Wednesday, January 28, 2026

 GURU MENANGIS!........

Semalam aku menangis. Aku pasti  ramai lagi yang pernah menggelarkan dirinya ‘cikgu’ suatu masa dahulu pasti akan menangis juga mengenangkan kehadiran hari merayakan para guru. Kalaupun tidak menangis teresak-esak mengalirkan air mata, sekurang-kurangnya hati dan perasaan ramai guru di Malaysia kini tetap ‘menangis’. Dan tidak pula dapat dinafikan bahawa ramai juga guru muda (yang baru sahaja menceburkan diri dalam lapangan perguruan) akan berada dalam keadaan keriangan apabila mendapat ucapan ‘selamat hari guru cikgu’ daripada anak muridnya di sekolah.

‘Hadiah’ yang paling berharga dan bernilai bagi seorang guru ialah apabila mendengarkan anak muridnya berjaya. Tidak kiralah dalam lapangan apa pun, asalkan dapat memberikan sumbangan penting kepada masyarakat dan negara. Seorang yang pernah menggelarkan dirinya sebagai ‘cikgu’ akan merasa begitu bahagia apabila mendapat tahu bahawa anak muridnya telah menjadi seseorang yang baik dan berguna kepada masyarakat. 

Guru adalah antara golongan manusia yang sentiasa ‘syok sendiri’. Beliau tidak perlu diberikan hadiah berharga atau mendapat dan menerima pujian yang melambung. Malah ‘ucapan Selamat Hari Guru’ pun tidak diperlukannya. Yang diperlukannya ialah ‘berita’ yang mengatakan anak muridnya berjaya. Menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat dan negara. 

Seingat aku tidak ada guru dalam dunia ini yang mengajar anak muridnya perkara-perkara yang tidak baik. 

Tidak ada guru yang menyuruh anak muridnya mencuri.

Cikgu Samad Kulup Seman tidak pernah menggalakkan anak muridnya menjadi penipu dan perompak.

Cikgu Yunus Shamsuddin yang sentiasa berpesan kepada anak muridnya supaya bercakap benar dan menjauhkan diri dari menjadi penipu.

Cikgu Ismail Shamsuddin yang sentiasa menasihati anak muridnya supaya sentiasa menghormati ibu bapa dan golongan yang lebih tua.

Mr Ang Chui Pek selalu berpesan supaya sentiasa berbuat baik kepada orang yang kurang berada tidak kira Melayu, Cina atau India.

Mr Muthusamy tidak menggalakkan anak muridnya supaya membenci antara satu sama lain.

Ustaz Mat Noor pula tidak pernah mengajar anak muridnya supaya memusuhi penganut agama lain. Dan beliau jugalah yang menyuruh berbaik-baik sesama manusia dan tidak kira walau dari bangsa apa sekali pun.

Mengenangkan hal sebegini aku menangis. Dan aku yakin ramai lagi ‘guru-guru tua’ seperti aku yang turut menangis mengenangkan sudah ramai ‘anak-anak murid’ yang sudah tidak mengikuti nasihat sebagaimana yang telah diberikan oleh guru dulu. Seolah-olah apa yang disampaikan oleh ‘cikgu’ dahulu diabaikan. Nasihat dan pesanan guru adalah seperti ‘mencurahkan air di daun keladi’. Apa tidaknya.

Begitu ramai ‘anak-anak murid’ yang seolah-olah melupakan ajaran guru agar tidak menjadi penipu dan tidak menjadi pencuri dan perompak. Kini begitu ramai ‘ anak murid’ yang telah melupakan ajaran itu. Mereka dengan tidak segan silu mengamalkan penipuan dan rasuah. Menipu wang rakyat yang berjumlah berbilion ringgit. Sudah lupakah agaknya mereka ajaran guru mereka dahulu.

Dulu para guru mengajarkan berbagai ilmu agar ‘anak murid’ dapat memanfaatkannya. Guru sains misalnya mengajar ilmu itu bukan untuk memberikan pengetahuan kepada ‘anak murid’ supaya pandai merompak bank dan ‘memecah rumah’. Ilmu yang diberikan oleh guru itu adalah untuk ‘anak murid’ berjaya menjadi seseorang yang berguna kepada masyarakat.

Guru matapelajaran Ekonomi mengajar ‘anak murid’nya ilmu sedemikian bukan untuk membolehkan anak muridnya menipu kerajaan dengan projek lembu yang bernilai berjuta ringgit sedangkan projek berkenaan tidak pun wujud di negara ini. Cikgu tidak mengajar begitu.

Guru mengajar ‘anak murid’ supaya bermoral dan berperangai baik sekiranya ditakdirkan menjadi pemimpin negara dan tidak sekali-kali mengajar ‘anak murid’nya supaya mengabaikan kesejahteraan rakyat yang dipimpin dan sentiasa mementingkan kekayaan untuk diri dan keluarga. Guru tidak mengajar begitu.

Guru sejarah sentiasa mengingatkan ‘anak murid’nya supaya menjadikan pelajaran berkenaan sebagai teladan dan jadikanlah sesuatu yang baik sebagai teladan dan sesuatu yang buruk dijadikan sempadan. Guru sentiasa mengajar anak muridnya tentang menjaga harga diri dan maruah. Guru sentiasa berpesan agar maruah diri dan keluarga sentiasa di pertahankan disamping mempertahankan dan menegakkan maruah bangsa dan negara. Kini sudah terdapat begitu ramai ‘anak murid’ yang melupakan nasihat sedemikian. Ramai yang sudah tidak langsung berpegang kepada prinsip perjuangan. Ramai yang sudah lupa akan pentingnya menjaga maruah diri dan keluarga. malah sudah ramai yang tidak mempeduli dan mempertahankan maruan negara bangsa. Apatah lagi mempertahankan agama.

Sebagaimana aku katakan mungkin ramai lagi para guru yang menangis. Terlau sedih dan kecewa dengan sikap dan tindakan yang dilakukan oleh ‘anak murid’ yang seolah-olah ‘melawan’ ajaran guru. Apakah yang boleh dilakukan oleh seorang guru melainkan berdoa kepada Allah agar ‘anak murid’nya menyedari semula dan mengingati ajaran guru suatu ketika dulu.

Mohon maaf Cikgu!!

Abuhassanadam

28 Januari 2026




Monday, January 26, 2026

 ROBIN HOOD 

 Kali terakhir aku melawat Sherwood Forest (kampung Robin Hood) Nottingham ialah pada tahun 1995. Dan terasa juga hati nak melawat Sherwood Forest lagi. Tak jauh mana pun dari London. Lebih kurang macam dari Kuala Lumpur ke Ipoh saja. Ke Utara. Sherwood Forest terletak di Nottingham. Entah mengapa aku begitu ‘gian’ untuk melawat hutan yang (kononnya) pernah didiami oleh Robin Hood ini. Aku semacam merasa begitu seronok dan puas sekali apabila berada di Sherwood Forest yang terletak menghala ke utara England, ia itu di Nottinghamshire. 

Terlalu sukar untuk aku paparkan di sini mengapa aku begitu berminat untuk ke Sherwood Forest. Dan aku pasti ramai lagi kawan-kawan aku yang berpeluang melawat England pasti akan memasukkan ‘ lawatan ke Sherwood Forest’ dalam jadual lawatan mereka. Kawan-kawan yang aku maksudkan itu ialah yang pernah mengikuti pendidikan dalam zaman penjajahan British. Ataupun zaman selepas sahaja negara mencapai kemerdekaan. Awal tahun 1960an.

Yang aku nak kisahkan pada kali ini ialah mengapa cerita mengenai “Robin Hood’ ini begitu mendapat tempat di hati aku dan dihati rakan-rakan lain yang pernah mengikuti pelajaran English Literature pada zaman penjajahan dahulu. Buku ‘ The Adventures of Robin Hood’ adalah merupakan teks pelajaran English Literature yang mesti dipelajari oleh kanak-kanak ketika dalam Standard Six ( Darjah Enam) disamping teks-teks lain seperti ‘Oliver Twist’, ‘The Adventure of Tom Sawyer’ dan lain-lain.

Maknanya semenjak di sekolah rendah lagi, kanak-kanak sudah didedahkan dengan buku kesusasteraan Inggeris yang mesti dibaca oleh pelajar-pelajar. Dan mungkin dengan asuhan yang sedemikianlah agaknya yang telah menanamkan minat untuk membaca dikalangan anak-anak yang diasuh pada zaman penjajahan. Dan sehingga kini sudah menjadi amalan kebanyakan kami yang suka dan berminat membaca.

