Wednesday, January 15, 2025

 KEHILANGAN DUA WIRA NEGARA

KARPAL SINGH DAN  DR ZULKIFLI MUHAMMAD

Aku melihat kehilangan mendiang Karpal Singah seperti juga kehilangan Allah Yarham Zulkifli Muhammad lima puluh tahun yang lampau. Kedua-duanya bertaraf ‘singa’ dan wira rakyat. Cuma bezanya ramai yang tidak tahu mengenai perjuangan Allah Yarham Zulkifli Muhammad berbanding dengan perjuangan mendiang Karpal Singh disebabkan zaman yang memisahkan antara keduanya. Bagi rakyat Malaysia yang cintakan perdamaian, pemergian dua orang wira negara ini pasti ditangisi. Jarak ‘pemergian’ antara kedua tokoh ini adalah 50 tahun. Mendiang Karpal Singah meninggalkan kita pada 17 April 2014 sedangkan Allah Yarham Zulkifli Muhammad pulang ke Rahmatullah pada  6 Mei 1964.

Aku terpanggil untuk menulis tentang kedua-dua tokoh ini kerana ‘nasib’ malang yang menimpa mereka adalah lebih kurang sama. Kemalangan jalan raya. Mendiang Karpal terbabit dengan kemalangan jalan raya  di Lebuhraya Utara-Selatan ketika dalam perjalanan ke Utara. Dikatakan kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian seorang pemandu lori yang menukar haluan tanpa memberikan sebarang isyarat yang menyebabkan malapetaka berlaku.

Dr. Zulkifli Muhammad pula menemui ajalnya juga dalam satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke Perak dari Kelantan, bersama isterinya, Ustazah Asiah kamaruddin yang merupakan Naib Ketua Muslimat PAS pusat pada 6 Mei 1964.

Rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian, ketelusan, keikhlasan pimpinan pastinya akan menangisi pemergian mendiang Karpal dan Dr. Zulkifli. Anak muda kini mungkin tidak kenal dan tahu siapa sebenarnya Dr. Zulkifli Muhammad disebabakan ketokohannya sentiasa ‘disembunyikan’ dan tidak pun tercatat dalam buku sejarah untuk dipelajari oleh anak-anak kemdian hari. Perjuangannya adalah merupakan perjuangan ‘the unsung hero’ yang jasa dan pengorbanannya tidak banyak diketahui. Hendaknya janganlah sejarah perjuangan Karpal Singh juga ditenggelamkan dalam arus sejarah. 

 Negara harus memberikan ruang secukupnya untuk diabadikan sejarah perjuangan dua orang wira negara ini, walaupun perjuagan politik mereka berbeza dengan fahaman arus perdana.Tidak banyak yang diketahui oleh anak muda tentang perjuangan Allah Yarham Dr. Zulkifli Muhammad. Pada tahun 1956 beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS ketika Dr. Burhanuddin Al Helmy dilantik sebagai Yang Dipertua Agungnya. Beliau merupakan pemidato yang hebat dan disegani oleh kawan dan lawan. Beliau mencipta rekod berucap di parlimen selama 4 jam. Di Parlimen beliau banyak membangkitkan isu-isu berkaitan kerakyatan, cukai, penubuhan koperasi, kepentingan pengetahuan teknikal kepada orang Melayu, perkembangan bahasa Melayu, perlunya pusat latihan guru dan yang paling penting menyeru supaya menghentikan penghantaran guru ke Kirkby dan Brinsford di United Kingdom. (Wikipedia).

Menyentuh tentang kehebatan Dr. Zulkifi Muhammad di Parlimen, izinkan aku memetik kenyataan  dari Blog Chemekmolek yang telah menulis dengan panjang lebar mengenai kegiatan Dr. Zulkifli.

Antaranya,

• Beliau menggesa Persekutuan Tanah Melayu agar menarik balik pengiktirafan terhadap negara Israel.

•   Pada 19 Ogos 1963, beliau berucap menentang penubuhan Malaysia dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Ini kerana jika berlaku penubuhan Malaysia, pulau Singapura akan terlepas dari kerajaan.

•   Beliau juga membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malah beliau mengecam awal-awal akta ini sebelum ia diluluskan kerana beliau bimbang akta ini digunakan untuk kepentingan politik.

