Monday, August 24, 2015

 ORANG MELAYU TERUS DIBANGSATKAN?

            Orang Melayu kurang membaca. Aku tak kata semuanya begitu. Namun apa yang aku perhatikan kebanyakannya begitulah. Aku tak berapa hairan sekiranya keadaan sebegini berlaku di kawasan desa sebab aku sedar bahawa terlalu sukar untuk medapatkan bahan-bahan bacaan yang bermutu di sana. Yang aku merasa pelik ramai yang berada di Kuala Lumpur juga amat kurang mendekatkan diri dengan sumber ilmu yang amat berguna ini.

            Aku membuat kesimpulan sebegini ekoran dari kemelut politik yang berlegar dengan ‘panas’nya di negara kita kini. Berbagai cerita yang ‘tak masuk akal’ berlegar di negara kini yang berhubung kait dengan isu IMDB dan wang berjumlah RM 2.6 billion ringgit yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi DS Najib. Berbagai ‘cerita rekaan’ telah muncul.  Aku masih mengatakan ‘cerita rekaan’ kerana tidak terbukti kesahihannya dan boleh dipertikaikan.

            Yang anihnya, walaupun cerita rekaan, namun ahli UMNO di semua peringkat semacam begitu yakin dan percaya dengan ‘cerita rekaan’ yang disampaikan oleh pemimpin mereka sehinggakan DS Najib sendiri merasakan bahawa penjelasan berkaitan dengan IMDB dan Wang RM 2.6 billion eloklah disampaikan kepada ahli UMNO secara tertutup. Mungkin pada pandangan beliau, hanya golongan UMNO sebegini sahaja yang mahu ‘mengangguk’ mengiakan apa saja yang diperkatakannya.

            Tetapi soalnya, DS Najib bukanlah Perdana Menteri bagi ahli UMNO semata-mata. DS Najib adalah milik rakyat Malaysia seluruhnya dan setiap rakyat berhak untuk mengetahui keadaan sebenarnya tentang apa yang berlaku kepada IMDB dan keadaan sebenar-benarnya berkaitan dengan wang RM 2.6 billion yang tersimpan dalam akaun peribadi beliau. Rakyat pada umumnya tentu tidak begitu yakin dengan penjelasan seorang pemimpin UMNO yang mengatakan wang sebesar itu jumlahnya dihadiahkan kepada DS Najib semata-mata untuk memerangi pihak Yahudi dan ISIS. Walaupun ada segelintir kecil masyarakat di Malaysia kini yang masih mengangguk dengan apa juga penjelasan yang diberikan, namun sebahagian besar rakyat Malaysia masih tidak yakin dengan penjelasan sedemikian.

            Betul-betul menghairankan kita  bahawa masih ada lagi golongan masyarakat ( orang Melayu) yang boleh percaya dan yakin dengan berbagai ‘cerita rekaan’ yang disampaikan oleh pemipin UMNO kepada mereka tanpa keraguan. Dan keadaan sedemikian bukan saja berlaku kepada golongan akar umbi UMNO peringkat kampung dan desa tetapi ada juga pemimpin UMNO peringkat bahagian di kawasan bandar yang tolong menyebarkan ‘cerita rekaan’ itu kepada pengikutnya. Dan pengikut mereka terus mengangguk tanda setuju.

            Suasana sebegini amat membimbangkan. Bimbang dengan keadaan orang Melayu yang semacam tidak banyak berubah setelah setengah abad mencapai kemerdekaan. Seolah-olah orang Melayu ( yang diwakili oleh ahli UMNO misalnya) masih tidak mahu melakukan anjakan paradigma, dari keadaan yang dianggap kolot dan kuno kepada suatu keadaan yang boleh dapat memperlihatkan yang orang Melayu itu telah berubah.

            Seingat aku semacam tidak banyak perubahan yang dapat dilihat jika dibandingkan zaman arwah emak aku menganggotai UMNO ( 1950an) dengan keadaan pemikiran ahli UMNO kini. Semenjak zaman berzaman mesyuarat UMNO peringkat cawangan atau bahagian adalah seperti pesta-pestaan memuji dan memuja ‘pemimpin’ yang disudahi dengan jamuan makan. Mungkin ada mesyuarat UMNO yang membincangkan isu-isu serious tentang kedudukan  dan kelangsungan kehidupan bangsa Melayu, namun dapat dikatakan bahawa tidak banyak mesyuarat UMNO yang bersifat demikian.

