SALAH NASIHAT
TAKHTA ISTANA JADI MUZIUM – SULTAN NAZRIN SHAH
Tergerak hati aku untuk
menyiarkan semula ucapan DYMM Sultan Nazrin Shah, Sultan
Perak (negeri patek
juga Tuanku) berjodol, “SALAH NASIHAT
TAKHTA ISTANA JADI
MUZIUM – SULTAN NAZRIN
SHAH yang dipetik dari ‘Minda Aktif’’ bertarikh 21 Jun
2014.Semoga ucapan dari
DYMM Sultan Perak itu akan dapat jadi panduan dan
renungan kita bersama.
Berikut adalah Titah Sultan Perak, Sultan
Nazrin Muizzuddin Shah, pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-159, di Istana
Iskandariah Kuala Kangsar, Jumaat.
Segala puji milik Allah SWT. Selawat
dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para
sahabat baginda serta kepada para tabiin dan ulama. Semoga beroleh ihsan
sehingga ke hari kebangkitan.
Mesyuarat Dewan Negara ke-159,
merafak sembah ucap takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku
Bainun, atas kemangkatan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan
Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah,
bersamaan 28 Mei 2014.
Kesultanan Melayu Perak diasaskan
oleh Sultan Muzaffar Shah I pada 1528. Kini telah 35 Sultan diangkat untuk
bersemayam di takhta pemerintahan. Dalam tempoh 486 tahun sejarah Kesultanan
Melayu Perak, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang
Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ke-34, ditentukan
oleh Allah SWT bersemayam di takhta pemerintahan selama 30 tahun, tiga bulan,
25 hari, mencatatkan tempoh bersemayam di takhta pemerintahan, kedua paling
lama selepas Sultan Perak ke-11, Sultan Mahmud Iskandar Shah yang bersemayam di
takhta kerajaan selama 67 tahun, di antara tahun 1653 sehingga 1720.
Mesyuarat Dewan Negara ke-150
bertarikh 6 Mac 2012, adalah mesyuarat terakhir yang dipengerusikan oleh Sultan
Azlan Muhibbuddin Shah. Dalam titah yang dizahirkan, Almarhum memperingatkan
bahawa Institusi Raja akan kekal relevan jika ia terus mendapat penghormatan
rakyat.
Almarhum telah memenuhi peranan
sebagai seorang Raja Pemerintah yang berpegang teguh kepada konsep Raja
Berperlembagaan. Pengalaman berkhidmat sebagai seorang hakim, telah mencanai
minda serta membentuk pemikiran Almarhum. Ketika menimbangkan sesuatu perkara,
Almarhum senantiasa memeriksa semua fakta dan menghalusi setiap data sebelum
merumuskan sebaik-baik keputusan untuk kepentingan negeri dan kesejahteraan
rakyat.
Almarhum dikenali dan diiktiraf
sebagai seorang Raja Pemerintah yang amat berpegang kepada prinsip meluhurkan
Perlembagaan serta mendaulatkan undang-undang negara. Almarhum telah
meninggalkan legasi pemerintahan yang wajib dijadikan rujukan. Almarhum telah
melakarkan imej Raja Pemerintah yang disegani dan menyuntik kedaulatan takhta
yang dihormati. Semoga roh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
Al-Maghfur-Lah, demikian juga roh-roh 33 Sultan terdahulu, yang setiap seorang
daripada Marhum itu telah menyempurnakan amanah sebagai Amirul Mukminin,
dilimpahkan segala ihsan daripada Allah SWT, ditempatkan bersama roh para
solihin.
Sama-samalah kita membaca surah
Al-Fatihah, memohon rahmat daripada Allah SWT, semoga apa jua ganjaran daripada
bacaan tersebut disampaikan kepada roh Almarhum-almarhum yang telah berada di
alam barzakh. Al-Fatihah.
Beta bersyukur ke hadrat Allah kerana
dengan petunjuk dan hidayat-Nya juga, ahli-ahli Dewan Negara Perak yang
bersidang pada 28 Rejab 1435 Hijrah bersamaan 28 Mei 2014 Masihi telah mencapai
kata sepakat mengamanahkan ke atas diri beta untuk diserahkan tanggungjawab
mewarisi takhta pemerintahan.
