Wednesday, September 17, 2014

ANTARA BUKIT BERAPIT DAN LUCERNE  SWITZERLAND

Sudah agak lama juga aku tidak mengikut jalan lama untuk pergi ke Taiping. Jalan lama yang dimaksudkan ialah bukan lebuhraya yang menghubungkan Kuala Kangsar dengan Taiping. Namun dari Padang Rengas (kampung aku) adalah lebih mudah ke Taiping menggunakan jalan lama melalui Bukt Berapit yang merupakan tempat perkelahan yang masyhur pada suatu ketika dulu. Kini disebabkan terbinanya lebuhraya, maka tidak banyak kereta yang melalui jalan ini samada ke utara atau ke selatan berbanding dengan zaman tahun-tahun 1980an.

Yang menjadi topik perbincangan aku kali ini ialah mengenai Bukit Berapit yang pada ksuatu ketika dulu merupakan tempat perkelahan yang terkenal. Pelancong dari Utara ke selatan ataupun sebaliknya pasti akan singgah di Bukit Berapit untuk berehat dan mandi manda dengan airnya yang begitu jernih dan nyaman sekali.

Kini Bukit Berapit hanya tinggal nama sahaja. Sudah tidak ada lagi air jernih tempat mandi manda para pelawat dan pelancong. Sudah tidak ada lagi kereta untuk berhenti berehat di kawasan Bukit Berapit. Kini kawasan Bukit Berapit sudah menjadi kawasan yang lengang dan tidak ada pengunjung. Sudah tidak air jernih yang mengalir dan digantikan dengan air lodak kekuningan disebabkan projek pembangunan di persekitaran.

Sehingga awal tahun 1990an, di kawasan Bukit Berapit inilah merupakan kawasan persinggahan yang boleh aku samakan fungsi dan peranannya seperti R&R kini. Kawasan yang teduh dan nyaman dipayungi oleh pokok-pokok rendang di kawasan itu amat sesuai untuk berhenti rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan. Air sungai yang jernih pula amat sesuai untuk mandi manda dan menyediakan tempat perkelahan semula jadi dicelah batu –batu besar dalam sungai berkenaan.

Kini Bukit Berapit hanya tinggal kenangan.

Mungkin agaknya masyarakat moden kini sudah tidak memerlukan kawasan seperti Bukit Berapit lagi. Istilah ‘berkelah’ sudah tidak ada lagi dalam kamus masyarakat Melayu kini berbanding dengan zaman masyarakat Melayu pra-80an. Mungkin masyarakat Melayu moden kini tidak lagi memerlukan tempat seperti Bukit Berapit untuk ‘berkelah’ disebabkan keadaan mewah yang membolehkan mereka singgah di kedai-kedai makan di R&R berbanding dengan masyarakat zaman 80an yang terpaksa membawa bekalan makanan dari rumah dan singgah ‘berkelah’ untuk makan dan mandi manda di tempat-tempat seperti Bukit Berapit.

Keadaan seperti itu sudah tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu moden.

Aku berhenti seketika di tepi sungai Bukit Berapit mengenangkan kembali ‘nostalgia’ ketika masih muda remaja yang selalu berada di Bukit Berapit untuk mandi manda dan berkelah. Masih terbayang di mata tentang kejernihan air Bukit Berapit yang mengalir dari gunung melampaui batu-batu besar dengan kedinginannya yang luar biasa. Itulah ‘mineral water’ yang sebenarnya. Boleh diminum tanpa was-was.

Itu dulu. Kini air jernih seperti air mineral itu sudah tidak ada lagi.

Yang menghairankan aku ialah mengapa pihak kerajaan negeri Perak membiarkan keadaan Bukit Berapit jadi begini. Apakah tidak adakah hati dan perasaan para pemimpin negeri itu yang perihatin dan terlintas di hati mereka untuk melindungi dan memelihara keaslian tempat ini. Keadaan Bukit Berapit kini adalah amat menyedihkan berbanding dengan keadaan zaman dahulu. Seolah-olah hampir seluruh pemimpin negeri Perak memejamkan mata dan seolah-olah tidak mahu ambil tahu tentang nasib Bukit Berapit. Kini Bukit Berapit adalah seperti ‘nasi sudah menjadi bubur’. Tidak perlu ditangisi lagi.

