APAKAH GURU SUDAH HILANG TARINGYA?
Dulu-dulu, kaum guru amat ditakuti dan dugeruni terutama oleh pihak yang amat faham tentang peranan guru yang boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat umum. Selama tiga dekad ( 50an, 60an, 70an) kaum guru memainkan peranan yang cukup penting dalam pergerakan politik UMNO. Jawatan-jawatan penting peringkat nasional, negeri, bahagian dan cawangan biasanya dimonopoli oleh kaum guru. Dan sekiranya kaum guru tidak terlibat secara langsung dalam UMNO pada ketika itu, pasti agaknya pertubuhan UMNO tidak sepertimana yang ada pada hari ini. Maknannya kaum guru telah menyediakan tapak yang cukup kuat kepada politik UMNO sehingga dapat diteruskan oleh generasi terkemudian.
Ke mana ‘hilang’nya kaum guru kini? Apakah kaum guru sudah hilang taringnya?
Sejarah juga telah menunjukkan bahawa kaum guru memainkan peranan yang cukup penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Apabila disebut saja ‘guru Tanjung Malim’, sudah memberikan suatu gambaran yang ‘menggerunkan’ terutama bagi pihak penjajah British pada tahun-tahun 1920an sehingga 1950an. Apa tidaknya. Para guru lepasan SITC ( Sultan Idris Trainning College) Tanjung Malim yang telah mewarnai perjuangan menuntut kemerdekaan dari British. Merekalah yang telah ‘mengejutkan’ orang Melayu dari ‘tidurnya’. Merekalah yang menyedarkan anggota masyarakat supaya bangun berjuang membebaskan tanah air dari British.
Berpasakan ‘Majalah Guru’ dan kebolehan berpidato dan berdebat yang luar biasa, guru-guru “Tanjung Malim’ bertaburan di seluruh negara mendidik anak bangsa disamping bergiat cergas dalam perjuangan politik kepartian. Mereka sedar yang peranan mereka bukan sahaja mendidik tetapi juga ‘mencelikkan’ anggota masyarakat tentang penindasan yang dilakukan penjajah dengan berbaga-bagai dasar yang diperkenalkan.
Sudah tidak ada lagi kah guru sedemikian pada Kurun ke 21 ini. Apakah kaum guru sudah hilang taringnya?
Dulu-dulu pesatuan dan Kesatuan guru-guru amat ditakuti dan digeruni. Kesatuan-kesatuan guru ini bukan sahaja membela kebajikan ahlinya tetapi juga merupakan mata dan telinga rakyat yang sentiasa memberikan teguran yang membina di atas apa juga dasar yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan. Mereka akan menegur dan mengkritik dasar-dasar kerajaan yang tidak menguntungkan bangsa dan negara. Mereka tidak bimbang dan mereka tidak takut sekiranya mereka tidak dinaikkan pangkat ekoran daripada kritikan mereka terhadap dasar kerajaan. Iltizam mereka kepada bangsa dan negara tidak ada tolak bandingnya.
Ke mana hilangnya Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), National Union of Teaching Profession (NUTP), Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab ( KKGLM). Ke mana hilang dan di mana ‘kuburnya’. Masih ada dan masih aktif kah kesatuan-kesatuan guru ini sehinggakan tidak terdengar walau 'sedetik'pun perjuangan mereka seperti mana yang pernah ditonjolkan oleh guru-guru yang terdahulu.
Apakah sudah tidak ada lagi tokoh guru di negara ini untuk menggantikan tempat yang dikosongkan oleh tokoh-tokoh guru seperti Cikgu Noordin Mahmood, Siva Sumbramaniam, Gurusami, Muhammad Mustafa dll. Ke mana ‘hilang’ dan ‘ghaibnya’ pemimpin-pemimpin kesatuan ini. Mungkin masih wujud. Cuma ‘perjuangan’ mereka sahaja yang agak berbeza. Mungkin mereka berjuang untuk ‘membela’ diri dan keluarga dengan menggunakan persatuan dan kesatun sebagai ‘launching pad’nya. Mungkin.
Malangnya ‘tokoh-tokoh’ guru sebegini sudah hilang taringnya.
Aku yakin bahawa sebilingan besar kaum guru di Malaysa masih sedar tentang tanggungjawab mereka untuk memperjuangkan sesuatu demi kebaikan negara dan bangsa. Aku masih yakin bahawa kaum guru sedar tentang apa yang dilakukan oleh kerajaan kini mungkin tidak secocok dengan apa yang difikirkan oleh mereka. Mereka tidak berani menentang dasar kerajaan kerana takut kepada tindakan kerajaan ke atas mereka. Namun di sudut hati kecil kebanyakan guru di Malaysia merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena yang sedang berlegar dalam negara ini.
Kaum guru tahu dan sedar tentang hal-hal yang sedemikian. Hanya sekadarkan mereka tidak mahu 'bersuara' mungkin.
Dan sebenarnya kaum guru masih ‘bertaring’…….
abuhassanadam
9 Februari 2025
No comments:
Post a Comment