            Malah Persidangan Agung UMNO (PAU) yang diadakan di PWTC dapat memberikan gambaran bagaimana mesyuarat UMNO peringkat cawangan dan bahagian dijalankan. Aku tidak mengatakan bahawa PAU yang diadakan saban tahun di PWTC tidak langsung memberikan manfaat kepada perjuangan bangsa dan negara, tetapi aku merasakan bahawa stelah puluhan tahun PAU diadakan tentulah perlu mengadakan perubahan yang lebih besar dan drastik demi kelangsungan dan kemajuan bangsa Melayu. Tentulah lebih banyak dan  lebih bererti boleh dilakukan oleh ahli UMNO dalam usaha memajukan bangsa dan negara.  Tentulah PAU boleh mengubah cara berfikir perwakilan yang hadir di persidangan berkenaan.

            Aku terkejut dan terperanjat apabila mendapat tahu bahawa masih ada lagi mesyuarat UMNO peringkat bahagian dan cawangan yang masih mengikut ‘format’ mesyuarat tahun-tahun 1950an dan 1960an. Seolah-olah ahli UMNO begitu ‘malu’ dan ‘segan’ untuk mengadakan perubahan ke arah sesuatu yang boleh mengubah kehidupan orang Melayu. Semacam tidak dapat diramalkan langsung bilakah akan ada perubahan dari segi cara berfikir ahli UMNO sedemikain.

            Adalah dirasakan bahawa punca yang menyebabkan pemimpin dan ahli UMNO tidak melakukan perubahan ialah keengganan mereka untuk merapatkan diri dengan pembacaan. Agak tidak keterlaluan sekiranya aku mengatakan bahawa kebanyakan ahli UMNO  kurang membaca. Lantas dengan sebab itu mereka agak ‘renggang’ dengan perkembangan ilmu yang meledak dalam zaman globalisasi ini. Kebanyakan ahli UMNO hanya tahu ‘meminjam’ ucapan dan ungkapan sebagaimana yang dilafazakan oleh pemimpin mereka (yang juga kurang membaca). Lalu ‘trend’ kurang membaca ini berlanjutan daripada pemimpin peringkat kebangsaan kepada peringkat bahagian dan seterusnya ke peringkat cawangan.

            Persoalannya ialah bagaimanalah para ahli UMNO peringkat akar umbi mampu untuk berfikir secara kritis sekiranya pemikiran mereka tidak sedikit pun ‘dicanai’ oleh bahan-bahan bacaan yang bermutu yang memboleh mereka bertindak secara rasional. Selama mana lagi agaknya keadaan sebegini akan berterusan.

            Apakah orang Melayu akan terus dibangsatkan…..

abuhassanadam

24 Ogos 2015

Sunday, August 23, 2015

DS NAJIB MENANTI SAAT UMNO PECAH BERDERAI

            Jikalau aku tak silap, pernah pada suatu ketika dalam tahun-tahun 1960an, selepas penubuhan Malaysia, Saudara Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura mengeluarkan ‘peribahasa’ mengatakan bahawa ‘orang yang mengantuk adalah makanan si jaga dan si bodoh adalah makanan si cerdik’. Tentu ada sebabnya mengapa beliau menyatakan ‘peribahasa’ berkenaan. Yang aku boleh rasakan bahawa beliau menyatakan demikian ialah dalam suasana orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu, dilihat sebagai golongan yang tidak begitu cerdik dan boleh diputar-belitkan, disamping mengingatkan rakyat Singapura supaya sentiasa cerdik dan waspada dalam menghadapi apa juga keadaan ketika itu ( dalam suasana politik yang amat genting yang akhirnya membawa kepada perpisahan antara Singapura dari Malaysia).

            Suasana politik di Malaysia kini kelihatan seolah-olah DS Najib bergantung kepada ‘talian hayat’ yang menghubungkan  beliau dengan sebahagian besar ahli UMNO yang masih boleh ‘diperkotak-katikan’. Kepada merekalah para pemimpin memberikan berbagai alasan (yang diciptakan sendiri oleh mereka) untuk meyakinkan para ahli UMNO peringkat akar umbi bahawa sebenarnya DS Najib menerima sumbangan wang sejumlah RM 2.6 billion dari seseorang penderma dari Timur Tengah. Ahli UMNO akar umbi yang merupakan golongan yang mudah percaya tentang apa saja yang dikatakan oleh pemimpin mereka terus percaya dan yakin tanpa banyak bicara dan tidak pernah terfikir untuk mempersoalkan rasional dan lojik tidaknya penjelasan yang diberikan.