Serupa jugalah dengan nasib Gunung Pondok yang pernah aku tulis dan aku pertahankan semenjak tahun-tahun 1980an lagi. Kini Gunung Pondok sudah hampir gondol, diterokai oleh pengusaha dari Korea. Sudah tidak ada lagi Gunung Pondok yang menghijau yang menjadi kebanggaan penduduk Padang Rengas. Sudah tidak ada lagi Kampung Gapis dan kampung Sendayan (kampung tradisional) yang penduduknya telah dipindahkan kesuatu kawasan pemindahan yang disediakan disebabkan oleh projek pecah batu di Gunung Pondok itu.
Kadang-kadang aku merasakan bahawa aku tidak ‘sampai hati’ melihat kemusnahan Bukit Berapit dan Gunung Pondok ini. Kedua-duanya adalah ‘milik’ aku. Terletak di kawasan tempat lahir aku. Aku masih ingat keindahan yang terserlah bagi kedua-dua tempat ini – Bukit Berapit dan Gunung Pondok. Gunung Pondok boleh aku samakan dengan Banjaran Gunung Alps di Eropah. Yang membezakan ialah Gunung Alps sentiasa diselimut oleh salji sedangkan Gunung Pondok diselimut oleh kehijauan pokok-pokoknya.

Kini sudah tidak ada lagi.

Apabila mengenangkan ‘nasib’ sungai di Bukit Berapit, teringat juga aku kepada Lucerne di Switzerland. Aku terpegun dan terharu meliaht sungai yang mengalir melalui bandar berkenaan yang dijaga dengan rapi oleh penduduknya. Aku teringatkan airnya seperti air Sungai Bukit Berapit tahun 70an. Jernih seperti air mata. Crystal clear. Bezanya penduduk di Switzerland tahu mengahrgai pemberian Allah (walaupun ramai yang beragama Kristian) berbanding dengan masyarakat Malaysia yang sebahagian besarnya beragama Islam tetapi tidak begitu perihatin tentang menjaga alam yang dikurniakan Allah ini.

abuhassanadam
18 September 2014






2 comments:

  1. Tiada satu kuasa dari langit sekali pun atau doa dari para ulama baik yang tulen mahupun yang poyo yang boleh menahan jenis mod pembangunan yang sedang rancak berjalan di negara kita yang mana para perancang pembangunan tidak meletak hormat yang tinggi terhadap alam sekitar. Mana saja yang sedap dinilai para pemaju yang boleh membawa keuntungan cepat tempat semula jadi indah itu akan ditarah, gondol dan diratakan demi pembangunan fisikal demi untuk penempatan baharu atau demi projek pembangunen lain. Lihat kini satu contoh keruntuhan alam sekitar di Cameron Highlands, dulu sekitar tahun 60-an kawasan perbukitan/pergununan nan hijau itu cukup sejuk dan amoi pertanian atau mamak pembuat roti canai mempunyai pipi merah yang indah, kini kita pakai baju singlet pun boleh ke sana.Yang boleh menentang jenis pembangunan ini adalah NGO sekular yang sangat passionate terhadap alam sekitar dan mereka setakat boleh memberi ingatan cerdik agar jangan sesekali menggadaikan alam sekitar. Kita tiada norma atau undeng-undeng yang hormati alam sekitar. Sebagai contoh di negara 'kapir' yang banyak makan babi, minum air anggur di Scandinavia tidak membenarkan sesiapa yang mahu potong tumbuhan di hutan sesuka hati tanpa sebab konkrit yang munasabah, jika didapati dihukum dan tak percaya pergi /melancong ke sana dan lihat rasa hormat rakyat dan pentadbiran negara itu begitu hebat sekali. Kita akan tiba ke tahap seperti di negara itu mungkin ratusan tahun lagi, sehingga itu banyak lagi Bukit Berapi akan jadi bahan kenangan aje.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum cikgu. Teringat sebuah novel bertajuk "Sesat di Gunung Pondok". Begitu juga dengan pelbagai cerita misteri yang berkaitan dengan Gunung Pondok. Terlalu asyik mendengar opah dan atuk becerita misteri Gunung Pondok. Ada cerita laut, pantai dan kuda. Meminjam pinggan mangkok orang Bunian untuk kenduri. Kebun buah-buahan atas Gunung Pondok. Dan banyak lagi cerita Gunung Pondok.

    ReplyDelete