• Antara isu yang beliau sentuh pada bulan April 1960 ialah mengenai bahasa Melayu sebagai pengantar, ekonomi orang Melayu termasuk RIDA.

• Ketika persidangan yang lain dari bulan Ogos hingga Disember 1960 Dr Zulkifli Muhammad mengemukakan persoalan mengenai pendatang haram, orang Melayu luar negeri, Laporan Razak mengenai pelajaran, perlunya Malay Economic Secretariat, ali baba, RIDA, cukai, anti corruption agency, architecture kebangsaan dan perlunya rumah-rumah murah untuk kakitangan kerajaan berpendapatan rendah.

• Dalam tahun 1961, beliau mengemukakan pendapat mengenai Rancangan Pembangunan Lima Tahun mengenai pelajaran dewasa, penggunaan Bahasa Melayu RIDA, FELDA, Dewan Bahasa dan Pustaka, menentang penubuhan Malaysia, dasar pelajaran dan rasuah. Tahun 1962, mengemukakan perlunya Staff Training Centre, Public Record, Crown Agent, RIDA, kemunduran pelajar Melayu, pengjian Islam, Kolej Islam, penubuhan Tabung Haji, perturan sekolah-sekolah, Kolej Pertanian, Bahasa Kebangsaan, perlunya Secretariat Melayu Kuala Lumpur, bahasa Melayu di mahkamah dan keselamatan jalan raya.

Pemerigian kedua-dua orang tokoh ini sepatutnya dijadikan iktibar oleh ahli-ahli parlimen kita yang seharusnya bersedia untuk belajar dan memapstikan kehadiran mereka di parlimen bukan semata-mata untuk memanaskan kerusi tetapi boleh memberikan sumbangan yang amat bermakna sekiranya dimanfaatkan. Sepanjang berada di parlimen, entah berapa kali mendiang Karpal Singh ‘dihalau’ keluar kerana menimbulkan isu yang bertentangan dengan kehendak dan ‘selera’ pihak kerajaan. Namun disebabkan komitmennya yang begitu tinggi terhadap negara maka beliau berterusan memberikan kritikan membina terhadap dasar kerajaan yang difikirkannya tidak menguntungkan rakyat terbanyak.

Kedua-dua tokoh di atas akan dikenang buat selama-lamanya.


abuhassanadam

15 Januari 2025






Monday, January 13, 2025

 

KAK NGAH LILY

Ini cerita benar. Tahun 1954. Di kampung aku dia dipanggil Kak Ngah.  Lily tidak digunakan. Tidak pula aku tahu sebabnya dan tentulah tidak sesuai agaknya nama "Lily' digunapakai di kampung pendalaman. Dan macam mana Kak Ngah mendapat nama tambahan 'Lily' tidak juga diketahui orang kampung aku. Kak Ngah pun nampaknya selesa apabila ada yang memanggilnya Kak Ngah Lily.

Banyak perkara anih yang berkaitan dengan Kak Ngah Lily ini. Dia duduk bersendirian di rumah usangnya. Setahu aku Kak Ngah ada mempunyai suami tetapi tidak duduk sekali. Suaminya hanya sekali sekala datang melawat dia. Kadang-kadang sebulan sekali dan ada ketikanya dua minggu sekali. Suaminya baik orangnya. Dari keturunan India Muslim. Dia tinggal di mana tidak juga aku tahu.

Aku dan Zainun suka pergi lepak di halaman rumah Kak Ngah. Mesti ada sebabnya. Pertama sekali sekiranya lepak maka pasti akan dapat coklat pemberian Kak Ngah. Bukan coklat sebagaimana yang terdapat kedai Pak Lang Brahim. Itu gula-gulu. Coklat yang diberikan oleh Kak Ngah pada kami itu merupakan coklat 'orang putih' - 'Van Houtten'. Sedap bukan main. Setiap kali suami pulang ke rumah Kak Ngah selagi itulah kami dibelanjanya dengan coklat yang berlainan brandnya.