            Rakyat Malaysia yang waras cara berfikirnya telah melemparkan tuduhan ‘bodoh’ kepada ahli UMNO yang bersikap demikian. Ada juga alasan mengapa golongan yang berpelajaran ini menggelarkan golongan ahli UMNO itu sebagai golongan yang agak ‘bodoh’ kerana boleh ditipu dan diputar-belit oleh pemimpin mereka. Hairan juga mengapa golongan UMNO yang sebegini boleh yakin dan percaya dengan penjelasan yang diberikan sedangkan terlalu banyak fakta yang ‘tidak masuk akal’ yang diberikan oleh para pemimpin dalam usaha meyakinkan golongan UMNO akar umbi itu. Namun dengan penjelasan yang sedemikian para pemimpin UMNO berjaya dalam usaha meyakinkan pengikut supaya memberikan sokongan kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

            Aku merasakan bahawa pemimpin akar umbi UMNO tidak bodoh tetapi ‘lurus bendul’. Mereka tidak langsung mahu menyusahkan fikiran mereka memikirkan perkara-perkara yang semacam tidak kena mengena dengan kehidupan seharian mereka. Mereka tidak merasakan keperitan hidup seharian mereka sekiranya nilai mata wang kita terus merudum kerana mereka tidak merasakan keperitannya sekiranya berkunjung ke laur negara. Mereka tidak pernah pun keluar negara. Dengan demikian mereka tidak akan dapat merasakan keperitan sedemikian. Mungkin bagi mereka yang mempunyai anak belajar di luar negara akan merasa keperitan sedemikian. Itupun atas tajaan kerajaan.

            Justeru mereka semacam ‘tidak peduli’ tentang apa yang berlaku. Mereka begitu ‘bersyukur’ dengan kehadiran pemimpin negara di mesyuarat UMNO di tempat mereka dan dapat pula bertemu muka dan beramah mesra dengan pemimpin ‘kesayangan’ mereka. Disamping itu pasti pula diberikan ‘cenderahati’ dan ‘buah tangan’ yang pastinya lumayan yang semacam seumur hidup tidak pernah dinikmati oleh mereka. Lantas mereka akan ‘mengangguk’ dan  ‘terus mengangguk’ dengan apa saja yang diperkatakan oleh pemimpin mereka tanpa berfikir panjang, apatah lagi untuk mempersoalkan kerasionalan apa yang diperkatakan oleh pemimpin mereka.

            Aku tak kata semuanya begitu tetapi kebanyakannya semacam begitulah. Sebenarnya bukan ahli UMNO itu yang bodoh tetapi diperbodohkan oleh setengah pemimpin UMNO yang memberikan penjelasan yang cuba ‘membohongi’ ahli UMNO itu sendiri. Rakyat Malaysia pada umumnya sudah faham dan jelas tentang hal-hal yang berkaitan dengan IMDB dan RM 2.6 billion itu. Jelas. Tetapi yang nampak kurang jelas ialah para ahli UMNO yang terus mengangguk apabila dijelaskan oleh para ‘pemimpin’ mereka. Maknanya mereka setuju 100% apa yang disampaikan oleh para pemimpin mereka.

            Sampai bila agaknya keadaan jadi begini. Golongan yang bimbang dengan keadaan yang akan menimpa negara ini terus menerus ‘melolong’ dan ‘melalak’ seperti anjing menyalak bukit sedangkan golongan yang mempertahankan ‘status Quo’ menggunakan ahli UMNO peringkat akar umbi sebagai menyambung ‘talian hayat’ mereka untuk terus menerus memerintah negara ini. Dan yang paling malangnya ialah sudah kelihatan semacam negara ini sudah tidak berperaturan dan undang-undang dimana para pemimpin sudah sewenang-wenangnya melakukan apa saja yang terlintas di hati dan kepala mereka.

