DARJAH 1 – 1951
Aku terbayang ketika aku baru nak masuk sekolah Darjah 1 pada tahun 1951. Enam puluh tahun yang lampau. Pada ketika itu Tanah Melayu (Malaysia sekarang) masih di bawah penjajahan pentadbiran British. Orang Putih, kata Opah aku. Keadaannya pun jauh berbeza dengan keadaan sekarang. Perbezaannya seperti malam dengan siang. Tinjaulah dari sudut apa sekali pun.
Secara kasarnya pekan Padang Rengas dulu bukan seperti Padang Rengas sekarang. Jalan raya yang bertar hanya setakat kaki Gunung Pondok sahaja. Lebih senang untuk difahami setakat ‘Gate keretapi’ saja. Kini ‘gate keretapi’ berkenaan sudah tidak ada lagi. Sudah ada ‘viaduct’ untuk melintasi jalan keretapi. Dulu berhampiran dengan Sekolah Al-Yahyawiyah terdapat bangunan kesan tinggalan yang dibom oleh Jepun. Kini tinggalan bangunan sedemikian sudah tidak ada lagi. Bagi aku satu ‘kehilangan’ juga kerana tinggalan sejarah yang sedemikianlah dapat memberikan erti kepada kehidupan masyarakat di sini. Sekurang-kurangnya masyarakat di sini tahu bahawa kesan Perang Dunia Kedua dulu sampai juga bahangnya ke Padang Rengas!
Deraian kokok ayam yang entah ke berapa aku dah lupa. Tapi waktu itu lebih kurang pukul 5.00 pagi sebab sudah kedengaran azan Encik Kontak dari surau berdekatan dengan rumah aku. Ketika itu mana ada jam. Pakai agak-agak je. Opah atau Atuk tak pernah pun menyebut ‘pukul satu’ ke ‘pukul dua’ ke. Mereka akan menyebut ungkapan-ungkapan seperti, ‘dinihari’, ‘selepas zohor’ ‘selepas asar’ ‘subuh shafie’ ‘beralih hari’ tengah malam’ dan beberapa ungkapan lain menandakan waktu. Mereka mungkin tak kenal jarum jam. Aku pasti Opah tak kenal pun angka dan aku pasti dia tak pandai membaca, tetapi Opah boleh berpantun dan bersyair. Itulah kehebatan Opah.
Walaupun tidak ada jam di rumah kami pada ketika itu, namun begitu aku tak pernah lewat ke sekolah sehinggalah ketika berada di sekolah menengah pun. Sentiasa ‘punctual’. Hari itu merupakan hari pertama aku ke sekolah. ‘Dunia’ baru. ‘Dunia’ yang belum pernah aku alami. Tentulah banyak perbezaan antara ‘dunia’ aku sebelum dan selepasnya. Baru mula bersekolah. Seronok ada dan tak seronok pun ada.
Seronok kerana dapat menempuh pekan. Pekan Padang Rengas. Sekolah aku namanya ( Malay Boys School Padang Rengas ) terletak berhampiran dengan pekan Padang Rengas. Lebih kurang setengah kilometer dari pekan Padang Rengas menghala ke Kuala Kangsar. Aku memang jarang-jarang pergi ke Padang Rengas, walaupun jaraknya hanya dua kilometer dari kampung aku. Jadi bila bersekolah dapatlah aku ke pekan Padang Rengas setiap hari, kecuali hari cuti. Dapatlah juga aku beli ais kepal dari kedai keling Majid (dibawah pokok sena ). Dapatlah aku beli kundas ( sejenis kuih yang hanya terdapat di kedai mamak di Padang Rengas ! )
Aku ke telaga ditemani Opah. Mandi. Pada ketika itu mana ada paip air. Bilik mandi jauh sekali. Untuk mandi dan buang air terpaksalah ke telaga atau ke sungai yang berdekatan. Secara kebetulan rumah aku dekat dengan sungai maka sungai itulah dijadikan ‘toilet’ untuk kami sekeluarga. Memang bersih dan nyaman. ‘Flush toilet’ lah katakan!