Satu hari Kak Ngah bertanya Zainun mengapa dia tidak pergi sekolah sedangkan pada ketika itu umur Zainun sama dengan umurku. Jikalau Zainun ke sekolah, pasti dia sama dengan aku - darjah dua sekolah Melayu. Agaknya Kak Ngah hairan mengapa Zainun tidak ke sekolah. Pada zaman itu, (murid tidak ke sekolah adalah perkara biasa). Aku bernasib baik kerana tidak termasuk dalam kategori berkenaan.

"Besok pergi ke sekolah' kata Kak Ngah pada Zainun.

Zainun tidak berkata apa-apa hanya jawapan dengan senyuman. Aku tahu jawapannya. Zainun pernah jelaskan pada aku emak dia tidak ada wang untuk membiayai persekolahannya. Kak Ngah pun aku rasa faham dengan keadaan Zainun.

"Besok pergi sekolah' kata Kak Ngah sambil menghulurkan wang 20 sen kepada Zainun. 20 sen juga diberi kepada aku. Aku tak ambil wang itu. Bukan tidak mahu tetapi takut emak aku 'murka' kerana menerima wang Kak Ngah Lily.

Kadang-kadang aku juga hairan mengapa orang kampung tidak suka kepada Kak Ngah Lily. Apa salah dia. Orang nya baik. Suka menolong orang tetapi orang kampung semacam tidak ikhlas menerima pemberian Kak Ngah. Aku tak faham.

Aku memberanikan diri bertanya emak kenapa orang kampung semacam membenci Kak Ngah Lily. Emak tak jawab. Hampir semua orang kampung diam membisu sekiranya dikemukakan soalan berkenaan. Tetapi kali ini aku pasti tanya emak mengapa dia diam membisu. Pasti aku akan dimarahi mak. Tak apa. Marah...marah la. Aku memberanikan diri.

Pada sebelah petang satu hari suami Kak Ngah pulang dari perantauan. Tidak aku tahu dari mana. Seperti biasa kami diberi coklat yang sedap dari England. Tentulah kami gembira menerima pemberian itu.

Kak Ngah nampak amat gembira menyambut suami tersayang dan dia beritahu kami yang dia akan berada 'di luar' selama enam bulan.beritahu kami yang dia akan berada 'di luar' selama enam bulan. Begitulah keadaan kehidupan Kak Ngah Lily. Bermakna begitulah jadual Kak Ngah - enam bulan di kampung dan enam bulan di luar.

Tentulah kami (aku dan Zainun) merasa sunyi dengan ketiadaan Kak Ngah Lily. Aku masih tidak dapat meneka apakah pekerjaan Kak Ngah Lily.


abuhassanadam

13 Januari 2025



Sunday, January 12, 2025

 

Aku siarkan semula nukilan pada suatu ketika dulu


DANGAU TEPI BENDANG PAK NGAH TENGIN

Setiap kali menjelangnya bulan Disember aku merasa hiba. Bulan Disember memanglah bulan cuti. Cuti sekolah. Ibu bapa juga merancang berbagai destinasi untuk membawa  keluarga mereka bercuti. Itulah ‘trend’ zaman in.

Yang aku nak ‘bercerita’ dan yang aku nak ‘curahkan fikrian dan perasaan’ aku ialah mengenai keadaan musim cuti pada tahun-tahun 1950an dan awal 1960an. Pada ketika itu yang dinamakan ‘cuti panjang’ ialah pada bulan Puasa ( bulan Ramdhan). Satu bulan cuti bagi ‘Sekolah Melayu’. Maknanya sepanjang bulan Ramdhan, sekolah Melayu akan bercuti.

‘Bijak’ betul penjajah untuk ‘mengambil hati’ orang Melayu. Seolah-olah penjajah British ketika itu menghormati bulan Ramdhan. Sekolah Melayu ‘dicutikan’nya. Sekurang-kurangnya ‘terubat’ juga hati dan perasaan orang Melayu. Dan ramai juga yang mengatakan pada ketika itu bahawa British amat bijak mentadbirkan negara ini.

Sekolah Orang Putih tidak pula bercuti pada bulan Ramdhan. Malah ada ketikanya sekolah Inggeris berjalan seperti biasa pada hari raya Korban. Tidak dibenarkan bercuti. Dan aku pernah mengalami keadaan ini apabila sekolah dibuka seperti biasa pada hari raya korban. Tidak pula ada tentangan kepada pentadbiran sekolah.

