Wednesday, March 12, 2025

 MENIKMATI GRIMIS DI LONDON

Semalam  hujan gerimis. Hujan renyai-renyai kata orang kampung aku. Dua hari lepas London diselubungi kabus tebal sehinggakan banyak penerbangan di lapangan terbang Heathrow terpaksa dibatalkan. Jarak penglihatan agaknya tidak sampai pun 100 meter di setengah tempat.

Walaupun ramai juga pengguna jalan raya yang merasa tidak selesa dengan keadaan sedemikian tetapi bagi aku merasa bertuah kali ini kerana dapat ‘menikmati’ suasana kabus pagi yang sudah lama tidak aku ‘nikmati’ di negara kita. Walaupun sejuk dan jarak penglihatan agak dekat namun aku masih merasa bahagia ‘menikmati’nya ketika aku bersiar-siar di kawasan ‘park’ berdekatan dengan rumah anak aku di sini. 

Aku teringat suasana sebegini yang aku alami ketika aku masih kanak-kanak, ‘membelah’ kabus pagi ke sekolah bersama dengan rakan-rakan, meniti batas bendang yang menghubungkan kampung aku dengan Kampung Lalang. Dan kadang-kadang basah baju sekolah disebabkan embun dan kabus pagi yang begitu tebal.

Tentulah aku teringat juga tentang beberapa peristiwa lucu yang kami alami ketika masih kecil ketika kabus pagi masih menyelubungi kampung ku. Walaupun kabus di kampung ku dahulu tidak sama dengan keadaan kabus yang menyelubungi England, namun kesannya mendalam dalam perasaan ku. Walaupun kesejukannya tidaklah sebagaimana kesejukan kabus di London, namun sekiranya nafas dihembus keluar akan kelihatanlah juga ‘asap’ yang keluar dari mulut. 

Dan kegiatan menghembuskan ‘asap’ keluar dari mulut adalah merupakan amalan dan ‘permainan’ yang dilakukan ketika masih kecil terutama pada waktu kabus pagi. Sepanjang perjalanan ke sekolah kami akan beterusan ‘menghemuskan asap’ keluar dari mulut. Semacam ada satu pertandingan pula. Agak menggelikan hati juga apabila aku lakukan perbuatan sedemikian ketika ‘menikmati’ kabus pagi di London baru-baru ini. Masih keluar lagi asap melalui mulut…..Tentulah aku ketawa bersendirian.

Suasana berkabus tidak muncul lagi di Malaysia. Jangankan di Kuala Lumpur, di kampung-kampung pun sudah tidak kelihatan lagi kabus pagi. Tidak seperti zaman aku kecil-kecil dulu. Aku tidak dapat melukiskan tentang ‘keindahan’ tentang kabus pagi tetapi yang jelasnya aku merasa begitu bahagia dan seronok berada dalam suasana sedemikian.

Kampung aku tahun-tahun 1950an agak berbeza dengan keadaan kini. Walaupun waktu paginya masih sejuk namun kesejukan pada tahun-tahun 1950an adalah amat luar biasa. Terpaksa ‘bergebor’  ( berselimut ) ketika tidur pada waktu malam berbanding dengan keadaan kini yang sentias ‘bolin’ ( tidak berselimut) disebabkan cuaca yang agak panas. Dan sudah ramai penghuni kampung aku yang memasang penghawa dingin di rumah masing-masing kerana kepanasan cuaca, sesuatu yang tidak pernah berlaku tahun-tahun 1950an dahulu.

Sebagaimana aku jelaskan tadi, hujan gerimis turun di London semalam. Hujan di London agak berbeza dengan hujan di Malaysia. Ini tidaklah pula bermakna bahawa air hujan di London datang dari bumi !..Bukan begitu. Hujan tetap hujan dan air hujan datangnya dari langit. Yang aku maksudkan ialah jarang-jarang terdapat hujan lebat sebagaimana yang terdapat di Malaysia dimana akan kelihatan air turun bertali-tali melalui cucuh atap. 

Hujan gerimis sedemikian tentulah mengingatkan aku kepada keadaan di kampung juga ketika masih kecil-kecil. Sekiranya berlaku hujan  di waktu pagi sedemikian, maka tentulah ramai penduduk kampung ku yang tidak keluar menoreh getah. Dan terbantutlah punca rezeki mereka sekeluarga. 

Dalam suasana  hujan sebegitu suatu peristiwa yang sukar aku lupakan ialah tentang ‘sarapan’ pagi yang dihidangkan oleh arwah emak. Sarapan’ pagi yang disajikan tentulah jauh berbeza dengan sarapan yang disediakan di rumah keluarga Inggeris di sini. Seperti ‘’antara langit dan bumi’ atau seperti ‘jauh panggang dari api’. Namun bagi aku dari segi ‘kenikmatannya’ adalah sama.

Kebiasaanya arwah emak akan menyediakan ubi atau pisang rebus yang dicecah dengan kelapa yang diparut ataupun akan menyediakan nasi goreng yang digaulkan dengan kelapa. Mungkin ‘Nasi goreng kampung’ ala emak aku dan tidak terdapat lagi resepi sedemikian dimana-mana tempat di Malaysia. Dan sekali sekala emak akan buat nasi lemak atau memasak kuih ‘tuan puteri baju hangus’ atau cucur-kodok.

Menikmati rebus pisang atau rebus ubi kayu dalam suasana hujan di waktu pagi begini adalah sesuatu yang sukar dilupakan terutamanya memakan rebus ubi yang panas-panas.

Sebentar lagi aku akan pergi ke pasar Afrika mencari ubi kayu untuk direbus sebagaimana yang dilakukan oleh arwah ibuku dulu….


abuhassanadam

12 Mac 2025

Tuesday, March 11, 2025

 "TERPENGARUH DENGAN 'SERUNAI MALAM'

 Secara kebetulan aku bertembung dengan ‘boss’ lama Dato Haji Jumaat Mohd Noor  9pernah menjawat jawatan Pengarah sekolah-sekolah Malaysia) yang sama-sama membelek-belek sayuran di sebuah pasar tani di Kelana Jaya. ‘ Hai dah tak menulis lagi?’ Itulah uacapan pembukaannya. Tak tahu aku menjawabnya bila diketemukan dengan soalan sedemikian oleh seorang yang aku hormati – kini dan selama-lamanya.

Ekoran dari 'teguran' dari Dato Haji Jumaat itu, Lantas aku terpanggil untuk terus menulis disebabkan ‘gesaan’ sedemikian. Apatah lagi oleh seorang yang banyak memberi sumbangan kepada bangsa dan negara. Beliau pernah menjadi guru, Pengarah Pendidikan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, dan banyak lagi laa. Itu tidak termasuk NGO yang disertainya.

Bagi aku ‘sindiran’ Dato Haji Jumaat itu merupakan sindiran seorang ‘guru’ terhadap anak muridnya. Dan artikel yang sedang aku fikirkan kini merupakan artikel pertama setelah buat beberapa ketika aku ‘berehat’. Dan tentulah pembaca yang sudi membaca artikel sebegeni samalah ibaratnya seperti menaiki ‘roller coaster’. Maklumlah sudah lama tidak menulis. Dah berkarat.

Pertama kali aku megenali Dato Haji Jumaat ia itu ketika beliau berkhidmat sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Kedah. Ketika itu aku baru saja ditempatkan mengajar disebuah sekolah menengah di bandar Kulim Kedah selepas tamat pengajian. Tahun 1974. Aku diarahkan berjumpa dengan Tuan Haji Jumaat pada ketika itu kerana ‘ingkar’ perintah jabatan ia itu disebabkan aku enggan untuk mengajar di sekolah di mana aku ditugaskan. Sekolah Menengah St Patrick, Kulim Kedah.

Aku memberanikan diri aku berjumpa dengan ‘orang besar’ pelajaran di negeri Kedah itu. (Mungkin Tuan Haji Jumaat tak ingat pertemuan berkenaan. Biar aku ingatkan semula ). Aku disuruh jelaskan mengapa aku enggan bertugas di sebuah sekolah di tengah-tengah bandar Kulim. ‘Ini sekolah bandar cikgu!’ kata beliau. ‘Bukan di kampung. Ramai lagi yang tidak berpeluang macam cikgu…mengajar disekolah bandar’. Panjanglah penjelasan beliau dan aku hanya mendiamkan diri, menunggu untuk memberikan penjelasan. Akhirnya sampailah giliran aku memberikan penjelasan.

“ Sebenarnya tuan saya memang nak mengajar di kampung’ kataku memulakan hujjah aku pulak. Sememangnya aku berhasrat untuk mengajar di kawasan desa. Malah ketika mengisi borang penempatan mengajar pun aku telah mengisikan dengan ayat ‘di mana-mana saja di Malaysia’. Ramai rakan-rakan yang mengatakan yang aku kurang siuman menulis kenyataan dalam borang penempatan sedemikian. Itu aku tak peduli. Ini cerita benar. Itulah ayat yang aku tuliskan dalam borang penempatan berkenaan. Tidak menjadi halangan pada aku sekiranya aku ditugaskan di pendalaman Sabah atau Sarawak. Tak apa. Sedia berkhidmat asalkan di kampung.

Sememangnya aku nak berkhidmat di kampung. Terus terang aku katakan bahawa aku amat terpengaruh dengan Sandiwara Radio yang disiarkan menerui Radio Malaysia bertajuk ‘Serunai Malam’ hasil tulisan Dato Usman Awang yang dilakonkan oleh Azhar Ahamad dan Adibah Amin. Terus terang aku katakan aku amat terpengaruh dengan drama berkenaan. Dan melalui drama berkenaan juga aku bertekad untuk terus belajar secara bersendirian dan menjejakkan kaki ku di University Malaya pada tahun 1971.

‘Sememangnya saya nak berkhidmat di kampung, tuan. Di mana-mana pun tak apa’ aku ulang lagi kenyataan ku itu. Pada ketika itu ramai guru-guru yang takut bertugas di kampung. Berbagai kemudahan tidak tersedia pada ketika itu berbanding dengan keadaan kini. Contohnya kampung Ulu Mengkuang yang terletak di daerah Selama Perak.

Di kampung inilah aku mula-mula di tempatkan untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang Selama Perak selepas tamat dari Maktab Perguruan pada tahun 1965. Tidak perlulah aku berpanjang lebar menjelaskan keadaan Ulu Mengkuang pada tahun 1965. Tidak perlulah aku jelaskan kesusahan yang dialami ketika mengajar di situ. Namun begitu aku merasa amat bahagia bersama dengan anak-anak di situ dan masyarakatnya yang cukup membahagiakan kehidupanku.

Aku bertekad aku akan berpindah dari Ulu Mengkuang (UM) ke University Malaya (UM). Jarak masa tidak dapat aku tentukan. ‘Pengembaraan’ku itu agak mustahil jika diperhalusi. Bayangkan aku meneroka alam perguruan hanya berbekalkan sijil LCE (Lower Certificate of Education) dan tidak pernah pun menjejakkan kaki di Tingkatan 1V dan jauh panggang dari api di Tingkatan V dan VI. Kini aku mengajar di Ulu Mengkuang dan bertekad untuk pergi ke University Malaya. Tentulah tak masuk akal. Kita hanya merancang dan Tuhan yang menetukan.

Setelah mendengar penjelasan dari aku dan ‘pengalaman’ yang aku lalui, aku nampak Tuan Haji Jumaat sudah amat simpati dengan ‘perjuangan’ ku ia itu ‘menjadikan desa kepada kota’ (ungkapan Dato Usman Awang dalam ‘Serunai Malam’ yang masih terngiang-ngiang ditelinga aku sehingga kini).

‘Kalau saya tempatkan Cikgu di Mahang setuju tak?’ soal Tuan Haji Jumaat.

“Kan saya dah katakan di mana-mana saja Tuan asalkan di kawasan desa, mengajar anak kampung’

“Beginilah… saya tempatkan Cikgu di Serdang, Selatan Kedah. Setuju tak?’ Katanya lagi. ‘Minggu depan. Satu haribulan’ arahannya’

‘Saya akan pergi ke sekolah berkenaan pada hari ini tuan untuk lapor diri’ Kataku sambil tersenyum.

