PERJUANGAN ORANG BERADAB TIDAK BEGITU!
DS Anwar Ibrahim bimbang melihatkan perkembangan perhubungan antara kaum di Malaysia kini yang dilihat sebagai amat rapuh ketika ini. Amat membimbangkan. Seolah-olah sudah hampir menyerupai suasana yang memungkinkan berulangnya berlakunya peristiwa pahit 13 Mei 1969. Justeru mengesyorkan kepada agar diadakan satu perbincangan bagi menangani keadaan yang membimbangkan ini. Walaupun ada tanda-tanda yang memungkinkan berlaku semula peristiwa sedemikian, namun aku masih yakin bahawa peristiwa hitam tidak akan berulang lagi di Malaysia. Aku amat optimis tentang hal ini. Namun kerisauan tetap ada. Dan eloklah para pemimpin negara berwaspada dan bertindak sebelum berlakunya peristiwa yang tidak diingini itu.
Sebetulnya perpaduan antara rakyat Malaysia sudah begitu mentap .Ikhlas aku katakan yang aku tidak pernah lagi melihat perpaduan yang sebegitu dikalangan rakyat Malaysia. Melayu, Cina, India dan jikalau di Sabah dan Sarawak pula tentulah ditambah dengan Iban, Kadazan, Bidayuh dll. Pendek kata ternampak sesuatu yang cukup meyakinkan kita bahawa sebenarnya Bangsa Malaysia telah wujud. Bukanlah hanya cakap-cakap kosong yang selalu kita dengar yang mengatakan tentang eratnya perpaduan antara kaum-kaum di negara ini.
Aku tertarik dengan kenyataan daripada J. Steen dari Blog Anilneeto.com bertarikh 17 Mei 2013 . Aku sertakan petikannya,
“ I was at the JB rally. The atmosphere was simply incredible. This rally witnessed the true spirit of one Malaysia in action. I have never seen a more rousing rendition of our national anthem than the one sung at the end of this rally. People of all races, young and old, drenched, some perched on rooftops and trees singing loudly in unison. The incessant blare of the vuvuzelas is still ringing in my ears. Blackout tee shirts were being sold like hot cakes from the 25 plus stalls……..”
Maknanya suasana yang wujud di Perhimpunan ‘Black 505’ sungguh hebat dari banyak segi. Telah wujud semangat satu Malaysia dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Bukan hanya slogan dan ‘rhetoric’. J.Steen begitu kagum dengan gelagat hadirin pada malam itu apabila melihatkan mereka menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negara ku’. Yang menyebabkan beliau kagum ialah apabila melihatkan hadirin dari berbagai kaum, yang basah kuyup dan yang bukan sahaja berada di jalan-jalan raya tetapi yang berada di atas atap rumah, yang berada di atas pokok ( disebabkan kawasan terlalu padat sehingga ramai yang terpaksa berada di atas pokok untuk bersama-sama di majlis berkenaan) beramai-ramai menyanyikan lagu Negara ku. Menyanyikan dengan kuat dan penuh semangat.
Menyanyikan lagu ‘Negara-ku” dengan cara sedemikian betul-betul menunjukkan penghormatan yang tinggi dan ketaatan yang bukan kepalang terhadap negara ini. Pernah kita melihat rakyat Malaysia menyanyikan Negara-ku di majlis-majlis rasmi. Namun apa yang kita perhataikan ialah mereka yang menyanyikan lagu kebangsaan semacam ‘ hendak tak hendak’ sahaja menyanyikannya. Seolah-olah ‘terpaksa’. Berbanding dengan majlis perhimpunan ‘Black 505’ ini samada di Kelana Jaya atau di Batu Kawan atau di Pahang, ternampak jelas semangat satu Malaysia di hati hadrin. Aku rasa ini satu pencapaian Pakatan Rakyat yang cukup membanggakan. Tercipta Bangsa Malaysia sebenar-benarnya.
Tetapi mengapa semangat perpaduan yang erat antara kaum itu semacam tidak berterusan?. Mungkin agak keterlaluan aku mempersoalkan hakikat sedemikian. Mungkin perpaduan kaum dalam negara pada keseluruhannya memuaskan. Namun berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin kita menampakkan ada sesautu yang tidak kena yang berlaku dalam negara kita. Kenyataan DS Anwar Ibrahim yang merasa bimbang dengan keadaan perpaduan kaum memberikan sesuatu gambaran yang keadaan negara tidak begitu ‘tenang’. Mungkin.
Sebenarnya berlakunya sesuatu yang dianggap tidak tenang itu adalah berpunca daripada segelintir manusia yang sentiasa menimbulkan kekacauan dalam negara. Tidak kurang peranan yang dimainkan oleh pihak pembangkang di parlimen yang berperanan mengap-apikan keadaan. Kumpulan sedemikian seolah-olah merupakan ‘sebagai 'profession’ mereka untuk menganggu gugat ketenteraman awam dengan tindakan mereka yang kadang-kadang dilihat sebagai diluar batas manusia yang mempunyai peradaban. Mereka seolah-olah berbangga berbuat demikian. Dan kadang-kadang terfikir juga aku bahawa apakah mereka diberi upah untuk melakukan kegiatan sedemikian rupa. Yang anihnya kumpulan ini tidaklah seramai mana. Boleh dibilang dengan jari.
Tindakan provokasi yang mereka lakukan itu tidak mendapat perhatian kumpulan sasaran mereka. Mungkin ada yang ‘tercuit’ dengan tindakan mereka itu. Namun bagi sebahagian besar masyarakat merasakan bahawa tindakan sedemikian adalah merupakan tindakan kebudak-budakan dan memalukan kaum itu sendiri.Yang malangnya kumpulan ini kebiasaannya menggunakan nama ‘Melayu’ sedangkan sebahgian besar orang Melayu tulin di negara ini tidak sebegitu sikapnya. Malah sebahagian besar orang Melayu menentang tindakan kumpulan yang menggunakan nama ‘Melayu’ memperjuangkan agama Islam dan bangsa Melayu itu. Bukan cara manusia yang bertamadun.
Perjuangan orang yang beradab tidak begitu caranya.
Abuhassanadam
19 Februari 2025
No comments:
Post a Comment