Cuti panjang bagi sekolah Inggeris ialah pada bulan Disember. Macam sekarang. Pada bulan Ramadhan, terpaksa bersekolah seperti biasa. Maklumlah tidak ramai anak Melayu yang belajar di sekolah Inggeris pada ketika itu. Mungkinlah disebabkan keadaan sedemikian maka sekolah Inggeris berjalan seperti biasa pada bulan Ramadhan. Dan seingat aku di sekolah Clifford Kuala Kangsar hanya terdapat seorang guru Melayu pada ketika itu. Tahun 1959. Tuan Syed Jaafar namanya. Hanya seorang.

Bagi aku sekolah cuti dengan sekolah tak cuti sama saja. Bezanya apabila sekolah tak cuti, terpaksalah pergi sekolah. Dan apabila musim cuti sekolah maka tak perlulah pergi sekolah. Amat berbeza dengan keadaan kini dimana pada musim cuti, ibu bapa sedaya upaya membawa anak-anak pergi bercuti. Sekurang-kurangnya bercuti dalam negara. Dan sudah ramai juga yang mampu membawa anak-anak bercuti ke luar negara.

Cuti bagi aku pada ketika itu adalah ‘tidak pergi sekolah’. Setiap pagi, apabila mata hari mula memancar aku dan kawan-kawan akan ‘bermesyuarat’ di dangau tepi bendang Pak Ngah Tengin, ‘merangka dan merancang program’ pada hari berkenaan. Samada untuk melastik burung di pohon Dedalu kepala bendang Seman Alang Noh ataupun mengutip buah Konam atau pun ‘mengintai’ pokok Mempelam Semik Pandak Leman.

Pada petangnya kami akan berkumpul di halaman rumah Pan Anjang Judah untuk bermain gasing ataupun di halaman rumah Wan Munah untuk bermain guli. Laman Pan Anjang Judah amat sesuai untuk bermain gasing disebabkan tanahnya yang keras, memudahkan gasing berpusing. Lagipun di situ ada pokok jambu yang sedia memberikan ‘refreshment’ pada kami apabila dahaga.

Sekiranya kami mahu bermain ‘Porok’ maka ‘venue’ yang paling sesuai ialah depan kedai Tokki Jawi. Kawsan di situ agak lapang untuk membolehkan kami begitu selesa bermain di situ.

Samada Pan Anjang Judah ataupun Wan Munah ataupun Tokki Jawi tak pernah marah kami bermain di halaman rumah mereka. Malah kadang-kadang merka juga terhibur melihat gelagat kami bermain di situ.

Pukul 5.00 petang kami berpindah pula ke “Padang mereng’ untuk bermain bola. Aku tak tahu mengapa dipanggil sedemikian. Yang aku tahu padang itu tidak rata dan tidak luas pun kawasan lapang di situ. Jadi kami terpaksalah bermain bola di celah-celah pokok getah yang ada di situ.

 Menjelang waktu Maghrib kami ‘berarak’ ke rumah Pak Haji Sulaiman untuk mengaji di sana sehinggalah pukul 10.00 malam. Begitulah jadual aku setiap hari sepanjang cuti sekolah.

Apabila penggal persekolahan bermula pada bulan Januari, maka guru Bahasa Inggeris pastinya meminta pelajar menuliskan essei tentang apa yang dilakukan pada masa cuti. Keadaan yang sebeginilah yang amat menyedihkan aku. Kebanyakan pelajar (bukan Melayu) menghabiskan cuti mereka melancong bersama keluarga mereka. Oleh itu dapatlah mereka menuliskan pengalaman mereka ketika bercuti dengan ibu bapa mereka, sedangkan aku tidak ada apa yang hendak aku tuliskan. Tentulah aku malu juga untuk menceritakan pengalaman aku main gasing, main guli, menimba kolam pada rakan-rakan yang lain. Aku merasa amat terhina.

Ada kawan baik aku. Wahid namanya. Dia anak guru besar sebuah sekolah di daerah ini. Wahid membertahu aku yang dia baru saja pulang dari Pantai Timur bersama keluarganya. Tentulah essei Wahid begitu hebat sekali apabila dibacakan di depan kelas nanti.

