas mata memandang berlatarbelakangkan Gunung Pondok yang berdiri megah menghijau. Di seberang Kampung Ekor Dusun ialah Kampung Pulau yang selalu disebut sebagai Hawaii. Yang memisahkan antara Kampung Ekor Dusun dengan Kampung Pulau ialah sawah padi yang terbentang luas.

Bayangkan lah suasana petang ketika matahari hampir terbenam sambil melemparkan pandangan ke arah sawah padi yang sedang menguning disapa oleh angin sepoi-sepoi bahasa. Tidak dapat aku ulangi suasana sedemikian walaupun berada di pantai di Hawaii ataupun di Bali ataupun di mana-mana sahaja di dunia ini. Kampung Ekor Dusun tetap unggul.

Indahnya kampung ku.

abuhassanadam

Padang Rengas,

6 Mei 2021



No comments:

Post a Comment