            Mungkin agaknya masih ramai lagi rakyat Malaysia yang menunggu saat-saat negara tercinta ini menjadi ‘padang jarak padang terkukur’. Atau pun mungkin mahu mellihat negara ini menjadi nasi yang sudah menjadi bubur. Dan sekiranya negara ini dapat diselamatkan, kedudukan UMNO belum tentu selamat. Mungkin DS Najib menunggu dan menanti saat UMNO pecah berderai……

abuhassanadam
23 Ogos 2015


Saturday, August 22, 2015

MENCARI ‘TUN DR ISMAIL’ DIKALANGAN PEMIMPIN UMNO KINI

            Mengapalah begitu malang dan ‘terhina’nya bangsaku Melayu…Terpanggil aku untuk mencoretkan sesuatu apabila ‘dikejutkan’ dengan tajuk berita berbunyi,’ Melayu sanggup menjual maruah dengan hanya RM 300’. Sudah banyak kali aku terserempak dengan berita sebegini menududh orang Melayu sanggup menjual maruah diri dengan hanya RM50 dan sebungkus nasi campur. Dan ada juga yang mengatakan bahawa orang Melayu sanggup berbuat apa saja (termasuk tindakan yang memalukan) untuk mendapatkan ‘belanja seharian’. Memang memalu dan mengaibkan orang Melayu.

            Memang ada tindakan sebegini yang dilakukan oleh orang Melayu (mungkin juga dilakukan oleh kaum Cina dan India juga). Disebabkan aku berketurunan Melayu (sakai/orang darat –mungkin) maka tentulah aku merasa begitu malu membaca dan mendengar berita sedemikian dilakukan oleh orang Melayu. Yang menyedihkan ialah bahawa aku pasti golongan orang Melayu yang berperangai hodoh sebegini tidak pernah diajar oleh ibu bapa mereka untuk berperangai sedemikian. Aku pasti mereka diajar untuk bersopan santun dan tahu menghormati antara sama lain dan bukan menunjukkan punggung kepada orang lain walau macam mana tidak suka sekalipun kita terhadap pihak berkenaan.

            Ibu bapa kita tak ajar begitu. Agama kita tidak ajar berbuat demikian. Orang kampung kita juga amat sedih sekiranya mereka tahu yang orang kampung mereka berperangai demikian. Dan yang paling menyedihkan ialah satu ‘penyiksaan’ kepada roh si mati sekiranya anak-anak mereka berperangai sedemikian.

            Yang menghairankan ialah mengapa begitu ‘murah’ dan ‘terhina’ sekali sikap orang Melayu yang sedemikian. Aku tak kata semua orang Melayu begitu. Jauh sekali tidak. Aku tahu masih ramai lagi orang Melayu yang amat kukuh pegangan kepada prinsip perjuangan mereka. Cuma yang aku persoalkan ialah sikap sebahagian orang Melayu yang sudah melupakan dan mengenepikan apa juga prinsip hidup yang telah disemaikan oleh ibua bapa mereka.

            Sehubungan dengan itu sikap pemimpin kita terutama pemimpin UMNO yang agak jauh menyimpang daripada perjuangan asal datuk menek kita. Berdasarkan pemerhatian dan ‘cakap-cakap’yang beredar dikalangan masyarakat menampakkan bahawa para pemimpin UMNO di semua peringkat sudah tidak memiliki semangat perjuangan seperti perjuangan datuk nenek kita yang memperjuangkan UMNO dahulu. Pendek kata sudah tidak ada langsung pemimpin UMNO kini yang ‘seberani’ dan ‘setegas’ Tun Dr. Ismail atau ‘segarang’ TS Syed Jaafar Albar. Aku tidak memiliki sebarang fakta atau statistik berdasarkan kajian terperinci, namun melalui perbincangan dan perbualan di kedai kopi dan surau /masjid memberikan gambaran bahawa pemimpin UMNO pada hari ini sudah tidak memiliki ‘taring’ sebagaimana yang dimiliki oleh pemimpin terdahulu.

            Kenyataan Tun Mahathir yang mengatakan, “ A vote of non-confidence is necessary now because Najib has made BN members of Parliament beholden to him by giving them lucrative posts in the government. Even those who had come to me complainning about Najib’s administration before, upon being given posts in the government, have now changed their stand. One of them who claimed to have documentary evidence of Najib’s misconduct, now gladly support him upon being made a minister” petikan dari blog Dr. Mahathir Mohammed.

            Bagi aku tuduhan yang dilemparkan oleh Tun Mahathir itu amat serious. Mungkin itu hanya menunjukkan sebahgian kecil daripada contoh tentang sikap pemimpin UMNO kini yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mahu menyatakan kebenaran tentang apa yang sebenarnya berlaku. Mungkin begitulah agakanya keseluruhan cara dan tindakan pemimpin UMNO yang kini mendiamkan diri dan semacam begitu ‘takut’ untuk menyatakan sesuatu kebenaran berkaitan dengan keadaan yang berlaku kini.