Ketika itu masih gelap lagi. Telaga pulak lebih kurang 10 ela dari rumah. Mana ada lampu letrik. Emak pakai lampu minyak gas untuk menyuluh jalan. Air telaga pada ketika itu bukan main sejuk. Terpaksa mandi juga. ‘Gosok gigi dulu ‘ kata emak memberikan arang yang sudah bertumbuk untuk gosok gigi. Pada ketika itu mana ada berus dan ubat gigi. Arang dapur itulah ubat giginya dan jari telunjuklah berus giginya !
Baju dan seluar aku telah siap digosok oleh emak dengan sterika yang ada patung ayam jantan di atasnya. Di dalam sterika dibubuh bara api untuk menghangatkan sterika. Mana ada ‘iron’ seperti sekarang. Aku rasa sangat ‘hebat’ apabila dikenakan baju dan seluar. Tak pakai seluar dalam. Zaman itu mana ada trend pakai seluar dalam. Tapi sekolah kami semuanya murid laki-laki. Tak hairan jikalau tak pakai seluar dalam pun. Melihat sesuatu dalam seluar kami adalah merupakan perkara biasa disebabkan ketiadaan seluar dalam untuk melindunginya.
‘Breakfast’ sudah tersedia. Emak yang sediakan. Pisang Emas muda yang direbus, dicecah dengan kelapa. Kopi O. Itu saja. Itulah sebagai pengalas perut ke sekolah. Berbanding dengan ‘ breakfast’ yang dinikmati oleh anak-anak aku dan cucuku kini ada lah seperti ‘ jauh panggang dari api. Jauh benar bezanya. Mereka ketawa mendengar kisah sebegini apabila aku ceritakan.
Bapak beri aku duit belanja ( pocket money ) sebanyak 20 sen. Duit koin 20 sen itu disimpulkan oleh emak di penjuru sapu tangan, supaya tak mudah hilang. Fungsi sapu tangan ketika itu bukanlah untuk mengelap muka atau tangan tetapi berfungsi sebagai menyimpan wang saku ke sekolah. Pada ketika itu mana ada ‘wallet’. Dengan wang sebanyak 20 sen dapatlah aku beli nasi lemak atau meehun yang harganya 10 sen. 5 sen untuk beli kuih. 5 sen simpan untuk beli ais kepal ( ice ball ) ketika dalam perjalanan pulang nanti. Bagaimana dengan air minuman? Jawabnya ialah air perigi Pak Mansur yang berdekatan dengan sekolah. Disitulah sumber ‘air mineral’ yang baik. Percuma. Hanya menggunakan timba untuk menceduk air dari telaga yang agak dalam juga.
Hari pertama persekolahan bapak hantar aku menaiki basikal tua. Mungkin dalam masa seminggu aku ke sekolah dihantar oleh bapak dengan menaiki basikal. ‘ Lepas tu berjalan kaki bersama kawan-kawan ‘ kata bapak. Aku tak membantah. Seronok juga begitu. Dapatlah juga aku singgah-menyinggah dan menangguk ikan Sepilai ( ikan lawan ) ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah sepertimana amalan rakan-rakan yang lain.
Ada dua ‘route’ untuk ke sekolah dari rumah aku. ‘Route’ biasa dan ‘short-cut’. ‘Route’ biasa adalah melalui Sekolah Perempuan Kampung Lalang, Kampung Pondok, Sekolah Arab Al-Yahyawiayh dan melalui pekan Padang Rengas terus ke sekolah. ‘Route’ ini agak jauh berbanding dengan ‘short-cut’ tetapi ada keseronokannya ia itu dapat melihat pekan Padang Rengas.
‘Short-cut’ route pula tidak melalui pekan Padang Rengas. Tidak melalui Kampung Pondok tetapi melalui bendang terus ke kawasan rumah Uda Pekak dan bertemu dengan kampung Paya Panjang. Dan sampailah ke sekolah. Agak dekat perjalanan ini tetapi terpaksa melalui ‘belantara’, bendang dan alam semula jadi. Takut juga sekiranya berseorangan terutama musim bulan Januari – takut ‘Ngah Laoh Kerat Kepala’!