Apabila mengenangkan pada zaman itu, aku terfikir juga dengan keadaan pendidikan kini dimana tidak begitu didedahkan dengan hasil kesusasteraan ketika anak-anak kita berada di sekolah rendah lagi. Dan mungkin dengan sebab itulah agaknya tidak timbul minat membaca dikalangan anak-anak kita di Malaysia kerana kurangnya galakan yang diberikan di sekolah. Apatah lagi apabila pelajar-pelajar dan ibu bapa lebih mengutamakan pencapaian dalam peperiksaan dari segala-galanya. Kadang-kadang anak-anak kita sentiasa dalam kerugian – ‘ yang dikejar tak dapat dan yang dikandung berciciran’…..

Aku amat yakin cerita Robin Hood itu memberi kesan yang amat mendalam kepada pemikiran pelajar-pelajar pada ketika itu. Aku masih teringat bagaimana Mr Muthusamy ( yang mengajar English Literature di Government English School, Padang Assam pada tahun 1958) menceritakan dengan penuh minat tentang kisah Robin Hood yang mahir dalam panah memanah di Sherwood Forest. Diceritakan juga tentang ‘orang kanan’ Robin Hood yang bernama Little John dan Friar Tuck yang sama-sama berjuang menentang Sheriff dan Raja England. Dan mungkin yang ‘menghantui’ pemikiran anak-anak pada zaman itu ialah peranan Robin Hood membela orang miskin tertindas dan sentiasa berjuang menentang golongan pembesar istana – pemerintah England masa ketika itu.

‘Passion’ yang ada pada Mr. Mutuhusamy sebagai seorang guru adalah luar biasa pada pandangan aku. Beliau bukan sahaja menanamkan minat kepada pelajar apabila berada dalam kelas tetapi sanggup menjemput beberapa orang pelajar untuk tidur di rumahnya di Taiping semata-mata untuk bersama-sama menonton Filem Robin Hood yang ditayangkan disana di pawagam Lido ( sudah tidak ada lagi yang terletak tidak jauh dari Taman Tasik Taiping ). Bukan itu saja, Mr Muthusamay akan memperkenalkan beberapa buku yang berkaitan dengan cerita Robin Hood yang terjual di kedai buku di Taiping kepada para pelajar. Beliau dengan senang hati pula meminjamkan buku-buku Robin Hood itu kepada kami.

(Mr. Muthusamy tinggal di Taiping dan berulang alik ke Padang Assam (Padang Rengas) pada setiap hari. Dan pada ketika itu tidak terdapat walau sebuah kedai buku pun di Padang Rengas ( dan sehingga sekarang masih belum ada sebuah pun!!) dan untuk mendapatkan buku-buku cerita ( dalam bahasa Inggeris) adalah melalui Mr. Muthusamy yang berusaha mendapatkannya).

Terpaksa juga aku paparkan kisah Mr Muthusamy, seorang guru berketrurunan India sanggup menolong dan membantu anak-anak kampung yang miskin dari keturunan Melayu dengan tidak menunjukkan walau sedikit perasaan perkauamannya. Mereka (termasuklah Mr Ang Chui Pek dan Mr Lee Siew Wah) bersungguh-sungguh mengajar kami anak Melayu sehinggalah ramai diantara kami yang berjaya sampai ke peringkat yang lebih tinggi. Sumbangan guru-guru ini amat payah untuk dilupakan.

Seperti Robin Hood, bangsa Melayu ada juga wira yang sepatutnya diagungkan seperti Hang Tuah misalnya. Ada juga buku Hang Tuah yang diedarkan oleh pihak penjajah untuk diserahkan ke sekolah-sekolah Melayu pada ketika itu, tetapi mengapa cerita Robin Hood juga yang bertakhta di hati setiap pelajar ( ketika itu) walaupun cerita Hang Tuah tetap diminati.

Kesan yang ditinggalkan oleh buku-buku seperti Robin Hood itu amat mendalam. Sehingga kini aku masih tertanya-tanya tentang beberapa persoalan yang terlalu sukar bagi aku untuk menjawabnya. Begitu juga dengan kesan-kesan yang ditinggalkan oleh hasil kesusasteraan lain seperti ‘Oliver Twist’, ‘The Adventure of Tom Sawyer’ dan lain-lain. Sehingga kini masih terbayang tentang bagaimana Mr Muthusamy menunjukkan gaya Robin Hood mengacukan panahnya dan memejamkan sebelah matanya sepertimana yang dilakukan oleh Robin Hood pada zaman itu.


Hebat betul Cikgu-Cikgu zaman dulu……


abuhassanadam

26 Januari 2026








Saturday, January 24, 2026

 DARJAH 1 – 1951       

Aku terbayang ketika aku baru nak masuk sekolah Darjah 1 pada tahun 1951. Enam puluh tahun yang lampau. Pada ketika itu Tanah Melayu  (Malaysia sekarang) masih di bawah penjajahan pentadbiran British. Orang Putih, kata Opah aku. Keadaannya pun jauh berbeza dengan keadaan sekarang. Perbezaannya seperti malam dengan siang. Tinjaulah dari sudut apa sekali pun.

Secara kasarnya pekan Padang Rengas dulu bukan seperti Padang Rengas sekarang. Jalan raya yang bertar hanya setakat kaki Gunung Pondok sahaja. Lebih senang untuk difahami setakat ‘Gate keretapi’ saja. Kini ‘gate keretapi’ berkenaan sudah tidak ada lagi. Sudah ada ‘viaduct’ untuk melintasi jalan keretapi. Dulu berhampiran dengan Sekolah Al-Yahyawiyah terdapat bangunan kesan tinggalan yang dibom oleh Jepun. Kini tinggalan bangunan sedemikian sudah tidak ada lagi. Bagi aku satu ‘kehilangan’ juga kerana tinggalan sejarah yang sedemikianlah dapat memberikan erti kepada kehidupan masyarakat di sini. Sekurang-kurangnya masyarakat di sini tahu bahawa kesan Perang Dunia Kedua dulu sampai juga bahangnya ke Padang Rengas!

Deraian kokok ayam yang entah ke berapa aku dah lupa. Tapi waktu itu lebih kurang pukul 5.00 pagi sebab sudah kedengaran azan Encik Kontak dari surau berdekatan dengan rumah aku. Ketika itu mana ada jam. Pakai agak-agak je. Opah atau Atuk tak pernah pun menyebut ‘pukul satu’ ke ‘pukul dua’ ke. Mereka akan menyebut ungkapan-ungkapan seperti, ‘dinihari’, ‘selepas zohor’ ‘selepas asar’ ‘subuh shafie’ ‘beralih hari’ tengah malam’ dan beberapa ungkapan lain menandakan waktu. Mereka mungkin tak kenal jarum jam. Aku pasti Opah tak kenal pun angka dan aku pasti dia tak pandai membaca, tetapi Opah boleh berpantun dan bersyair. Itulah kehebatan Opah.

Walaupun tidak ada jam di rumah kami pada ketika itu, namun begitu aku tak pernah lewat ke sekolah sehinggalah ketika berada di sekolah menengah pun. Sentiasa ‘punctual’. Hari itu merupakan hari pertama aku ke sekolah. ‘Dunia’ baru. ‘Dunia’ yang belum pernah aku alami. Tentulah banyak perbezaan antara ‘dunia’ aku sebelum dan selepasnya. Baru mula bersekolah. Seronok ada dan tak seronok pun ada. 

Seronok kerana dapat menempuh pekan. Pekan Padang Rengas. Sekolah aku namanya ( Malay Boys School Padang Rengas ) terletak berhampiran dengan pekan Padang Rengas. Lebih kurang setengah kilometer dari pekan Padang Rengas menghala ke Kuala Kangsar. Aku memang jarang-jarang pergi ke Padang Rengas, walaupun jaraknya hanya dua kilometer dari kampung aku. Jadi bila bersekolah dapatlah aku ke pekan Padang Rengas setiap hari, kecuali hari cuti.  Dapatlah juga aku beli ais kepal dari kedai keling Majid  (dibawah pokok sena ). Dapatlah aku beli kundas ( sejenis kuih yang hanya terdapat di kedai mamak di Padang Rengas ! )

Aku ke telaga ditemani Opah. Mandi. Pada ketika itu mana ada paip air. Bilik mandi jauh sekali. Untuk mandi dan buang air terpaksalah ke telaga atau ke sungai yang berdekatan. Secara kebetulan rumah aku dekat dengan sungai maka sungai itulah dijadikan ‘toilet’ untuk kami sekeluarga. Memang bersih dan nyaman. ‘Flush toilet’ lah katakan!

