PENULIS TULIN DAN PENULIS UPAHAN
Kadang-kadang geli hati juga melihat setengah penulis kini yang ‘terkial-kial’ menulis mengenai sesuatu isu yang diciptakan sendiri oleh mereka ataupun diciptakan oleh ‘boss’ mereka. Maksud aku tentang perangai setengah penulis blog upahan. Mereka terpaksa menulis mungkin untuk mencari sesuap nasi pagi dan petang. Dan sekiranya mereka tidak menghasilkan sesuatu, maka besar kemungkinannya ‘dapur mereka tidak berasap’. Ini yang aku perhatikan tentang perangai setengah penulis upahan. Dan tentulah tidak adil mengatakan begitu kerana begitulah cara 'orang baru' menempa nama.
Satu perkara yang aku perhatikan kini adalah kurangnya ilmu penulis untuk menyampaikan hasrat dan pandangan bernas yang merupakan inti kepada bahan menulisan yang bererti. Diperhatikan bahawa kebanyakan penulis yang baru muncul kini hanya menghidangkan bahan-bahan penulisan yang ringan yang berbentuk ringan. Berlaku keadaan sebegini disebabkan apa yang mereka 'hidangkan'. kepada masyarakat terus diterima bulat-bulat. Menampakkan bahawa anggota masyarakat kita kurang kritikal dalam menilai sesuatu bahan yang dihidangkan.
Keadaan sebegini semacam serupa dengan keadaan dimana pemimpin politik di negara kita kini sudah tidak bimbang kalau-kalau apa yang dihidangkan mereka kepada rakyat tidak diterima. Diperhatiakn bahawa apa yang mereka hidangkan bulat-bulat diterima oleh rakyat tanpa 'tapisan'. Lantas penulis terus menerus menghidangkan sesuatu yang tidak langsung ada tapisan dengan harapan apa bahan yang dihidangkan terus menerus diterima oleh rakyat. Walaupun tidak semuanya begitu namun begitulah keadaan yang berlaku kini terutama dikalangan ahli politik pembangkang di parlimen. Dan tidak pula dinafikan yang keadaan sedemikian tidak berlaku dikalangan ahli parlimen kerajaan.
Berbanding dengan penulis tulin yang tidak mendapat apa-apa upahan walau dari sesiapa pun. Tidak ada siapa yang boleh ‘mengarahkan’ mereka untuk berbuat itu dan ini. Penulis tulin akan menulis apa saja yang terlintas di fikirannya ‘without fear or favour’. Tidak ada ‘boss’ yang mengarahkannya untuk menulis tentang sesuatu isu. Dan kehidupan seorang penulis tulin adalah seperti burung yang terbang bebas di angkasa luas.
Membincangkan tentang hal ini tentulah aku teringat akan penulis-penulis lama yang agung seperti Pendeta Za’ba, Abdul Rahim Kajai, Ishak haji Muhammad, Usman Awang, Keris Mas, Samad Ismail dan ramai lagi yang menulis sesuatu mengenai sesuatu isu atas kehendak dan dorongan hati dan perasaan yang ikhlas. Mereka dikira beruntung disebabkan oleh ‘mewah’nya isu yang hendak dipaparkan, terutama pada ketika itu tanah air kita masih di bawah jajahan British. Lantas apa saja yang ditulis dan dipaparkan samada dalam bentuk rencana atau Cerpen atau Sajak kesemuanya berlegar disekitar penjajahan British.
Pada ketika itu tidak timbul isu ‘Penulis Upahan’ sepertimana sekarang ini. Mungkin ada tetapi tidak begitu menonjol. Mungkin ada juga penulis upahan yang diupah oleh pihak penjajah. Namun tidak begitu ketara seperti sekarang.
Kadang-kadang aku terfikir juga bahawa peranan seorang penulis upahan (penulis blog upahan) misalnya boleh juga diibaratkan seperti pelacur ( maaf agak keterlaluan). Aku katakan begitu disebabkan kebanyakan mereka menulis atas arahan tertentu dan diberi upah untuk menghasilkan sesuatu. Yang menyedihkan ialah seseorang penulis upahan itu terpaksa ‘memerah otak’ untuk menulis sesuatu isu yang tidak betul dan tidak tepat. Ringkasnya isu rekaan yang semata-mata untuk mengambil hati ‘boss yang memberi upah' kepada mereka.
Istilah ‘spin doctor’ sentiasa digunakan untuk golongan penulis seperti ini. Mereka akan sedaya upaya ‘memutar-belitkan’ sesuatu fakta demi meyakinkan pembaca tentang hujah yang mereka kemukakan walaupun hujah yang dikemukakan mereka itu amat dangkal. Dan yang agak malang bagi golongan ini ialah mereka lupa bahawa mereka berhadapan dengan pembaca yang sudah matang dan sudah dapat menghidu ke arah mana hala sesuatu hujah dalam tulisan berkenaan.
Mereka sudah lupa bahawa mereka berhadapan dengan masyarakt dan pembaca Kurun ke 21.
abuhassanadam
28 Februari 2025
No comments:
Post a Comment