Aku betul-betul dalam dilemma. Hendak rasanya aku menipu, mengatakan aku juga pergi melancong bersama keluarga aku. Tetapi ke mana? Nanti apabila tersilap tulis nanti bukankah susah jadinya.

Aku mengambil keputusan untuk bercakap benar. Aku akan tuliskan pengalaman aku sebagai anak kampung yang miskin dan bagaimana aku menghabiskan masa cuti aku. Dan tentunya amat berbeza dengan rakan-rakan aku yang lain menghabiskan masa cuti mereka. Walaupun perasaan malu agak menebal juga menyelubungi perasaan aku ketika menuliskan essei berkenaan, namun tetap memberanikan diri untuk menyatakan sesuatu yang benar.

 Dengan izin Allah, Mr Walter telah begitu tertarik dengan eseei yang aku tulis dan meminta aku membacakannya di hadapan kelas. Tajuk eseei aku berjodol, “A Small Hut in The Rice Fields’., menceritakan bagaimana aku menghabiskan masa cuti aku sebagi anak kampung yang miskin.

abuhassanadam


 PMX JALAN TERUS...

Dalam usaha beliau untuk mewujudkan sebuah negara  Malaysia yang betul-betul berjaya dan modern  DS Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri seharusnya 'mengenepikan' apa sahaja penghalang yang cuba menyekat 'perjalanannya'. Jelas kelihatan  pada umumnya pihak pembangkang dalam kerajaan Malaysia kini berusaha dengan supaya untuk menyekat kelancaran perjalanan pentadbiran Malasyia. Tidak kelihatan usaha jelas dari pihak pembangkang untuk betul-betul  memajukan negara dalam ertikata yang sebenar-benarnya.

Saudara Anwar agak bertuah kerana kedapatan ahli-ahli kabinet yang nampak kelihatan begitu komited dalam bekerjasama memajukan pentadbiran negara. Tidak kelihatan terdapat usaha dari  dari ahli kabinet yang curang yang besifat 'musang berbulu ayam' atau pun pihak ahli kabinet yang bersifat 'talam dua muka'. Dalam suasana sedemikian dapat PMX meneruskan pentadbiran negara dengan berkesan dengan dibantu dengan padu oleh ahli kabinet yang jujur dan ikhlas.

Persoalannya pula ialah apakah usaha ini akan pasti berjaya memandangkan asakan yang kuat dari pihak pembangkang yang dengan sejelas-jelasnya menampakan ancaman untuk 'meruntuhkan' usaha yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan kini. Melalui berbagai saluran golongan pembangkang yang tidak senang dengan usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan mereka berusaha menggodam dengan berbagai cara.

Ini merupakan keadaan kemelut yang sedang dihadapi oleh PMX. Agak bernasib baik bahawa sehingga kini tidak kelihatan yang jelas dari pihak pimpinan kerajaan yang cuba untuk membelot usaha kerajaan memajukan negara ini. Keyakinan mereka kelihatan teguh berada di belakang PMX dan hendaknya janganlah timbul usaha adanya 'gunting dalam lipatan' yang kesannya akan menggagalkan usaha PMX memajukan Malaysia yang tercinta.

Kita kerapkali mendengar kenyataan jelas dari PMX dalam beberpa ucapannya menyatakan bahawa dalam memertabatkan sistem tatakola yang baik dalam kerajaannya belum ada lagi terdapat ahli kabinetnya yang rasuah sebagaimana yang pernah berlaku dalam sistem pentadbiran negara sebelum ini. Dalam hal sebegini sudah boleh meyakinkan kita bahawa usaha sedemikian telah menampakkan kejayaannya. Namun sebagaimana yang selalu diperkatakan bahawa kita harus juga memikirkan agar 'panas sampai ke petang dan jangan hujan di tengah hari'

Kenyataan PMX yang menyatakan bahawa usaha beliau dan kerajaannya akan berterusan walaupun dalam suasana berhadapan dengan berbagai ancaman terutama dari pihak pembangkang dalam usaha mereka untuk menggagalkan kerajaan yang ada. Rakyat Malaysia yang sedar dan peka merasakan bahawa amat jelas usaha pembangkang yang semata-mata berusaha untuk membatalkan apa saja usaha pemerintah untuk menggagalkan pentadbiran kerajaan. Belum berhenti lagi usaha pihak tertentu berusaha untuk menggagalkan kerajaan yang ada.