Ketika itu masih gelap lagi. Telaga  pulak lebih kurang 10 ela dari rumah. Mana ada lampu letrik. Emak pakai lampu minyak gas untuk menyuluh jalan. Air telaga pada ketika itu bukan main sejuk. Terpaksa mandi juga. ‘Gosok gigi dulu ‘ kata emak memberikan arang yang sudah bertumbuk untuk gosok gigi. Pada ketika itu mana ada berus dan ubat gigi. Arang dapur itulah ubat giginya dan jari telunjuklah berus giginya !

Baju dan seluar aku telah siap digosok oleh emak dengan sterika yang ada patung ayam jantan di atasnya. Di dalam sterika dibubuh bara api untuk menghangatkan sterika. Mana ada ‘iron’ seperti sekarang. Aku rasa sangat ‘hebat’ apabila dikenakan baju dan seluar. Tak pakai seluar dalam. Zaman itu mana ada trend pakai seluar dalam. Tapi sekolah kami semuanya murid laki-laki. Tak hairan jikalau tak pakai seluar dalam pun. Melihat sesuatu dalam seluar kami adalah merupakan perkara biasa disebabkan ketiadaan seluar dalam untuk melindunginya. 

‘Breakfast’ sudah tersedia. Emak yang sediakan. Pisang Emas muda yang direbus, dicecah dengan kelapa. Kopi O. Itu saja. Itulah sebagai pengalas perut ke sekolah. Berbanding dengan ‘ breakfast’ yang dinikmati oleh anak-anak aku dan cucuku kini ada lah seperti ‘ jauh panggang dari api.  Jauh benar bezanya. Mereka ketawa mendengar kisah sebegini apabila aku ceritakan.

Bapak beri aku duit belanja ( pocket money ) sebanyak 20 sen. Duit koin 20 sen itu disimpulkan oleh emak di penjuru sapu tangan, supaya tak mudah hilang. Fungsi sapu tangan ketika itu bukanlah untuk mengelap muka atau tangan tetapi berfungsi sebagai menyimpan wang saku ke sekolah. Pada ketika itu mana ada ‘wallet’. Dengan wang sebanyak 20 sen dapatlah aku beli nasi lemak atau meehun yang harganya 10 sen.  5 sen untuk beli kuih. 5 sen simpan untuk beli ais kepal ( ice ball ) ketika dalam perjalanan pulang nanti. Bagaimana dengan air minuman? Jawabnya ialah air perigi Pak Mansur yang berdekatan dengan sekolah. Disitulah sumber ‘air mineral’ yang baik. Percuma. Hanya menggunakan timba untuk menceduk air dari telaga yang agak dalam juga.

Hari pertama persekolahan bapak hantar aku menaiki basikal tua. Mungkin dalam masa seminggu aku ke sekolah dihantar oleh bapak dengan menaiki basikal. ‘ Lepas tu berjalan kaki bersama kawan-kawan ‘ kata bapak. Aku tak membantah. Seronok juga begitu. Dapatlah juga aku singgah-menyinggah dan menangguk ikan Sepilai ( ikan lawan ) ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah sepertimana amalan rakan-rakan yang lain.

Ada dua ‘route’ untuk ke sekolah dari rumah aku. ‘Route’ biasa dan ‘short-cut’. ‘Route’ biasa adalah melalui Sekolah Perempuan Kampung Lalang,  Kampung Pondok, Sekolah Arab Al-Yahyawiayh dan melalui pekan Padang Rengas terus ke sekolah. ‘Route’ ini agak jauh berbanding dengan ‘short-cut’ tetapi ada keseronokannya ia itu dapat melihat pekan Padang Rengas.

‘Short-cut’ route pula tidak melalui pekan Padang Rengas. Tidak melalui Kampung Pondok tetapi  melalui bendang terus ke kawasan rumah Uda Pekak dan bertemu dengan kampung Paya Panjang. Dan sampailah ke sekolah. Agak dekat perjalanan ini tetapi terpaksa melalui ‘belantara’, bendang dan alam semula jadi. Takut juga sekiranya berseorangan terutama musim bulan Januari – takut ‘Ngah Laoh Kerat Kepala’!

Dalam suasana kedinginan pagi yang hening itulah bapak mengayuh basikal tuanya menghantar aku ke sekolah. Antara nampak dan tidak kami membelah kabus pagi – babak pertama aku dalam usaha mengejar ilmu.

Lebih kurang enam bulan sebelum aku memasukki alam persekolahan telah banyak diperkatakan oleh kawan-kawan tentang syarat-syarat untuk memasuki Darjah Satu. Ini cakap-cakap kawan-kawan ketika ‘berbincang’ di padang permainan gasing ataupun ketika dalam perjalanan untuk ke kebun Pandak Leman untuk ‘mencuri’ mempelam kebun Pandak Leman. Kata kawan aku ‘syarat’ nak masuk sekolah ( Darjah 1 ) ialah dengan cara  memegang telinga kiri dengan menggunakan tangan kanan melalui bahgian tengah kepala. Pegang ikut belakang kepala ‘ tak aci ‘ ( tidak sah). Maknanya jikalau sudah boleh berbuat demikian, itu menandakan sudah ‘ dewasa’ untuk memulakan persekolahan Darjah 1. 

Itulah ‘ cakap-cakap’ kami yang hendak memulakan persekolahan Darjah 1. Tetapi sebenarnya tidaklah begitu. Itu hanya merupakan cerita rekaan yang direkacipta oleh orang tua-tua di kampung. Yang anihnya cerita sedemikian dipercayai dan diyakini oleh banyak pihak. Namun demikian, pihak pentadbiran British pada ketika itu agak longgar juga untuk menerima pelajar ke sekolah. Tidak seperti sekarang dimana untuk memasukki Darjah 1 semestinya berumur enam tahun lebih. Pada ketika itu ramai yang terlebih umur ketika memasuki Darjah 1.

Ramai yang memasukki Darjah 1 pada ketika itu tidak mengikut umur. Ramai yang sudah terlebih umur ketika memasukki Darjah 1, terutama kawan-kawan aku yang datang dari Kampung Setor. Aku masih ingat namanya – Jama ( Jamaluddin ) dan  Nazeri. Kawan-kawan aku yang betul-betul ikut peraturan ( umur 6 tahun ) ialah Mat Ha ( Dato’ Khairuddin -arwah), Ngah ( Radzi Jawi-arwah ) Di Pak Leman  ( Rashidi Sulaiman ) Busu ( Busu Piah - arwah) Dollah ( Abdullah Zainun ), Man Pak Sam ( Rosli Shamsuddin – arwah ) Noor ( Muhammad bin Tahir – arwah ). Kebanyakan mereka menjadi guru. Ada juga yang menjawat jawatan lain selain dari guru.

Bapak menyandarkan basikal buruknya pada pokok Cherry yang berdekatan dengan kelas Darjah 1. Menunggu dan melihat gelagat aku agaknya. Maklumlah baru masuk alam baru. Bimbang juga dia agaknya. Ramai juga ibu bapa lain yang bersikap begitu. Antara yang masih aku ingat berbuat seperti bapak aku ialah Tokki Ketok ( Atuk Man ). Pak Sam ( bapak Man ) tak datang. Mungkin disebabkan Tokki Ketok (ayah Pak Sam) yang hadir menemani Man, maka tanggungjawab itu diserahkan saja kepada Tokki Ketok. Tokki Ketok memang sayang sungguh kepada Man. Cucu lah katakan.! Atuk aku pun bercadang hendak menghantar aku ke sekolah, tetapi tak jadi akhirnya.

Pada ketika itu walaupun kami datang dari kawasan Padang Rengas tetapi dari kampung yang berlainan. Mat Ha, Busu, Dollah dari Paya Panjang; Ngah ( dua pupu aku dari Kampung Keroh Hilir), Noor dan Di Pak Leman dari Kampung Pondok; Man Pak Sam dari Kampung Pulau. Kami belum mengenali antara satu sama lain. Dan bermula dari Darjah 1 inilah, hubungan kami mula terjalin sehingga kini. Erat dan mantap.