Agak lama juga aku tidak berjumpa dengan Tuan Haji Jumaat sehinggalah aku juga bertugas di Kementerian Pendidikan pada suatu ketika selepas itu. Dan pagi tadi berjumpa semula dengan Dato Haji Jumaat bin Mohad Noor. Masih sihat.


abuhassanadam

11 Mac 2025




Monday, March 10, 2025

 

BERHIJRAH BUKAN PILIHANNYA

Semalam seorang kawan baik aku menelipon aku mengatakan ia telah membuat keputusan yang mungkin memeranjatkan. “ Aku nak pindah ke London. Ikut anak aku’. Duduk dengan dia di sana, katanya. Memang aku terkejut mendengar berita demikian. Aku tak tahu nak kata apa. Aku terdiam membisu. Nak kata ‘eloklah’ pun tak kena, nak kata ‘ fikirlah dulu..’ pun tak kena juga, dan nak kata tak usahlah’ pun tak kena.

Dia  memanggil aku bukan untuk mendapatkan nasihat tetapi memberitahu aku keputusan yang telah dia ambil. Semacam muktamad. Dan seolah-olah keputusan yang dia ambilnya itu telah difikirkannya buat beberapa lama. Seolah-olah keputusan yang diambilnya itu telah dibincangkan dengan ramai orang, ahli keluarganya dan mereka telah memberikan kata setuju dengan hasratnya itu.

“ Dah habih fikir ke? “ tanya aku menggunakan loghat Perak. Intonasi suara aku masih lagi dalam bentuk bergurau.

“  Habih….’ jawabnya. Kemudian dia menyambung ‘ Berapa kali aku dah cakap dengan kamu, aku rasa cukup tak selesa duduk di ‘Malaya’ ( dia selalu menyebut Malaysia sebagai Malaya). Macam tak ‘civilize’. Orang buat lain, kita buat lain…” Keadaan yang aku ceritakan ini adalah keadaan dalam keadaaan negara yang ditadbirkan oleh puak-puak yang mungkin kurang perhatian terhadap memajukan negara. Tidak seperti harapan di bawah pemerintahan DS Anwar Ibrahim.

Mungkin kawan ku ini terbawa-bawa terpengaruh dengan 'cakap-cakap' yang sentiasa menabur fitnah tentang pemerintahan Saudara Anwar. Mungkin itu yang menyebabkan beliau hendak 'lari' meninggalkan Malaysia. Sudah puas aku menjelaskan kepada beliau bahawa negara sudah tidak seperti di bawah pemerintahan terdahulu. Dia setuju apa yang aku katakan tetapi masih mahu meneruskan keputusannya untuk berhijrah.

Aku terperanjat dengan kenyataan kawan aku kerana setahu aku dia adalah merupakan seorang pejuang Melayu tulin. Kalah aku. Kami mempunyai banyak persamaan. Aku anak kampung tulin, dia pun begitu. Emak bapak dia pun orang kampung yang miskin melarat, suatu ketika dulu. Emak bapak aku pun sama. Dia berjaya dalam pelajaran kerana usahanya yang gigih sampai ke peringkat yang paling tinggi. Dan aku tidak sehebat dia, namun ‘ ada sikit bawah’. Dari segi ‘empathy’ terhadap orang lain, jangan persoalkan. Asalkan ‘orang susah’ dia tak kira Melayu ke, Cina ke, India ke, Kulit Hitam ke, Kulit Putih ke. Bagi dia sama saja  layanan yang diberikan.

Inilah ‘rupa’ manusia yang akan meninggalkan negara ini dan akan terus berada di London untuk selama-lamanya. Berdasarkan dari segi usia, sememangnya kami tidak akan berada lebih lama  lagi  di dunia. 60an. Dan mengikut apa yang dikatakannya pada aku mungkin dia tidak akan pulang ke Malaysia. “Dan mungkin anak aku saja yang menguruskan mayat aku nanti untuk dihantar pulang ke tanah air tempat tumpah darahku – Malaysia’ katanya.

Aku tak tahu sebab yang sahih mengapa dia begitu kecewa ketika itu, dan mengambil keputusan sedemikian. Aku belum pernah melihat dia berkeadaan begitu. Merajuk hati. Beliau adalah seorang yang amat kuat mengahadapi apa juga cabaran dalam kehidupan. Aku tahu dan aku faham kehidupan yang dilaluinya. Penuh dengan onak dan duri. Namun dia tidak pernah ‘tewas’ dan tidak pernah merajuk mengahadpi dugaan dan cabaran sedemikian. Mengapa kini beliau tewas dan merajuk.

Atas sebab-sebab inilah agaknya kawan aku amat sedih dan merajuk membawa diri menumpang kasih di negara lain….walaupun di rantau orang……..

Aku hanya mampu berdoa…dan terus memujuk agar dia memikirkan semula rancangannya itu.


Abuhassanadam

10 Mac 2025

Saturday, March 8, 2025

 MELAYU TIDAK MENGENANG BUDI?

Ada yang bertanya aku betulkah Melayu Kurun ke 21 sudah tidak mengenang budi?

Aku jawab “ YA” jikalau orang yang berbudi itu tidak ikhlas. Kalau orang yang berbudi itu mempunyai tujuan-tujuan tertentu yang menyebabkan dia sangggup berbudi. Bak kata orang tua-tua, “ ada udang disebalik batu’. Dalam cerita “ Madu Tiga’ arahan P. Ramlee, aku tertarik dengan satu dialog yang diucapkan oleh ‘ ayah ‘ kepada seniwati Sarimah yang memuji-memuja Haron ( P.Ramlee ) dengan kata-katanya, “ baik…..ada makna tu…… ( lebih kurang begitulah).

Tujuan  Haron berbudi ( tidak mengambil sewa rumah untuk beberapa bulan ) adalah kerana Haron sudah berminat kepada ‘Sarimah ‘ dan bercadang hendak memperisterikannya. Isteri ketiga. Pemberian dan perbuatan yang sedemikian yang orang Melayu tidak boleh terima. Memang orang Melayu tidak mengenang budi jika diukur dari segi tindakan sedemikian.

Namun demikian (pada pandangan aku) orang Melayulah yang masih tebal dengan sikap mengenang budinya sekiranya budi yang dihulurkan itu ikhlas, dari hati yang suci, ‘ tidak ada udang disebalik batu’, tidak mempunyai hasrat dan niat yang terselindung , tidak mengarapkan balasan kepada budi yang dihulurkan. Jikalau begitu keadaannya budi yang diberikan itu akan dikenangnya sampai mati. Itulah orang Melayu tulin. Pantun Melayu ada mengatakan,

Pisang emas bawa belayar

Masak sebiji di atas peti’

Hutang emas boleh dibayar

Hutang budi dibawa mati.

Aku kerap kali pulang ke kampung. Bercuti ataupun apabila ada majlis khenduri atau kematian di kampung. Sedaya upaya aku cuba balik kampung. Kalau aku balik berkereta, pasti apabila aku pulang dari kampung akan dibekalkan dengan barang-barang hasil kampung – pisang, jantung pisang, sayuran-sayuran kampung yang lain. Yang aku nak cerita ialah tentang ‘perangai’ pelik orang kampung aku. Bukanlah semua. Ramai yang bersikap demikian.

Mereka tidak memberitahu aku identiti sipemberi sayur-sayuran atau buah-buahan. Mereka menyembunyikan dentiti mereka. Mereka tidak mahu aku tahu yang si anu memberi atau si polan yang memberi durian. Kadang –kadang aku tak sedar yang buah-buahan seperti rambutan atau durian sudah berada ditepi kereta aku. Aku faham yang buah-buahan itu untuk diberikan kepada aku untuk dibawa pulang. Aku faham kerana sememangnya begitu ‘perangai’ kawan-kawan rapat aku di kampung itu.Aku boleh agak siapa yang memberinya. Aku tidak mengucapkan terima kasih dengan serta merta.

Kemesraan yang terjalinlah ialah apabila aku membelikan mereka ‘satay’ dan menghantarkan ke rumah mereka yang kebiasaannya tiga atau empat bulan kemudian. Bila aku pulang ke kamung. Bila aku menghantarkan pemberian aku itu ke rumah mereka aku akan iringkan dengan kata-kata, “ harga durian dan rambutan lebih mahal dari harga satay ni…’. Pastinya akan diikuti dengan deraian ketawa menunjukkan yang mereka fahama bahawa aku telah membalas pemberian mereka terdahulu. Sehingga sekarang masih ada lagi kawan-kawanku di kampung yang bersikap sedemikian. 

Aku akan mengenang budi kawan-kawan ku ini samapi ke liang lahat. Sebab pemberiannya disampaikan dengan ikhlas. Agama ada mengajar kita bahawa sekiranya tangan kanan yang memberi tangan kiri tidak tahu yang tangan kanan yang memberi. Agaknya ajaran itulah yang diamalkan oleh kebanyakan orang kampung ku. Tidak dihebahkannya pemberiannya. Tidak pula dia memberitahu ‘ seluruh alam’ yang dia yang memberikan durian berkenaan.

Berbeza benar dengan keadaan yang ada sekarang. Setiap pemberian mesti dihebahkan. Walaupun pemberian itu tidak sebesar mana. Perlu disiarkan dalam akhbar. Perlu diceritakan melalui radio. Dan jikalau boleh ditunjukkan peristiwa penyerahan pemberian itu melalui TV supaya dapat ditonton oleh manusia ‘ seentero dunia’. Mesti dijelaskan dengan sejelas-jelasnya, si anu  atau sipolan yang memberikan sumbangan itu.

Pemberian sebeginilah yang dikatakan tidak ikhlas. Ada mempunyai motif-motif tertentu. Walaupun ‘ sudah berbuih mulut’ si pemberi mengatakan yang pemberiannya itu iikhlas, namun orang masih boleh menilai yang pemberian itu tidak ikhlas. Maka selagi itulah segala pemberian itu adalah ibarat ‘ mencurah air ke daun keladi’. Tidak akan dikenang. Malah akan mendapt cemuhan dan cerca. Akan diperkatakan mengenai pemberian seseorang yang tidak ikhlas. Dan kesannya tidak sampai ke mana.

Apabila orang Melayu bersikap demikian akan di labelkan pula yang orang Melayu tidak mengenag budi……

Orang Melayu masih tebal dengan sifat mengenang budinya walaupun sudah lama tinggal dibandar. Ada yang mengatakan orang Melayu bandar sudah tidak pandai mengenang budi. Bukan semua. Masih ramai yang tahu mengenang budi orang lain. Yang tidak tahu mengenang budi boleh ditakrifkan sebagai sudah ‘ murtad’ dan ‘ sudah meletakkan jawatan’ sebagai  orang Melayu. Kebiasaanya manusia yang bernama Melayu tahu mengenang budi orang.

Ada juga yang berpendapat bahawa kerana orang Melayu terlampau berbudilah, hampir tergadai ‘body’.

Kerana orang Melayu terlampau berbudilah sampai sekarang negara ini menjadi ‘ syurga’ yang dinikmati oleh orang luar.

Kerana orang Melayu berbudi bahasalah kadang-kadang orang yang menumpang negara kita bersikap biadap dengan orang Melayu itu sendiri walaupun kadang-kadang tidak sampai setahun menumpang tinggal di negara ini.

Oleh kerana orang Melayu terlampau berbudi bahasalah menyebabkan ramai orang asing diberikan taraf kerakyatan di negara ini dengan senang.


Abuhassanadam

8 Mac 2025




Friday, March 7, 2025

 KENA PANDAI CAKAP ‘ORANG PUTIH’!..

Pesan arwah bapak aku, ‘ orang Melayu kena pandai cakap ‘orang putih’. Malah kata-katanya itu diucapkan ratusan kali semenjak negara sebelum merdeka lagi. Maknanya sebelum tahun 1957 arwah sudah mula berkempen  bukan sahaja kepada keluarga terdekat tetapi kepada orang kampung supaya menghantar anak mereka belajar di sekolah Inggeris. Dan dia ‘kotakan’ apa yang dia kata. Dia sekolahkan aku dan adik perempuan aku di sekolah orang putih.

Kadang-kadang bila aku merenung kembali tentang tindakan arwah bapa aku menghantar aku dan adik aku belajar di sekolah Ingeris, aku merasa hairan. Bapak aku sentiasa mengatakan bahawa dia lebih yakin kepada sekolah Inggeris pada ketika itu, zaman sebelum merdeka. Lantas beliau bertindak menghantar kami ke sekolah Inggeris walaupun pada ketika itu ( tahun 1950an) tidak ada lagi orang kampung aku yang berbuat demikian. Masing-masing ‘takut’ kalau anak-anak mereka memeluk agama Kristian!

