ANAK MUDA YANG MENENDANG DAN MENERAJANG
Aku teringat kepada sajak Khairil Anwar yang antara lain berbunyi, ‘ aku binatang jalang, menendang dan menerajang….aku mahu hidup seribu tahun lagi…’. Jikalau tak silap aku sajak ini muncul ketika anak-anak muda Indonesia sedang berjuang bermatia-matian menentang penjajahan Belanda. Maknanya ketika mereka berjuang menuntut kemerdekaan dibawah pimpinan Sukarno. Dan akhirnya mereka berjaya juga membebaskan tanah air mereka dari cengkaman Belanda.
Dan apabila memperkatakan soal perjuangan, teringat pula aku kepada pejuang Afrika Selatan, Nelson Mandela yang ‘berjuang’ dalam babak-babak terakhir ‘perjuangannya’ sehingga berjaya membebaskan Afrika Selatan. Payah untuk menandingi rekod perjuangan beliau. Pada pandangan aku yang boleh setaraf dengan beliau dari segi perjuangan ialah Mahatma Gandhi dari India. Aku tidak tahu ada pejuang lain didunia ini yang setaraf dengan perjuangan dan penderitaannya. Diukur dari segi lamanya beliau dalam penjara sudah cukup untuk beliau memegang ‘rekod’ itu buat selama-lamanya.
Bukan senang bagi seseorang untuk mengatakan,“ We may never forget, but we must forgive…..To make peace with an enemy one must work with that enemy, and that enemy becomes your partner’. Petikan dari buku “ Struggling to forgive’ oleh Brian Frost. Lebih kurang beliau menyatakan bahawa tidak mudah untuk melupakan sesuatu perkara atau peristiwa tetapi kita mesti bersedia untuk memaafkan……untuk berdamai dengan musuh, seseorang mestilah bekerjasama dengan musuh berkenaan yang akhirnya musuh itu akan menjadi sahabat yang akrab.
Apabila mengenangkan semula derita yang dilalui oleh Nelson Mandela, teringat pula peribahasa Melayu yang berbunyi, ‘ berapa berat mata memandang lagi berat bahu memikul’. Bayangkan penderitaan yang dilalui oleh beliau ketika berada di penjara Robben Island selama 27 tahun. Dipenjatrakan pada tahun 1962 dan hanya dibebaskan pada tahun 1990. Bukan suatu jangka masa yang singkat.
Sengaja aku memaparkan kehidupan Mandela untuk difahami oleh anak-anak muda Malaysia yang memulakan langkah perjuangan. Bagi aku anak-anak muda yang ingin berjuang perlu memahami bahawa perjuangan itu amat luas skop dan ruang lingkupnya. Bukan hanya setakat berjuang dalam arena politik. Tidak semestinya anak muda yang berkecimpung dalam lapangan sukan bukan perjuangan namanya. Begitu juga bagi guru muda yang berjuang mati-matian untuk memajukan pelajaran anak –anak di kawasan luar bandar. Itu juga perjuangan.
Menentang Apartheid adalah ‘gelanggang’ yang telah dipilih oleh Nelson Mandela. Ada kemungkinan yang Afrika Selatan tidak terjadi sepertimana yang ada pada hari ini sekiranya Mandela dan rakan-rakannya tidak berkeorban sepertimana yang telah mereka lakukan. Tidak mudah mengabdikan diri ke arah perjuangan sedemikian. Namun disebabkan rasa tanggungjawab yang begitu berat terhadap rakyat maka mereka rela diperlakukan apa saja demi membebaskan rakyat mereka dari cengkaman Apartheid.
Apartheid adalah satu tindakan yang amat zalim yang dilakukan oleh pentadbiran British di Afrika Selatan, menafikan hak-hak asasi rakyat kulit hitam di Afrika Selatan. Kita kadang-kadang tidak terfikir ada manusia yang begitu zalim wujud di dunia ini sebagaimana yang pernah wujud di Afrika Selatan pada zaman Apartheid. Undang-undang dan peraturan yang dikenakan ialah melarang percampuran antara Kulit Putih dengan Kulit Hitam. Masyarakat Kulit Hitam dibenarkan berada ditempat-tempat tertentu yang hanya dikhaskan kepada Kulit Putih.
Antara peraturan dan undang-undang yang dikenakan adalah seperti,
• Masyarakat kulit hitam terpaksa membawa surat-surat kebenaran tertentu untuk membolehkan mereka bekerja disesuatu tempat,
• Kerajaan Kulit Putih memisah-misahkan masyarakat Kulit Hitam kepada beberapa kumpulan
• Tidak membenarkan perkahwinan antara Kulit Putih dengan bukan Kulit putih,
• Kulit hitam tidak dibenarkan memiliki tanah.
Penindasan yang sebeginilah yang menyebabkan munculnya manusia seperti Nelson Mandela.
Apakah anak muda di Malaysia juga harus menghayati dan mencontohi perjuangan Mandela? Masih banyak lagi lapangan yang harus diterokai oleh anak muda untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat. Malah lebih hebat dari Afrika Selatan. Namun begitu banyak lagi perkara dan isu yang memerlukan pejuang-pejuang anak muda untuk tampil kehadapan membetulkan keadaan di negara kita kini. Anak muda Malaysia perlu peka dalam banyak perkara terutama yang berkaitan dengan usaha kita untuk menjadikan negara ini sebuah negara maju pada tahun-tahun mendatang.
Sejarah perjuangan DS Anwar Ibrahim dalam usahanya menegakkan sebuah bangsa yang bermarwah harus dicontohi oleh anak muda Malaysia kini. Tidak semestinya anak muda memerlukan keadaan sebagaimana di Afrika Selatan untuk anak muda berjuang. Namun ada lagi lapangan yang membolehkan anak muda Malaysia berjuang demi mewujudkan bangsa Malaysia yang bermarwah.
Anak muda Malaysia seharusanya tampil mengemukakan rancangan dan agenda masing-masing merealisasikan wawasan demikian. Jangan diletakkan harapan sepenuhnya kepada golongan tua untuk menjayakan matlamat demikian kerana zaman itu bukan zaman mereka lagi. Oleh itu sudah sampai masanya anak muda bersikap ‘menendang dan menerajang’ demi untuk menjayakan hasrat anak muda kini supaya negara ini menjadi sebuah negara maju yang merupakan milik anak muda kini dan mereka ( sebagai orang tua ) pada masa hadapan.
Abuhassanadam
4 Januari 2025
No comments:
Post a Comment