( Untuk pengetahuan anak-anak semua di luar sana, persahabatan yang terpahat antara kami semenjak dibangku sekolah Darjah 1 inilah yang masih mantap dan jitu sehingga sekarang, walaupun kadang-kadang begitu lama tidak berjumpa)

Nama cikgu kami ialah Cikgu Rahman. Tempat asalnya Sayong, Kuala Kangsar. Ada ‘tahi lalat’ disebelah atas bibirnya. ‘Handsome’ orangnya  (diukur pada zaman tahun 50an). Pakaiannya ke sekolah serba putih. Tiap-tiap hari begitulah. Seluar dan bajunya ‘ berkanji’ dan bergosok rapi  (dengan seterika arang tentunya ). Hampir tidak pernah aku lihat Cikgu Rahman dan Cikgu-Cikgu lain yang memakai pakaian selain dari warna putih ketika ke sekolah. Rambut nya setiap hari berminyak (Zam-Zam agaknya) disikat rapi, ala remos P. Ramlee. Bujang pulak.

Cikgu Rahman datang ke sekolah menaiki masikal ‘Raleigh’. Berkilat  (sentiasa dicuci) basikalnya. Ada mengeluarkan sejenis bunyi dari rodanya apabila bergerak. Tik….tik….tik. Cikgu-cikgu lain juga datang ke sekolah dengan basikal. Tidak seorang pun antara cikgu yang pakai kereta atau motor. Tak mampu. Lagipun kereta tidak banyak pada ketika itu. Yang ada pun adalah brand “Ford’ dan “ Austin’. ‘ Made in England’ la.

Guru Besar Malay Boys School Padang Rengas pada ketika itu ialah Cikgu Mat Yassin namanya. Putih kulitnya. Bersongkok selalu. Cikgu Mat Yassin juga tidak mempunyai kereta. Hanya berbasikal apabila hendak bergerak ke sana-kemari. Orang kampung disekitar Padang Rengas amat menghormatinya sehinggakan nama sekolah “ Malay Boys School Padang Rengas ‘ itu dipanggil oleh orang Kampung sebagai ‘ Sekolah Cikgu Mat Yassin ‘.

Di sekitar Padang Rengas, Cikgu Mat Yassin adalah seperti ‘ Gabenor daerah’ atau ‘ District Officer’ ataupun sebagai ‘ Penghulu’. Pendek kata Cikgu Mat Yassin sangat-sangat dihormati. Begitu juga dengan Cikgu-cikgu lain yang sangat dihormati oleh orang kampung. Pendek kata sekiranya mengadakan khenduri di kampung dan ketiadaan Cikgu Mat Yassin atau pun cikgu-cikgu lain maka semacam tak sahlah khenduri yang diadakan. Guru-guru pada ketika itu adalah bertaraf VVIP.

Ibu bapa kami amat berbangga kalau dapat bertemu dan bercakap dengan Cikgu Mat Yassin. Kata-kata Cikgu Mat Yassin akan sentiasa diingati dan dirujuk. Pesan Cikgu Mat Yassin akan didengar dengan teliti. Tidak akan ada yang membangkang. Jikalau ada diantara kami yang dirotan atau didenda oleh Cikgu Mat Yassin, janganlah ‘ mengada-ngada’ nak beri tahu keluarga. Nanti kesannya, ibu bapa kami akan membawa kami kepada Cikgu Mat Yassin sekali lagi dengan disediakan rotan yang lebih besar dan lebih segar supaya Cikgu Mat Yassin terus merotan kami yang nakal.

Itulah hebatnya guru zaman dahulu. Sekarang ada lagi ke keadaan sedemikian?. Orang muda-muda fikirkanlah

Aku tanya persiapan cucuku, Fasihah Syahira untuk ke sekolah apabila penggal persekolahan bermula. Macam-macam persiapan telah disediakan, seperti juga anak-anak dan cucu-cucu orang lain. Maklumlah zaman persekolahan Kurun ke 21 tentulah amat berbeza dengan keadaan persekolahan zaman yang aku lalui. Seperti langit dan bumi. Suasana kuala Lumpur pulak tu…

Seingat aku memang aku tak boleh tidur pada malam itu. Teringat macam mana aku menghadapi alam baru. Alam persekolahan. Darjah 1. Memang tidak pernah aku tempuh. Pada ketika itu bukannya ada Tadika. ‘Meracun’ ( tiada) kata orang Perak. Yang aku dengar hanyalah cakap-cakap mengenai sekolah yang aku akan belajar. Malay Boys School Padang Rengas. Di Peraklah tu.. Sekolah Melayu, bukannya sekolah orang putih. Namanya saja nama orang putih. Maklumlah zaman penjajah. Tahun 1951.

Aku berasa amat bertuah mempunyai emak bapak dan datuk nenek yang amat mementingkan pelajaran. Walaupun aku tinggal bersama Opah, namun segala perbelanjaan persekolahan ditanggung oleh bapak. Dan dalam kehidupan yang amat sederhana itu bapak mampu juga menyediakan peralatan persekolahan aku secukupnya. Papan batu, pakaian sekolah ( baju dan seluar ) yang bukan seragam dan kasut putih. Berbanding dengan kanak-kanak lain pada ketika itu  yang datang kesekolah dengan memakai pakaian ‘anekawarna’ dan ada juga yang datang ke sekolah hanya memakai kain sarung tanpa kasut. Dan bersongkok!!.....

Aku tidak dapat membayangkan debaran yang aku hadapi pada ketika itu. Aku kadang-kadang mempersoalkan juga tentang mengapa bapak menghantar aku ke sekolah sedangkan ramai kanak-kanak di kampung aku yang tidak bersekolah. Kadang-kadang aku ‘mengutuk’ juga dalam hati tindakan mengapa bapak berbuat demikian. Mengapa aku tidak ‘senasib’ dengan rakan-rakan aku yang lain yang dapat lepas bebas tanpa pergi sekolah dan boleh menjalankan berbagai aktiviti seperti bermain dan ‘melastik’ burung di bendang. Mengapa aku tidak seperti Khalid yang boleh bangun lewat dan tidak perlu mandi pagi dan boleh berbuat sesuka hatinya tanpa pengawalan ketat dari keluargannya.

Aku perhatikan semua kanak-kanak ‘bergantung’ pada seluar bapak masing-masing ketika perhimpunan sekolah diadakan. Menunggu untuk masuk ke dalam kelas.  Aku sentiasa ‘memegang’ seluar bapak aku. Man Pak Sam ‘bergantung’ pada kain sarung atuknya Tokki Ketok. Suasana pada ketika itu ibarat seperti anak-anak yang dipimpin oleh pemain-pemain Manchester United untuk memasuki padang permainan. Maknanya sekiranya anak-anak tidak ditemani oleh bapak atau atuk tentu akan merasakan diri begitu ‘terhina’ pada ketika itu.

Itulah permulaan perjalanan hidup yang perlu aku lalui. Itulah tapak mulanya. Bak kata Confucius, ‘ a journey of one thousand miles begins with the first step’. Sudah aku mulai dengan langkah pertama dan entah berapa ribu langkah lagi yang perlu aku lalui. Pada ketika itu aku tidak tahu tentang nasib aku selepas itu. Hanya bapak aku yang boleh mencorakkan kehidupan aku. Aku rasa bertuah kerana bapak mengambil berat tentang perjalanan hidup aku berbanding dengan ramai ibu bapa di kampungku ketika itu yang tidak mempedulikan nasib anak-anak mereka pada masa hadapan. 

Hanya Allah yang tahu.


 Abuhassanadam

25 Januai2026



Thursday, January 22, 2026

 CIKGU SAMAD 

Bersesuaian dengan suasana di Malaysia kini yang sedang rancak membincangkan tentang Rancangan Pendidikan Negara, aku dedahkan satu kisah zaman lampau, zaman British tahun 1950an tentang suasana pada ketika itu yang membabitkan tentang suasana pendidikan dan persekolahan ketika itu yang menyentuh tentang sekolah dan pembelajaran. Dan tentunya menyentuh juga tentang guru dan peranannya ketika itu.