Bapak aku kelulusan sekolah Arab. Begitu juga arwah ibu ku. Tetapi yang menyebabkan aku hairan ialah mengapa beliau bertindak sedemikian rupa, sehinggakan saat beliau hendak ‘meninggalkan’ kami pun, beliau masih berpesan agar anak-anak aku (cucu-cucunya nanti)  dihantar ke sekolah Inggeris. “Mesti pandai cakap orang putih” pesannya. Ribuan kali diucapkannya sepanjang hayatnya.

Kini semacam  aku  mula menghayati kata-katanya itu ia itu  tentang kepentingan Bahasa Inggeris, ia itu setelah aku terlibat dengan banyak seminar dan berbagai conference yang telah aku hadiri di luar negara. Barulah aku sedar tentang besarnya sumbangan bapak aku yang menghantar aku ke sekolah Inggeris dulu yang membolehkan aku berkomunikasi dengan bangsa lain menggunakan bahasa Inggeris. Sekiranya aku tidak tahu berbahasa Inggeris maka kehadiran aku di setiap seminar dan conference yang dihadiri tentulah tidak lebih daripada usaha memanaskan kerusi dan tentulah tidak ada sumbangan yang dapat diberikan.

Itulah keadaan yang dialami oleh para pegawai Malaysia yang tidak fasih berbahasa Inggeris ketika menghadiri persidangan antarabangsa. Pastinya mereka tidak dapat memberikan sumbangan yang bermakna, dan boleh dikatakan tidak langsung ‘bersuara’ kerana tidak boleh menyampaikan apa saja buah fikiran dalam Bahasa Inggeris. Dalam situasi demikian tentulah amat kurang sumbangan dari wakil Malaysia. 

Hakikat bahawa ramai pegawai kerajaan (khususnya pegawai Melayu) yang tidak fasih berbahasa Inggeris harus diakui. Dan yang paling menyedihkan lagi bagi negara Malaysia ialah begitu ramai antara para menteri kita yang tidak yakin apabila menggunakan Bahasa Inggeris walaupun berkelulusan dari University luar negara. Dan kita ragu-ragu dengan kemampuan mereka menghujjah tentang sesuatu  isu yang membabitkan negara sekiranya mereka tidak dapat menyampaikan buah fikiran mereka dengan berkesan. Itu keadaan yang mendapat didikan dan fasih berbahasa Inggeris. Bagaimana pula dengan pemimpin negara atau pun lebih tepat lagi ahli parlimen kita yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Keadaan sedemikiian seringkali kita perhatikan. Mereka lebih merupakan sebagai 'jaguh kampung'.

Aku tentulah teringat akan keadaan negara Malaysia ketika dibawah pimpinan para pemimpin yang berkeliber dan fasih berbahasa Inggeris. Kita dapat lihat bagaimana pentadbiran negara terdahulu yang dipimpin oleh Tun Mahathir, DS Anwar Ibrahim, TS Rafidah Aziz dan lain-lain yang sememangnya hebat berbahasa Inggeris.Pada ketika itu negara Malaysia amat dihormati di luar negara. Di mana saja pemimpin negara kita pergi dan menghadirkan diri sentiasa dihormati dan disanjung tinggi. Samada di World Economic Forum di Davos Switzerland atau pun di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu ataupun di UNESCO Paris, para pemimpin dan pegawai kita sentiasa ‘walking tall’. Malah DS Anwar Ibrahim pernah dipilih sebagai Presiden UNESCO pada tahun 1992.

Aku mula memberanikan diri memeperkatakan hal yang amat sensitif ini ialah apabila Ketua Menteri Sarawak, TS Adenan Satem  pada suatu ketika dulu terang-terang mahu menitikberatkan penggunaan Bahasa Inggeris di Sarawak. Aku mula berani apabila TS Rafidah Aziz menampakkan ‘belangnya’ apabila beliau menyatakan bahawa ‘ speaking in English doesn’t make me less nationalistic’ (Malay Mail Onlne 18 February 2016). Beliau seterusnya menceritakan suatu ‘kisah’,

““How do we manage interacting with the private sector if we can’t converse in English, let alone write? I had people writing ‘benchmarking’, putting it as ‘benchmaking…We should look at equipping the young as assets of the country. When they have full command of English, that can take them anywhere in the world; it doesn’t make them less nationalistic”

Memberikan penekanan kepada Bahasa Inggeris bukan bererti kita mengenepikan Bahasa Melayu. Tidak sekali-kali. Dan telah pun ‘termeteri’ dalam perlembagaan negara bahawa Bahasa Melayu adalah sebagai Bahasa Kebangsaan. Maknaanya tidak akan hilang Bahasa Melayu dari bumi Malayisa yang bertuah ini. Tetapi persoalannya ialah Bahasa Melayu belum lagi dapat dijadikan bahasa antarabangsa seperti Bahasa Melayu yang menjadi Lingua Franca di kepulauan Melayu pada abad ke 15 dan 16 dahulu dimana para pedagang dari Arab atau India atau China menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perdaganngan. 

Bukan tidak pernah Bahasa Melayu berada di kedudukan sehebat itu. Tetapi sebagaimana kata datuk nenek kita, ‘sekali air bah, sekali pasir berubah’. Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa perantaraan di seluurh dunia kini. Puas bangsa Perancis cuba mengenengahkan Bahasa Perancis di arena antarabangsa, namun Bahasa Inggeris tetap digunakan. Dan mahu tidak mahu samada Perancis atau Jepun atau orang Cina terpaksa mempelajari bahasa Inggeris demi untuk kemajuan bangsa mereka.

Menggunakan Bahasa Inggeris tidak bererti bahawa kita mendewa-dewakan Bahasa Inggeris. Namun bagi aku Bahasa Inggeris adalah seperti ‘ruyung’ bagi mendapatkan ‘sagu’. Untuk memperolehi ilmu pengetahuan dalam berbagai bidang terpaksa tahu menggunakan bahasa Inggeris kerana kebanyakan buku-buku ilmiah di dunia ini ditulis dalam bahasa Inggeris. Dan tidak pula aku mengatakan bahawa hanya menggunakan Bahasa Inggeris saja baru kita memperolehi ilmu pengethuan. Tidak pula begitu.

Gunalah bahasa apa pun asalkan ilmu dapat diperolehi. Cuma sehingga kini Bahasa Inggegerislah sebagai bahasa yang digunakan untuk mengetuk gedung ilmu yang ada. Dan bangsa Malaysia, khususnya orang Melayu terpaksa ‘berjalan seiring’ sekiranya kita mahu terus maju.


abuhassanadam

7 Mac 2025



Wednesday, March 5, 2025

  'Cock-a-Doodle-Do'

Ketika aku berada dalam SMC 2 ( Special Malay Class Two) dulu, kami ( pelajar-pelajar Melayu ) telah didedahkan dengan buku-buku bacaan yang didatangkan dari England. Tentulah Bahasa Inggeris. Yang aku hairan ( sampai sekarang ) bagaimana kami agak berjaya menguasai Bahasa Inggeris dalam masa dua tahun. Kami boleh membaca buku-buku cerita (dan faham) dalam Bahasa Inggeris dan ada juga yang berjaya dalam peperiksaan dengan cemerlang.

Special Malay Class (SMC) diwujudkan oleh penjajah British untuk memberi peluang kepada anak-anak Melayu memasuki sekolah Inggeris. Hanya untuk anak Melayu. Anak Cina dan India belajar melalui sekolah rendah Inggeris biasa. Bermula dari Primary One sampailah ke Primary Six sebelum memasukki sekolah menengah. Ada juga anak Melayu yang belajar melalui cara begitu. Anak Melayu yang tinggal di bandar. Kebanyakannya bukan Melayu tulin. Berapa ‘kerat’ saja Melayu (tulin) yang tinggal di bandar.

Kebanyakan orang Melayu ( tulin) tinggal di kampung-kampung. Di Padang Rengas, Talang, Lubuk Merbau, Cegar Galah, Padang Assam, Sayung, Rambai Tujuh, Sauk, Kati, Cheh, Teroso, Manong, Kota Lama Kanan-Kiri, Enggor, Liman, Tanah Merah, Laneh, Kuala Dal, dan banyak lagi kampung-kampung yang berada di daerah Kuala Kangsar.

Pelajar-pelajar Melayu tulin dari kampung-kampung ini ( termasuk akulah) belajar di sekolah Melayu terlebih dahulu. Aku belajar di Malay Boys School Padang Rengas. Sekolahnya pun dalam Bahasa Orang Putih. Aku belajar di situ sampai Darjah empat. Diadakan peperiksaan oleh British untuk memasukki SMC One. Tidak tahu pulak aku nama peperiksaannya. Tentulah cakap orang putih juga. Lulus peperiksaan demikian barulah dapat memasukki SMC One di Government English School Padang Assam. Tiga tahun di situ baru melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Clifford School Kuala Kangsar. ( Government English School Padang Assam sudah tidak ada lagi sekolah berkenaan dan digantikan dengan Sekolah Kebangsaan Padang Assam. Tepi jalan dari Kuala Kangsar menghala ke Padang Rengas).

Ketika dalam SMC Two aku teringat lagi bagaimana Mr Ang Chui Pek mengajar kami Bahasa Inggeris. Membaca buku-buku cerita dalam Bahasa Inggeris. Antara yang menarik ( sampai hari ini ) ialah bagaimana Mr Ang Chui Pek mengajukkan bagaimana ayam di England berkokok. Cock-a-Doodle-Do….. Cock-a-Doodle-Do…. Cock-a-Doodle-Do……katanya. Semua kami tergelak dan ada yang ‘tercengang’ ( hairan) disebabkan kokok ayam di England jauh benar bezanya dengan kokok ayam di Padanag Rengas – kampung aku.

Tidak seorang pun antara kami yang berani ‘mempertikaikan’ tentang kokok ayam itu. Hampir setiap waktu kami mendengar kokok ayam di kampung kami. Tidak pula begitu ‘irama’ dan bunyi kokoknya. Amat jauh sekali berbeza. Tetapi ‘persoalan’ itu terus disenyapkan saja. Cuma pada ketika itu, dalam hati kami merasakan bahawa, ‘begitu agaknya bunyi ayam di England berkokok’. 'Terpelajar' juga ayam di England.

Setiap kali aku berada di London, sentiasa aku ceritakan peristiwa ini kepada rakan-rakan yang berada di sini. Kepada rakan-rakan yang berbangsa Inggeris juga aku ceritakan. Bolehlah dibayangkan deraian ketawa mereka. Kadang-kadang sampai terkeluar makanan dari mulut disebabkan hilaian dan ketawa yang berdekah-dekah. Kadang-kadang ada juga ‘jiran’ sebelah ( ketika di restoran makan) yang ingin tahu apakah cerita yang begitu menggelikan hati…..

Satu lagi kisah yang tidak mudah aku lupakan ketika membaca buku-buku cerita ( dari England ) ialah tentang jenis-jenis makanan yang terdapat di England terutama apabila menceritakan tentang hidangan ketika mereka ‘lunch’ dan ‘dinner’. Mr. Ang Chui Pek cuba menerangkan jenis-jenis kuih yang terdapat di England seperti Jelly, Pie, berbagai jenis cake dan lain-lain.

Begitu sukar sekali beliau menerangkan kepada kami disebabkan kuih-kuih sedemikian tidak langsung pernah terlintas di fikiran kami apatah lagi menikmatinya. Ada juga kawan-kawan aku yang bertanya bagaimana rupa kuih-kuih berkenaan. Dan Mr. Ang Chui Pek akan menjelaskannya dengan panjang lebar. Masih juga tidak faham disebabkan tidak pernah melihat dan merasa kuih-kuih berkenaan. Pada ketika itu makanan yang sentiasa dimakan oleh kami ialah seperti  rebus ubi, rebus pisang, Bengkang, Dokok-Dokok, Limas, Tepung Talam, Lepat Pisang, Lepat Ubi, Lengkong (agar-agar), Puteri Mandi, Puteri baju Hangus, Anak Dara Dua Sebilik, Badak Berendam, Dodol, Buahulu, Kuiah Bakar, Putu Kacang, Halua Betik, Halua Kabung, Kekaras dan lain-lain.