Dalam suasana kedinginan pagi yang hening itulah bapak mengayuh basikal tuanya menghantar aku ke sekolah. Antara nampak dan tidak kami membelah kabus pagi – babak pertama aku dalam usaha mengejar ilmu.
Lebih kurang enam bulan sebelum aku memasukki alam persekolahan telah banyak diperkatakan oleh kawan-kawan tentang syarat-syarat untuk memasuki Darjah Satu. Ini cakap-cakap kawan-kawan ketika ‘berbincang’ di padang permainan gasing ataupun ketika dalam perjalanan untuk ke kebun Pandak Leman untuk ‘mencuri’ mempelam kebun Pandak Leman. Kata kawan aku ‘syarat’ nak masuk sekolah ( Darjah 1 ) ialah dengan cara memegang telinga kiri dengan menggunakan tangan kanan melalui bahgian tengah kepala. Pegang ikut belakang kepala ‘ tak aci ‘ ( tidak sah). Maknanya jikalau sudah boleh berbuat demikian, itu menandakan sudah ‘ dewasa’ untuk memulakan persekolahan Darjah 1.
Itulah ‘ cakap-cakap’ kami yang hendak memulakan persekolahan Darjah 1. Tetapi sebenarnya tidaklah begitu. Itu hanya merupakan cerita rekaan yang direkacipta oleh orang tua-tua di kampung. Yang anihnya cerita sedemikian dipercayai dan diyakini oleh banyak pihak. Namun demikian, pihak pentadbiran British pada ketika itu agak longgar juga untuk menerima pelajar ke sekolah. Tidak seperti sekarang dimana untuk memasukki Darjah 1 semestinya berumur enam tahun lebih. Pada ketika itu ramai yang terlebih umur ketika memasuki Darjah 1.
Ramai yang memasukki Darjah 1 pada ketika itu tidak mengikut umur. Ramai yang sudah terlebih umur ketika memasukki Darjah 1, terutama kawan-kawan aku yang datang dari Kampung Setor. Aku masih ingat namanya – Jama ( Jamaluddin ) dan Nazeri. Kawan-kawan aku yang betul-betul ikut peraturan ( umur 6 tahun ) ialah Mat Ha ( Dato’ Khairuddin -arwah), Ngah ( Radzi Jawi-arwah ) Di Pak Leman ( Rashidi Sulaiman ) Busu ( Busu Piah - arwah) Dollah ( Abdullah Zainun ), Man Pak Sam ( Rosli Shamsuddin – arwah ) Noor ( Muhammad bin Tahir – arwah ). Kebanyakan mereka menjadi guru. Ada juga yang menjawat jawatan lain selain dari guru.
Bapak menyandarkan basikal buruknya pada pokok Cherry yang berdekatan dengan kelas Darjah 1. Menunggu dan melihat gelagat aku agaknya. Maklumlah baru masuk alam baru. Bimbang juga dia agaknya. Ramai juga ibu bapa lain yang bersikap begitu. Antara yang masih aku ingat berbuat seperti bapak aku ialah Tokki Ketok ( Atuk Man ). Pak Sam ( bapak Man ) tak datang. Mungkin disebabkan Tokki Ketok (ayah Pak Sam) yang hadir menemani Man, maka tanggungjawab itu diserahkan saja kepada Tokki Ketok. Tokki Ketok memang sayang sungguh kepada Man. Cucu lah katakan.! Atuk aku pun bercadang hendak menghantar aku ke sekolah, tetapi tak jadi akhirnya.