Memang susah aku nak melupakan Cikgu Samad terutama pada hari ulangtahun menyambut Hari Guru. ‘Cikgu Samad’ sememangnya sentiasa bertakhta di hati aku. Tak pernah lupa. Jikalau difikirkan, Cikgu Samad ini bukanlah hebat sangat orangnya jika dilihat dari kacamata orang ramai. Beliau merupakan Cikgu biasa yang pernah mengajar di sekolah Melayu Padang Rengas ( ketika zaman penjajahan didaftarkan sebagai ‘Malay Boys School Padang Rengas Perak) sekitar awal 1950an.Zaman penjajahan. Bukan guru besar pun. Tetapi bagi aku Cikgu Samad sememangnya ‘special’. Wajahnya sentiasa bertakhta di hatiku.

Nama penuh Cikgu Samad ialah Abdul Samad bin Kulup Seman. Cikgu Samad mengajar aku ketika aku dalam darjah tiga. Tahun 1953. Aku masih terbayang wajah Cikgu Samad yang ‘garang’ itu. Tak pernah senyum. Jikalau dia terasa geli hati dengan gelagat kami pada ketika itu, beliau hanya menyeringai. Tidak menampakkan langsung yang beliau tersenyum. Kami semua takut padanya. Pada ketika itu mana tahu lagi istilah hormat. Baru berumur sekitar lapan tahun. Masih budak mentah benar. 

Dalam kelas Darjah Tiga, ada terdapat lebih kurang 18 orang murid. Kecil dan besar atau boleh juga dikatakan sebagai ‘tua-muda’. Maksud aku pada ketika itu mana ada had umur. Ada yang berumur 8 tahun (sepatutnya) dan ada juga yang ‘sudah boleh kahwin’. Maksudnya sudah melebihi umur yang sepatutnya berada di dalam Darjah tiga. Zaman penjajahanlah katakan.... 

Pada ketika itu ibu bapa Melayu tidak mementingkan pendidikan. Mereka lebih suka anak-anak mereka bekerja di sawah atau memotong getah. Dan merupakan ‘tugas’ penjajah British pula untuk menggalakkan anak-anak Melayu pergi ke sekolah. Adalah merupakan satu paksaan pula untuk anak-anak Melayu pergi ke sekolah pada ketika itu. Dan untuk menggalakkan murid pergi ke sekolah pada ketika itu merupakan satu hal yang sangat sukar. Kebanyakan murid (Melayu yang tinggal di kampung-kampung) tidak mahu pergi ke sekolah. Apatah lagi kebanyakan ibu bapa tidak begitu mengambil berat tentang pendidikan anak-anak sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Bangunan sekolah tempat aku belajar, hanya cantik sedikit daripada kandang lembu. Berdinding separuh papan ( yang tidak berketam – dilicinkan), beratap zinc dan berlantaikan tanah. Tidak ada torrazo sepertimana yang terdapat di sekolah persendirian zman kini. Amat panas pada waktu tengah hari dan amat bising sekiranya turun hujan. Memang tak boleh belajar waktu hujan turun dengan lebat. Cikgu Samad terpaksa ‘memekik’ (bersuara dengan lantang) sekiranya mengajar waktu hujan turun. Tidak begitu panas disebabkan sentiasa berada dalam suasana ‘fresh air’, dari hembusan angin dari Gunung Pondok dan Gunung Bubu dipersekitaran pekan Padang Rengas.

Banyak sebab mengapa aku sentiasa teringatkan Cikgu Samad. Aku tak boleh lupa apabila Cikgu Samad menghadiahkan aku buku tulis  kepada aku apabila aku dapat tempat kedua dalam peperiksaan akhir tahun. Tempat pertama ialah Mat Ha ( Khairuddin bin Arshad (Dato’). Mantan Pengarah Pendidikan negeri Perak. Aku dah lupa siapa yang dapat tempat ketiga. Jikalau aku tak silap, Dollah ( Abdullah Zainun) yang menduduki tempat ketiga. Dan Dollah akahirnya menjadi menantu Cikgu Samad sehingga kini.

Yang pentingnya Cikgu Samad memberikan kami hadiah. Mat Ha dapat lima buah tulis ( untuk tempat pertama). Aku dapat empat buah dan Dollah mendapat 3 buah ( tempat ketiga). Antara aku dan Mat Ha sentiasa bersaing. Kadang-kadang aku dapat tempat pertama dan kadang-kadang tempat kedua. Kini Mat Ha terlebih dahulu meninggalkan aku. Buku tulis yang dihadiahkan oleh Cikgu Samad itu harganya hanya 10 sen sebuah ( pada ketika itu). Jadi nilai wang yang diberikan oleh Cikgu Samad pada aku hanya 40 sen. Bagi aku hadiah dan pemberian yang diberikan oleh Cikgu Samad itu tidak ternilai harganya. Yang penting ialah bahawa kesan pemberian hadiah itu ‘melekat’ sehingga kini.Begitulah hebatnya sikap dan contoh teladan yang diberikan oleh guru-guru lama terhadap muridnya yang menyebabkan mereka sentiasa diingati. Mereka tidak menghadiahkan barangan yang mahal dan berharga disebabkan mereka juga dalam keadaan yang tidak berada, namun mereka masih menunjukkan sikap sayang dan kasih kepada anak murid mereka yang menyebabkan jasa mereka sentiasa dikenang.

Terlalu banyak cerita-cerita yang menunjukkan sikap murni guru terhadap anak murid mereka yang menyebabkan anak murid terlalu payah melupakan jasa dan sumbangan guru. Bukan hadiah itu sahaja yang memberikan kesan yang amat mendalam pada aku sehingga kini. Ada hal lain. Ada ‘cerita’ lain.  Lebih menarik dan dalam keadaan yang luar biasa, yang tidak akan terdaya untuk dilakukan oleh kebanyakan guru zaman ini. Amat hebat dan menakjubkan tentang apa yang dilakukan oleh Cikgu Samad. Tak boleh lupa dan sentiasa diingati. Dan apabila mengingati peristiwa berkenaan boleh menyebabkan aku tersenyum sendirian dan boleh juga menitiskan air mata mengenangkan peristiwa berkenaan.. Sayu mengenangkan peristiwa berkenaan. Lucu apabila terbayangkan wajah Cikgu Samad dan wajah K.

K bukan nama sebenarnya. Walaupun yang akan aku coretkan berkaitan dengan K bukanlah perkara aib, tetapi aku bimbang juga kalau-kalau K akan merasakan yang aku cuba mengaibkan dirinya. Mungkin. Aku rasa dia tak kata dan terfikir begitu. Aku rasa. Oleh itu lebih baiklah aku berikan nama K saja. Biarlah dirahsiakan siapa dia K ini. Namun bagi kawan-kawan yang sekelas dengan aku pada ketika itu pasti akan tahu dan kenal siapa sebenarnya K yang aku maksudkan itu. Ini cerita benar. 

Dan baru-baru ini dalam satu majlis khenduri di rumah sepupu aku, kami berjumpa dan kami bersembang dan bercerita tentang kisah dulu-dulu termasuklah kisah Cikgu Samad. Aku dan K tertawa terbahak-bahak sehingga keluar air mata (gembira). Jadi aku yakin kalau pun aku tidak merahsiakan nama K sebenarnya dan aku ‘dedahkan’ watak K sebenar, aku yakin K akan bergembira dengan kisahnya dengan Cikgu Samad itu aku dedahkan. Aku yakin juga isteri dan anak K tidak akan memarahi aku dengan ‘pendedahan’ kisah ayah mereka itu. 

Hari itu Cikgu Samad mengajar pelajaran Ilmu Alam ( Geografi – istilah kini). Dia memulakan pelajarannya dengan menulis satu ayat di papan hitam ,” PULAU IALAH SEKEPING TANAH YANG DIKELLILINGI OLEH AIR”. Kami pun menulis dalam buka rampaian kami ayat berkenaan. Kemudian Cikgu Samad membaca ayat itu dan diikuti oleh kami semua. Beberapa kali. Lepas itu giliran setiap murid pula membaca ayat berkenaan. Seorang demi seorang. Tidak pula dijelaskan oleh Cikgu Samad apakah yang dimaksudkan dengan pulau itu. Jauh sekali Cikgu Samad menunjukkan peta dimana terdapatnya pulau-pulau berkenaan. Itulah bentuk pengajaran pelajaran Ilmu Alam, zaman penjajahan!

