Sunday, May 2, 2021

 

SEPETANG DI BULAN RAMDHAN

Aku kerap bertanya pada diri aku tentang apa sebenarnay yang menyebabkan rasa gembira yang amat sangat ketika menjelangnya Ramdhan atau bulan berpuasa. Hati dan perasaan ini melonjak gembira walaupun perut dalam kelaparan ketika menjelangnya bulan Ramadhan. Itulah perasaan yang amat sukar untuk digambarkan oleh sesiapa sahaja, anak kampung terutamanya pada bulan puasa.

Apakah yang sebenarnya yang menukarkan suasana sebelum Ramadhan dan selepas berada di bulan Ramadhan? Terlalu sukar untuk dimengertikan oleh sesiapa sahaja yang bukan anak kampung atau yang 'bergelumang' dengan suasana kampung. Amat sukar untuk dihayati dan dimengerti. Yang aku dapat rasakan ialah bahawa sekiranya keadaan yang telah dilalui itu dapat 'dikembalikan' maka pastinya 'dialu-alukan'. Namun tentulah keadaan sedemikian tidak akan dapat berulang.

Suasana kampung yang akan aku bayangkan ialah disekitar tahun 1955. Belum Merdeka. Maknanya suasana kampung yang akan aku ceritakan ialah ketika aku masih kanak-kanak.- berumur 11 tahun. Belum ada letrik untuk menerangi kampung aku. Kampun Ekor Dusun. Belum ada air paip masuk ke rumah. Hampir seluruh penduduk kampung mendapatkan bekalan air dari perigi ataupun dari air sungai yang mengalir (kebetulan ketika itu air sungai yang mengalir agak bersih dan tidak seperti air sungai kini). Tidak ada jalan raya untuk menghubungkan kampung Ekor Dusun dengan pekan Padang Rengas. Yang ada hanyalah jalan (pejalan kaki) dan hanya untuk muat untuk sebuah basikal.

Pusat tumpuan penduduk lelaki di Ekor Dusun pada bulan puasa ialah surau Ekor Dusun. Memang strategik kedudukan surau berkenaan. Kini sudah tidak ada lagi surau berkenaan. Terletak ditepian sungai yang mengalir dan boleh menghalakan pandangan ke arah sawah padi sekiranya berada di surau berkenaan. Tidak dapat aku bayangkan nikmat yang dapat dirasakan sekiranya berada di surau berkenaan pada waktu petang sambil menghirup udara dan melemparkan pandangan ke sawah padi yang sedang menguning, berlatarbelakangkan Gunung Pondok yang tersergam indah ( sebelum dirobohkan oleh kilang simen).

Ada dua perkara yang pada anggapan aku yang menyebabkan tercetusnya suasana yang sungguh kelainan dengan hari-hari biasa yang bukan bulan puasa. Adanya penjual air batu yang menjual air batu, kegiatan menghantar dan bertukar kuih-muhi dari rumah ke rumah, waktu berbuka puasa di surau disamping melakukan sunat Terawikh di surau. Bagi aku, sekiranya ada pilihan untuk menentukan yang mana 'johan' yang menyebabkan berubahnya suasana bulan Ramadhan, maka aku akan pastikan 'penjual air batu' menjadi 'johan'. Tempat kedua mungkin jatuh kepada ' kegiatan bertukar-tukar kuih muih.

Kegiatan penjual air batu yang berjual pada waktu petang pada bulan Ramadhan sudah tidak ada lagi. Pastinya sudah tidak dapat dinikmati suasana demikian oleh kanak-kanak zaman ini. Maklumlah hampir setiap rumah sudah memiliki peti sejuk yang tidak perlu mendapatkan ketul air batu  (yang berbalut dengan serbuk kayu untuk mengelakkan hakisan) dari penjual batu. Dan tentulah suasana sedemikian sudah tidak dapat dinikmti lagi.

Satu jam sebelum berbuka puasa akan dapat dilihat kegiatan 'bertukar kuih' dari rumah ke rumah. Itu merupakan amalan yang amat murni yang mungkin sudah tidak diamalkan lagi kini disebabkan berbagai faktor. Dan yang aku pasti ialah kegiatan sedemikian tidak diamalkan di bandar-bandar. Aku masih ingat lagi aku ditugaskan untuk menghantar kuih-muih ke rumah-rumah yang berdekatan - rumah Makcik Jah, rumah Wan Timah, Wan Meriam...Dan kebiasaannya bekas yang dipulangkan nanti tidak kosong dan pasti akan berisi juga. Dengan demikian berbagai juadah yang dapat dinikmati apabila berbuka nanti. Murninya budi bahasa orang kampung ku. Dan kampung lain juga begitu agaknya.

Pukul 6.00 petang sudah kelihatan tumpuan penduduk di kampung Ekor Dusun ke surau untuk berbuka puasa secara beramai-ramai. Juadah yang disediakan tidaklah semewah mana. Bubur lambuk (atau kanji istilahnya di kampung aku) dimakan dengan 'Pencuk' ( Kerabu). Biasanya pencuk ialah kerabu pucuk paku atau taugeh. Disertakan juga dua butir buah kurma setiap seorang dan segelas air serbat ( manisan). Itulah juadah berbuka puasa pada ketika itu. Yang menghairankan suasana sedemikian amat menyeronokan.

Kami akan terus berada di sekitar surau sehinggalah masuk waktu Isyak dan seterusnya menunaikan solah Terawikh. Antara waktu selepas berbuka puasa dengan solat Terawikh, kami isi dengan kegiatan 'bermain-main kejaran' dalam suasana yang separuh kelam ( ketiadaan lampu). Hanya pada malam bulan punama yang kami dapat menikmati suasana terang yang bertemankan cahaya bula. Seronoknya anak-anak kampung seperti aku menimati cahaya bulan yang terang benderang.

Melonjak rasa hati untuk kembali ke zaman keriangan berkenaan....Apakan daya!!

abuhassanadam

Padang Rengas

2 Mei 2021

No comments:

Post a Comment