            Tun Dr. Mahathir sendiri seolah begitu ragu-ragu dengan sikap pemimpin BN/UMNO yang sebahgian besarnya adalah ‘anak didik’ beliau ketika beliau menerajui UMNO dan negara. Ketakutan dan kebimbangan beliau terbayang apabila ‘teragak-agak’ untuk mengusulkan diadakan undi tidak percaya di parlimen terhadap kepimpinan DS Najib. Kelihatan kebimbangannya, takut-takut tidak cukup untuk menyokong usul undi tidak percaya berkenaan.

            Untuk menambah pelik dan menghairankan pula ialah bahawa Pakatan Rakyat juga bimbang dengan tindakan wakil PAS di parlimen sekiranya dibentangkan usul berkenaan. Seolah-olah keraguan tetap menyelubungi bukan sahaja wakil dari PKR dan DAP malah ada wakil dari PAS sendiri yang kurang yakin dengan tindakan TG Haji Hadi dalam soal menentukan kedudukannya. Sehingga kini menampakkan bahawa TG haji Hadi merupakan penyokong kuat DS Najib apabila tidak kedengaran ‘suara’ darinya memberikan kenyataan jelas tentang pendirian PAS dalam kemelut politik yang berlaku kini.

            Kedudukan negara Malaysia kita hari ini betul-betul berada di persimpangan, kacau dan tidak tahu hala tuju sebenar. DS Najib kata Malaysia tidak akan menjadi ‘failed state’ tetapi ada juga yang menyanggah kenyataan ini dengan mengatakan bahawa sekiranya keadaan sebegini berterusan, maka besar kemungkinannya Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lemah – ‘failed state’.

            Mungkin kemuculan semula semangat ‘Tun Dr Ismail’ dalam kepimpinan UMNO dapat menyelamatkan keadaan sedemikian. Rakyat hanya mampu berdoa.

abuhassanadam
22 Ogos 2015


Friday, August 21, 2015

BILA ‘JALUR GEMILANG’ TIDAK BERKIBARAN

            Tentulah timbul rasa yang amat sedih apabila tidak melihat ‘Jalur Gemilang’ berkibaran di tanah tempat kelahirannya terutama dalam suasana negara menyambut kemerdekaan . Samada di jalan-jalan raya ataupun di kawasan perumahan, terlalu kurang kelihatan ‘Jalur Gemilang’ berkibaran kini. Suasana sedemikian amat berbeda dengan keadaan negara menyambut kemerdekaan pada tahun-tahun 1990an dulu.

            Pada ketika itu dapat aku bayangkan suasana yang begitu riang dan bangga ketika menjelang hari kemerdekaan. Seolah-olah setiap rakyat Malaysia merasa bersalah sekiranya tidak bersama-sama menyambut kemerdekaan. Seolah-olah rakyat Malaysia merasakan tidak adil pada dirinya sekiranya ‘Jalur Gemilang’ tidak dikibarkan samada di kereta atau di rumah atau di mana sahaja yang boleh dipamerkan ‘Jalur Gemilang’ sebagai tanda sayang dan bangga kepada negara Malaysia yang tercinta.

            Mengapa keadaan sedemikian sudah tidak wujud lagi di Malaysia kini. Mengapa? Amat sukar untuk melihat walau pun sebuah kereta di Lebuhraya Persekutuan yang mempamerkan ‘Jalur Gemilang’ di atas keretanya. Hampir tidak ada. Jikalau pun ada sebuah kereta yang mempamerkan ‘Jalur Gemilang’ akan diiringi dengan kata-kata ‘ Umno kini dan selama-lamanya’. Terfikir di kepala aku, ‘apakah ‘jalur Gemilang’ ini hanya milik segelintir manusia yang menggelarkan diri mereka ahli UMNO?

            Mungkin rakyat Malaysia umumnya merasakan tidak perlu mempamerkan ‘Jalur Gemilang’ di kereta-kereta mereka. Soalnya mengapa bersikap begitu. Apakah rakyat Malaysia sudah tidak sayangkan lagi negara tercinta ini? Apakah mereka sudah tidak merasa sedih melihatkan ‘Jalur Gemilang’ begitu ‘dipersia-siakan’, sedangkan ‘Jalur Gemilang’ adalah sebagai lambang kemegahan bangsa Malaysia.