Sewaktu hendak pulang dari sekolah (pukul 1.00 tengah hari), Cikgu Samad akan memastikan semua murid boleh membaca ‘PULAU IALAH SEKEPING TANAH YANG DIKELLILINGI OLEH AIR’ untuk membolehkan pelajar mendapat ‘tiket’ untuk pulang. Sekiranya tidak boleh membaca ayat itu, dengan tidak melihat tulisan di papan hitam, maka Cikgu Samad akan memastikan setiap murid boleh membacanya sampai ‘lancar’,  walaupun sehingga waktu petang. Bagi murid yang pandai tentulah tidak ada masalah langsung untuk membaca dan mengingati ayat yang berkenaan. Namun bagi yang agak ‘ lemah’ tentulah menghadapi masalah besar.

K  mengahadapi masalah dalam hal ini. K bukanlah budak bodoh tetapi tidak berapa cerdik. Gagap pulak. Mungkin Tuhan memberikan kelebihan dari segi kepakaran berniaga kerana kononnya K telah  menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya di Kuala Lumpur. Menjual buah-buahan. Tetapi pada ketika itu K sememangnya amat lemah. Dia tidak dapat membaca dengan betul walaupun puas Cikgu Samad mengajarnya.

K pasti terkandas apabila mengahadapi ‘ujian’ Cikgu Samad untuk mengingati ayat yang berbunyi ‘Pulau ialah sekeping tanah yang dikelilingi oleh air’. Betul apa yang aku jangkakan. Rupa-rupanya Cikgu Samad masih bersama K sehingga pukul 3.30 petang. Secara kebetulan pada petang itu aku ke sekolah semula untuk latihan sukan. Aku lihat Cikgu Samad masih mengajar K untuk membaca ‘PULAU IALAH SEKEPING TANAH YANG DIKELLILINGI OLEH AIR”. Aku lihat Cikgu Samad sudah menanggalkan bajunya. ‘Bolin’ ( kata orang Perak) bererti tidak memakai baju. Panas. Maklumlah penangan atap zinc sekolah. Bukan ada kipas angin seperti sekarang. Namun Cikgu Samad masih mengajar K membaca ayat berkenaan. Aku tak tahu pukul berapa baru selelsai ‘sesi’ berkenaan.

Episod ini yang aku katakan hebat……Guru-guru zaman dulu memang hebat…Mengapa aku katakan hebat…

Menampakkan semacam Cikgu Samad mendenda K dengan ‘menahan’ K supaya tidak balik awal. Tetapi sebenarnya Cikgu Samad sanggup ‘mendenda’ dirinya sendiri dengan cara pulang lambat dari sekolah yang didorong oleh hasrat untuk mendidik anak-anak dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Bukan sahaja K yang merasakan dirinya ‘tersiksa’ tetapi Cikgu Samad juga ‘ tersisksa’. Aku kerapkali menyoal diri aku. “ Mengapa Cikgu Samad sanggup berbuat demikian?’

Cikgu Samad tidak pula mengaharapkan agar pengorbanannya itu akan dibalas dengan imbuhan kewangan. Tidak. Cikgu Samad tidak pula menunjukkan apa yang dilakukannya itu untuk mendapat pujian atau untuk dilihat oleh Guru Besar Cikgu Mat Yassin supaya membolehkan beliau dinaikkan pangkat. Mungkin tidak terfikirpun olehnya hal-hal sedemikian. Yang dipentingkannya supaya anak muridnya pandai dan berjaya. Dalam hal ini beliau mahu K ‘menjadi orang’ yang berjaya.

Banyak lagilah pengajaran-pengajaran yang boleh diperoleh dari episod antara Cikgu Samad dengan K ini.

Tentulah sumbangan-sumbangan guru yang lain yang mengajar kami pada ketika itu tidak boleh dilupakan. Cikgu Yunus Shamsuddin, Cikgu Ismail Shamsuddin, Cikgu Rahman juga merupakan ‘towering personality’ guru yang patut dikenang. Walaupun mereka tidak mendapat gelaran ‘tokoh guru’ atapun gelaran ‘Dato’ namun sumbangan dan jasa mereka kepada anak-anak di kawasan Padang Rengas ini amatlah besar khususnya generasi aku dan Mat Ha.


abuhassanadam

23 Januari 2026





Monday, January 19, 2026

NAMPAK JELAS KEKECEWAAN AGUNG

Sri Paduka Baginda seolah-olah merasa agak  kecewa apabila mengenangkan tentang  sikap setengah pegawai kerajaan yang bergerak agak perlahan dalam melaksanakan arahan khususnya sebagaimana yang disarankan oleh Baginda . Nampak jelas kekecewaan yang ditunjukkan oleh Agung.

Semacam masih ada segelintir pemimpin Melayu yang tidak bermarwah. Aku tak kata semua Melayu yang termasuk dlam kategori ‘tidak bermaruah’ itu. Mungkin agak keterlaluan aku kata begitu tetapi ramai yang mengatakan demikian. Dan tentulah tidak ada statistik untuk menunjukkan keadaan sedemikian. Hanya persepsi yang menentukan.

Mungkin juga aku pada suatu ketika dulu sama tarafnya dengan ‘Dainosaur’ sejenis binatang yang sudah pupus, yang sentiasa membincangkan isu-isu lapuk di telan zaman. Mungkin manusia yang bernama Melayu kini sudah tidak mempedulikan istilah ‘maruah’. Mungkin hanya ‘manusia purba’ seperti aku sahaja yang masih lagi ‘mengagung-agungkan’ konsp ‘maruah’ yang pada suatu ketika dahulu merupakan satu pusaka bangsa Melayu yang amat berharga dan dihargai.

Mungkin juga aku dapat membayangkan ramai pemimpin Melayu terutamanya golongan muda sedang mempersendakan aku kerana mewar-warkan istilah ‘maruah’ ini yang pada pandangan mereka tidak perlu lagi dibicarakan. Mungkin apa yang dimaksudkan ‘maruah’ bagi mereka bukan bermaksud ‘maruah’ seperti yang aku gambarkan, ataupun sepertimana yang digambarkan oleh datuk nenek kita pada zaman lampau.

Apa tidaknya…

Pemimpin kita seolah-olah tidak langsung ‘terasa’ dan ‘terkesan’ apabila mereka dituduh pemimpin yang menerima rasuah.  Para pemimpin negara kita tidak langsung ‘terkesan’ atau merasa ‘terhina’ apabila melakukan sesuatu tindakan yang amat bertentangan dengan budaya dan amalan bangsa Melayu yang beragama Islam. 

Cubalah bayangkan…

Apakah lena tidur seseorang pemimpin yang setiap saat dan ketika sentiasa di maki dan dihamun oleh masyarakat kerana tindakannya yang amat bertentangan dengan seorang pemimpin yang bermaruah.

Apakah seorang pemimpin itu boleh tenang kehidupan yang dilaluinya sekiranya dia tahu berjuta-juta ringgit wang tunai berada dalam simpanannya. Dan dia amat sedar bahawa wang yang dimilikinya itu bukanlah diperolehinya dari kegiatan yang halal. Ringkasnya wang rasuah.

Apakah agaknya perasaan seorang isteri yang memiliki ratusan beg tangan yang berjenama yang beliau amat sedar bahawa beg tangan yang berpuuh-puluh buah itu dibeli melalui wang haram diperolehi oleh si suami dari kegiatan rasuah.

Apakah seorang pemimpin merasa selesa menaiki kereta mewahnya apabila beliau penuh sedar bahawa wang yang digunakan untuk memiliki kereta yang sedemikian adalah melalui kegiatan haram. Rasuah.

Dan yang paling hina dan paling jijik ialah apabila ada diantara pemimpin Melayu yang beragama Islam yang sanggup melakukan kegiatan rasuah sedangkan beliau amat sedar bahawa kegiatannya itu amat bertentangan dengan ajaran yang diajarnya kepada pengikutnya. Amat malang apabila ‘label Islam yang sentiasa digunakannya tidak dipeliharanya dengan betul. Berserban dan berjanggut tebal mengikut sunnah Rasul sedangkan perbuatannya amat jauh menymipang dari amalan Rasullullah. 

Soalnya mengapa begitu jadinya? Orang Melayu yang turun temurun sangat mementingkan maruah diri sudah begitu mudah terjerumus di ‘lembah kehinaan’ ini, suatu sifat yang amat dihargai oleh orang Melayu. Dan yang anihnya semacam sudah tidak ada langsung usaha untuk memelihara budaya ‘menjaga maruah diri’ dikalangan orang Melayu ini.