Pada ketika itu walaupun kami datang dari kawasan Padang Rengas tetapi dari kampung yang berlainan. Mat Ha, Busu, Dollah dari Paya Panjang; Ngah ( dua pupu aku dari Kampung Keroh Hilir), Noor dan Di Pak Leman dari Kampung Pondok; Man Pak Sam dari Kampung Pulau. Kami belum mengenali antara satu sama lain. Dan bermula dari Darjah 1 inilah, hubungan kami mula terjalin sehingga kini. Erat dan mantap.
( Untuk pengetahuan anak-anak semua di luar sana, persahabatan yang terpahat antara kami semenjak dibangku sekolah Darjah 1 inilah yang masih mantap dan jitu sehingga sekarang, walaupun kadang-kadang begitu lama tidak berjumpa)
Nama cikgu kami ialah Cikgu Rahman. Tempat asalnya Sayong, Kuala Kangsar. Ada ‘tahi lalat’ disebelah atas bibirnya. ‘Handsome’ orangnya (diukur pada zaman tahun 50an). Pakaiannya ke sekolah serba putih. Tiap-tiap hari begitulah. Seluar dan bajunya ‘ berkanji’ dan bergosok rapi (dengan seterika arang tentunya ). Hampir tidak pernah aku lihat Cikgu Rahman dan Cikgu-Cikgu lain yang memakai pakaian selain dari warna putih ketika ke sekolah. Rambut nya setiap hari berminyak (Zam-Zam agaknya) disikat rapi, ala remos P. Ramlee. Bujang pulak.
Cikgu Rahman datang ke sekolah menaiki masikal ‘Raleigh’. Berkilat (sentiasa dicuci) basikalnya. Ada mengeluarkan sejenis bunyi dari rodanya apabila bergerak. Tik….tik….tik. Cikgu-cikgu lain juga datang ke sekolah dengan basikal. Tidak seorang pun antara cikgu yang pakai kereta atau motor. Tak mampu. Lagipun kereta tidak banyak pada ketika itu. Yang ada pun adalah brand “Ford’ dan “ Austin’. ‘ Made in England’ la.
Guru Besar Malay Boys School Padang Rengas pada ketika itu ialah Cikgu Mat Yassin namanya. Putih kulitnya. Bersongkok selalu. Cikgu Mat Yassin juga tidak mempunyai kereta. Hanya berbasikal apabila hendak bergerak ke sana-kemari. Orang kampung disekitar Padang Rengas amat menghormatinya sehinggakan nama sekolah “ Malay Boys School Padang Rengas ‘ itu dipanggil oleh orang Kampung sebagai ‘ Sekolah Cikgu Mat Yassin ‘.
Di sekitar Padang Rengas, Cikgu Mat Yassin adalah seperti ‘ Gabenor daerah’ atau ‘ District Officer’ ataupun sebagai ‘ Penghulu’. Pendek kata Cikgu Mat Yassin sangat-sangat dihormati. Begitu juga dengan Cikgu-cikgu lain yang sangat dihormati oleh orang kampung. Pendek kata sekiranya mengadakan khenduri di kampung dan ketiadaan Cikgu Mat Yassin atau pun cikgu-cikgu lain maka semacam tak sahlah khenduri yang diadakan. Guru-guru pada ketika itu adalah bertaraf VVIP.
Ibu bapa kami amat berbangga kalau dapat bertemu dan bercakap dengan Cikgu Mat Yassin. Kata-kata Cikgu Mat Yassin akan sentiasa diingati dan dirujuk. Pesan Cikgu Mat Yassin akan didengar dengan teliti. Tidak akan ada yang membangkang. Jikalau ada diantara kami yang dirotan atau didenda oleh Cikgu Mat Yassin, janganlah ‘ mengada-ngada’ nak beri tahu keluarga. Nanti kesannya, ibu bapa kami akan membawa kami kepada Cikgu Mat Yassin sekali lagi dengan disediakan rotan yang lebih besar dan lebih segar supaya Cikgu Mat Yassin terus merotan kami yang nakal.
