Monday, February 23, 2015

TINDAKAN PEMIMPIN YANG MEMILUKAN

Akhir-akhir ini kelihatan dengan jelas di negara kita bahawa ada terdapat pemimpin  kita yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dengan jelas menampakkan ketidakcerdikan mereka dalam menangani sesuatu isu. Kelihatan bahawa kenyataan yang dikeluarkan hanya sebagai melepaskan batuk ditangga tanpa membuat penyelidikan dan rujukan yang rapi sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan. Justeru begitu senang sekali ‘dipatahkan’ apa saja fakta dan hujah yang dikeluarkan oleh mereka.

Kesilapan yang sebegini yang dilakukan oleh setengah pemimpin kita mungkin juga disebabkan ada diantara mereka yang masih ‘bermimpi’ dan ‘berkhayal’ merasakan bahawa mereka masih berada dalam Kurun ke 20 atau mungkin juga mereka merasakan bahawa masyarakat Malaysia masih berada zaman penjajahan di mana masyarakat Melayu khususnya masih bodoh, tongong dan tidak boleh berfikir secara kritikal. Mereka mungkin sudah lupa bahawa masyarakat Malaysia kini telah mempunyai pencapaian yang luar biasa. Bukan sahaja mereka terdiri dari golongan terpelajar yang mendapat pendidikan tinggi dalam negara tetapi sudah ramai anak-anak kita yang telah mendapat pendidikan di luar negara.

Apatah lagi dengan  kehadiran internet dan media sosial yang telah menyebabkan dunia dapat ‘digenggam’ melalui hujung jari. Dengan demikian segala maklumat sampai kepada mereka dalam keadaan yang begitu pantas. Keadaan sebeginilah yang menyukarkan ‘kehidupan’ setengah pemimpin negara kita yang masih tinggal dan terkebelakang dari segi pencapaian maklumat. Ramai para pemimpin kita yang masih berada ‘di bawah tempurung’ dan masih tidak begitu sedar bahawa dunia kini bergerak amat pantas, walaupun setiap tahun mereka berpeluang bercuti di luar negara menggunakan wang kerajaan tetapi malangnya apabila berada di luar negara mereka tidak langsung mahu mempelajar dan mengkaji apa yang telah berlaku di negara-negara yang telah maju.

Apabila mereka pulang dari bercuti, semacam tidak ada langsung pengajaran yang dapat ditimba oleh mereka ketika berada di luar negara. Kenyataan ‘mendabk dada’ yang mengatakan bahawa taraf university kita di Malaysia sama dengan taraf university di United Kingdom atau di Australia tentulah agak memalukan, bukan sahaja kepada pelajar luar negara tetapi juga kepada rakyat Malaysia yang tahu selok belok kedudukan ‘ranking’ university di Malaysia.

Bukanlah hasrat untuk merendah-rendahkan taraf universiti dalam negara kita tetapi pada hakikatnya begitulah dan seharusnya kerajaan bertindak dengan segera untuk mengatasi keadaan ini. Bukan tidak pernah University Malaya kita mencapai satu tahap yang membanggakan di peringkat antarabangsa pada suatu ketika dahulu. Dan bukan tidak pernah University Sains Malaysia Pulau Pinang menduduki ranking yang agak membanggakan. Itu dulu. Bermakna bahawa university kita mampu meletakkan diri di tempat yang setanding dengan negara-negara di dunia lain. Persoalannya mengapa tidak boleh dilakukan kini?

Persoalannya yang timbul ialah mengapa keadaan sedemikian tidak dapat terus menerus berulang. Siapakah agaknya yang patut dipersalahkan. Apakah salah Saudara Anwar Ibrahim yang selalu mengganggu gugat dan campur tangan dalam hal ehwal pelajar di university tempatan.

