KAK NGAH LILY
Ini cerita benar. Tahun 1954. Di kampung aku dia dipanggil Kak Ngah. Lily tidak digunakan. Tidak pula aku tahu sebabnya dan tentulah tidak sesuai agaknya nama "Lily' digunapakai di kampung pendalaman. Dan macam mana Kak Ngah mendapat nama tambahan 'Lily' tidak juga diketahui orang kampung aku. Kak Ngah pun nampaknya selesa apabila ada yang memanggilnya Kak Ngah Lily.
Banyak perkara anih yang berkaitan dengan Kak Ngah Lily ini. Dia duduk bersendirian di rumah usangnya. Setahu aku Kak Ngah ada mempunyai suami tetapi tidak duduk sekali. Suaminya hanya sekali sekala datang melawat dia. Kadang-kadang sebulan sekali dan ada ketikanya dua minggu sekali. Suaminya baik orangnya. Dari keturunan India Muslim. Dia tinggal di mana tidak juga aku tahu.
Aku dan Zainun suka pergi lepak di halaman rumah Kak Ngah. Mesti ada sebabnya. Pertama sekali sekiranya lepak maka pasti akan dapat coklat pemberian Kak Ngah. Bukan coklat sebagaimana yang terdapat kedai Pak Lang Brahim. Itu gula-gulu. Coklat yang diberikan oleh Kak Ngah pada kami itu merupakan coklat 'orang putih' - 'Van Houtten'. Sedap bukan main. Setiap kali suami pulang ke rumah Kak Ngah selagi itulah kami dibelanjanya dengan coklat yang berlainan brandnya.
Satu hari Kak Ngah bertanya Zainun mengapa dia tidak pergi sekolah sedangkan pada ketika itu umur Zainun sama dengan umurku. Jikalau Zainun ke sekolah, pasti dia sama dengan aku - darjah dua sekolah Melayu. Agaknya Kak Ngah hairan mengapa Zainun tidak ke sekolah. Pada zaman itu, (murid tidak ke sekolah adalah perkara biasa). Aku bernasib baik kerana tidak termasuk dalam kategori berkenaan.
"Besok pergi ke sekolah' kata Kak Ngah pada Zainun.
Zainun tidak berkata apa-apa hanya jawapan dengan senyuman. Aku tahu jawapannya. Zainun pernah jelaskan pada aku emak dia tidak ada wang untuk membiayai persekolahannya. Kak Ngah pun aku rasa faham dengan keadaan Zainun.
"Besok pergi sekolah' kata Kak Ngah sambil menghulurkan wang 20 sen kepada Zainun. 20 sen juga diberi kepada aku. Aku tak ambil wang itu. Bukan tidak mahu tetapi takut emak aku 'murka' kerana menerima wang Kak Ngah Lily.
Kadang-kadang aku juga hairan mengapa orang kampung tidak suka kepada Kak Ngah Lily. Apa salah dia. Orang nya baik. Suka menolong orang tetapi orang kampung semacam tidak ikhlas menerima pemberian Kak Ngah. Aku tak faham.
Aku memberanikan diri bertanya emak kenapa orang kampung semacam membenci Kak Ngah Lily. Emak tak jawab. Hampir semua orang kampung diam membisu sekiranya dikemukakan soalan berkenaan. Tetapi kali ini aku pasti tanya emak mengapa dia diam membisu. Pasti aku akan dimarahi mak. Tak apa. Marah...marah la. Aku memberanikan diri.
Pada sebelah petang satu hari suami Kak Ngah pulang dari perantauan. Tidak aku tahu dari mana. Seperti biasa kami diberi coklat yang sedap dari England. Tentulah kami gembira menerima pemberian itu.
Kak Ngah nampak amat gembira menyambut suami tersayang dan dia beritahu kami yang dia akan berada 'di luar' selama enam bulan.beritahu kami yang dia akan berada 'di luar' selama enam bulan. Begitulah keadaan kehidupan Kak Ngah Lily. Bermakna begitulah jadual Kak Ngah - enam bulan di kampung dan enam bulan di luar.
Tentulah kami (aku dan Zainun) merasa sunyi dengan ketiadaan Kak Ngah Lily. Aku masih tidak dapat meneka apakah pekerjaan Kak Ngah Lily.
abuhassanadam
13 Januari 2025
No comments:
Post a Comment