Sunday, May 16, 2021

 ANTARA GURU KINI DAN GURU ZAMAN DULU


Jikalau ditanya anak-anak Melayu zaman penjajahan tentang apakah pekerjaan yang dipilihnya jika besar nanti, maka jawapan yang pasti terkeluar dari mulut mereka ialah untuk menjadi seorang guru. Mengapa begitu. Jawabnya ialah disebabkan hanya jawatan seorang guru yang sentiasa diperhatikan oleh ibu bapa ketika itu. Pakaian seorang guru kelihatan bersih dan bekerja hanya lima hari seminggu dan sebulan bercuti dalam bulan Ramadan. ( Pada zaman penjajahan, sebelum merdeka sekolah Melayu diberikan cuti sebulan pada bulan Ramdan).

Oleh itu mungkin atas alasan yang sedemikian jugalah maka emak dan bapak mengharapkan aku menjadi seorang guru. Menjadi gurulah aku sehingga kini. Amat berbangga rasanya menjadi seorang guru. Sekurang-kurangnya aku telah dapat mebahagiakan arwah emak dan bapak yang aku telah menyumpurnakan hasrat mereka agar aku menjadi seorang guru.

Bercakap mengenai guru tentulah aku tidak akan melupakan guruku yang bernama Cikgu Samad. Sudah banyak kali aku tuliskan mengenai sumbangan Cikgu Samad kepada anak muridnya. Namun disebabkan keunikan sumbangan Cikgu Samad maka menyebabkan aku tidak putus-putus melukis dan melakarkan sumbangannya kepada kami.

Tahun 1953. Aku dalam Darjah tiga di Sekolah Melayu Padang Rengas. Zaman penjajahan. Zaman sebelum merdeka lah tu. Salah satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan ialah tentang dedikasi Cikgu Samad menyampaikan pelajarannya yang pada pandangan aku tidak akan dilakukan oleh Cikgu zaman ini sebagaimana yang dilakukan oleh Cikgu Samad. 

Pelajaran yang diajar oleh Cikgu Samad ialah Ilmu Alam atau Geografi (kata orang sekarang). Cikgu Samad mengajar mengenai sebuah pulau. Maka ditulisnya di papan hitam (menggunakan kapur putih) ayat, " PULAU IALAH SEKEPING TANAH YANG DIKELILINGI OLEH AIR'. Murid-murid perlu menghafal ayat berkenaan kerana inilah 'senjata' yang paling penting untuk membolehkan kami samada balik awal ataupun akan terus menjadi orang 'tahanan' sehingga dapat melafazakan ayat berkenaan tanpa merujuk ke papan hitam.

Pukul 12.30 tengah hari sampailah masa waktu pulang. Dan ketika inilah Cikgu Samad menggunakan ayat, " PULAU IALAH SEKEPING TANAH YANG DIKELILINGI OLEH AIR'sebagai tiket untuk kami pulang. Kami diarah berdiri atas kerusi dan berpaling ke belakang. Seorang demi seorang akan menyatakan ayat demikian. Sekiranya 'dengan penuh lancar' akan dibenarkan pulang. Biasanya ada seorang kawan aku yang nasibya agak malang yang sentiasa tidak dapat membacakan ayat yang sedemikian. Azhar ( bukan nama sebenar) namanya. Dan Azhar hampir setiap hari balik lewat disebabkan gagal 'ujian' yang diberikan oleh Cikgu Samad.

Satu hal yang unik mengenai Cikgu Samad ( ataupun guru-guru zaman dulu) ialah sebenarnya mereka bersungguh-sungguh benar menyampaikan ilmu kepada pelajar mereka.  Disebabkan kesungguhna Cikgu Samad itu, beliau sanggup 'menunggu' sehingga Azhar betul-betul dapat membaca ayat yang diberikan. Berkaitan dengan peristiwa ini Cikgu Samad sanggup menunggu sehingga pukul 2.00 petang. Kelihatan semacam Cikgu Samad mahu mendenda Azhar tetapi sebenarnya Cikgu Samad 'mendenda' dirinya sendiri. Beliau sepatutnya boleh pulang lebih awal tetapi disebabkan dedikasi dan rasa bertanggung jawab kepada anak muridnya beliau sanggup bersama Azhar untuk pulang sehinggalah Azhar dapat menjawab soalannya.

Aku tidak dapat juga melupakan jasa Cikgu Samad apabila beliau memberikan hadiah kepada anak murid yang 'berjaya' dalam peperiksaan. Masih ada lagi hadiah yang berupa 4 buah buku tulis ( berharga 10 sen setiap satu) yang diberikan oleh Cikgu Samad kerana kejayaan ku dalam peperiksaan. Aku masih ingat juga hadiah kedua diberikan oleh Cikgu Samad tiga buah buku tulis kepada Khairuddin Arshad ( Dato Haji Khairuddin Arshad (Arwah) yang pernah menjadi Pengarah Pendidikan Perak ). Kami sama-sama dalam Darjah tiga pada tahun 1953 sebelum berpindah ke sekolah Inggeris.

Dilihat sepintas lalu menampakkan bahawa sumbangan Cikgu Samad kelihatan kecil tetapi penuh makna kepada kami berdua. Pernah satu hari ketika mereka (Cikgu Samad dan Dato Khairuddin masih ada ) aku dan Khairuddin mengunjungi Cikgu Samad di rumahnya. Ketika itu beliau sudah agak uzur disebabkan sakit tua. Pemergian kami adalah semata-mata untuk mengucapkan 'terima kasih' kepada beliau kerana merupakan salah seorang guru yang membentuk penghidupan kami.

Secara kebetulan aku pulang bercuti dari London dan Khairuddin pula mengambil cuti semata-mata untuk bertemu Cikgu Samad. Memang merupakan satu drama sebabak apabila kami berjumpa dan bertemu dan memeluk Cikgu Samad. Air muta tumpak tidak disedari dari enam kelopak mata, Cikgu samad, Khairuddin dan aku. Sehingga kini aku tidak dapat melupakan peristiwa itu. 

Yang paling aku bangga sekali ialah apabila Cikgu Samad menegur kami dengan mengatakan, "BILA MIKE ME BALIK?' seolah-olah merasakan kami adalah muridnya yang masih dalam Darjah Tiga tahun 1953 sedangkan pada ketika itu aku sudah bertugas sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di London dan Khhairuddin sudah bergelar Dato sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Perak. Beliau masih ingatkan kami. Kononya sentiasa menyebut nama-nama kami ( menurut kata anaknya). Kini mereka sudah tidak ada lagi.

Semoga roh keduanya dicucuri rahmat.


abuhassanadam

16 Mei 2021

(Hari Guru)



No comments:

Post a Comment