ERA AZMIN – KEMUNCULAN
‘RENAISSANCE’
Setelah dua bulan ‘bergelut’ dalam kemelut
politik yang semacam tidak nampak kesudahannya, kini Selangor telah diberikan
sedikit ‘cahaya’ dengan kemunculan Saudara Azmin yang bergelar YAB Menteri
Besar Selangor. Sejurus sahaja ‘dinobatkan’ ke jawatan berkenaan, beliau
seolah-olah tidak sabar-sabar untuk menjalankan tugas membela rakyat Selangor
yang telah agak terbiar selama dua bulan selama berlakunya kemelut politik di
negeri itu.
Apabila dihasratkannya bahawa pentadbirannya
adalah untuk membela rakyat, maka dengan sendirinya akan membuka mata rakyat
Selangor untuk terus memberikan sokongan kepadanya, walaupun mereka sedar
bahawa semua ‘penyapu baru’ akan berkata demikian. Kenangkanlah balik apa yang
telah dilafazkan oleh menteri besar yang terdahulu. Hampir semuanya berkata
demikian. Malah ada menteri besar terdahulu yang sanggup secara sukarela
menunjukkan kepakarannya dengan mencabut gigi.
Azmin yang aku kenal tidak begitu. YAB Azmin
adalah seorang ‘workaholic’.Beliau akan terus menerus menjadi ‘penyapu baru’
dan tidak akan seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’. Kemampuannya untuk terus
menerus berada bersama DS Anwar Ibrahim sebagai Setiusaha Sulit bermula
daripada awal 1980an sehingga 1990an telah dapat membuktikan bahawa sememangnya
beliau tahan diuji. Tidak mudah untuk melaksanakan tugas dibawah DS Anwar
Ibrahim jikalau seseorang itu lembik dan tidak bermaya. Dan Saudara Azmin
berjaya. Bukan sekadar bersama ketika ‘senang’ malah ketika DS Anwar Ibrahim
dalam ‘kesusahan’ pun (selepas 1998) Saudara Azmin tetap bersama sebagai rakan
yang setia. Menepati peribahasa Inggeris, ‘ a friend in need is a friend
indeed’.
Walaupun DS Dr Wan Azizah tidak berpeluang untuk
menjawat jawatan Menteri Besar Selangor, namun hasrat dan cita-cita sebagaimana
yang digambarkan oleh Pakatan Rakyat akan dapat dilaksanakan melalui Saudara
Azmin. Apa yang ‘terdenyut’ di hati kepimpinanan Pakatan Rakyat akan dapat
direalisasikan oleh Azmin . Dengan sebab itulah agaknya, DS Dr. wan Azizah rela
mengundur diri, dan demi kepentingan rakyat Selangor,menyeru agar sokongan padu
yang diberikan oleh ADUN PKR dan DAP kepadanya itu dipindahkan kepada Saudara
Azmin.
Suatu hal yang jelas dapat aku bayangkan tentang
Selangor di bawah pentadbiran YAB Azmin ialah tentang kesukaran dan kesushan
pihak Pembangkang ia itu Barisan Nasional untuk memperkotak-katikan
pemerintahan di Selangor. Sekiranya pihak pembangkang BN mahu meneruskan
kerja-kerja ‘jahat’ sebagaimana yang pernah mereka lakukan semasa pentadbiran
TS Khalid Ibrahim sebelum ini, maka mereka perlu memikirkan banyak kali sebelum
menjalankan tindakan sedemikian semasa pentadbiran Saudara Azmin.
Rakyat tahu dan rakyat Selangor sedar bahawa TS
Khalid Ibrahim amat ‘menderita’ ketika menjalankan tugasnya di Selangor
disebabkan adanya berbagai ‘gangguan’ yang diusahakan oleh anasir-anasir
tertentu yang sentiasa menghasut rakyat supaya membenci pentadbiran Pakatan
Rakyat. Walaupun berbagai usaha pembangunan dilakukan oleh Pakatan Rakyat
sebelum ini, namun sentiasa diperlekehkan dengan berbagai-bagai tuduhan dan
gangguan yang melambatkan proses pembangunan di negeri Selangor.