Perkataan ‘maruah’ hanya mainan bibir pemimpin Melayu. Entah berapa puluh kali perkataan ‘maruah’ dan harga diri dilafazkan di persidangan Perhimpunan UMNO setiap tahun  misalnya oleh para pemimpin tetapi istilah itu hanya tinggal sebutan dan perhiasan kata-kata dan ayat. Sikap menjaga maruah diri itu seolah-olah sudah diketepikan langsung dan tidak dipedulikan. Semacam tidak terasa langsung bagi pemimpin yang menyelewengkan istilah demikian.

Baru-baru ini terdapat sebilangan besar yang dituduh terlibat dalam kegiatan rasuah adalah terdiri dari golongan yang berpangkat dan berdarjat. Bagi aku dan bagi sesiapa sahaja bahawa anggota masyarakat yang bergelar (dan yang berpingat) sudah tentulah anggota masyarakat yang telah berjasa dan memberikan sumbangan yang amat besar kepada bangsa dan negara dan juga agama. Agaknya lah. Dan sudah pastinya tergolong dalam kategori orang yang bermaruah. Jikalau tidak masakan pihak istana sanggup mengurniakan bintang-bintang kebesaran kepada mereka.

Malangnya ada diantara mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah ( yang dituduh oleh SPRM) adalah terdiri dari golongan ‘terhormat’ yang mendapat gelaran dari istana. Bukan sahaja golongan sebegini tidak menghormati kurniaan yang diberikan oleh pihak istana tetapi yang paling penting ialah mereka telah mencemar ‘pusaka Melayu’ yang paling berharga ia itu ‘maruah’. Jelasnya bahawa mereka yang berkelakuan sedemikian merupakan golongan yang tidak bermaruah ataupun sudah hilang langsung maruah diri  mereka.


Amat malang bangsaku yang sudah tidak bermaruah…


abuhassanadam

20 Januari 2026 







Wednesday, January 7, 2026

 APAKAH  BENAR MELAYU TERGUGAT?

Betlukah orang Melayu tergugat dalam serba serbinya samada dari segi ekomi atau bidang-bidang lain. Sebilangan besar rakyat Malaysia tidak menyoal begitu. Samadamereka faham dengan keadaan begitu ataupun 'malas nak bergaduh'. soalan sedemkian diajukan juga oleh rakan-rakan dari luar negara. Mereka seolah-olah tidak percaya dengan tuduha-tuduhan liar begitu. Mereka juga hairan mengapa timbul tanggapan sedemkian. Mereka merasakan bahawa Malaysia sudah berada di landasan yang betul bagi sebuah negara maju.

Beberapa tindakan yang dilakukan oleh beberapa NGO di negara ini pada akhir-akhir ini seolah-olah menampakkan semacam orang Melayu tergugat kedudukannya. Semacam orang Melayu yang beragama Islam terancam kedudukannya. Apakah betul anggapan sedemikian?. Dan sekiranya diteliti dan diperinci, tidak menampakkan langsung bahawa orang Melayu di negara ini tergugat. Golongan yang merasakan bahawa bangsa Melayu dan agama Islam sedang digugat adalah sama seperti takutkan  bayang-bayang yang diciptakan untuk ‘menakutkan’.

Mungkin pihak-pihak tertentu di negara ini mempunyai agenda tertentu yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian. Agenda mereka yang tersendiri yang direka dan dicipta oleh mereka sendiri. Aku tentulah tidak dapat memahami tindakan pihak-pihak tertentu yang terpaksa ‘mencipta’ sesuatu isu demi untuk menonjolkan diri mereka sebagai ‘hero’ memperjuangkan sesuatu isu yang berkaitan dengan agama misalnya. Terpaksa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang hebat bagi menunjukkan bahawa mereka berbuat sesuatu untuk mempertahankan kesucian agama Islam. Hanya mereka sendiri yang tahu dan faham apa yang mereka lakukan.

Aku tidak faham dengan keadaan dan situasi yang berlaku kini. Semenjak zaman berzaman aku tidak pernah lagi melihat suasana dan ‘kelakuan’ yang sebegini yang dilakukan oleh rakyat Malaysia  berketurunan Melayu dan beragama Islam. Mungkin ada. Hanya aku yang tidak perasan perkara seperti itu berlaku. Semenjak zaman berzaman orang Melayu memang terkenal dengan bangsa yang bersopan santunnya, sehinggakan kita (orang Melayu termasuk aku) sangat dihormati oleh bangsa lain di negara ini. Orang Melayu sememangnya bersifat lemah lembut dan bersopan santun. 

Aku turunkan beberapa baris dari sajak dari sastrawan negara Dato’ Usman Awang berjodol “Melayu”.

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan


Beberapa tindakan NGO yang kononnya memperjuangkan agama dan bangsa Melayu seolah-olah amat jauh menyimpang dari cara dan adat orang Melayu. Dengan sebab itulah segala tindakan mereka itu bukan sahaja tidak begitu disukai oleh golongan bukan Melayu tetapi juga tidak langsung direstui oleh kebanyakan orang Melayu yang beragama Islam. Mungkin yang merestui akan tindakan yang sedemikian adalah golongan yang sudah lupa dan menyimpang agak jauh dari peradaban dan tata susila orang Melayu.Mungkin…

Kata SN Usman Awang, “bahawa Melayu itu orang yang bijaksana” yang membawa erti bahawa segala tindak-tanduknya tentulah menampakkan sebagai seorang yang cerdik dan pandai dan berhemah dalam melakukan sesuatu tindakan. Dan pastinya memikirkan kesan dan akibat daripada tindakan yang dilakukan. Lantas berfikir dua kali dan beberapa kali sebelum melakukan apa saja tindakan. Itu yang dimaksudkan dengan bijaksana dan tidak hanya memikirkan tentang mencari ‘sesuap nasi’ untuk menyarai keluarga tercinta.

“Kurang ajarnya tetap santun”

Maknanya orang Melayu tidak akan bersikap kurang ajar. Pada pemerhatian aku bahawa sejarah kewujudan orang Melayu jarang sangat disebutkan bahawa orang Melayu sebagai bangsa yang sentiasa kurang ajar. Mungkin mereka bersikap kurang ajar tetapi disebabkan ‘bersantun’nya kurang ajar mereka itu sehinggakan tidak kelihatan dan terjelma sikap kurang ajarnya. Itulah dia orang Melayu.

Ini bermakana bahawa orang Melayu sentiasa memendam kemarahan mereka sekiranya mereka memarahi sesuatu. Orang Melayu akan ‘mengamuk’ sekiranya kemarahan mereka sampai ke kemuncaknya. Amuk atau mengamuk hanya sifat yang dimiliki oleh orang Melayu sahaja di dunia ini walaupun berbagai kamus antarabangsa telah mentafsirkan perkataan amuk dalam situasi yang berlainan dan berlaku kepada bangsa-bangsa lain juga di dunia. Apakah tindakan NGO-NGO yang  ada di Malaysia kini yang  kononnya memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam itu sudah lupa atau melupakan budaya dan adat santun orang Melayu itu?

Dan perlu diingat juga bahawa Islam itu menganjurkan perdamaian bukan sahaja antara penganutnya tetapi juga dengan penganut-penganut agama lain. Dan jikalau ditinjau sejarah perjuangan rakyat Malayisa yang terdiri dari berbilang kaum pun, tetap mengutamakan rundingan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Perdamaian. Ketiga kaum terbesar di Tanah Melayu yang terdiri dari Melayu, Cina dan India berjaya mencapai kemerdekaan negara bertunjangkan pakatan antara kaum yang mereka usahakan sehinggakan British tidak ada alasan lagi untuk menidakkan kemerdekaan negara kita.

Cara pemimpin negara dan Sultan-sultan menyelesaikan masalah kerakyatan di negara ini juga adalah melalui tolak ansur politik. Lantas prinsip yang berasaskan perundingan harus diteruskan bagi menjamin negara Malaysia yang aman damai. Tindakan kekerasan ataupun kurang sopan pastinya tidak mendapat restu rakyat terbanyak. Sebab sifat orang Melayu adalah lemah lembut dan sentiasa memikirkan tentang perdamaian. 

abuhassanadam

8 Januari 2026


Sunday, January 4, 2026

 PADA ANAK MUDA  AKU SANDARKAN HARAPAN

Di suatu majlis ceramah, pada suatu ketika dahulu aku berkesempatan berbual dengan beberapa orang anak muda.. Tentulah di majlis ceramah Pakatan Rakyat – PKR. Aku bukanlah penyokong kuat parti berkenaan. Jikalau nak dengar penerangan dari pihak BN-UMNO, tak payah pergi ke majlis ceramah. Duduk saja di rumah. Tengok TV. Tak kiralah TV manapun. Semuanya kempen untuk BN-UMNO. Kadang-kadang a ku perhatikan 60% berita di TV, mengenai kempen BN-UMNO. Jadi tak payahlah dengar penerangan BN-UMNO di majlis-majlis sebegini. Lagipun jikalau nak menghadiri majlis ceramah Pakatan Rakyat, terpaksalah datang sendiri dan tidak ada jamuan makan disediakan sebagaimana majlis ceramah UMNO-BN. Keadaan zaman dulu begitulah. Semua cukup. Bas disediakan dan makanan juga diberi. Duit poket pun dapat. Itu dulu. Sekarang pun begitu juga agaknya.