Itulah hebatnya guru zaman dahulu. Sekarang ada lagi ke keadaan sedemikian?. Orang muda-muda fikirkanlah
Aku tanya persiapan cucuku, Fasihah Syahira untuk ke sekolah apabila penggal persekolahan bermula. Macam-macam persiapan telah disediakan, seperti juga anak-anak dan cucu-cucu orang lain. Maklumlah zaman persekolahan Kurun ke 21 tentulah amat berbeza dengan keadaan persekolahan zaman yang aku lalui. Seperti langit dan bumi. Suasana kuala Lumpur pulak tu…
Seingat aku memang aku tak boleh tidur pada malam itu. Teringat macam mana aku menghadapi alam baru. Alam persekolahan. Darjah 1. Memang tidak pernah aku tempuh. Pada ketika itu bukannya ada Tadika. ‘Meracun’ ( tiada) kata orang Perak. Yang aku dengar hanyalah cakap-cakap mengenai sekolah yang aku akan belajar. Malay Boys School Padang Rengas. Di Peraklah tu.. Sekolah Melayu, bukannya sekolah orang putih. Namanya saja nama orang putih. Maklumlah zaman penjajah. Tahun 1951.
Aku berasa amat bertuah mempunyai emak bapak dan datuk nenek yang amat mementingkan pelajaran. Walaupun aku tinggal bersama Opah, namun segala perbelanjaan persekolahan ditanggung oleh bapak. Dan dalam kehidupan yang amat sederhana itu bapak mampu juga menyediakan peralatan persekolahan aku secukupnya. Papan batu, pakaian sekolah ( baju dan seluar ) yang bukan seragam dan kasut putih. Berbanding dengan kanak-kanak lain pada ketika itu yang datang kesekolah dengan memakai pakaian ‘anekawarna’ dan ada juga yang datang ke sekolah hanya memakai kain sarung tanpa kasut. Dan bersongkok!!.....
Aku tidak dapat membayangkan debaran yang aku hadapi pada ketika itu. Aku kadang-kadang mempersoalkan juga tentang mengapa bapak menghantar aku ke sekolah sedangkan ramai kanak-kanak di kampung aku yang tidak bersekolah. Kadang-kadang aku ‘mengutuk’ juga dalam hati tindakan mengapa bapak berbuat demikian. Mengapa aku tidak ‘senasib’ dengan rakan-rakan aku yang lain yang dapat lepas bebas tanpa pergi sekolah dan boleh menjalankan berbagai aktiviti seperti bermain dan ‘melastik’ burung di bendang. Mengapa aku tidak seperti Khalid yang boleh bangun lewat dan tidak perlu mandi pagi dan boleh berbuat sesuka hatinya tanpa pengawalan ketat dari keluargannya.
Aku perhatikan semua kanak-kanak ‘bergantung’ pada seluar bapak masing-masing ketika perhimpunan sekolah diadakan. Menunggu untuk masuk ke dalam kelas. Aku sentiasa ‘memegang’ seluar bapak aku. Man Pak Sam ‘bergantung’ pada kain sarung atuknya Tokki Ketok. Suasana pada ketika itu ibarat seperti anak-anak yang dipimpin oleh pemain-pemain Manchester United untuk memasuki padang permainan. Maknanya sekiranya anak-anak tidak ditemani oleh bapak atau atuk tentu akan merasakan diri begitu ‘terhina’ pada ketika itu.
Itulah permulaan perjalanan hidup yang perlu aku lalui. Itulah tapak mulanya. Bak kata Confucius, ‘ a journey of one thousand miles begins with the first step’. Sudah aku mulai dengan langkah pertama dan entah berapa ribu langkah lagi yang perlu aku lalui. Pada ketika itu aku tidak tahu tentang nasib aku selepas itu. Hanya bapak aku yang boleh mencorakkan kehidupan aku. Aku rasa bertuah kerana bapak mengambil berat tentang perjalanan hidup aku berbanding dengan ramai ibu bapa di kampungku ketika itu yang tidak mempedulikan nasib anak-anak mereka pada masa hadapan.
Hanya Allah yang tahu.
Abuhassanadam
25 Januai2026
No comments:
Post a Comment