Itu hal yang berkaitan dengan pendidikan. Dalam hal-hal lain juga ada pemimpin kita yang cuba semacam memperbodohkan rakyat di Malaysia dengan kenyataan yang kadang-kadang amat tidak rasional. Mungkin juga pemimpin kita bersikap demikian kerana agak ‘terlemak’ dengan sikap ‘pendengar’ yang menyokong mereka yang sentiasa mengangguk dan mengiakan apa saja yang diperkatakan oleh mereka. Dengan demikian para pemimpin kita merasakan bahawa apa yang diperkatakan oleh mereka adalah betul belaka. Dan tidak ada apa yang silap dan salahnya. Justeru mereka terus menerus mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang memalukan dengan menggunakan hujah-hujah yang dianggap agak ‘bodoh’ oleh pendengar yang kritis. Mungkin…

Tindakan setengah pemimpin kini yang dikira termasuk dalam kategori amat malang ialah apabila ada diantara mereka yang menaja ‘roadshow’ memburuk-burukkan Saudara Anwar Ibrahim. Apakah pada pandangan pemimpin-pemimpin ini rakyat kini terlalu bodoh dan tolol untuk menilai dan memahami keadaan yang menimpa Saudara Anwar itu. Apakah mereka begitu daif sehingga tidak langsung memahami hati dan perasaan rakyat Malaysia yang kini sedang mencurahkan perasaan simpati yang tidak terhingga terhadap keluarga Saudara Anwar Ibrahim khususnya DS Dr. Wan Azizah dan keluarganya. Apakah golongan pemimpin yang tidak bertimbang rasa ini tidak pernah langsung ‘singgah’ di kelas-kelas agama Islam ketika masih kecil mereka. Atau mungkin golongan yang tidak ‘berhati perut’ ini tidak pernah langsung diajar atau dinasihati oleh ibu bapa mereka tentang menghormati manusia yang tertindas dan terainaya.

Apakah begitu keadaan mereka?

abuhassanadam
23 Februari 2015




Sunday, February 22, 2015

NABI YUSUF DALAM PENJARA

“ Sebagai korban dari pertimbangan-pertimbangan politik istana, dimasukkanlah dan meringkuklah Yusuf dalam penjara. Entah berapa lama dia akan terpendam di sana, tidaklah diketahuinya. Karena yang menentukan ialah orang-orang yang berkuasa belaka. Dan di atas dari semuanya itu ialah ketentuan Allah.

Menurut riwayat yang dibawakan oleh Ibnu Katsir di dalam tafsirnya, yang diterima dari as-Suddi, bahawasanya setelah beliau jadi penghuni penjara, lekaslah masyhur namanya kerana sukanya menolong orang lain dan memegang amanat dengan setia, jujur berkata-kata, lagi baik tingkah laku dan banyak sekali melakukan ibadat. Dalam pada itu dia pun sanggup menta’birkan mimpi dan sudi berbuat baik kepada penghuni-penghuni penjara ini. Kalau yang ada yang sakit dilawat, kalau ada yang minta tolong, akan ditolongnya……”

Ulasan Prof. Dr Hamka mengenai Surat Yusuf dalam “ Tafsir Al-Azhar”

abuhassanadam
22 Februari 2015

  

Saturday, February 21, 2015

‘PEMERGIAN’ TG NIK AZIZ DAN ‘KETIADAAN’ SAUDARA ANWAR -SEPERTI ANAK AYAM KEHILANGAN IBU

Sudah lebih kurang seminggu mereka ( TG Nik Aziz dan Saudara Anwar Ibrahim) hilang dari pandangan. Namun begitu rakyat akan terus mengenang dan tidak akan melupakan. Benar kata orang tua-tua, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

“Ketiadaan” Saudara Anwar Ibrahim  adalah seperti tidak adanya Nelson Mandela ketika beliau dipenjarakan di Robben Island. Pemergian TG Nik Aziz adalah seperti kematian Jose Rizal setelah beliau ditembak mati di hadapan ‘firing squad’ di Manila. ‘Kehilangan’ mereka adalah seperti ‘pemergian’ Prof. HAMKA yang telah begitu banyak meninggalkan jasa dan sumbangan bakti kepada bangsa keturunan Melayu yang buka sahaja di negara Indoensia tetapi seluruh kepulauan Melayu.

