Friday, February 7, 2025

  KEMERIAHAN KETIKA ‘MENGGOLEK’

Bulan Januari dikatakan sebagai bulan ‘kerat kepala’ di kampung aku ia itu apabila padi di bendang hampir menguning. Emak selalu kata Ngah Lauh akan berkeliaran memotong kepala kanak-kanak ‘untuk buat jambatan’. Bukan emak aku seorang sahaja yang kata begitu. Hampir seluruh orang kampung aku kata begitu, termasuklah Pak Haji Sulaiman, guru Quran di kampung aku yang dihormati oleh orang kampung. Dan kami kanak-kanak pula tentulah ‘percaya’ seratus peratus apa yang orang tua kata. 

Namun begitu tidak pula ada bukti yang menunjukkan anak-anak di kampung aku yang telah dpenggal kepalanya oleh Ngah Lauh. Begitu juga dari kampung lain. Baik dari Kampung Lalang atau Kampung Pulau atau Kampung Pondok tidak pernah berlaku perkara sedemikian. Tak pernah dengar berita tentang kematian kanak-kanak disebabkan kepalanya dipotong oleh Ngah Lauh. Tapi setiap tahun, setiap kali sampai bulan Januari akan ‘muncul’lah cerita Ngah Lauh potong kepala. Mungkin sekarang sudah tidak kedengaran lagi disebabkan orang kampung aku sudah tidak ke sawah lagi. Sawah padi sudah bertukar kepada kebun sayur-sayuran yang diusahakan oleh petani Cina.

Kebiasaan di kampung aku, setelah padi dituai dan disimpan di kepuk (beromban kata orang kampung aku), maka kawasan sawah padi di kampung aku seolah-olah ‘direhatkan’ buat seketika sementara menunggu musim menanam padi seterusnya bermula. Kebiasaannya waktu rehat adalah selama enam bulan. Tidak ada apa aktiviti pertanian yang dijalankan di sawah padi di kampung aku. Rehat ‘sungguh-sungguh’. Dan ketika inilah penduduk kampung  mengharapkan padi/beras dari musim sebelumnya yang cukup menampung bekalan selama setahun. 

Apabila musim tengkujuh bermula, maka pesawah-pesawah di kampung aku mulalah turun ke bendang. Akan bermulalah kegiatan membajak sawah. Menggunakan tenggala dengan bantuan kerbau untuk membajak sawah. Kini sudah tidak kelihatan lagi tenggala digunakan untuk membajak sawah sebagaimana yang pernah digunakan pada zaman dahulu. 

Awal tahun 1950an dan sebelumnya hampir semua orang kampung aku menggunakan tenggala sebagai langkah awal membajak sawah mereka. Yang agak menariknya ialah tentang ‘terpelajar’nya kerbau di kampung aku yang tahu ‘cakap Melayu’. Kebanyakan kerbau di kampung aku faham apa yang dimaksudkan dengan ‘kanan’, ‘kiri’ dan ‘diam’. Sekiranya pengembala tenggala meneriakkan perkataan ‘kanan’ maka kerbau berkenaan akan ke menarik tenggala ke arah kanan. Dan begitulah seterusnya sekiranya di teriakkan perkataan ‘diam’ kerbau nanti akan berhenti. Walaupun hanya tiga patah perkataan sahaja (‘kanan’, ‘kiri’ dan ‘diam’) yang difahaminya, tetapi sekurang-kurangnya kerbau dikampung aku termasuk dalam golongan yang ‘educated’ juga ler……

Peringkat kedua selepas membajak ialah ‘menyikat’ dengan menggunakan sikat ( seperti tenggala tetapi berbentuk seperti sikat rambut). Untuk menggerakkan sikat petani terpaksa juga menggunakan tenaga kerbau untuk menarik sikat berkenaan. Tujuan menyikat ialah untuk menghancurkan tanah selepas dibajak dengan tenggala. Sikat yang dimaksudkan itu adalah seperti sikat rambut tetapi tentulah besar bentuknya. “Gigi’ sikat berkenaan (diperbuat daripada besi) yang boleh berperanan menghancurkan tanah. Proses menyikat dilakukan selepas beberapa hari selepas di tenggala untuk memberikan peluang tanah yang ditenggala terendam dan lembut untuk disikat.