Begitulah keadaannya persekolahan yang aku dan beberapa orang rakan lain alami pada zaman British. Dan ketika berada di London setiap kali aku ‘bertemu’ dengan kuih-kuih yang dihidangkan di restoran-restoran atau dipamerkan di pasaraya-pasaraya, fikiran aku terus ‘menerpa’ semula kepada suasana dan keadaan ketika aku berada di sekolah orang putih dulu yang mana setiap bahan pelajarannya ‘menyogokkan’ tentang budaya penjajah.

Walaupun penjajah Inggeris ‘mengaut’ dan ‘mengeringkan’ khazanah negara aku, sekurang-kurangnya aku berterima kasih kepada penjajah kerana menyediakan persekolahan yang bermutu untuk aku dan berapa kerat anak Melayu yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih inggi.

Dan menjadikan aku seorang manusia. Bukanlah hanya setakat untuk menjadikan aku, ‘…….a better farmer and fishermen’ sebagaimana yang pernah dilafazkan oleh R.O. Winstedt.

abuhassanadam

5 Mac 2025

Tuesday, March 4, 2025

 KENANGAN MANIS BERBUKA PUASA BERSAMA DS ANWAR IBRAHIM 

Sekurang-kurangnya sekali pada setiap Ramadhan mereka dijemput berbuka puasa bersama Menteri Pendidikan pada ketika itu – DS Anwar Ibrahim  di rumah kediaman beliau ia itu di Bukit Damansara. Rumah lama sebelum berpindah ke Segambut. ‘Mereka’ yang aku maksudkan itu ialah pemimpin-pemimpin kesatuan guru Malaysia. Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat akan diwakili oleh Cikgu Noordin Mahmood (kini dah Dato’), Cikgu Kassim Muhammad, Cikgu Mahbud. Sementara Kesatuan Guru-Guru Malaysia diwakili pula oleh Cikgu Siva Subramaniam (dah Dato’ juga), Cikgu Nallathamby dll. Dari Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab pula terdiri dari Cikgu Muhammad Mustafa, Cikgu Kassim Harun dll.

Disamping beberapa kesatuan yang aku sebut disini, ada terdapat beberapa buah kesatuan guru lain yang dijemput juga untuk mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan dan berbuka puasa bersama. Aku tidak menyebutnya dalam artikel ini tidak bermakna bahawa mereka tidak penting dan tidak memberikan sumbangan terhadap perkembangan pendidikan negara. Tentulah mengambil ruang yang luas sekiranya semua nama-nama mereka dicatatkan di sini.

Mereka adalah antara pemimpin-pemimpin kesatuan guru yang aktif pada ketika itu. Awal 1990an. Mereka diingati disebabkan sokongan mereka yang padu kepada dasar kerajaan (tentunya dasar yang menguntungkan bangsa dan negara) disamping memberikan kritikan-kritikan yang membina terhadap sebarang dasar yang hendak dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran, khususnya yang dirancang dan hendak dilaksanakan oleh DS Anwar Ibrahim selaku Menteri Pendidikan pada ketika itu.

Pertama kali DS Anwar Ibrahim menyuarakan cadangan untuk mengadakan majlis berbuka puasa dengan pemimpin kesatuan ( yang bukan beragama Islam) telah menimbulkan keraguan banyak pihak tetapi tidak berani menyuarakan penentangan atas cadangan itu disebabkan segala keptusan yang diambilnya pasti beliau telah mengkaji dengan semasak-masaknya kesan baik dan buruknya.

Tugas aku sebagai Pegawai Khas beliau ketika itu tentulah melaksanakan apa yang telah diarah. Walaupun dengan tidak membabi buta, namun aku merasakan bahawa langkah yang diambil oleh Saudara Anwar pada ketika itu amat sesuai dalam negara yang mengamalkan berbilang kaum dan agama. Amat kena dan sesuai dalam usaha untuk merapatkan jurang perkauman dan agama di negara ini. Dan mungkin tidak ramai yang melakukan tindakan sepertimana yang dilakukan oleh beliau pada ketika itu.

Kami berbuka puasa bersama. Maksudnya menjamah makanan bersama sebelum menunaikan solat Maghrib. Siva, Nallathamby dan rakan-rakan lain ‘berbuka puasa’ bersama dalam erti kata mereka memulakan makan setelah masuk waktu berbuka puasa. Tidak kekok dan tidak janggal. Itu sebenarnya langkah pemufukan bangsa Malaysia sebenar dan bukan hanya sekadar cakap-cakap kosong untuk ‘menyedapkan hati’.

Berani aku mengatakan banyak isu yang berkaitan dengan dasar pendidikan negara dapat diselesaikan dengan cara begini. Tidak terdapat walau sedikitpun ketegangan dalam menyelesaikan isu-isu yang kritikal yang membabitkan hubungan kaum atau menyentuh isu-isu yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Semuanya berjalan dengan lancar melalui rundingan atas semangat tolak ansur. Apatah lagi pada ketika itu kerajaan Malaysia sedang mengkaji semula Akta Pendidikan (jikalau aku tak silap) yang barang tentunya membabitkan hal-hal yang berkaitan dengan isu-isu perkauman.

Mungkin agaknya Menteri Pendidikan Malaysia kini meneruskan apa yang telah dirintih dan dilakukan oleh Saudara Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan. Tetapi satu hal yang aku pasti ialah bahawa ketika teraju Kementerian Pendidikan ini dipegang oleh Dato Amar Dr. Sulaiman Daud, beliau meneruskan jamuan berbuka puasa dengan pemimpin kesatuan guru sepertimana yang dilakukan oleh DS Anwar Ibrahim itu.

Satu kelainan juga yang dilakukan oleh Dato Amar Sulaiman Daud ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan Malaysia ialah kemurahan hatinya menghantar Daun Palas (untuk membuat ketupat) kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berada di United Kingdom setiap kali menjelangnya Aidilfitri. Aku masih ingat bagaimana ‘sebeban’ Daun Palas telah dihantar oleh beliau ke London melalui penerbangan MAS yang mana pada ketika itu aku telah bertugas di London menjaga hal ehwal pelajar disana.

Dan beraya sakanlah para pegawai dan pelajar-pelajar Malaysia di London memakan ketupat Daun Palas hasil sumbangan YB Datuk Amar Sulaiman Daun (arwah). Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.


abuhassanadam

4 Mac 2025


Monday, March 3, 2025

 MENILAI KEPIMPINAN 'PEMUDA'

Konsep perjuangan amat rapat kaitannya dengan orang muda. Malah konsep perjuangan hampir sama dengan konsep nasionalisme yang dipopularkan Barat. Memperkatakan mengenai pemuda atau orang muda seolah-olah tidak lengkap jika tidak disertakan dengan perkataan ‘perjuangan menentang Malayan Union’. Ataupun sekiranya tidak disentuh mengenai perjuangan pemuda UMNO ataupun pertubuhan politik yang lain.

Persoalannya ialah apakah orang muda kini atau lebih tepat lagi generasi muda  kini betul-betul memahami perjuangan sebagai mana kefahaman yang dianuti oleh generasi lama ( yang mungkin sudah tidak ramai lagi yang berada di dunia ini).

Anak muda ( Melayu) sentiasa dikaitkan dengan Malayan Union. Apakah apabila tidak ada Malayan Union, maka sudah tidak ada perjuangan? Satu daripada sebab yang membawa kepada penubuhan UMNO ialah wujudnya Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada 1946. Tahukah anak muda kini apa itu Malayan Union dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Fahamkah anak muda kini bahawa sekiranya Malayan Union dipraktikkan dengan jayanya oleh British, maka akan hilanglah warisan Melayu yang berkait rapat dengan Kesultanan Melaka keturunan Bukit Seguntang.

Orang Melayu berjuang habis-habisan menentang gagasan yang cuba merendah-rendahkan dan menghina bangsa Melayu. Bermulalah satu perjuangan anak muda Melayu menegak dan menebus maruah bangsa Melayu yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah Malaysia sehingga tercapainya kemerdekaan pada 1957.

Apakah perjuangan orang Melayu sudah selesai? Dengan kata-kata lain apakah perancagan konkrit orang muda kini  untuk mengharungi Kurun ke 21. Pemuda dan pemudi era 1940an, 50an telah berjaya menumpaskan Malayan Union. Apakah sumbangan anak muda era kurun ke21 dalam meningkatkan taraf dan maruah bangsa Melayu di persada antarabangsa. Apakah pemimpin muda kini yang hanya pandai mempamirkan kebolehan mereka mengenengahkan isu yang tidak penting. Aku nampak masih kosong. Mungkin ada tetapi belum sampai kepada ‘pencapaian’ anak muda 1940an dan 1950an. Belum….

Dilihat dari persepektif sejarah, persiapan yang telah disiapkan oleh pemimpin terdahulu agak lengkap atau hampir lengkap. Bermula dari kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak sehinggalah kepada kepimpinan terkini seolah-olah telah menyediakan tapak yang cukup kukuh bagi anak muda untuk melonjak ke hadapan. Hanya memerlukan persiapan anak muda yang mantap bagi meneruskan perjuangan seterusnya. Banyak berlandaskan kepada kepimpinan. Jika tempang kepimpinan maka akan tempang jugalah perjalanan dan perjuangan bangsa.

Anak muda harus meneruskan perjuangan yang terhenti itu. Konsep anak muda di Malaysia tidak lagi terhad kepada anak muda Melayu tetapi sudah merangkumi anak muda Cina, India dan lain-lain. Anak muda Malaysia seharusnya mempunyai agenda yang tersendiri bagaimana untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bermaruah. Anak muda Melayu, Cina dan India harus berfikiran sebagai anak muda Malaysia dan bukan sebagai anak muda Melayu yang berjuang untuk menentang Malayan Union pada 1946 dahulu. Hakikat ini harus disedari oleh semua anak muda Malaysia.

Masyarakat Malaysia seolah-olah menunggu agenda besar yang harus diperjuangkan oleh generasi muda Malaysia kini. Apakah generasi muda kini masih belum bersedia untuk merangka satu agenda besar untuk kepentingan rakyat Malaysia. Apakah belum cukup ilmu di dada dan belum ‘terasah keris di pinggang’ untuk melancarkan satu perjuangan Abad ke 21.

Satu hakikat yang perlu ditegaskan juga walaupun amat pahit untuk ditelan ialah masih ada – atau sebenarnya masih ramai – anak-anak muda Malaysia ‘terikut-ikut’ dengan rentak ‘orang tua’ di negara ini. Maknanya apa yang telah dirangka oleh ‘orang tua’ terus menerus diikuti secara membuta tuli tanpa memikirkan baik buruknya ‘langkah’ yang telah diatur oleh orang tua ( yang terlebih dahulu makan garam) itu. Bak kata orang sekarang – tidak ternampak satu anjakan paradigma.

Anak muda Malaysia kena berfikir tentang masa hadapan yang akan mereka lalui. Masa hadapan adalah milik anak muda kini bukan milik ‘orang tua’ kini. Dan malangnya apa yang ‘diperjuangkan’ oleh anak muda kini tidak dapat dihayati oleh keseluruhan anak muda. Apakah tidak adanya ‘ Malayan Union’ maka anak muda kini sudah hilang arah dan tujuan dan seolah-olah mereka hilang pedoman. Seolah-olah anak-anak muda seperti layang-layang putus tali.

Sudah tentulah tidak ada masa bagi memikirkan soal perjuangan sekiranya kebanyakan masa dihabiskan untuk membicarakan perkara remeh dan tidak menguntungkan. Generasi muda harus mempersiapkan diri menempa dan berusaha untuk mengukir satu perjuangan yang boleh mengakngkat martabat bangsa di hari muka.

Tugas itu bukan senang. Ia memerlukan komitmen dan pengorbanan yang bukan kepalang. Walaupun ‘ribut dan taufan’ yang melanda, ‘orang tua’ masih yakin bahawa anak muda Malaysia yang terdiri Melayu, Cina dan India dapat melakarkan satu perjuangan besar yang boleh dibanggakan oleh bangsa Malaysia dan generasi tua yang bakal meninggalkan dunia ini.


abuhassanadam

3 Februari 2025



Sunday, March 2, 2025

 BERSAHUR DI ULU MENGKUANG

Aku ditempatkan mengajar di kampung Ulu Mengkuang. Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, Selama, Perak. Penempatan pertama aku sebagai seorang guru selepas tamat menerima latihan di maktab perguruan. DTC Taiping Perak. Tahun 1965.