Walaupun mereka sudah ‘tiada’ tetapi sebenarnya mereka berada di mana-mana terutama di hati para petani yang letih mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga miskin di desa-desa terpencil seluruh tanah air.  Mereka berada di hati dan perasaan nelayan yang sentiasa mengharapkan nasib mereka diperjuangkan. Mereka juga berada di hati dan perasaan penoreh getah dan warga FELDA yang mengharapkan harga kelapa sawit dan getah ditingkatkan. Mereka juga berada di hati dan perasaan para mahasiswa yang mengharapkan mereka memperjuangkan nasib para mahasiswa negara yang sentiasa terhimpit dan tertindas ekoran tidak dapat menyuarakan hasrat hati kesan dari belenggu Akta Universiti.

Malangnya mereka sudah tidak kelihatan kelibatnya. Rakyat berbilang kaum sudah mula merindui pidato Saudara Anwar Ibrahim yang sentiasa memperjuangkan ‘the conscience of the majority’. Mereka juga ‘meratapi’ hasrat yang tidak tercapai ia itu hasrat Saudara Anwar untuk membela nasib ‘anak Melayu adalah anak aku’, ‘anak Cina adalah anak aku’, ‘anak India juga anak aku’, ‘anak Iban, Dayak Bidayuh, adalah anak aku’. Pastinya mereka merenung dan memandang dengan pandangan jauh memikirkan apakah hasrat sedemikian akan tercapai. Ataupun mungkinkah hasrat sedemikian berkemungkinan hanya tinggal harapan dan impian…

Mereka seolah-olah seperti anak ayam kehilangan ibu….

Apakah terbukti peribahasa Melayu yang mengatakan ‘patah tumbuh hilang berganti’ ataupun lebih tepat sebagaimana kata-kata yang selalu disuarakan juga bahawa ‘ walaupun yang patah akan tumbuh namun yang mengganti tidak sama dengan yang patah’. Apakah begitu keadaannya.

‘Ketiadaan’ mereka betul-betul menenggelamkan harapan kebanyakan rakyat di negara ini. Kepada mereka digantungkan harapan untuk membela yang tertindas dan yang tidak bernasib baik. Kepada mereka digantungkan harapan untuk membetulkan yang mana yang telah tersilap, meluruskan yang mana yang telah terbengkok, mengejutkan yang mana yang telah tertidur, menyedarkan yang mana yang masih bermimpi.

Kini TG sudah tiada di dunia ini dan pidato Saudara Anwar Ibrahim tidak dapat didengar lagi.

Rakyat pasti merinduinya dan akan terus merinduinya.

Dan rakyat akan terus menanti seperti rakyat Afrika Selatan menanti kemunculan Nelson Mandela suatu ketika dahulu.

abuhassanadam
21 Februari 2015


Friday, February 20, 2015

NAINA CHETU ( saudagar India) MEMBANTU PORTUGUESE MENAWAN MELAKA


“…….Some of the Indian merchants were also useful to the Portuguese. The first to help them was a man called Naina Chetu by the Portuguese. He succoured the Portuguese prisoner who were kept at Malacca between 1509 and 1511. After the conquest of Malacca his services were rewarded by the grant of the office of Bendahara – still a high office, though it no longer had the same siginificance under the Portuguese rule that it had during the Malay Sultanate.

In the next three years he helped the Portuguese to open up trade with the surrounding area, though it was insinuated that he took a very good care of his own interest at the same time. In theory, he was supposed to hold office for life and to pass it on to his descendants. But by the time royal confirmation of this grant arrived, Naina Chateu had been deposed and had, it is said, committed suicide. Othe India merchants assisted the Portuguese, in business matters, and loaned them their slaves in time of war and, sometimes money as well” 

Dipetik dari, I.A. Macgregor, “ Notes on the Portuguese in Malaya” dalam JMBRAS, XXVIII, 2, 1955, 5-41)


abuhassanadam

20 Februari 2015

Thursday, February 19, 2015

SINGAPURA DILANGGAR TODAK

“Maka ada seorang hamba Allah di Pasyai, Tun Jana Khatib namanya. Maka ia pergi ke Singa Pura. Setelah datang ke Singa Pura maka Tun Jana Khatib pun berjalan di pekan Singa Pura. Ketika itu ia bersahabat dengan tuan di Bunguran dan tuan di Selangor. Maka sekali persetua Tun Jana Khatib berjalan hampir istana Raja Singa Pura. Maka tuan puteri pun ada menengok, maka terpandang oleh Tun Jana Khatib.