Usaha sedemikian bukan sahaja diusahakan oleh pihak pembangkang yang baru muncul tetapi diusahakan oleh 'pembangkang yang sudah pencen' yang masih berhasrat untuk terus menguasai negara. Masih tidak berpuas hati kerana 'menyerahkan' tugas kepimpinan itu kepada orang baru. Mereka masih mahu terus menguasai dan kononya golongan merekalah yang membawa kemajuan kepada negara. Lantas apabila sudah kelihatan dengan jelas kemajuann yang dibawa oleh DS Anwar Ibrahim, maka mereka begitu 'runsing' dengan kejayaan yang sedemikian dan berlakulah berbagai usaha untuk menggagalaknnya.

Diharapkan PMX tidak akan 'menoleh ke belakang' dan 'terus menuju kehadapan sehingga berjaya mencapai hasrat yang diidamkan'


abuhassanadam

12 Januari 2025


Saturday, January 11, 2025

 ANWAR BERSUNGGUH MEMAJUKAN MALAYSIA

Aku perhatikan ada terdapat segelintir anak muda yang 'terpekik-terlolong' menyuarakan pendapat (konon!) agar DS Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Katakanlah Saudara Anwar ('merampuih!) loghat Perak) dan meletakkan jawatanya tokoh manalah agaknya yang boleh mengambil tempat Saudara Anwar - DS Haji Hadi, DS Hamzah, Mohidin atau siapa?

Aku hidup (bermaksud bersama 'bersepak terajang ' dengan Anwar Ibrahim) zaman pancaroba. Sudah aku tempoh zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir, Pak Lah Badawi....dll Malah aku sempat 'bertugas' bersama Pak Lah Badawi, Saudara Anwar Ibrahim dan agak rapat juga dengan DS Mohd Najib.

'Kemunculan' Anwar Ibrahim di arena kepimpinan Malaysia merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh anak-anak muda tahun 1970an. Dikatakan begitu kerana pada ketika inilah merupakan perjuangan anak muda yang diterajui oleh Anwar Ibrahim. Anak-anak muda zaman ini (Kurun ke 21) perlu mengkaji perjuangan anak muda tahun 1970an, 80an yang sentiasa memperjuangkan 'the conscience of the majority' yang merupakan slogan yang dipopularkan dan laungan  oleh saudara Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia kini.

Kini Saudara Anwar Ibrahim sudah menjadi Perdana Menteri. Sehingga kini setelah melihat prestasi beliau aku merasakan yang beliau hampir memenuhi harapan yang tertulis dalam 'Reprt Card (pentadbiran Malaysia) ' walaupun tidak semua yang diharapkan telah tercapai. Dan kelihatan yang beliau sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan negara ini. Kita merasa terkilan juga sepatutnya Saudara Anwar Ibrahim terus mengambil 'baton' daripada Tun Mahathir I998) dan terus memacu Malaysia sebagaimana yang didamkan oleh anak muda 1970an dan bukan 'tergendala' sebagaimana yang dapat kita lihat zaman Tun Mahathir.

Amat besar sumbangan Tun Mahathir kepada negara dan sewajarnya kejayaan Tun itu harus diteruskan tetapi malangnya seperti 'mengharapkan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari' disebbkan angkara beliau juga. Tidak perlu dihuraikan tentang apakah nasib yang menimpa negara selepas itu. Anak muda tahun 1970an merasa amat kecewa dengan perkembangan itu. Lantas muncul lah slogan 'Reformasi' yang dicetuskan oleh anak muda tahun70an dan 80an pimpinan Saudara Anwar.

Apabila Saudara Anwar mengambil alih pentadbiran negara, pejuang-pejuang Reformasi yang bersama dengan Saudara Anwar Ibrahim semacam 'mengundurkan diri' dan semacam berpuas hati bahawa 'tugas telah selesai' . Golongan anak muda sudah pun menjadi 'Mahasitua' dan ramai yang sudah pergi terlebih dahulu , menyahut panggilan Ilahi meninggalkan kita. Bukan setakat meninggalkan perjuangan. Sebenarnya semangat 'anak muda 79an dan 80an' terus membara.