Dan kemunculan Saudara Azmin boleh dianggap
seperti akan ‘bertemu buku dengan ruas’. Maknanya sekiranya ada pihak-pihak
tertentu yang cuba mengganggu pentadbiran di negeri selangor akan mengahadapi
laluan yang sukar. Seingat aku Saudara Azmin sudah ‘bersepak terajang’ dalam
politik semenjak awal tahun 1980an. Dan semestinya beliau ‘tahu akan jantan dan
betinanya’ sekiranya ada percubaan untuk menganggu gugat pentadbirannya.
Diharapkan dengan pengalaman yang berbagai-bagai itu beliau akan dapat menangkis
sebarang percubaan untuk memperlekehkan pentadbiran yang diterajui di negeri
Selangor.
Saudara Azmin akan sedaya upaya membuat perubahan.
Sesuai dengan usianya yang masih muda, yang sudah berpeluang menrajui sebuah
kerajaan negeri pastinya beliau akan melakukan satu perubahan besar kepada
negeri Selangor. “Renaissance’. Kehidupan dan cara hidup rakyat di negeri
Selangor perlu ditingkatkan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi secara
rohaninya. Rakyat di negeri Selangor boleh disifatkan terkehadapan berbanding
dengan rakyat di negeri-negeri lain disebabkan jaraknya yang tidak jauh dari
Puterajaya. Lantas peluang untuk melakukan perubahan tentunya amat terbuka
luas.
Selangor perlu melangkaui Puterajaya. Saudara
Azmin perlu meletakkan sasaran, ke arah mana negeri ini hendak di bawa. Tidak
salah beliau meletakkan sasaran sepuluh atau dua puluh tahun kerana pastinya
rakyat akan memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui negeri ini
sekiranya rakyat dapat diyakinkan bahawa Pakatan Rakyat boleh melakukan sesuatu
perubahan besar.
Anjakan paradigma perlu dilakukan di bawah
pimpinan Azmin. Bukan sahaja para barisan Exco yang perlu diorientasikan
pemikiran mereka, malah rakyat Selangor keseluruhannya harus dipersiapkan bagi
menghadapi masa hadapan yang amat mencabar ini.
Selangor akan menghadapi satu ‘Renaissance’. Satu
kebangkitan!!! Insyallah.
abuhassanadam
24 September 2014
Cuba kita renung sikit kenapa pelantikan Azmin dapat liputan media massa seperti TV1, TV3 dan TV 7 dan sebahagian besar ADUN PKR dan DAP tidak hadir? Lepas tu kita disajikan yang Sultan tidak masuk campur dalam kemelut MB, Azmin mendapat sokongan majoriti walaupun PKR tidak mengandalkannya kepada Sultan dan yang paling best sekali bukan parti yang mempunyai majoriti yang mengusulkan calonnya tapi Sultan yang meminta beberapa nama pula dan PAS yang tiada bobot dalam perkara ini sibuk melalui Tuan Guru Hadi Awang yang banyak sonehnya mempengaruhi proses demokrasi perlantikan MB Selangor.
ReplyDeleteAzmin bagaikan mahu merealisasikan "langkah Kajang' membuat kenyataan positif nak review banyak perkara besar, kita tunggu dan lihat. UMNO tetap akan mempergunakan Azmin bagi projek licik mereka iatu nak runtuhkan AI dan PR. UMNO tetap akan memberi Azmin ruang untuk menggambarkan yang dia bertindak bagaikan orang PKR seperti Khalid Ibrahim dulu tapi pada tindakan strategik tertentu yang akan menguntungkan kroni UMNO, Azmin akan bertindak seperti UMNO pula sama seperti Khalid Ibrahim dulu. Wayang, drama dan silap mata politik tetap berjalan untuk mengelirukan ramai rakyat yang tak nampak politik kotor UMNO. Dulu Kahlid ada kes hutang besar dan kini Azmin pun ada kes besar yang mungkin UMNO akan buat sebagai ugutan. Tunggu dan lihat.