Ulu Mengkuang adalah sebuah kawasan pendalaman. Desa pingitan ketika itu. Awal tahun 1960an. Kini Ulu Mengkuang sudah banyak berubah. Kali terakhir aku melawati Ulu Mengkuang pada tahun 2012. Sememangnya sudah banyak berubah. Sudah terbina sebatang jalan raya yang boleh terus ke Ijok, sebuah pekan kecil berhampiran dengan Batu Kurau, Perak.

Sebelum aku sampai ke kampung ini, aku tidak pernah dengar nama Ulu Mengkuang. Belum ada Google Map untuk mencari dimana letaknya kampung Ulu Mengkuang. Apabila saja aku menerima arahan pertukaran ke Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, puas aku bertanya kawan-kawan di mana letaknya Ulu Mengkuang. Yang peliknya Pejabat Pelajaran Perak pada ketika itu tidak pula menyatakan dalam surat pertukaran itu alamat penuh sekolah berkenaan. Sepatutnya ditulis,’ Sekolah Kebangsaan, Ulu Mengkuang, Rantau Panjang, Selama, Perak’ Sekiranya begitu alamatnya, maka tahulah aku bahawa sekolah Ulu Mengkuang terletak di Selama, Perak.

Ulu Mengkuang pada ketika itu sememangnya sebuah kawasan pendalaman. Sebenarnya tidak jauh dari Taiping. Hanya 60 kilometer. Maknanya jika dilihat dari sudut tahun 2014, kita boleh sampai ke Ulu Mengkuang dalam masa 1 jam dari Taiping. Tapi pada tahun 1965, aku bersama dengan ibuku mengambil masa 3 atau 4 jam untuk sampai ke Ulu Mengkuang. Apa tidaknya. Walaupun sudah berusia lapan belas tahun namun emak aku masih mahu menemani aku untuk ke Ulu Mengkuang. Dia bimbang  akan keselamatn aku.

Menaiki bas dari Taiping ke Selama, perak mengambil masa 1 jam 30 minit. Dan dari Selama ke Rantau panjang yang jauhnya hanya 5 km mengambil masa 30 minit ( kerana sentiasa ‘dihalang’ oleh binatang seperti lembu, kerbau dan kambing yang sentiasa berkeliaran di tengah jalan raya). Dari pekan kecil Rantau Panjang ke kampung Ulu Mengkuang adalah sejauh 8 km melalui jalan tanah merah dan terpaksa juga melalui batas sawah padi. Tidak ada kenderaan awam (yang sah) ke kampung Ulu Mengkuang. Yang ada hanya ‘kereta sapu’. Itu pun separuh jalan disebabkan tidak ada jalan raya yang menghubungkan ke Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang.

Di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuanglah tempat aku mula-mula menempa sejarah hidup ku ketika berumur 20 tahun setelah ‘graduate’ dari LCE (PMR) dan menjadi guru terlatih setelah tamat maktab perguruan. Aku bergelar ‘Cikgu”. Dan Ulu Mengkuang tidak akan dapat aku lupakan. Malah hampir semua murid-murid yang aku ajar dari tahun 1965 sehingga 1970 ( tak ramai pun. lebih kurang 60 orang ) aku ingat belaka nama mereka. Malah nama ‘glamour’ mereka pun aku ingat. “Din Botol Kicap’ misalnya.Aku meninggalkan sekolah berkenaan pada tahun 1970 untuk meneruskan perjalanan hidup ku ke University Malaya.

Tentulah banyak peristiwa  manis yang aku alami ketika berada di Ulu Mengkuang. Kisah pahit tentunya ada juga. Namun disebabkan terlalu banyak yang ‘manis’ maka yang ‘pahit ‘ itu akan hilang dengan sendirinya. Akan ku coretkan dari masa ke masa kisah-kisah manis ketika berada di kampung yang penuh nostalgia ini.

Aku sampai ke kampung Ulu Mengkuang pada  1 Januari 1965 ia itu dua hari sebelum hari persekolahan bermula. Bulan Ramadhan. Ditemani oleh arwah ibu ku. Mungkin agaknya beliau tidak ‘sampai hati’ melepaskan aku keseorangan merantau di tempat orang dalam usia yang agak muda begitu.

Aku tidak dapat melupakan peristiwa malam pertama ketika berada di Ulu Mengkuang. Kebetulan aku sampai di Ulu Mengkuang pada bulan Ramdhan. Aku disediakan sebuah ‘rumah guru’. ‘Rumah Guru’ yang dimaksudkan itu adalah sebuah pondok berdindingkan buluh yang dianyam (oleh orang kampung) dan beratapkan daun bertam. Lantainya juga buluh yang dianyam. Seperti ‘dangau durian’.Di situlah tempat aku bermalam bersama dengan ibuku. Dan di pondok itu jugalah aku akan tinggal selama aku bertugas di situ. Dan aku tidak tahu selama mana aku akan tinggal dalam keadaan sebegitu.

Suasana bersahur di Ulu Mengkuang meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam benak aku sampai kini. Pastinya aku akan mengembalikan ingatan aku kepada suasana bersahur di kampung Ulu Mengkuang ketika menjelangnya bulan Ramadhan. Walaupun di mana aku berada, suasana bersahur di Ulu Mengkuang menampakkan satu suasana yang cukup riang bagi penduduk. Walaupun dalam keadaan kegelapan menyelubungi kampung itu namun suasana riang itu tetap ada.

Setiap penghuni kampung mempastikan tidak seorang pun yang akan terlepas dari menikmati makan sahur. Pada ketika itu tentulah tidak ramai yang memiliki jam loceng untuk mengejutkan mereka dari tidur. Mungkin tidak ada langsung. Namun disebabkan kerjasama yang  begitu erat dari penduduk kampung, telah menyebabkan tidak ada seorang pun yang tidak akan terlepas dari bersahur.

Jiran-jiran akan mengejutkan antara satu sama lain. Dan pada malam itu saja aku masih ingat tidak kurang dari lima ‘panggilan’ yang aku terima untuk mengejutkan aku dan ibu dari tidur. ‘Cikgu…sahur Cikgu…’ Begitulah bunyinya panggilan mereka dengan penuh hormat. ‘Panggilan’ sedemikian akan terhenti setelah mereka melihat (agaknya) cahaya lampu pelita di pondok aku melalui lubang-lubang dinding buluh menandakan yang aku telah bangun dari tidur.

Begitulah keadaan penduduk Ulu Mengkuang pada malam-malam seterusnya pada bulan Ramadhan. Aku tidak dapat pastikan samada amalan sedemikian masih berterusan sehingga kini. Aku merasakan yang amalan sebegitu sudah tidak dapat diamalkan lagi terutama dengan berbagai pancaroba yang menghalang keadaan dan budaya sedemikian dapat diteruskan.

Itulah kisah manis yang dapat aku coretkan dan terus menjadi ingatan sampai kini walaupun dimana aku berada.    


abuhassanadam

2 Mac 2025

1 Ramadhan

Saturday, March 1, 2025

 SEKETUL  ICE DI BULAN RAMADHAN

Kata Peter Drucker dalam bukunya, "Post Capitalist Society', " Every few hundred years in Western history there occurs a sharp transformation. We cross what in an earlier book (The new Realities) I called a 'divide'. Within a few short decades, societies rearranges itself - its world view, its basic valued, its social and political structure, its arts: its key institutions. Fifty years later there is a new world. And the people born then cannot even imagine the world in which their grandparents lived and into which their own parents were born'

Kenyataan ringkas itu yang menyebabkan aku terpanggil untuk melakarkan coretan yang aku merasakan sangat berguna dan bermakna dan akan merupakan satu kerugian besar sekiranya tidak diabadikan. Tentulah apa yang akan aku lukiskan di halaman ini merupakan  isu yang jauh dari apa yang dibincangkan oleh Peter Drucker. Dia membincangkan tentang 'transformation' dalam berbagai  bentuk dan aku hanya membincangkan tentang 'seketul ice di bulan Ramadhan'.

Anak-anak zaman ini tentu tidak dapat mengerti tentang apa pentingnya seketul ice pada bulan Ramadhan itu. Memang tidak nampak kepentingannya tetapi 'penjual ice ketul' akan muncul di kampung-kampung hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Akan berkeliaranlah penjual ice di merata kampung pada waktu petang tatkala menunggu waktu berbuka puasa.

Tentulah timbul lagi persoalan mengapa jadi begitu?

Begitulah keadaannya suasana pada bulan Ramadhan di kampung-kampung pada ketika itu. Tidak seperti keadaan kini dimana ice boleh didapati dari peti sejuk yang berada di rumah, namun pada ketika itu tidak seorang pun ( di kampung  aku' yang mampu memiliki peti sejuk. Jikalaupun ada yang termampu maka belum ada lagi kuasa eletrik yang masuk ke kampung aku.

Biar aku ceritakan latarbelakang kampung aku dan suasana yang menyelubungi Ramadhan pada ketika itu. Kampung Ekor Dusun namanya. Pada ketika itu hanya terdapat lebih kurang tiga puluh keluarga disitu. Semuanya 'berbau bacang'. Maknanya kaum keluarga, kait mengait antara satu dengan yang lain. Kenal mengenali antara satu dengan yang lain. Harmoni sungguh kehidupan pada ketika itu. Seronok sangat rasanya dan teringin benar untuk kembali pada zaman itu. Namun suasana sedemikian tidak berulang lagi.

Sebuah surau di kampung itu ( kini surau itu dah tidak ada lagi) memainkan peranan yang cukup besar dalam menyatu dan memeriahkan suasana di kampung ku. Terletak berhampiran dengan sawah padi di kampung ku. Dan pada waktu2 padi menguning maka ramailah yang 'bersidai' di bawah surau itu disamping menikmati angin petang yang bertiup kencang dari Gunung Pondok.

Berhampiran dengan surau Ekor Dusun itu pula terdapat 'swimming pool' yang boleh dimanfaat oleh kanak-kanak di kampung ini untuk belajar berenang. Aku juga mendapat manfaat dari 'swimming pool' ini. Dari situlah aku belajar berenang - kuak lentang ke kuak tiarap ke. Hanyalah tali air yang diempang dan di sekat untuk mengalirkan air ke sawah padi. Itulah 'swimming pool' kami anak kampung.

Dari surau Ekor Dusun terdapat sebatang jalan ( bukan jalan raya!!), jalan basikal untuk menuju ke pekan kecil Padang Rengas yang jauhnya lebih kurang dua kilometer. Inilah jalan yang digunakan oleh penduduk kampung pada ketika itu untuk pergi balik ke Padang Rengas disamping untuk mendapatkan keperluan barangan harian.

Sedikit latarbelakang tentang apa yang aku akan ceritakan nanti.

Suasana penceritaannya tentulah pada tahun-tahun 1950an dimana sudah tidak ramai lagi yang masih ada di dunia ini. Sekurang-kurangnya aku akan mneceritakan apa yang berlaku pada ketika itu supaya dapat diketahui dan diselami oleh anak-anak kini tentang kehidupan di zaman itu.

Penjual ice di kampung aku hanya muncul pada bulan Ramdhan - bulan puasa. Peniaga ice kebiasaanya budak kampung aku yang mencari perbelanjaan untuk keperluan pada hari raya nanti. Dan peniaga ice sedemikian hanya wujud pada bulan puasa sahaja dimana diperlukan untuk keperluan berbuka puasa. Kehadiran penjual ice ini telah menambah memeriahkan suasana kampung pada bulan Ramadhan di kampungg aku. Dan suasana sedemikian bukan sahaja berlaku di kampung aku, malah suasana sedemikian berlaku juga di kampung-kampung lain.

Sehari sebelum menyambut Ramadhan (seperti hari ini), Ajid (penjual ice di kampung ku) sudah mula bersiap-siap menyediakan persediaan menjual ice yang dibelinya dari pekan Padang Rengas. Serbuk kayu amat mustahak sebagai persediaan untuk membalut ketulan ice supaya tidak cair dan boleh bertahan sementara dalam perjalanan dari pekan Padang Rengas ke Kampung Keroh Hilir yang mengambil masa tiga puluh minit (pada ketika itu).Itulah kegiatan yang dijalankan oleh Ajid sepanjang bulan Ramadhan dan merupakan pendapatan yang dikira lumayan bagi Ajid.