Maka ada sebatang pinang hampir istana, maka ditiliknya oleh Tun Jana Khatib, menjadilah dua batang pinang itu. Setelah Paduka Seri Maharaja melihat perihal itu, maka baginda pun terlalu amat murka. Maka titah baginda, ‘(lihatlah) budinya Tun Jana Khatib, lagi diketahuinya isterinya kita menengok maka ia menunjukkan pengetahuannya.”

Maka disuruh baginda bunuh. Maka dibawa oranglah Tun Jana Khatib ke pembunuhan.Hampir tempat itu ada orang berbuat bikang, serta ditikam orang Tun Jana Khatib. Darahnya pun titik ke bumi, badannya lenyap terhantar di Langkawi. Maka oleh orang yang berbuat bikang itu sekepal darah Tun Jana Khatib itu diserkapnya dengan tutup pembikangan, lalu menjadi batu. Itulah datang sekarang.

Setelah beberapa lamanya maka datanglah (ikan) todak menyerang Singa Pura. Maka segala orang yang di pantai itu dilomaptinya oleh todak. Jikalau kena dadanya terus lalu mati, jikalau kena leher, terpelanting kepalanya lalu mati dan jikalau kena pinggangnya terus lalu mati. Maka banyaklah orang dibunuhnya oleh todak itu. Maka orang pun gemparlah berlarian mengatakan, ‘todak datang menyerang kita, terlalu amat banyak sudah orang kita mati dibunuhnya”

Paduka Seri Maharaja pun naik ke atas gajah lalu keluar diiringkan oleh segala perdana menteri dan hulubalang, sida-sida bentara sekalian, datang ke pantai. Maka baginda pun hairan melihat perihal todak itu dilompatinya. Barang yang kena ditikam todak itu berkancing matilah. Makin banyak pula orang mati ditikam todak. Maka baginda menitahkan segala rakyat berkotakan betis. Maka oleh todak itu dilompatinya, barang yang kena tikam todak itu lalu mati. Adapun todak itu seperti hujan rupa datangnya. Orang mati pun tiada terkira-kira lagi banyak.

Maka pada antara itu berkata seorang budak, ‘ Apa kerja kita berkotakan betis ini? Mengapakah kita berdayakan diri kita? Jikalau kita berkotakan batang pisang, alangkah baiknya.”

Setelah didengar raja, maka titah Paduka Seri Maharaja, ‘Sungguh seperti kata budak ini”. Maka baginda pun mengerahkan segala rakyat baginda berkotakan batang pisang. Maka todak itu pun datanglah serta melompat ia, lekat jongornya pada batang pisang itu. Maka datanglah orang bantu memarang dia. Maka tiadalah terkira-kira lagi banyaknya mati. Todak itu pun tiadalah melompat lagi.

Maka Paduka Seri Maharaja pun kembalilah ke istana baginda. Maka sembah segala orang besar-besar, “ Tuanku, budak ini jikalau sudah besar nescaya besarlah akalnya. Baiklah kita bunuh”

Maka titah Paduka Seri Maharaja, ‘ Sungguh seperti kata tuan hamba sekalian itu.” Maka budak itu pun disuruh baginda (budak itu) dibunuh. Tatkala ia akan dibunuh itu maka ia menanggungkan haknya atas negeri itu.”

Dipetik dari ‘KITAB SULALAT AL- SALATIN’ karangan TUN SERI LANANG

abuhassanadam

19 Februari 2015