Wednesday, January 29, 2025

 SEKOLAH MENENGAH BUKIT MERCU 

Hanya tujuh bulan aku berada di Sekolah Menengah Bukit Mercu Kuala Kangsar setelah ditukarkan dari Sekolah Menengah Serdang Kedah ( akan aku coretkan suatu ketika kisah ketika aku berada di sekolah berkenaan selama tiga tahun). Di Sekolah Bukit Mercu aku ditempatkan di situ selama tujuh bulan sahaja. Bukan kehendak aku untuk berada hanya seketika di Sekolah Bukit Mercu ini. Arahan pertukaran.

Walau berada di sekolah mana sekali pun di negara ini aku tetap berasa gembira sebagai seorang guru. Namun ada sedikit kelaianan apabila aku diarahkan bertukar ke Sekolah Menengah Bukit Mercu. Kelaianannya ialah aku dapat mengajar anak murid aku menggunakan loghat Perak. Sememangnya aku amat dikenali oleh kawan-kawan kerana ‘kepekatan’ loghat Perak yang aku gunakan. Walau dimana aku berada, berbagai usaha aku lakukan untuk ‘menghilangkan’ loghat Perak dalam perbualan aku, namun tetap gagal juga. Cuma ketika aku berbahasa Inggeris sahaja aku tidak menggunakan loghat Perak!......

Hari pertama aku berada di sekolah berkenaan, aku sudah merasakan bahawa aku sudah kembali semula ke ‘kampung’ku. Tambah mengembirakan aku apabila aku dapati rakan ‘darjah 1’ aku juga bertukar ke sekolah berkenaan dari Sekolah Menengah Dato’ Ahmad, Lenggong. Aku panggil Mat Ha (Dato Khairuddin Arshad dan pernah menjadi Pengarah Pelajaran Negeri Perak sebagai jawatan terakhirnya sebelum bersara). Disamping Mat Ha sudah menunggu di sekolah berkenaan Halim Aziz ( sama-sama menyewa rumah di Jalan Limau Manis, Bangsar Park ) ketika menuntut di University Malaya dulu). Cikgu-cikgu lain yang aku kenal termasuklah Cikgu Ayat Nordin, Yunus, Nasaruddin, Zainal Badri dan ramai lagi. 

Hampir semua guru di sekolah berkenaan aku kenali, kecualilah beberapa orang guru yang bukan berasal dari Kuala Kangsar. Hari pertama bilik guru sudah ‘riuh-rendah’ dek gelak ketawa  ( waktu rehat) dan aku dapat rasakan kemesraan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan guru dengan kehadiran kami (aku dan Mat Ha) di sekolah berkenaan. Terlalu sukar aku melupakan keriangan dan kemesraan suasana yang ada pada ketika itu.

Pengetuanya Cikgu Yusuf. Orang tua. Maksud aku jauh lebih tua daripada kami dan amat dihormati oleh guru-guru di situ. Ada satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan mengenai Cikgu Yusuf. Setelah seminggu aku berada di sekolah berkenaan, aku dipanggil oleh Cikgu Yusuf ke biliknya. Takut juga aku. Seingat aku tidak ada kesalahan yang aku lakukan. Dia mnyuruh aku duduk.

“Semalam saya tak boleh tidur mengenangkan cikgu…’ katanya memulakan perbincangan. Aku tak tanya pula mengapa. Aku diam. Aku biarkan dia menyambung perbualan….’ Begini…’ katanya, ‘ Cikgu sebenarnya mengajar 16 period seminggu tetapi saya telah beri cikgu 22 period. Cikgu mengajar Tingkatan Enam sepatutnya 16 period saja seminggu…saya minta maaf banyak-banyak…” Kata cikgu Yusuf mengakhiri penjelasannya.

“ Tidak ada masalah bagi saya cikgu…” kata ku

“ Mulai hari ini cikgu akan dapat jadual baru. 16 period saja seminggu” katanya.

Baik betul Pengetua ni, kata hati kecilku. Bagi aku bukan merupakan satu masalah besar pun kerana sememangnya aku bersedia untuk mengajar pelajar sedaya upaya  untuk lulus dengan cemerlang. Apatah lagi anak-anak dari kampung aku juga.

Sememangnya amat sukar untuk aku melupakan sekolah ini. Disamping mengajar kelas-kelas yang ditugaskan, namun pada waktu yang terluang aku mengajar kelas bimbingan. Keseronokannya ialah apabila pelajar-pelajarnya faham dan mengerti bagaimana cara untuk menghormati guru yang mengajar mereka. Tidak terasa kepenatannya aku mengajar di Bukit Mercu. Namun begitu, sebagai kebiasaan kehidupan sesuatu yang menyeronokan tidak akan kekal lama.

Aku diarahkan bertukar dari sekolah ini ke Jemaah Nazir Persekutuan. Bermulalah tamatnya kerjaya ku sebagai seorang guru. Dan aku telah dipindahkan ke Kuala Terengganu sebagai pegawai Nazir sekolah di Pantai Timur.

Hanya tujuh bulan aku berada di Sekolah Menengah Bukit Mercu, Kuala Kangsar.


abuhassanadam

29 Januari 2025






No comments:

Post a Comment