PEMIMPIN SUDAH HILANG RASA MALU
Mungkin agaknya ada perbezaan besar antara perasaan 'malu' bagi Melayu yang lahir sebelum merdeka dengan manusia Melayu yang lahir selepas kemerdekaan. Mungkin. Aku berkata begitu disebabkan ternampak perbezaan yang ketara antara orang Melayu 'dulu-dulu' dengan orang Melayu 'sekarang'. Dan sebenarnya aku tak tahu dimanakah garis pemisah antara orang Melayu 'dulu-dulu' dengan orang Melayu 'sekarang'. Dan apabila aku mengatakan bahawa tarikh kemerdekaan negara itu (1957) garis pemisahnya, maka sebenarnya tidak ada kjian yang aku buat untuk 'menghalalkan' hujjah berkenaan.
Cuma yang dapat aku katakan di sini ialah bahawa 'manusia Melayu' di Malaysia kini umumnya sudah tidak lagi memiliki perasaan 'malu'. Tentulah apabila dikatakan begitu, tidak pula aku bermaksud semua orang Melayu bersifat demikian. Dan tidak pula yang bukan Melayu lebih baik dari orang Melayu. Tidak juga. Yang menjadi tumpuan aku ialah untuk cuba 'meninjau' secara umum tentang mengapa kelihatan pada umumnya bahawa orang Melayu sudah mengenepikan perasaan 'malu' yang dulunya dimiliki oleh orang Melayu, sehingga membawa kepada kelemahan orang Melayu itu sendiri.
Yang paling ketara dan yang menyebabkan aku terpanggil untuk membincangkan isu 'malu' ialah disebabkan sudah begitu lumrah manusia yang bernama Melayu itu 'membuang' jauh-jauh perasaan malu itu terutamanya para pemimpin kita. Tidak kiralah samada pemimpin politik, pemimpin agama, para pentadbir negara secara umum dan lain-lain. Kadang-kadang kelihatan sebagai satu kebanggaan pula bagi mereka kerana memiliki perasaan 'tidak malu' yang membolehkan mereka bertindak tanpa segan dan silu.
Biar aku sorot sedikit sejarah pembentukan peribadi orang Melayu yang berkait rapat dengan perasaan malu. Seingat aku ketika di sekolah rendah zaman British ( sebelum negara mencapai kemerdekaan) perasaan malu ditekankan dalam pengajaran dan pembelajaran. Maksudnya malu yang disamakan dengan maruah dan integriti. Ada peristiwa sejarah yang boleh dicontohi, dimana disebabkan terasa malu yang amat sangat sesorang tu sanggup melakukan sesuatu perkara di luar dugaan yang membabit peristiwa membunuh diri. Kitab Sejarah Melayu ada menceritakan peristiwa sedemikian.
Cerita benar tentang kisah seorang rakan aku yang dihukum 'Public Canning' atas satu kesalahan yang dilakukannya. Beliau telah memohon kemaafan diatas kesalahannya. Namun pihak sekolah terus menjatuhkan hukuman terhadapnya. Kesannya disebabkan rasa malu yang amat sangat, rakan ku terus tidak hadir ke sekolah lagi walaupun beliau merupakan seorang pelajar yang pandai. Disebabkan perasaan malu yang menebal dan dibantu pula oleh rasa untuk menjaga maruah diri, maka beliau sanggup melakukan tindakan sedemikian.
Berlatarbelakangkan kisah itu aku merasa hairan tentang sikap ramai pemimpin yang langsung tidak memiliki perasaan malu sekiranya melakukan sesuatu kesalahan. Jangankan mereka merasa kesal dan insaf di atas kesalahan yang dilakukan, malah mereka seolah-olah mempertahankan kesalahan yang mereka lakukan. Mereka mengharapkan pihak mahkamah yang akan menentukan kesalahan mereka. Dan yang menghairankan juga mereka tidak malu apabila pihak menhkamah menjatuhkan hukuman terhdap mereka. Masih boleh tersenyum dan ketawa.
Apakah begitu sikap yang diajar oleh ibu bapa mereka atau guru-guru mereka agar tidak memiliki perasaan malu, walaupun setelah melakukan sesuatu kesalahan. Dimanakah silapnya. Apakah pendidikan di sekolah ( dulu dan kini ) sudah tidak mementingkan lagi aspek moral dan akhlak lagi dan sentiasa menumpukan kepada pencapaian peperiksaan. Walau apa pun alasannya kita tidak harus menyalahkan seratus peratus kepada guru sekolah atau ajaran ibu bapa. Itu hanyalah merupakan bimbingan.
Kini kelihatan bahawa perasaan malu sudah tidak ada lagi pada kebanyakan para pemimpin di negara ini. Kegiatan rasuah berleluasa. Pencemaran moral berlaku di mana-mana. Negara kini seolah-olah telah mengambil sikap bahwa keadaan yang bermaharajalela satu keadaan yang tidak dapat dikawal langsung. Sikap 'pejam sebelah'mata' semacam amalan yang sedang berleluasa dan merupakan amalan kepimpinan di setiap peringkat.
Kesimpulannya sudah begitu ramai yang mengamalkan tindakan 'tak tahu malu'...
abuhassandam
Padang Rengas
2 Mei 2021
Terbaik dan bersetuju dengan Pak Abu. Sifat malu yang menebal dikalangan orang melayu terdahulu tiada lagi pada zaman ini, bahkan mereka merasa bangga melakukan sesuatu yang bercanggah dengan norma kehidupan. Begitu juga dengan mereka yang menyokong walau pun mengetahui orang itu terang dan nyata tiada integriti namun kerana ketiadaan sifat malu maka penyokong pun 2 x 5...
ReplyDelete