Laungan Ajid (ice, ice !!) hanya terdengar pada bulan Ramadhan dan sebenarnya bagi aku merupakan 'perencah' kepada meriahnya suasana bulan Puasa di kampung ku. Keriangan terpancar pada kanak-kanak yang dapat menikmati 'ice serbat' pada waktu berbuka puasa suatu keadaan yang mereka diperolehi hanya pada bulan Ramadhan. Ketiadaan penjual ice seperti Ajid semacam 'memuramkan' suasana berpuasa di kampung ku.

Aku amat merindui suasana sedemikian. Kini sudah tiada lagi....


abuhassanadam

1 Mac 2025


Friday, February 28, 2025

PENULIS TULIN DAN PENULIS UPAHAN

PENULIS TULIN DAN PENULIS UPAHAN

Kadang-kadang geli hati juga melihat setengah penulis kini yang ‘terkial-kial’ menulis mengenai sesuatu isu yang diciptakan sendiri oleh mereka ataupun diciptakan oleh ‘boss’ mereka. Maksud aku tentang perangai setengah penulis blog upahan. Mereka terpaksa menulis mungkin untuk mencari sesuap nasi pagi dan petang. Dan sekiranya mereka tidak menghasilkan sesuatu, maka besar kemungkinannya ‘dapur mereka tidak berasap’. Ini yang aku perhatikan tentang perangai setengah penulis upahan. Dan tentulah tidak adil mengatakan begitu kerana begitulah cara 'orang baru' menempa nama.

Satu perkara yang aku perhatikan kini adalah kurangnya ilmu penulis untuk menyampaikan hasrat dan pandangan bernas yang merupakan inti kepada bahan menulisan yang bererti. Diperhatikan bahawa kebanyakan penulis yang baru muncul kini hanya menghidangkan bahan-bahan penulisan yang ringan yang berbentuk ringan. Berlaku keadaan sebegini disebabkan apa yang mereka 'hidangkan'. kepada masyarakat terus diterima bulat-bulat. Menampakkan bahawa anggota masyarakat kita kurang kritikal dalam menilai sesuatu bahan yang dihidangkan.

Keadaan sebegini semacam serupa dengan keadaan dimana pemimpin politik di negara kita kini sudah tidak bimbang kalau-kalau apa yang dihidangkan mereka kepada rakyat tidak diterima. Diperhatiakn bahawa apa yang mereka hidangkan bulat-bulat diterima oleh rakyat tanpa 'tapisan'. Lantas penulis terus menerus menghidangkan sesuatu yang tidak langsung ada tapisan dengan harapan apa bahan yang dihidangkan terus menerus diterima oleh rakyat. Walaupun tidak semuanya begitu namun begitulah keadaan yang berlaku kini terutama dikalangan ahli politik pembangkang di parlimen. Dan tidak pula dinafikan yang keadaan sedemikian tidak berlaku dikalangan ahli parlimen kerajaan.

Berbanding dengan penulis tulin yang tidak mendapat apa-apa upahan walau dari sesiapa pun. Tidak ada siapa yang boleh ‘mengarahkan’ mereka untuk berbuat itu dan ini. Penulis tulin akan menulis apa saja yang  terlintas di fikirannya ‘without fear or favour’. Tidak ada ‘boss’ yang mengarahkannya untuk menulis tentang sesuatu isu. Dan kehidupan seorang penulis tulin adalah seperti burung yang terbang bebas di angkasa luas.

Membincangkan tentang hal ini tentulah aku teringat akan penulis-penulis lama yang agung seperti Pendeta Za’ba, Abdul Rahim Kajai, Ishak haji Muhammad, Usman Awang, Keris Mas, Samad Ismail dan ramai lagi yang menulis sesuatu mengenai sesuatu isu atas kehendak dan dorongan hati dan perasaan yang ikhlas. Mereka dikira beruntung disebabkan oleh ‘mewah’nya isu yang hendak dipaparkan, terutama  pada ketika itu tanah air kita masih di bawah jajahan British. Lantas apa saja yang ditulis dan dipaparkan samada dalam bentuk rencana atau Cerpen atau Sajak kesemuanya berlegar disekitar penjajahan British.

Pada ketika itu tidak timbul isu ‘Penulis Upahan’ sepertimana sekarang ini. Mungkin ada tetapi tidak begitu menonjol. Mungkin ada juga penulis upahan yang diupah oleh pihak penjajah. Namun tidak begitu ketara seperti sekarang. 

Kadang-kadang aku terfikir juga bahawa peranan seorang penulis upahan (penulis blog upahan) misalnya boleh juga diibaratkan seperti pelacur ( maaf agak keterlaluan). Aku katakan begitu disebabkan kebanyakan mereka menulis atas arahan tertentu dan diberi upah untuk menghasilkan sesuatu. Yang menyedihkan ialah seseorang penulis upahan itu terpaksa ‘memerah otak’ untuk menulis sesuatu isu yang tidak betul dan tidak tepat. Ringkasnya isu rekaan yang semata-mata untuk mengambil hati ‘boss yang memberi upah' kepada mereka.

Istilah ‘spin doctor’ sentiasa digunakan untuk golongan penulis seperti ini. Mereka akan sedaya upaya ‘memutar-belitkan’ sesuatu fakta demi meyakinkan pembaca tentang hujah yang mereka kemukakan walaupun hujah yang dikemukakan mereka itu amat dangkal. Dan yang agak malang bagi golongan ini ialah mereka lupa bahawa mereka berhadapan dengan pembaca yang sudah matang dan sudah dapat menghidu ke arah mana hala sesuatu hujah dalam tulisan berkenaan.

Mereka sudah lupa bahawa mereka berhadapan dengan masyarakt dan pembaca Kurun ke 21.

abuhassanadam

28 Februari 2025


Thursday, February 27, 2025

 MENCARI PENGGANTI DS ANWAR

Seingat aku belum ada lagi tokoh yang boleh jadi pengganti Anwar Ibrahim sengai Perdana Menteri Malaysia. Belum ada. Puas aku 'bergelumang' dengan pencarian ini namun belum juga terjumpa. Semenjak aku menjadi seorang guru sehinggalah menjadi Pengarah Jabatan Penunutut Malaysia  di London yang 'bergelumang' dengan pelajar-pelajar. Belum ada yang boleh meletakkan diri sebagai pengganti Anwar Ibrahim.

Tentulah aku terpanggil untuk menyatakann sesuatu apabila muncul isu kontroversi berkaitan denga Anwar Ibrahim.Ada juga yang memperoalkan mengapa Saudara Anwar masih tidak mahu melepaskan jawatan sebagai Presiden PKR sedangkan (pada pendapat mereka) sudah ada bayangan pengganti beliau mengikut pandangan setangah ahli 'nujum'.Golongan itu yang mendasarkan dapatan berdasarkan ramalan-ramalan yang mereka lakukan, petunjuk yang menunjukkan bahawa seolah-olah Saudara Anwar sudah tidak begitu relevan untuk memimpin Parti Keadilan Rakyat.

Betulkah begitu?. Betulkah Saudara Anwar sudah tidak begitu relevan lagi dalam arena politik tanah air.Jikalau begitu anggapan majoriti rakyat Malaysia,khususnya dari ahli PKR sendiri, maka sudah sampai masanya Saudara Anwar mengundurkan diri. Soalnya siapakah yang akan jadi penggantinya.

Aku berkesempatan bertemu dan berbincang dengan beberapa orang anak muda yang rata-rata berumur 20 dan 30 tahun.Aku tanyakan apa yang mereka tahu dan faham mengenai Saudara Anwar Ibrahim. Hampir keseluruhannya menyatakan yang Saudara Anwar, adalah bekas banduan dan dipenjarakan kerana kesalahan dan diputusakn oleh mahkamah. Hanya satu atau dua orang yang mahu berbincang mengenai mengapa beliau dipenjarakan dan melahirkan rasa kecewa mereka terhadap tindakan yang dikenakan ke atas beliau. (Dan secara kebetulan apabila disiasat latar belakang anak muda berkenaan, mereka adalah anak kepada seorang guru dan secara kebetulan bapanya adalah ‘Otai’ Reformasi.

Aku amat terkejut juga apabila diberitahu bahawa pengaruh Saudara Anwar agak menurun kini dan tidak sepertimana pada zaman-zaman keagungan beliau. Jawapan yang diberikan amat ‘membuka mata’. Ramai anak muda kini tidak mengenali Anwar Ibrahim sebagaimana anak muda yang seangkatan dengan beliau samada ketika bersekolah atau ketika berada di University ataupun ketika terlibat dalam persatuan dan politik. Pandangan mereka terhadap Anwar Ibrahim amat berbeza dengan ‘orang muda’ ( tahun 70an, 80an, 90an). Dan tentunya mereka juga telah dipengaruhi oleh pandangan nagatif terhadap beliau disebabkan oleh pengaruh fahaman politik.

Terus terang aku katakan yang aku masih mencari anak mudn yang boleh menggantikan peranan yang telah dimainkan oleh Anwar Ibarhim. Masih tidak Nampak ‘tokoh anak muda’ yang dilantik sebagai Pengerusi Penasihat Belia Bangsa-Bangsa Bersatu sebagaimana yang pernah disandang oleh Anwar Ibrahim. Tidak Nampak ketokohan anak muda kini yang sanggup menjadi ahli forum ( melibatkan dua orang tokoh Saudara Lee Kuan Yew dan Dr. Mahahthir Mohammed), menyatakan pandangan beliau sebagai seorang mahasiswa.

Begitu ramai anak muda di Malaysia yang tidak mengetahui sejarah hidup dan perjuangan Saudara Anwar Ibrahim ketika dibangku sekolah (Malay College Kuala Kangsar) ataupun ketika di University Malaya (Presiden Persatuan Bahasa Melayu University Malaya dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia. Banyak lagi persatuan yang diceburi sebelum melibatkan diri dalam politik. Dan menjadi Presiden ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia).

Dalam diam-diam aku masih mencari ‘pengganti’ Saudara Anwar. Melalui pengamatan aku belum ada lagi tokoh anak muda yang boleh menggantikan peranan yang telah dimainkan oleh Saudara Anwar. Ketika menjawat jawatan Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan ( DS Abdullah Badawi dan Saudara Anwar Ibrahim (akhir 1980an dan awal 1990an) walaupun tugas aku bukan mencari pengganti Anwar Ibrahim, namun aku masih mencari-cari siapakah anak muda yang layak mengambil tempat Anwar Ibrahim.

Tahun 1995, aku ditugaskan sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malysia di United Kingdom dan Eire. Peluang terbuka luas untuk mencari ‘pengganti’ Anwar Ibrahim. Takkan lah daripada 35,000 pelajar Malaysia tyang menuntut di Ubited Kingdom dan Rire itu tidak akan terjumpa seorang tokoh anak muda untuk mengambil tempat Anwar Ibrahim. Mesti jumpa. Hanya menunggu lambat dan cepat sahaja. Namun sehingga kini semacam belum ada tokoh yang dicari.

Dalam satu majlis yang dihadiri oleh YTM Sultan Azlan Shah ( Sultan Perak – Sultan teman tu), di Hotel Dochester, London seorang anak muda telah memperkenalkan dirinya mengatakan yang beliau adalah penuntut di Cambridge. Dan beliaulah yang bersungguh-sungguh benar menjemput aku agar hadir pada majlis yang dia juga berperanan besar di situ ( sedangkan aku baru saja menjejakkan kaki di bumi mat salleh). Ini keadaan luar biasa. Hebat ‘budak’ ini kata hati kecil ku. ADLAN BENAN BIN OMAR Namanya. Mungkin 'budak' ini boleh menggantikan Anwar Ibrahim, kata hati kecilku.

Bermula dari situlah hubungan aku dan Adlan Benan amat rapat. Dan setelah aku siasat dan selidiki memang dia amat tepat menggantikan peranan yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim.Pernah satu hari beliau menyatakan pada aku yang dia akan akan menyanggah pendapat dan pandangan DS Anwar Ibrahim yang pada ketika itu sebagai Menteri Pendidikan. 

“Pak Abu tak apa ke?’ Dia minta kepastian pada aku ia itu tentang hasratnya untuk berbeza pendapat dengan Saudara Anwar Ibrahim.

“Takda masalah’ jawab ku. Pada keesokan harinya beliau telah menghantar sebeban kertas disamping hujjah yang begitu padat untuk aku sampaikan kepada Saudaran Anwar Ibrahim, yang merupakan Timbalann Perdana Meneteri ketika itu. 