Ditakdirkan Saudara Anwar 'tergelincir' untuk menjadi pemimpin negara untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai, maka negara akan melihat satu bentuk perjuangan baru yang mungkinn lebih hebat dari perjuanagan lama.

Aku merasakan keadaan sedemikian tidak wujud lagi. Anak muda kini hanya perlu memerhatikan keadaan yang wujud di negara kini. Kekalkan keadaan yang sudah meletakkan negara kita dilandasan yang betul. Anak muda kini harus menyambung perjuangan bapak-bapak pejuang yang sebagiannya sudah tiada.

Selamat berjuang dan teruskan perjuangan dan semangat 70an dan 80an. Berjuang demi ' the conscience of the majority'


abuhassanadam

11 Januari 2025

Friday, January 10, 2025

 KEMANA HILANGNYA BUDI BAHASA KETIMURAN KITA

Aku merasa hairan juga melihat gelagat setengah orang muda (yang kononya berstatus VVIP dan mempunyai gelaran yang berbagai-bagai) tetapi tidak tahu menghormati orang 'tua' atau orang kenamaan. 'Orang tua-tua' adalah istilah yang selalu digunapakai di kampung merujuk kepada 'orang yang telah berumur'. Apakah salah dan 'berdosa besar' benarkah sekiranya sesorang yang lebih muda memanggil orang yang lebih tua dengan panggilan yang sesuai untuk dipakai untuk golongan yang lebih tua. Tidak salah rasanya sekiranya kita beradab sedemikian rupa.

Aku perhatikan bahawa pertimbangan untuk memanggil gelaran pada seseorang bergantung kepada status seseorang itu dalam masyarakat diukur dari segi kekayaan atau kuasa dan kekuasaan yang dipegang dalam sesebuah masyarakt. Misalnya sesorang akan dihormati dan dipanggil dengan gelaran tertentu sekiranya ada pengiktirafan yang dianugerahkan kepada beliau. Dan gelaran sedemkian akan terus gugur sekiranya kedudukanya gugur.

Keadaan terjadi begini mungkin disebabakan cara penganugerahan yang dilakukan untuk memperolehi status berkenaan. Maknanya ststus yang diperolehi begitu mudah didapati dengan tidak mewajarkan kenapa sesuatu anugerah itu diberikan. Penganugerahan  bintang misalnya mempunyai susur galur sejarah yang tersendiri. Mungkin sudah dimulakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Dengan sebab itulah agaknya dianggap begitu mulia pada zaman dan ketika itu. Pengamalan  pemberian anugerah berdasarkan kepada pencapaian atau sumbangan seseorang kepada kerajaan Melaka atau kepada Raja yang memerintah. 

Satu hal yang diperhatikan amat jelek yang diamalkan oleh ahli masyarakat di Malaysia ialah perbuatan yang tidak menghormati orang tua-tua, ataupun orang-orang tua dihormati sementara dia dianugerahkan sesuatu gelaran. Apabila anugerah dilucutkan atau sudah tidak memegang jawatan penting misalnya maka akan hilanglah hormat masyarakat terhadapnya. 

Suatu hal yang amat menyedihkan kita ialah apabila memerhatikan sikap setengah ahli parlimen yang langsung boleh diiktirafkan tidak mempunyai adab langsung. Walaupun mereka bercakap di parlimen namun mereka seharusnya mempunyai adab sopan tertentu agar tidak di labelkan sebagai biadab. Ada tindakan setengah ahli dewan yang langsung tidak peduli tentang tatasusila apabila berucap misalnya. Terdapat ahli dewan yang tidak langsung menghormati Perdana Menteri apabila mengemukakan sesuatu soalan.Tambah menyedihkan lagi ialah tentang sikap 'orang muda bertanduk lembut' yang langsung tidak menyedari sopan santun yang harus diikuti dalam menyampaikan hujjah. Yang menyedihkann ialah sikap sedemkian ditujukan kepada Perdana Menteri.

Seolah-olah tidak langsung ada perasaan hormat terhadap Perdana Menteri. Adab Melayu telah menetapkan bahawa ada cara-cara tertentu yang harus diikuti ketika berhadapan dengan orang yang lebih tua terutama apabila menyanggah sesuatu pendapat. Budaya kita membenarkan percanggahan pendapat dan pertukaran fikiran namun adab dan tatasusila harus diikuti.