Mesyuarat Dewan Negara ke-159, pada
pagi Jumaat yang dipohon agar dilimpahi berkat dan rahmat Ilahi, adalah
mesyuarat pertama yang beta mempengerusikannya atas nama Sultan, Yang Dipertuan
dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan. Beta bersyukur ke hadrat Allah
atas anugerah ini. Beta menzahirkan penghargaan atas ketetapan sebulat suara
ahli-ahli yang hadir dalam Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-158, memberikan
kepercayaan dan menyerahkan amanah kepada beta, dilantik sebagai Sultan, Yang
Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ke-35.
Akan beta jadikan pedoman kata-kata
yang terkandung dalam ucapan wakil Siswazah Kehormat yang dizahirkan oleh
paduka ayahanda beta, ketika masih seorang hakim, dikenali sebagai Yang Amat
Mulia Raja Tan Sri Azlan Shah semasa dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor
Falsafah oleh Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980, yang antara lain
memberikan peringatan;
“…sejarah
telah menunjukkan bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah
adalah hasil daripada salah nasihat yang diberi oleh penasihat-penasihat istana
yang tidak bertanggungjawab kepada rakyat. Sebenarnya, penasihat-penasihat
istana ini adalah terdiri daripada mereka yang mencari keuntungan jangka pendek
bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan
negara. Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat-laun rakyat akan memberontak
dan takhta akan tergugat. Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia
atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak
satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Jika
kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari
istana ke muzium seni dan budaya.”
Beta amat insaf akan kata-kata yang
terkandung dalam sumpah jawatan yang beta telah zahirkan; ia adalah ikrar
perjanjian beta dengan Allah SWT. Ia adalah amanah dan tanggungjawab amat
berat; meletakkan beta dengan akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi
ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil pada hari kebangkitan di Mahsyar
nanti.
Beta mohon mendapat sebaik-baik
nasihat dan panduan daripada ahli-ahli Dewan Negara untuk membolehkan beta
menyempurnakan amanah dan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Sembah maklumkan
kepada beta perkara yang benar, betapa pahit sekalipun dan betapa berat untuk
lidah mengucapkannya.
Setiap kebenaran wajib disembahkan
dan jangan sama sekali dirahsiakan daripada pengetahuan beta. Jauhkan beta
daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong beta untuk berkhayalan,
lena dengan mimpi indah; sedangkan realiti yang berlaku di kalangan rakyat dan
di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan.
Semoga ahli-ahli Dewan Negara akan
membantu beta dengan segala keikhlasan dan kejujuran agar beta dapat
menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan adil lagi saksama.
Beta amat insaf bahawa daulat
seseorang Raja Pemerintah itu akan ditentukan oleh kebijaksanaan dan kearifan
serta keadilan dan kesaksamaan pemerintahan baginda. Pemerintah yang bijak dan
arif, adil dan saksama, akan dilimpahkan rahmat Ilahi, negerinya makmur dengan
pelbagai rezeki dan raja berupaya memberi payung naungan membolehkan rakyat
hidup dalam rukun, damai, harmoni lagi sejahtera. Akan beta jadikan pedoman
kata peringatan orang tua-tua:
“Bapa
kepada raja adalah syariat ajaran Rasul
Ibu
kepada raja adalah adat dan undang-undang
Saudara
kepada raja adalah segala menteri besar dan kecil
Anak
kepada raja adalah segala rakyat jelata
Bahawa
raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak
Tidak
diutamakan oleh raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata
Malah
ungka siamang di hutan jua adalah di bawah jagaan raja
Menjalankan
pemerintahan dengan adil
Memelihara
agama – Menjamin keamanan
Menunaikan
kewajipan dengan penuh iltizam
Jika
raja gagal menjunjung kebenaran ini
Maka
hancur musnahlah negara”
Yang lebih utama adalah doa yang beta
pohonkan untuk senantiasa dikurniakan panduan daripada Ilahi. Maha suci Allah
yang di tangan-Nya segala kerajaan ; hamba-Mu yang daif lagi lemah ini, memohon
segala petunjuk dan bimbingan, pimpinlah hamba-Mu ini ke jalan yang lurus ;
(iaitu) jalan orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan
(jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. Amin Ya
Rabul Alamin.
abuhassanadam
21 September 2014
No comments:
Post a Comment