Bermula saat itulah rapatnya perhubungan antara Saudara Anwar Ibrahim dengan Adlan Benan (seorang budak yang cukup pintar yang difikirkan sesuai menggantikan Saudara Anwar Ibrahim) Dan ketika dalam satu majlis di Malaysia Hall London, aku serahkan tugas mengendalikan majlis berkenaan kepada Adlan Benan dan rakan-rakannya dari UKEC (United Kingodm Excutive Council).1997 (jikalau tak silap) Adlan Benan dah tamat pengajian di Cambridge dan akan pulang ke Malaysia. Tentulah berlaku perubahan dari segi pentadbiran dalam UKEC. Aku bimbang persatuan yang ditubuhkan itu gagal berfungsi sepenuhnya.

“Siapa ganti kamu Lan?’ Tanya ku pada suatu hari.

“RAFIZI RAMLI” katanya ringkas.

Kini Adlan Benan sudah tiada lagi. Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihahah semoga rohnya ditempatkan dikalangan yang beriman.


Abuhassanadam

27 Februari 2025


Wednesday, February 26, 2025



MASIH LEMBUT UBUN-UBUNNYA 

Keadaan anak muda yang terlibat dalam perjuangan sentiasa diibratakann oleh ‘orang tua-tua’ seperti anak kerbau yang sentiasa ‘bergerak’ menanduk sesiapa saja yang cuba menentangnya. Pendek kata lambat ‘terusik’ pasti akan menerkam. Itulah gambaran yang dipaparkan oleh ‘orang tua-tua’terhadap anak muda, khususnya yang terlibat aktif dalam politik. Golongan muda (yang berubun-ubun lembut) harus sentiasa ‘menoleh ke belakang’ dan mempelajari sedikit sebanyak petua golongan tua agar tidak tergelincir. Slogan ‘Pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara itu’ amat sesuai dipakai sepanjang zaman’. 

Atas pemerhatian sedemikian, lantas mendorong aku untuk menyorot tentang politik era baru di Malaysia menampakkan sedikit kelainan berbanding dengan keadaan politik sebelumnya. Yang paling ketara ialah usaha mengenengahkan orang muda. Pemimpin muda mula ditonjolkan dengan harapan mereka boleh menjadi pemimpin menggantikan pemimpin tua pada suatu hari. Hasrat ‘pemimpin tua’ untuk menonjolkan pemimpin muda seharusnya dipandang tinggi oleh golongan muda.

Sememangnya sudah ada slogan perjuangan pada zaman kemerdekaan dahulu yang mengatakan bahawa , ‘pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara’. Tetapi di hari-hari kemudian ini sudah jarang kedengaran slogan yang sedemikian sedangkan slogan sebegitu amat sesuai untuk membakar semangat anak muda yang menjadi harapan bangsa dan serikandinya menjadi tiang negara. Bukankah pernah diungkapkan oleh Raden Ajeng Kartini dari Indonesia yang menyebut bahawa, ‘ tangan kiri menghayun buaian dan tangan kanan menggoncang dunia’. Dan pejuang Sukarno pula pernah mengungkapkan, ‘berikan aku seratus pemuda untuk aku bebaskan Indonesia sebelum berkokok ayam’.

Anak muda Malaysia mungkin tidak secocok dengan slogan-slogan sedemikian. Mungkin sudah ada ciptaan baru yang mereka cipta sendiri demi untuk penerusan perjuangan bangsa dan negara. Sementelahan pula sudah ramai anak muda yang berpelajaran tinggi ‘mengatasi’ apa yang dicapai oleh golongan tua kini semasa mereka masih muda remaja.

Yang agak membimbangkan mengenai pemimpin muda kini ialah keghairahan untuk menjadi pemimpin sehinggakan lupa batas-batas nilai yang perlu diikuti untuk meletakkan diri sebagai seorang pemimpin.Golongan muda kini sangat cepat ‘meniru’ gelagat dan ‘amalan’ yang dilakukan oleh golongan tua khususnya pemimpin tua. Kelihatan kini sudah ramai golongan muda ( para pemimpin dan pegawai kerajaan) yang sudah berjinak-jinak dengan kegiatan rasuah ( yang kebiasaannya diamalkan oleh golongan tua ataupun pemimpin tua).

Sudah banyak kali dilaporkan tentang kegiatan negatif yang dilakukan oleh golongan muda kini yang kadang-kadang amat merunsingkan. Pemimpin-pemimpin muda yang berkecimpung dalam politik seolah-olah berfahaman bahawa keterlibatan dalam politik merupakan jalan singkat untuk mengejar kekayaan dan kesenangan. Tidak dapat dinafikan bahawa ‘falsafah’ sedemikian adalah merupakan ‘ajaran dan falsafah’ dari pemimpin tua juga. Namun jikalau keadaan demikian berterusan, apakah kegiatan rasuah sedemikian dapat dibendung?

Sepatutnya para pemimpin muda bertekad untuk berjuang memerangi rasuah secara habis-habisan. Cukuplah apa yang berlaku dibawah pentadbiran yang lepas yang menyebabkan negara hmpir-hampir bankrup disebabkan para pemimpin negara yang rasuah. Jikalau ada pun para pemimpin yang tidak rasuah (kononnya!) mereka tidak pula cuba menghalang kegiatan sedemikian dilakukan oleh rakan-rakan mereka yang lain. Dalam hal sebeginilah para pemimpin muda (pemuda dan pemudinya) harus bertekad untuk ‘memerangi’ merebaknya gejala rasuah dikalangan pemimpin.

Aku masih teringat tekad perjuangan anak-anak muda zaman awal 1970an khususnya yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi pada ketika itu – Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, ITM. Senang cakap zaman anak muda pimpinan Anwar Ibrahim. Perjuangan anak muda khsusnya para pelajar universiti ketika itu ialah sebagai ‘the conscience of the majoriti’. Perjuangan kita pada ketika itu ialah untuk membangunkan masyarakat luar bandar yang amat jauh tercicir dari pembangunan yang sepatutnya.

Anak mahasiswa mengadakan kempen kesedaran dengan menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air dan cuba melakukan sesuatu dalam apa segi sekali pun yang matlamatnya untuk memajukan orang Melayu khsusnya yang jauh ketinggalan. Bukan sahaja para mahsiswa yang berkecimpung ‘terjun’ bersama mahasiswa lain ke kampung-kampung, malah yang sudah berjawatan tinggi juga sama-sama melibatkan diri. Tentulah tidak dilupakan sumbangan tokoh-tokoh seperti Tan Sri Ishak Tadin, Dato Hassan Ibrahim, Tan Sri Ani Arop, Tan Sri Arshad Ayub ( dan ramai lagi ) yang sama-sama memberikan semangat kepada anak muda mahsiswa pada ketika itu.

Pemimpin muda kini mungkin pernah tahu dan kenal siapa dia tokoh-tokoh yang disebutkan di atas. Mungkin juga anak-anak muda hanya mengenali Anwar Ibrahim  selepas tahun 1999 tetapi tidak mengenali perjuangan Anwar Ibrahim sebelum itu. Seingat aku belum ada lagi anak muda Malaysia yang boleh menandingi perjuangan dan pencapaian anak muda Malaysia yang bernama Anwar Ibrahim. Pencapaian beliau bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga di peringkat antara bangsa. 

Oleh itu sudah sampai masanya anak muda kini terutamanya pemimpin muda ( yang berubun-ubun masih lembut)  mengkaji sejarah perjuangan tokoh-tokoh lama supaya dapat dijadikan iktibar dan pasak perjuangan untuk masa hadapan. 


abuhassanadam

26 Februari 2025


Tuesday, February 25, 2025

 SEPANDAI TUPAI MELOMPAT

Dapat aku bayangkan tentang kebimbangan dan kerisauan yang dialami oleh banyak orang di Malaysia kini yang sedikit sebanyak terlibat dengan kegiatan rasuah. Aku yakin ramai pemimpin negara dan para pegawai tinggi kerajaan yang tidak berapa lelap tidur memikirkan nasib yang akan menimpa mereka. Mungkin hanya menununggu ‘hari baik dan bulan baik’ untuk rumah mereka diserbu oleh pegawai SPRM. Dan tentulah mereka juga faham dan sedar tentang lumrah alam ia itu ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’.

Peribahasa ini harus disedari dan dihayati oleh mereka yang belum lagi terlibat dengan kegiatan rasuah. Bermula dari Perdana Menteri sehinggalah Menteri-Menteri dan Pegawai tinggi kerajaan harus sedar tentang hakikat ini. ‘Pembalasan’ di dunia akan sampai juga lambat laun. Hanya masa yang menentukan. Sepandai mana ‘tupai melompat’ akhirnya pasti jatuh ke tanah juga. Sebijak mana pun perasuah ini cuba menyembunryikan diri namun akan ‘terserlah’ juga kegiatan mereka yang terkutuk itu.

Aku terasa sedih membaca berita pegawai tinggi kerajaan kita yang terlibat dengan kegiatan rasuah berkenaan. Sebagai golongan ‘warga emas’ aku dapat merasakan derita yang dialami oleh ‘tokoh’ yang dilibatkan dengan kegiatan rasuah itu.Tidak dapat aku bayangkan betapa ‘terhina’nya keluarga ‘tokoh’ yang terlibat dengan rasuah itu. Bayangkanlah, dalam usia yang sedemikian, yang sepatutnya berada ‘diambang’ untuk merehatkan diri setelah ‘bertungkus lumus’ (kononnya!) berkhidmat untuk negara, tiba-tiba nasib yang sedemikian yang menimpa. Bukan lagi tilam empuk dan bilik berhawa dingin yang menanti dan menunggu tetapi sesuatu keadaan yang tidak pernah terbayang di hati perasuah sedemikian.

Apakah erti kekesalan dalam keadaan yang sedemikian. Ini yang dikatakan ‘sesal dahulu pendapatan dan sesal kemudian tiadak berguna’. Tentulah tidak terfikir ‘tokoh’ yang menerima rasuah, yang memiliki harta yang melimpah ruah, wang berjuta disamping barangan-barangan yang berjenama mewah terjerumus dalam keadaan yang amat terhina.Apalah ertinya wang berjuta apabila ‘ditenggelamkan’ dalam keadaan sedemikian. Apakah erti hidup bagi ‘tokoh’ yang mengalami keadaan sedemikian.

Untuk menambah peritanya derita yang dialami tentulah keluarganya ( yang turut bersalah) dan yang tidak bersalah. Jikalau pun anggota keluarganya turut bersubahat dengan keadaan sedemikian, tentulah ibu dan bapa yang tua di kampung tidak dapat dipersalahkan kerana ‘mendidik’ anak yang sedemikian.Tentulah keadaan yang sedemikian tidak diinginkan oleh ibu bapa yang mendidik anak semenjak dari kecil. Tentulah berbagai nasihat dan pengajaran yang telah dicurahan oleh si ibu dan si bapa agar anak menjadi manusia yang berguna dan bukannya menjadi perasuah dan ‘makan wang haram’. Tentulah sejarah hitam akan terus berpanjangan sehingga melangkau beberapa generasi yang akan datang. Dan kisah ‘hitam’ sebegini akan terus disebut dan diingati sehingga beberapa dekad yang akan datang.

Apakah ibu bapa kepada perasuah boleh lena dan dapat melelapkan mata pada waktu malam apabila mengenangkan anak didikannya berada di dalam lokap dan berkemungkinan akan terus berada di penjara suatu ketika nanti.

Apakah ibu bapa kepada perasuah dapat mengelakkan diri dari cemuhan masyarakat ekoran daripada tindakan anak (perasuah) yang tidak berhati perut.

Apakah anak atau cucu kepada perasuah dapat merasa tenang ketika berada di sekolah, apabila berhadapan dengan rakan-rakan sekolah yang tahu kisah ‘pencurian wang’ yang dilakukan oleh datuk nenek mereka.

Dan yang paling menyedihkan lagi ialah apabila ada anggota keluarga yang sanggup bersubahat dan terus melakukan kegiatan rasuah yang dilakukan oleh bapa mereka. Dan ada juga terdengar tentang kisah isteri pegawai tinggi yang perasuah itu adalah merupakan seorang guru.

Ke manalah agaknya hilang pedoman dan ‘perjuangan’ seorang guru yang sepatutnya menjadi contoh dan cermin masyarakat, membiarkan sang suami bermaharajalela ‘membaham’ wang rakyat yang merupakan titik peluh petani dan nelayan. Apakah tidak merasa berdosa dan bersalah ketika ‘mendidik’ anak-anak di sekolah?