Tidak perlu aku ulangi sajak Dato Usman Awang berjodol, 'MELAYU' yang menjelaskan hal yang demikian.

Aku tidak mendasarkan hujjah ini kepada pihak pembangkang semata-mata. Pihak kerajaan juga ada yang bersikap agak biadab terhadap ketua pembangkang apabila mempertahankan sesuatu hujjah. Telah beberapa kali dinasihatkan sehinggakan sampai ke peringkat Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung agar ahli dewan mematuhi adab berbicara ketika berbicara.

Amat membimbangkan kita tentang kesan yang ditunjukkan oleh ahli parlimen ketika berbahas dihadapan para pelajar ketika anak-anak kita mengikuti perbahasan di Parlimen. Tidak perlulah agaknya untuk menunjukkan 'kehebatan' sedangkan kadang-kadang hanya merupakan 'tin kosong'.


abuhassanadam

10 Januari 2025

Thursday, January 9, 2025


SYARAT KEMERDEKAAN TANAH MELAYU - PANDAI BUAT JARUM

Tahun 1955, ketika orang Melayu sibuk memperkatakan tentang perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu, terdapat juga sekumpulan orang Mekayu yang seolah-olah tidak mahu Tanah Melayu diberikan kemerdekaan. Mereka mengatakan lebih baik dibawah petadbiran British, kata setengah kumpulan orang Melayu. Anih juga hujjah yang dikemukakan oleh mereka tentang mengapa Tanah Melayu tidak selayaknya diberikan kemerdekaan oleh British. Lebih baik di bawah British, kata mereka.

Memang anih tentang hujjah yang diberikan.

Kumpulan Melayu sedemikian mengatakan bahawa bagaimanalah Tanah Melayu mahu mencapai kemerdekaan sekiranya orang Melayu belum bersedia dann tidak mampu membuat  jarum pun. Tentulah amat cetek pemikiran orang Melayu pada ketika itu yang hanya menggunakan ukuran 'boleh membuat jarum sebagai syarat untuk mendapatkan kemerdekaan'. 

Dihujjahkan pula oleh cendikiawan sejarah yang mengatakan bahawa, 'Kalau Melayu boleh buat keris, kenapa orang Melayu  tak boleh buat jarum pula? Kalau Melayu tidak boleh buat jarum, macam mana pula orang Melayu boleh buat jala tangkap ikan kat laut?

Hujjah 'pandai buat jarum' mendapat liputan yang agak meluas sehinggakan ramai penduduk kampung aku terpengaruh dengan hujjah sedemikian. Penyibar dakyah tersebut datangnya dari 'pemimpin' di kampung itu yang kononnya menjadi penyibar 'fitnah' yang paling berpengaruh. Yang menghairankan ialah terdapat juga kumpulan yang percaya dan yakin dengan 'fitnah' berkenaan. Matlamatnya tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk menakutkan orang kampung (Melayu tentunya) agar tidak menyokong perjuangan UMNO mendapatkan kemeredekaan Tanah Melayu yang pada ketika sedang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan.

Sungguhpun 'fitnah' sedemikian tidak begitu berjaya namun ia tetap merupakan 'halangan' dalam usaha Dato Onn Jaafar (kemudiannya Tunku bdul Rahman) untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Memberikan bayangan bahawa agak senang juga untuk mempengaruhi pemikiran orang Melayu pada ketika itu. Suasana politik yang muncul pada ketika itu harus dijadikan contoh oleh ahli politik kini yang mana orang Melayu amat mudah terpengaruh dengan sesuatu fitnah sekiranya dihujjahkan oleh pemimpin tertentu dengan contoh-contoh yang munasabah.

Keadaan ketika itu semacam sama keadaanya dengan keadaan yang  menular dalam masyarakat kini. Terdapat sekumpulan yang begitu mudah diperdaya dan terpedaya dengan 'fitnah' yang disibarkan apatah lagi dalam suasana media sosial yang 'membara' apatah lagi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan diri dan parti tanpa memikirkan kesan buruk ekorannya.

Anak bangsa yang waras pemikirannya harus menyedari keadaan yang akhirnya akan merosakkan kemantapan dan perjuangan bangsa.


abuhassanadam

9 Januari 2025