            Tetapi jika diperhalusi, mengapa pula rakyat Malaysia begitu menyanjung dan mengaggungkan ‘Jalur Gemilang’ pada suatu ketika dahulu. Tahun-tahun 1990an misalnya. Seingat aku perasaan rakyat Malaysia begitu sayang dan mengaggungkan negara Malaysia sehinggakan pegibaran bendera sebagai satu cara mereka menumpahkan taat setia kepada negara. Anak-anak zaman ini tentunya akan kagum sekiranya dapat melihat video yang menggambrakan bagaimana rakyat Malaysia menyambut kemenangan Malaysia dalam pertandingan Thomas Cup menewaskan Indonesia dalam pertandingan akhir pada awal tahun 1990an. Seluruh negara begitu bangga sekali menyanyikan ‘Negaraku’ disamping mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ disamping memuji dan memuja Tun Siti Hasmah (isteri Perdana Menteri) yang berada bersama-sama menyaksikan pertandingan berkenaan.

            Bagi aku itu merupakan salah satu episod dalam sejarah Malaysia yang boleh menggambarkan perpaduan bangsa Malaysia yang begitu utuh dan kukuh. Seolah-olah tidak ada lagi ‘batu penghalang’ yang boleh menghalang pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu. Semacam sudah terlerai segala bentuk rintangan untuk kita mewujudkan bangsa Malaysia. Semacam sudah tidak ada lagi ‘manusia’ di Malaysia yang bergelar Melayu atau Cina atau India atau Kadazan atau Iban di negara ini. Semuanya anak Malaysia. Bangsa Malaysia dalam ertikata sebenarn-benarnya telah wujud. Perasaan hormat menghormati antara satu sama lain telah tersemai.

            Tetapi soalnya mengapa sudah tidak wujud lagi keadaan sedemikian di negara kita kini. Semacam begitulah keadaaannya.

            Aku merasakan bahawa untuk menentukan sayang tidaknya rakyat kepada negara dan bangga tidaknya rakyat ketika mengibarkan “jalur Gemilang’ terletak kepada cara pemerintahan yang dijalankan oleh para pemimpin di negara ini. Maknanya bergantung kepada tindakan para pemimpin dalam menjalankan pentadbiran mentadbirkan negara yang tercinta ini.

            Satu kajian oleh Social media firm Politweet, yang membuat kajian terhadap 193,893 tweets daripada 79,949 pengguna internet mendapati bahawa ‘most netizens distrust Putrajaya and Prime Minister Najib Abdul Razak over 1MDB and the RM2.6 billion in the premier’s bank accounts’. Walaupun bukan menggambarkan perasaan seluruh rakyat Malaysia tetapi dapat juga memberikan ‘jawapan’ sekurang-kurangnya mengapa rakyat memandang sepi terhadap usaha menyambut kemerdekaan negara” Malaysiakini – 20 August 2015.
            Mungkinlah banyak faktor-faktor lain yang menyebabkan rakyat ‘menunjuk perasaan’ dengan cara mereka tersendiri terhadap berbagai tindakan kerajaan yang agak menyusahkan rakyat. Pengenalan cukai GST masih lagi menguasai kehidupan rakyat yang menyebabkan kehidupan rakyat agak tertindih. Berbanding dengan kehidupan segelintir kumpulan rakyat yang kelihatan begitu mewah dan bahagia sekali menggunakan wang negara dengan sewenang-wenangnya seolah-olah wang yang digunakan oleh mereka itu seperti wang pusaka peninggalan datuk nenek mereka.
            Rakyat tidak buta melihat penyelewengan sedemikian. Rakyat menderita dengan berbagai tekanan yang dikenakan. Dengan demikian cara rakyat melahirkan ‘penentangan’ mereka kepada kerajaan adalah dengan cara yang berbagai-bagai. Salah satu caranya ialah dengan tidak mengibarkan ‘Jalur Gemilang’. Mungkin mereka merasakan apa perlunya berbuat demikian sedangkan ‘hati dan perasaan mereka hancur lebur’ akibat tindakan pemimpin yang tidak bertanggung jawab kepada rakyat dan negara.
            Mungkin itulah agaknya antara sebab ‘Jalur Gemilang’ tidak berkibaran sebagaimana sepatutnya. Mungkin.
abuhassanadam
21 Ogos 2015