Rakyat Malaysia sedar dan faham bahawa kegiatan menerima rasuah dan pembaziran merupakan satu fenomena yang lumrah di Malaysia kini. Kegiatan sedemikian seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dan ‘darah daging’ dikalangan pemimpin negara dan pegawai tinggi kerajaan di Malaysia. Saban tahun Ketua Audi Negara membentangkan keteresan yang berlaku dalam perbelanjaan wang negara oleh kementerian-kementerian di Malaysia. Seolah-olah apa yang disuarakan oleh Ketua Audit Negara itu dipandang sepi oleh pihak-pihak tertentu.

Terjadi kegiatan rasuah yang berleluasa ini mungkin juga didorongkan oleh prinsip ‘Kepimpinan Melalui Teladan’. Mungkin juga disebabkan oleh adanya pemimpin negara yang sudah tidak segan silu melakukan kegiatan yang terkutuk ini telah menyebabkan pemimpin bawahan dan pegawai kerajaan negara ini sudah tidak segan silu lagi melakukan kegiatan sedemikian. Mungkin…

Mungkinkah suatu ketika nanti negara ini diberi gelaran Negara Rasuah? Aku sentiasa memikirkan tentang nasib anak cucu aku yang akan datang yang terpaksa menanggung beban hutang yang membebankan.

abuhassanadam

25 Februari 2025



Sunday, February 23, 2025

WAK MALAYA

Sebenarnya yang boleh dianggap sebagai ‘downtown’ bandar Kuala Kangsar ialah di ‘Lembah’. Aku tak tahu samada ‘Oghang kuale’ masih ingat lagi dimana letaknya ‘Lembah’ itu. Aku pasti anak-anak muda tidak lagi tahu kedudukan ‘lembah’ itu. Mungkin mereka tahu tetapi tidak dapat membayangkan ‘kehebatan’ lembah pada tahun-tahun 1950an dan 1960an. Memang hebat!..

Yang dikatakan kawasan ‘Lembah’ itu ialah kawasan yang berdekatan dengan Sungai Perak. Dari Jam Besar yang berdekatan dengan ‘white bridge’ (mengahala ke Bukit Chandan) sehinggalah ke ‘gigi’ Sungai Perak. Di situlah pusat kegiatan yang paling sibuk pada tahun-tahun 1950an dan 1960an, khususnya pada hari-hari Sabtu dan Ahad. Dan yang paling ‘happeing’ sekali ialah pada hari-hari menjelang bulan Ramadhan dan menjelang Hari Raya AidilFitri.

Tidak dapat aku bayangkan kesibukan dan keseronokannya pada waktu itu!...

Kawasan ‘Lembah’ pada waktu itu redup dan nyaman kerana dinaungi oleh rimbunan pokok Ara yang kebanyakannya lebih sepemeluk. Dan tentunya tidak sesibuk sekarang kerana pada waktu itu tidak banyak kereta yang lalu lalang di kawasan itu. Maknanya di situ merupakan kawasan bersantai (walaupun bukan hasratnya ke situ untuk bersantai). Mungkin keadaan yang sedemikianlah yang menjadi faktor untuk mendorong orang Melayu kelihatan ‘relax’ sebagaimana yang digambarkan oleh penulis Barat seperti R.O. Winstedt ataupun Maxwell.

Yang tidak dapat aku lupakan tentang ‘Lembah’ ialah tentang kehadiran penjual ubat yang begitu ramai di situ untuk menjual berbagai ubat untuk berbagai jenis penyakit. Itu merupakan satu fenomena tahun 50an dan 60an yang kini sudah tidak kelihatan lagi. Di ‘Lembah’lah para penjual ubat ini ‘berkempen’ untuk menjual ubat-ubat mereka. Dan suasana yang ada di situ pada ketika itu merupakan satu pesta yang pasti diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Aku juga jarang melepaskan peluang untuk ke situ bersama Atuk ku.

Antara ‘ceramah’ penjual ubat yang paling menyeronokkan (bagi aku dan Atuk aku juga)  ialah yang disampaikan oleh ‘Wak Malaya’. ‘Wak Malaya’ sememangnya penjual ubat yang terkenal di seluruh Malaya pada ketika itu. Aku tak tahu apa jenis ubat yang dijualnya dan untuk penyakit jenis apa. Tetapi yang aku pasti ialah begitu ramai yang membeli ubatnya. 50 sen sebotol. Mungkin yang membeli ubat ‘Wak Malaya’ itu sebenarnya sebagai ‘sumbangan’ di atas ‘ceramah’ yang disampaikannya. Mungkin.

Berdekatan dengan Jam Besar adalah deretan penjual Cendol (pada ketika itu). Seingat aku ada terdapat lebih kurang 10 buah gerai penjual cendol dan kesemuanya terdiri dari kumpulan mamak. 10 sen semangkuk. Amat puas untuk menghilangkan dahaga (untuk kanak-kanak seperti aku pada ketika itu). Untuk mengenyangkan pula, cendol akan dicampurkan dengan pulut. Hanya tinggal kenangan dan tidak dapat dilupakan apabila pulang sekali sekala ke kampung.

Suasana di tepian Sungai Perak pada tahun-tahun 50an dan 60an adalah lebih kurang sama dengan suasana yang digambarkan oleh P.Ramlee dalam filemnya yang berjodol,’Pendekar Bujang Lapuk’. Saling tak tumpah. Pada ketika itu terdapat bot penambang yang dimiliki oleh pemilik Melayu bernama Pak Bidin (jikalau aku tak silap). Dan penduduk dari kampong Sayung yang ingin ke Kuala Kangsar terpaksalah menyewa bot penumpang dengan bayaran tambang sebanyak 15 sen ( Jika aku tak silap).

Olehkerana belum ada jalan raya ke Kati dan Kampong Cheh, maka untuk pergi ke tempat-tempat berkenaan terpaksa juga menyewa bot. Aku pernah menaiki bot berkenaan dalam perjalanan dengan Opah aku ke Kampung Cheh untuk menghadiri majlis khenduri kahwin. Amat menakutkan!. Dan tidak pula terdapat peristiwa bot tenggelam atau karam pada ketika itu. Pelik juga…

Dan tidak lengkap coretan ini sekiranya tidak aku masukkan kisah ‘Mee Lambung’. Di tepian Sungai Perak berdekatan dengan ‘Jetty’ bot penambang terdapat deretan gerai mamak menjual mee goreng. Mee goreng inilah yang dipanggil ‘Mee Lambung’. Jangan ditanya aku mengapa dipanggil ‘Mee Lambung’. Yang aku dapat sahkan bahawa mee berkenaan memangnya lazat dan sedap. Tidak terdapat mee sesedap itu kini, dimana-mana saja aku pergi di seluruh Malaysia!!...

Mungkin agaknya mee berkenaan tak ler sesedap mana, tetapi disebabkan kekurangan jenis makanan pada ketika itu maka ‘mee lambung’ menjadi makanan pilihan yang amat sedap.

Mungkin!..


abuhassanadam

23 Februari 2025






































































Saturday, February 22, 2025

 MALAYSIA  KETANDUSAN ‘ORANG PERJUANGAN’

Mungkin rakyat Malaysia sudah merasakan bahawa negara ini sudah ketandusan ‘orang perjuangan’ tidak seperti Tanah Melayu zaman penjajahan yang memiliki ramai ‘orang perjuangan’ seperti Dato’ Maharajalela Perak, Dato Bahaman dari Pahang, Tok Janggut dari Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbung Terengganu. Sumbangan mereka terhadap bangsa dan negara tidak dapat dinilai dengan wang ringgit walaupun bernilai RM2.6 billion.

Orang Melayu ketika itu terus menerus berasa bertuah kerana memiliki ‘orang perjuangan’ seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad, Ibrahim Haji Yaakub. Mereka sebenar-benarnya pejuang tulin yang sanggup mengabdikan diri kepada perjuangan bangsa tanpa rasa takut dan bimbang dan jauh daripada memikirkan tentang laba dan keuntungan seperti yang terdapat kepada pemimpin hari ini. Matlamat hidup dan perjuangan mereka adalah semata-mata membebaskan tanah air daripada penjajahan walaupun terpaksa ditebus dengan nyawa.

Amat berbeza sekali dengan ‘pemimpin’ (jikalau masih boleh lagi digelar sebagai pemimpin) kini yang matlamat hidup mereka seolah-olah hanya mementingkan wang dan mengenepikan persoalan perjuangan menegakkan bangsa.

Kaum guru pada zaman penjajahan lebih merupakan ‘orang perjuangan’ yang berjuang mendidik anak bangsa disamping memperjuangkan kemerdekaan tanah air dari belenggu penjajahan. Sumbangan pelatih guru (yang kemudiannya menjadi guru dari Sultan Idris Trainning College –SITC) tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah memperjuangan rakyat khususnya orang Melayu. Golongan guru inilah yang telah menyemaikan benih perjuangan dikalangan anak-anak bangsa yang kemudiannya tumbuh bercambah disegenap pelusuk tanah air. Benih yang ditanam oleh guru inilah yang telah mencetuskan semangat perjuangan menentang penjajahn yang kemudiannya menghasilkan kemerdekaan tanah air.

Malang sekali bagi rakyat Malaysia kini. Walaupun peranan guru sebagai pendidik masih berterusan namun kaum guru kini tidak merupakan ‘orang perjuangan’ seperti peranan yang telah dimainkan oleh guru-guru zaman penjajahan. Mungkin agaknya para guru sudah ‘berpuas hati’ dengan keadaan masyarakat Malaysia kini yang sudah pun dianggap ‘merdeka’ dan maju. Dan seolah-olah kaum guru sudah ‘menyarungkan’ semula segala senjata-senjata yang digunakan dalam zaman penjajahan dulu.

Persatuan guru dan kesatuan guru-guru semacam sudah tidak berperanan lagi selain dari berperanan mendidik anak-anak di sekolah. Kesatuan guru-guru semacam sudah amat berpuas hati dengan perjalanan pentadbiran dalam negara kita. Mereka bukan lagi berperanan semacam ‘mata dan telinga’ masyarakat untuk ‘memerhatikan’ perjalanan jentera kerajaan. Apakah mereka sudah tidak ada ‘taring’ lagi untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap apa yang berlaku di negara kini. Dan apakah para guru atau khususnya kesatuan guru sudah tidak berani langsung ‘angkat muka’ untuk menyuarakan sesuatu yang benar. Dan apakah pemimpin kesatuan guru kini sudah begitu ‘kekenyangan’ sehinggakan ‘terlelap’ dan tidak dapat bersuara lagi.

Rakyat Malaysia juga ‘merindui’ tokoh-tokoh wartwan seperti ZABA, Abdul Rahim kajai,Usman Awang, Keris Mas, A.Samad Ismail yang seolah-olah seluruh hidup mereka ‘diabdikan’ kepada perjuangan membela bangsa dan negara. Mereka sebenar-benarnya ‘orang perjuangan’ tulin. Mereka tidak takut dimasukkan ke dalam penjara. Mereka berjuang bukan kerana ada agenda-agenda tertentu atau menjadi ‘kuda tunggangan’ golongan politik tertentu. Mereka sanggup ‘berpanas dan berhujan’ demi untuk menyelamatkan bangsa dan negara. 

Apakah masih ada sifat kewartawanan sedemikian di Malaysia kini. Aku merasakan mungkin ada tetapi tidak ramai ‘species’ yang sedemikian. Mungkin ramai para wartawan dan penulis tanah air kini yang menulis mengikut rentak dan ‘arahan’ sebagaimana yang diarahkan dari masa kemasa. Lantas apakah mereka layak bergelar ‘orang perjuangan’ sepertimana golongan wartwan zaman penjajahan.

Rakyat Malaysia kini seolah-olah amat kecewa dengan ketiadaan pemimpin yang sebenar-benarnya dapat berjuang untuk negara dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat berlandaskan keihklasan sebenar-benarnya. Semacam sudah betul-betul pupus tokoh yang boleh disandarkan harapan untuk memimpin negara ini. Mahu tak mahu rakyat masih meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Saudara Anwar Ibrahim yang kelihatan masih tidak berubah perjuangannya membela bangsa dan negara. 

Bagi aku tokoh inilah antara tokoh-tokoh yang boleh dianggap sebagai ‘orang perjuangan’ di negara ini yang ‘bermati-matian’ membela bangsa dan negara.


abuhassanadam

22 Februari 2025