Selepas disikat, tibalah masanya untuk ‘menggolek’. Kanak-kanak di kampung aku (termasuk aku) hanya menunggu masa dan ketika untuk sama-sama terlibat dalam proses menggolek. Boleh dikatakan ‘menggolek’ merupakan acara kemuncak dalam proses membajak tanah. ‘Menggolek’ bertujuan untuk meratakan tanah di sawah sebelum semaian padi ditanam. Pada ketika ini kami perlu sentiasa ‘pasang telinga’ dan memerhatikan di sawah mana ada ‘upacara Menggolek’. Tujuannya ialah mengambil peluang menangkap ikan ketika upacara ‘menggolek’ dijalankan. “Menggolek” juga menggunakan tenaga kerbau tetapi tidaklah sepayah mana tugasan kerbau berkenaan berbanding dengan tenaga yang digunakan kerbau untuk menarik tenggala.  

Telah aku katakan bahawa ‘upacara menggolek’ memang menyeronokkan sekali. Yang menyeronokkan ketika mengekori ‘golek’ di sawah ialah sementara golek berpusing di sesuatu petak sawah padi, kanak-kanak berpeluang menangkap ikan yang tersadai selepas proses menggolek itu. Ketika inilah peluang keemasan untuk menangkap ikan di petak bendang. Dan pada ketika itu, seingat aku memang terdapat banyak ikan di petak-petak bendang walau di sawah mana sekali pun. Ikan puyu, ikan sepat, ikan haruan, ikan keli. Dan tentulah ada sawah-sawah yang mempunyai banyak ikan berbanding dengan yang lain. Kami tahu hal sedemikian kerana kami telah begitu lama menjalankan ‘risikan’ tentang sawah mana yang banyak ikan.. Telah dikenalpasti saban tahun. Sayangnya kini sudah tidak ada lagi…..

Kebiasaannya waktu ‘menggolek’ bolehlah dianggap sebagai satu pesta di sawah berkenaan. Pemilik sawah membenarkan kanak-kanak mengekori goleknya kerana kaki kami juga berperanan untuk melembutkan tanah sawahnya yang memudahkannya menanam semaian padi kemudiannya.

Pada masa cuti sekolah maka kami akan berada di sawah sepanjang hari. Kami akan berpindah dari satu sawah ke sawah yang lain. Mengekori golek untuk menangkap ikan. Yang menyeronokkan lagi ialah bukan sahaja menangkap ikan tetapi kegiatan bermain selut ketika berada dalam lumpur juga amat mengembira. Pendek kata antara kerbau dengan kami, diukur dari segi rupa paras, tidak banyak perbezaan. Dari rambut sampai ke kaki dipenuhi dengan selut kecuali mata yang masih tidak diselaputi oleh selut dan lecah. Menyeronokkan!!......

Namun begitu kebimbangan tetap ada terutama apabila pulang ke rumah nanti dan ‘bertemu’ dengan arwah emak yang sudah sedia menanti dengan ranting kayu ditangan…Pastinya kami akan menerima habuan masing-masing. Pastinya tidak serik. Keesokan harinya akan bermula jadual baru di bendang orang lain pulak. Malangnya tidak ada camera untuk merekodkan kegiatan menggolek bendang di tempat kami. Kampung Keroh Hilir, Padang Rengas, Perak.

Itulah bentuk permainan dan santai yang dapat diperolehi oleh anak kampung pada ketika itu., ketika cuti sekolah. Kami tak tahu dan tidak pernah kenalpun apa dia ‘shopping mall’. Kami tak pernah berpengalaman mencuba roller skate atau skate board. Yang kami tahu ialah menaiki upeh pinang yang ditarik secara bergilir-gilir oleh rakan. Kami tidak tahu bagaimana rupa air yang ada dalam Swimming Pool di hotel-hotel di bandar. Jernih ke. Biru ke airnya. Cuma yang kami tahu ialah Sungai Sauk yang juga merupakan Swimming Pool’ tempat kami belajar berenang.

Rupanya Allah tidak mengenepikan anak kampung yang bersalut lecah. Ada juga yang berjaya sampai mendaki ke menara gading dan kini berjawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan.

abuhassanadam

8 Februari 2025


No comments:

Post a Comment