Friday, May 7, 2021

 

ANWAR & AIN HUSNIZA


Aku mengikuti temuramah bekas Menteri pendidikan ( DS Anwar Ibrahim) dengan Ain Husniza yang pada pandangan aku merupakan temuramah yang amat perlu diikuti seluruh warga kementerian Pendidikan dan para guru di Malaysia. Ia memberikan kesedaran tentang keberanian seorang pelajar untuk menyuarakan pandangan tentang apa yang sepatut dan tidak sepatutnya berlaku di sekolah.

Aku tertarik dengan kenyataan Ain yang mengatakan seolah-olah ada guru-guru yang tidak menggalakkan pelajar-pelajar menyuarakan pandangan mereka secara kritikal terhadap sesuatu perkara. Dan dalam hal yang sedemikian seolah ada para guru yang menyekat perkembangan pemikiran anak-anak di sekolah. Dan ini merupakan perbuatan yang amat tidak digalakkan berlaku dikalangan guru-guru.

Aku masih teringat satu peristiwa satu perbualan antara aku dengan seorang pelajar dari negara China pada tahun 1986 ketika kami sama-sama berada di Stanford University, California USA. Kami sama-sama mengikuti kursus Sarjana di university berkenaan. Satu soalan yang dikemukakannya kepada aku yang sehingga kini masih terngiang-ngiang di telinga aku ialah tentang persoalan yang dikemukakan oleh Ain.  Rakan aku dari negara China itu mempersoalan bahawa dia merasa hairan tentang kehebatan pelajar-pelajar dari Amerika boleh menyuarakan pandangan dan pemikiran mereka dengan lancar tanpa ada sekatan berbanding dengan kami yang datang dari luar Amerika. Mungkin keberanian mereka itu disebabkan latihan yang mereka diterima disekolah dan didikan yang disemaikan oleh guru-guru mereka berbanding dengan kami yang amat kurang mendapat didikan sedemikian. Mungkin.

Terus terang aku katakan bahawa memang sebenarnya kami merasa 'cuak' apabila berhadapan dengan suasana sedemikian. Kami merasa bimbang takut kalau-kalau hujjah yang dikemukakan tidak diterima ataupun mungkin dianggap suatu hujjah yang lemah atau mungkin takut dianggap 'bodoh' dengan hujah yang dikemukakan. Lantas kami sentiasa dalam keadaan senyap sepi sedangkan pelajar-pelajar lain sibuk memberikan pandangan (walaupun pandangan mereka tidak sehebat mana pun). Dan kami hanya menyuarakan pandangan sekiranya dirasakan apa yang diutarakan itu merupakan satu pandangan yang betul-betul padat dan sarat dengan hujah-hujah yang bernas yang diyakini tidak akan dapat dipatahkan lagi hujah sedemikian.

Dalam masa perbincangan kami sentiasa tidak bercakap banyak tetapi 'kehebatan' pelajar luar Amerika ialah apabila berhadapan dengan soalan peperiksaan bertulis. Disitulah akan terserlah kecemerlangannya. Tetapi persoalan yang ingin aku paparkan disini ialah tentang persoalan yang dikemukakan oleh Ain ia itu mengenai ada para guru kini yang tidak menggalakkan pelajar untuk mengemukakan pandangan secara kritikal  disamping juga tidak menggalakkan pelajar mengeluarkan pandangan secara bebas.

Sebagaimana yang disuarakan oleh DS Anwar Ibrahim bahawa keadaan sedemikian harus tidak berlaku kini. Anak-anak harus digalakkan untuk menyampaikan pandangan mereka secara bebas dan mengeluarkan pandangan walaupun kadang-kadang pandangan mereka terkeluar dari garis perbincangan sebenar. Menyekat kebebasan pelajar mengeluarkan pandangan harus diberhentikan. Begitu jugalah perbuatan-perbuatan yang tidak harus dilakukan oleh guru seperti mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya dikeluarkan dihadapan murid harus diberhentikan.

abuhassanadam

Padang Rengas

7 Mei 2021


No comments:

Post a Comment