Monday, May 10, 2021

 MENYAMBUT AIDILFITRI DI RANTAU KRISTIAN

Masih terbayang difikiranku pada tahun 1995, aku menyambut Aidilfitri di London, sebuah negara yang kebanyakan penduduknya beragama Kristian. Bukan setahun aku dan keluarga aku menyambut Aidilfitri di negara Kristian tetapi selama empat tahun aku terpaksa 'mengorbankan' perayaan Aidilfitri di negara orang.

Kebetulan pada malam itu salji turun dengan lebatnya. Sengaja aku duduk di tepi jendela di rumah aku No 17, Prothero Garden, Hendon, London, semata-mata untuk menikmati suasana Aidilfitri di kampung ku yang jauh dimata, membayangkan tentang malam yang dirayakan ibu bapa dan sanak saudaraku walaupun ketiadaan aku dan keluarga ku. Tentulah timbul kehampaan yang amat sangat yang dirasakan oleh ibu bapaku menyambut Aidilfitri dengan ketiadaan cucu-cucu tercinta. Aku dapat rasakan perasaan yang dirasakan oleh ibu bapaku.

Salji terus turun dengan lebatnya - bercucuran seolah-olah semacam mengiringi air mataku yang sedang mengalir tanpa ditahan dan disekat. Aku hanya seorang dalam bilik berkenaan tanpa ditemani isteri atau anak-anak tercinta. Sengaja aku berbuat begitu demi untuk aku merasakan suasana Aidilfitri yang penuh syahdu. Hanya air mata yang dapat 'mengerti' betapa sedihnya menghadapi Aidilfitri di rantau orang. Tidak dapat dibandingkan persamaan Aidilfitri di rantau orang dengan aidilfitri yang dirayakan di kampung sendiri.

Memang indah suasana malam diselimuti salji tetapi bagi aku tidak seperti suasana malam di kampungku ketika menjelangnya Aidilfitri.Memang terang-benderang suasana malam di Kampung Ekor Dusun ( kampungku) pada malam Aidilfitri, diterangi pelita panjut yang hampir setiap rumah memasang pelita berkenaan. Dan aku bayangkan pelita panjut yang dibuat dengan susunan tempurung tentunya hampir habis terbakar ketika menjelangnya pukul 3.00 atau 4 .00 subuh. Dan aku dapat meramalkan bahawa sekiranya 'panjut tempurung' itu dinyalakan pada pukul 8.00 malam, pastinya akan habis terbakar pada pukul 3.00 subuh. Dan gelaplah semula kampung Ekor Dusun kerana tidak ada lampu letrik yang meneranginya pada waktu tiu. Gelap gelita kampungku namun bagi aku itulah keindahan yang tidak tolak bandingnya.

Mungkin ramai penduduk kampung aku yang menghabiskan malam ini dengan berbagai kegiatan seolah-olah tidak mahu 'pergi'nya malam Aidilfitri dengan begitu sia-sia. Tidak banyak hari-hari dalam kehidupan penduduk desa yang boleh dianggap sebagai hari bergembira. Hari raya adalah satu-satunya hari yang tidak harus 'dilepaskan' begitu saja. Ada juga yang melakukan pembakaran lemang satu hari sebelum raya kerana tidak pasti bilakah Hari Raya akan tiba. Ramai juga yang memasak ketupat dan memasak rendang ayam kampung (kerana hapir seluruh penduduk kampung ku membela ayam kampung).

Aku masih 'berpaut' dijendela rumah ku melemparkan pandangan ke arah salji yang terus turun dengan lebatnya. Ini merupakan salah satu kegemaran aku ia itu melihat salji turun, apatah lagi apbila salji turun pada malam menyambut Aidilfitri. Aku dapat bayangkan juga tentang sanak saudaraku, Pak Ngah Said, Encik Yusuf dan Che Wa, Mak Cik Jah yang aku rasa masih mahu terus berada di rumah ku, bersembang sambil 'menemani' emak aku masak rendang ayam kampung yang diadun dengan santan kelapa yang dikait sebelah reban ayam di rumah ku. Memang tak boleh 'lawan' lemaknya.

Anak-anak ku pastinya rindu kepada Atuk dan Opah mereka tetapi aku pasti bahawa kerinduan mereka tentunya berbeda dengan kerinduan yang aku alami. Mereka tetap merindui sanak saudara dan sepupu mereka, tetapi tidak seperti aku yang merindui Mak Cik Lamah, Makcik Munah, Chu Mi dll. Aku tidak pula menyalah mereka (anak-anak ku) kerana mereka sudah biasa dengan Aidilfitri di negara orang.  Mereka pernah beraya di San Francisco, USA ( ketika aku menuntut di Stanford University, Palo Alto) pada tahun 1986-1987 dan pada tahun 1995-1998 beraya di London. Mereka tetap merayakan tetapi aku yakin bahawa 'penghayatan' mereka pasti berbeza. Mungkin. 

Aku amat simpati dengan mereka yang tidak dapat merayakan Aidilfitri di kampung bersama ibu bapa dan sanak saudara. Aku amat faham dengan perasaan yang 'dideritai' oleh mereka. Aku amat simpat dengan anak-anak yang merindui kasih dan belaian ibu, 'peluk-cium' opah dan nenek yang sudah sekian lama tidak mendakap cucu. Segala 'kerinduan' itu harapnya dapat diubati dengan kesabaran. Moga-moga sentiasa sabar selalu demi untuk menyelamatkan negara dari Covid 19.

abuhassanadam

Padang Rengas

10 Mei 2021

No comments:

Post a Comment