PENYEMAI BENIH PERKAUMAN MESTI DIKUTUK
Di Malaysia, dalam kurun ke 21 masih ada lagi rakyat Malaysia yang berfikiran sempit dan berunsur perkauman. Tiap-tiap kaum menampakkan wujudnya pemikiran sedemikian. Samada Melayu ke, Cina ke atau India ke ternampak wujudnya perasaan dan pemikiran sedemikian. Dan jurang pemisahan antara kaum ini semacam menampakkan mula meluas. Itu pemerhatian rambang. Tidak ada statistik untuk membuktikan andaian aku ini.
Aku sentiasa menyalahkan sistem pendidikan negara yang menyebabkan keadaan terjadi sedemikian. Itu dulu. Aku merasakan bahwa sekiranya unsur perpaduan itu tidak diterap dengan betul, maka kesalahan patut diletakkan dibahu para pendidik di negara ini kerana merekalah yang bertanggungjawab memberikan didikan sempurna kepada anak-anak kita yang bukan sahaja menyampaikan pelajaran untuk lulus peperiksaan tetapi juga untuk membentuk perangai dan syahsiah yang sempurna.
Tentulah ibu bapa juga yang patut dipersalahkan sekiranya wujud keadaan perpaduan kaum yang tidak sempurna di negara ini. Walaupun peranan pendidik itu penting namun sekiranya ibu bapa bersikap bertentangan dengan apa yang diasuh oleh guru maka tentulah akan menelurkan manusia yang dibentuk mengikut acuan pemikiran ibu bapa nya.
Kini aku merasakan bahawa kedua-dua faktor di atas ( pendidik dan ibu bapa) telah ‘ditewaskan’ oleh faktor politik. Maksud aku dalam bahasa yang senang difahami bahawa tindakan setengah parti politik atau ‘orang politik’ telah banyak mempengaruhi tindak tanduk masyarakat di negara ini. Seolah-olah pendidik dan ibu bapa sedang ‘bertarung’ dengan golongan politik dalam usaha untuk mempengaruhi anak-anak muda ke jalan perpaduan kaum yang sebenar-benarnya di Malaysia.
Maksud aku apa yang dipelajari oleh anak-anak di sekolah dan apa juga pengajaran yang disampaikan oleh guru amat bertentangan dengan apa yang dilihat dan diperhatikan oleh mereka diluar. Dalam hal perpaduan kaum misalnya, aku amat yakin bahawa tidak akan ada para guru yang menyemaikan perasaan perkauman, benci membenci antara satu kaum dengan kaum lain disekolah. Namun apabila dilihat oleh mereka gelagat setengah orang poiltik diluar yang jelas-jelas bersifat perkauman, maka pastinya anak-anak akan keliru melihatkan keadaan sedemikian.
Mungkin golongan sebegini bukan sahaja ‘buta perut’ tetapi juga ‘buta hati’ dan tidak langsung bertanggungjawab terhadap masyarakat di Malaysia khususnya anak-anak. Tindakan mereka itu diperhatkan bukan sahaja oleh rakyat Malaysia yang merasakan bahawa itu merupakan tindakan yang amat tidak cerdik, tetapi juga oleh anak-anak yang pasti ‘keliru’ dengan keadaan sedemikian. Pastinya golongan yang memainkan isu perkauman ini merasakan dirinya ‘hebat’ tetapi mereka lupa bahawa mereka sebenarnya telah menyemaikan benih perkauman dikalangan anak-anak yang memerhatikan gelagat dan tindakan mereka.
Ini yang aku katakan bahawa para pendidik dan ibu bapa di rumah telah ‘tewas’ mendidik anak-anak kejalan perpaduan sebenar disebabkan oleh adanya anasair-anasir yang sentiasa menyemaikan benih-benih perkauman dikalangan rakyat Malaysia. Diperhatikan bahawa golongan politik yang bersungguh berusaha ke arah itu semata-mata sebenarnya mencari keuntungan diri. Mereka tidak peduli apa yang akan terjadi kepada negara. Yang mereka pentingkan ialah kepentingan diri.
Yang menghairankan kita ialah apa saja yang dilakukan oleh kepimpinan negara khususnya oleh Perdana Menteri pastinya mendapat kutukan dan tidak diterima dengan hati terbuka. Rakyat yang terbuka fikiran pastinya merasa hairan tentang sikap sebilangan kecil rakyat di negara ini yang tidak mahu menerima kenyataan. Walau sebaik manapun usaha yang dilakukan oleh kepimpinan negara untuk kepentingan rakyat pastinya mendapat kutukan dari kumpulan yang bersikap demikian.
Apakah mereka boleh melakukan sebaik itu sekiranya mereka berpeluang memerintah negara. Aku khuatir. Zaman 33 bulan telah membuktikannya.
abuhassanadam
22 Januari 202
No comments:
Post a Comment