‘KUNDAS’
Hari itu aku mula persekolahan - Darjah 1 di Malay Boys School Padang Rengas. Baru hari itu jugalah aku diperkenalkan dengan konsep kantin sekolah - aku diketemukan dengan konsep Kantin – Kantin Pak Wan dan pada hari itu juga aku mula bersekolah. Darjah Satu. Tahun 1951. Dan yang mendorong untuk aku menulis tentang hal kantin ini hanya semata-mata untuk ‘bercerita’ kepada anak-anak zaman ini tentang keadaan kantin sekolah pada zaman pemerintahan British di Malaya ( Tanah Melayu). Dengan ‘penceritaan’ sedemikian dapatlah anak-anak zaman ini membandingkan kantin sekolah zaman ini dengan kantin sekolah mereka.
Kantin Pak Wan Dollah terletak tidak jauh dari kelas tempat aku belajar. Yang dikatakan kelas itu hanyalah sebuah bangunan berlantaikan tanah yang keras dan berdinding separuh siap disamping beratapka n zinc. Tidak dapat dibayangkan kepanasannya berada dalam kelas ketika hari panas. Dan itulah merupakan kelas tempat kami belajar disekolah pada zaman pentadbiran British.
Tentulah aku bergembira dapat 'memegang' wang saku. Bapak memberikan aku wang saku sebanyak 20 sen satu hari. Cukup untuk aku membeli nasi lemak berharga 10 sen dan membeli air minuman berharga 5 sen. Selebihnya bapak dan Atuk ku mengarahkan aku simpan wang berkenaan. Amalan menyimpan sebegini telah disemaikan oleh Atuk aku - Putih Ibrahim namanya.
Loceng cangkul akan dikatuk menandakan sudah sampai waktu rehat. Maka berduyun-duyunlah murid-murid menuju ke Kantin Pak Wan Dollah. Seingat aku barang makanan yang terjual di kantin Pak Wan adalah nasi lemak, meehun, kuih-kuih seperti lepat pisang, cucur bawang (cucur kodok) goreng pisang dll. Kesemuanya berharga 5 sen tiap-tiap satu. Dan kebanyakan murid-murid berbelanja hanya 10 sen. Sudah boleh ‘melapek perut’ menunggu makan tengah hari. Ramai juga pelajar-pelajar yang tidak pergi ke kantin disebabkan ketiadaan wang saku. Begitulah derita yang dialami oleh kawan-kawan aku yang kurang bernasib baik. Aku bersyukur kerana emak dan bapak dan Atuk aku amat bertanggungjawab menyediakan perbelanjaan persekolahan untuk aku.
Tidak ada ruang tempat makan yang khas seperti kantin sekolah yang ada sekarang. Murid-murid yang menikmat makanan samada duduk ditas tungkul kayu yang ada berhampiran dengan kantin berkenaan ataupun menikmati makanan sambil berdiri. Untuk mendapatkan minuman kami terpaksa pergi ke telaga Pak Mansur, jiran sekolah berkenaan untuk mendapatkan air minuman (mineral!)
Walaupun dari segi kebersihan, Kantin Pak Wan tidaklah sebersih mana, namun tidak pula kedengaran ada murid-murid yang mengalami keracunan makanan disebabkan memakan makanan dari Kantin Pak Wan pada ketika itu.
Teringat pula aku tentang ada sejenis kuih yang dipanggil ‘Kundas’ yang terjual di Kantin Pak Wan dan juga yang terdapat di kedai-kedai mamak yang terjual di pekan Padang Rengas. Kini tidak terdapat lagi kuih “Kundas’ terjual di kedai mamak di pekan Padang Rengas. Jikalau adapun terjual tidaklah sesedap ‘Kundas’ yang asli zaman dulu. Memang sedap! Yang 'lawak'nya puas aku mencari kuih yang dinamakan 'kundas' sebagaimana yang terjual di Padang Rengas di seluruh Malaysia. Hanya di Padang Rengas yang ada terjual kuih jenis itu - pastinya diimport dibawa dari India.
Setiap kali aku pulang bercuti balik kampung pasti aku akan singgah di kedai mamak di pekan Padang Rengas bertanyakan kuih ‘Kundas’. Kadang-kadang ada dan kadang-kadang tak ada!. Kedai Keling Koya di Padang Rengas tahu dan kenal bahawa yang bertanyakan kuih Kundas pastinya 'anak' Padang Rengas. Indahnya dan akrabnya persahabatan antara penduduk Padang Rengas yang berbilang kaum.
abuhassanadam
17 Februari 2025
No comments:
Post a Comment