Sebagaimana biasa ada dua tujuan aku pergi ke majlis sedemikian. Pertama untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan perkembangan politik negara ( yang tidak dihebahkan melalui TV dan akhbar kerajaan ) maksud aku rahsia -penting yang tidak mah dihebahkan oleh radio atau TV. Dan yang keduanya untuk menikmati makanan yang dijual disitu. Sup ekor biasanya untuk aku. Tentang perkembangan politik terkini pula ada dua sumber yang boleh diperolehi. Pertama daripada penceramah-penceramah jemputan dan yang kedua daripada ‘penceramah-penceramah’ yang tidak dijemput tetapi ‘terjumpa’ di tempat-tempat ketika kita  menjamu selera. Ini yang 'hebatnya' penceramah sedemikian.

Meja tempat aku menikmati sup ekor pada malam itu, dikongsi oleh beberapa orang anak muda. Mereka juga menikmati makanan yang sama. Berselera nampaknya mereka.  Empat orang. Pelajar university agaknya. Cara perwatakan mereka tu macam budak univeristy ler. Pandai menghormati orang tua-tua sepeti aku. Mereka menjemput aku makan. Mereka datang awal daripada aku. Jadi mereka dapat dulu ler makanan yang dipesan.Nampak baik perangai budak-budak tu.

‘ Anak-anak ni belajar di mana?” kataku membuka perbualan.

“ Dekat sini je Pak Cik…” Seorang menjawab.

“ Jadi datang ke sini ni nak mendengar ceramah ler yer?…” aku menduga jawapan yang sesuai.

Mereka semuanya senyum. Senyum yang mengandungi banyak makna. Maklumlah budak cerdik dan pandai. Budak Universiti ler katakan. Sentiasa berwaspada nak menjawab soalan aku tu. Maklumlah sekarang ni gerak- geri mereka sentiasa di awasi oleh pihak-pihak tertentu. Walaupun dihebahkan yang pelajar-pelajar boleh berpolitik, namun sentiasa di awasi. Mereka boleh meceburkan diri dalam politik, tetapi politik macam mana. Jikalau politik yang bertentangan dengan aspirasi kerajaan, maka tentunya tidak dibenarkan.

Kadang-kadang kuliah di tempat ceramah, lebih bermakna berbanding dnegan yang disampaikan oleh professor di bilik kuliah….” kata seorang yang berbadan tegap. Aku terdiam. 'Malas aku nak 'campur'. Sah pelajar.Macam aku dulu masa belajar dulu.

Aku tak memberikan apa-apa ''response. Hanya tersenyum. Susah aku nak berbual dengan orang muda. Takut tersilap cakap. Atau tersilap nasihat…

“ University sekarang terlalu mengongkong pelajar…” Kata seorang lagi.

“ Mengongkong macam mana tu?” tanya aku.

“ Semuanya tak boleh Pak Cik…. Itu tak boleh…ini tak boleh….Dah jadi biul kami dibuatnya…Itu sebab kami datang mendengar ceramah ni..sekurang-kurangnya terbuka juga minda kami…..” Tak mahu aku nak mengia atau menidakkan kata-kata mereka. Maklumlah orang muda. Pelajar university pulak tu. Tentulah cerdik.

Aku masih tersenyum. 

“ Zaman Pakcik di Universitu dulu macam mana? “Soalan ini ditujukan kepada aku. Yang aku hairan mana dia tahu aku pernah ke university. Aku rasa budak ini hanya pakai serkap jarang saja. Aku tak jawab pun. Lebih baiklah aku dengar saja hujah mereka. Budak cerdiklah katakan.

‘ Ayah saya  kata zaman dia belajar di university dulu seronok…..awal 1970an…..hampir setiap minggu ada demonstrasi….ada ceramah oleh penceramah jemputan, orang politik, professor dari luar negara….”

Dengan sendiri dapat aku bayangkan bahawa para pelajar pada ketika itu sememangnya dahagakan ilmu pengetahuan yang luar daripada bahan pelajaran yang dikhususnkan untuk mereka. Mereka mahu mendengar buah fikran yang bernas yang diimport dari laur. Mereka seolah-olah sudah bosan mendengar ‘ leteran’ professor yang mereka anggap sebagai ‘burung kakak Tua’ yang hanya pandai menyampaikan apa yang disampikan oleh pihak kerajaan. Berbeza dengan zaman kini dibawah 'pentadbiran' DS Anwar Ibrahim.

Apabila aku ceritakan tentang Minggu Orientasi Pelajar yang dipenuhi dengan forum-forum dan ceramah-ceramah oleh penceramah luar dan dalam university, mereka terhenti seketika menikmati makanan yang terhidang. Pada ketika itu,( kataku ) penceramah bebas mengeluarkan pandangan mereka samada pro atau menentang pemerintah. Dan para pelajar pula boleh menyuarakan pandangan mereka sebebas-bebasnya. 

Para pelajar pula boleh meluahkan perasaan di Speakers Corner yang terletak di hadapan Perpusatakaan University Malaya. Tidak ada siapa yang melarang sekiranya pelajar nak menyampaikan ceramahnya. Bebas sebebasnya. Kadang-kadang para professor sendiri hadhir mendengar ucapan pelajar. Ramai professor pada ketika itu yang hadhir di Speakers Corner mendengar ucapan Anwar Ibrahim. Dengan sebab itulah agaknya ramai para pemimpin yang berkualiti yang telah dilahirkan oleh sistem yang sedemikian. Boleh dilihat kini tentang kesan yang telah dilahirkan oleh budaya Speakers Corner itu.

Berbanding dengan keadaan sekarang, para pelajar telah dikongkong. Seolah-olah tidak ada kebebasan langsung yang diberikan kepada pelajar untuk menguruskan hal ehwal mereka. Kedengaran juga bahawa pihak pentadbiran university ‘sebok’ juga mencampuri hal ehwal pelajar memilih calon mereka untuk mewakili  mereka dalam majlis perwakilan. Dalam hal ini pun pihak pentadbiran campurtangan. Apakah pihak pentadbiran univeristy sudah lupa bahawa university adalah lain daripada pengurusan sekolah menengah. Tentu mereka faham tentang hal itu, namun mereka terus menerus campurtanagan dalam hal sebgitu. Kata orang begitu ler. Mungkin tidak…..

Aku percaya dan berdoa pada ketika itu, sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya nanti dan berjaya memerintah negara ini maka aku amat-amat mengharapkan agar para pelajar kita diberikan kebebasan sebebasnya untuk menimba seberapa banyak ilmu tanpa gangguan daripada pihak kerajaan. Yang paling penting dan utama  para pelajar kita di pusat pengajian tinggi awam dan swasta diberikan hak kebebasan bersuara seluas-luasnya. Bebaskanlah pelajar kita yang telah begitu lama sengsara dan derita yang telah mereka deritai.

Kami sama-sama bangun untuk pergi mendengar ceramah seterusnya. Anwar Ibrahim (belum jadi Perdana Menteri ketika itu) dah sampai. Mereka mengeluarkan wang nak membayar makanan. Termasuk Sup  Ekor yang aku punya. Aku tak benarkan. Tidak sepatutnya aku membiarkan mereka yang bayar. Mereka itu seperti anak-anak aku juga.

“ Biar Pakcik yang  bayar……….ini kira ‘hutang’…..’hutang’ ini mesti dibayar apabila awak semua menjadi manusia yang berguna kepada negara pada suatu hari nanti…” kataku berjenaka.

Dengan mengucapkan terima kasih, anak-anak muda harapan negara itu beredar…

Abuhassanadam

5 Januari 2026