Thursday, September 11, 2014

KEBOCORAN KERTAS UPSR – TERINGATKAN LEMBAGA PEPERIKSAAN YANG AKU TINGGALKAN

Surat khabar ‘The Star’ melaporkan bahawa, ‘"The Malaysian Examinations Syndicate has discovered that the Science 018, 028, 038 examination papers, scheduled for 8.15am to 9.30am on Sept 11, has been leaked, " it said in a statement, adding that initial investigations showed that contents of the paper were spread through social media.

Berita ‘sedih’ sebegini tentunya menyentuh juga perasaan aku yang pernah buat beberapa ketika bertugas di Lembaga Peperiksaan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Bak kata orang, ‘ tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bertugas disamping mencari sesuap pagi dan sesuap petang’. Apa saja yang berlaku kepada Lembaga Peperiksaan tentunya seperti ‘cubit paha kiri, paha kanan pun terasa juga’.

Apabila berlaku keadaan sebegini, masyarakat mulalah menuding jari kepada Lembaga Peperiksaan dan kerajaan umumnya. Sememangnyalah masyarakat mengharapkan perkhidmatan terbaik dari para pegawai yang bertugas, namun sebagai manusia tentulah tidak sunyi juga mengalami kesilapan. Dan setiap kesilapan harus diperbetulkan. Apatah lagi apabila berkaitan dengan soal kredibiliti peperiksaan awam yang menentukan kesahihan kelulusan seseorang.

Aku tidaklah berhasrat untuk menyalahkan sesiapa dan mempertahankan sesiapa dalam soal kebocoran ini. Cuma sepertimana biasa aku lebih berminat untuk mengenangkan kembali sejarah lama (nostalgia) ketika aku buat seketika bertugas di Lembaga Peperiksaan bersama-sama dengan ‘tokoh’ peperiksaan yang tidak dapat aku lupakan. Dan mungkin juga boleh diambil iktibar oleh pegawai-pegawai kini tentang bagaimana pada ketika itu tidak pernah berlaku kebocoran kertas soalan sebagaimana yang berlaku sekarang.

Aku bertugas di Lembaga Peperiksaan semenjak tahun 1978 sehingga 1983. Seingat aku, sepanjang bertugas di situ tidak pernah berlaku kebocoran kertas soalan yang sebegini. Tidak pula aku mahu menunjukkan ‘kehebatan’ para pegawai pada ketika itu yang menyebabkan keadaan kebocoran tidak berlaku. Tidak sekali-kali begitu hasrat aku. Cuma yang ingin aku sampaikan ialah tentang ‘keakraban’ dan hubungan baik antara pegawai pada ketika itu yang mungkin menjadi salah satu faktor tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Aku menggunakan perkataan ‘keakraban’ kerana sehingga kini perasaan ‘keakraban’ antara pegawai-pegawai itu masih wujud. Buktinya apabila kami mengadakan perjumpaan Hari Raya pada tahun 2013, hampir kesemua pegawai yang bertugas pada zaman itu hadir untuk mengemablikan nostalgia ketika berkhidmat di Lembaga Peperiksaan.

Lembaga Peperiksaan adalah ‘synonym’ dengan ‘Omar Hashim’. Tan Sri Dato’ Omar Hashim pernah menjadi Pengarah Peperiksaan dan sebelum itu beliau juga menjadi pegawai di Lembaga peperiksaan ketika terletak di Jalan Davison berhampiran dengan Victoria Institution. Seolah-olah darah yang mengalir dalam tubuhnya adalah ‘darah’ yang mengandungi ‘element’ yang berunsurkan peperiksaan!!....

Walaupun aku merasa begitu bahagia dan seronok ketika bertugas di beberapa bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia, namun ‘zaman emas’nya adalah ketika bertugas di Lembaga Peperiksaan dibawah pimpinan TS Dato Omar Hashim dan beberapa ‘tokoh’ lain yang aku anggap sebagai ‘pillar’ yang menyebabkan Lembaga Peperiksaan begitu tegap dan utuh ketika itu.

Tidak lengkap coretan ini sekiranya tidak aku nyatakan nama-nama ‘besar’ yang mengendalikan peperiksaan awam Malaysia pada ketika itu seperti En. Abdul Rahman Ali  (Dato), Puan Hajjah Badiah Abdul Manan ( Dato), En. Termuzi Abdul Aziz (Dato) En Damis Yusuf, En Shafie Yahaya, En Ali Isnin, En Aziz Abdul Rahman dan ramai lagi.

Mengendalikan peperiksaan awam ini sememangnya memerlukan kerjasama yang cukup erat antara semua pegawai di Lembaga peperiksaan. Bermula dari Pengarah sehinggalah ke Budak Pejabat  harus tahu dan sedar dengan tugas yang dipikul yang merupakan amanah negara. Dengan sebab itulah walaupun seseorang pekerja di Lembaga Peperiksaan itu bertugas di peringkat kerani atau Budak Pejabat merasakan dirinya ‘dekat’ dengan pegawai atasan. Disitulah wujudnya keakraban yang aku maksudkan pada awal rencana ini.

Dengan demikian cara bekerja adalah seperti pekerja sukarela yang berasaskan disiplin yang ketat dan penuh tanggungjawab. Masing-masing merasakan bahawa tugas yang dijalankan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh negara dan lantas mesti dijalankan dengan sepenuh ikhlas dan sepenuh hati.

Aku merasakan bahawa sistem yang ada di Lembaga Peperiksaan untuk melaksanakan tugas menyelenggarakan peperiksaan adalah cukup kemas dan sempurna. Sekiranya ada perubahan-perubahan yang perlu dilakukan, tentunya merupakan perubahan yang dianggap amat perlu dan wajar. Sistem yang ada telah terbukti ‘kukuh’ dan tahan diuji. Telah beberapa tahun sistem sedemikian mengalami dugaan demi dugaan.

Jikalau begitu mengapa berlaku kebocoran?

Pihak Lembaga Peperiksaan khususnya dan Kerajaan umumnya perlu meneliti semula dimanakah cacat-cela yang terdapat pada sistem ini. Ataupun dimanakah cacat celanya pegawai yang melaksanakan tugas peperiksaan ini. Ataupun mungkinkah seluruh jentera kerjaan, termasuk di Kementerian Pelajaran sudah menjalankan tugas dengan sambil lewa. Mungkin…..


abuhassanadam
11 September 2014



2 comments:

  1. Pada tahun 1974 saya menduduki peperiksaan SPM.Kebocoran soalan BM berlaku.Ini bermakna bukanlah sekarang berlaku.Kalau tak percaya tanyalah anak kelahiran merdeka (1957).Pada masa tu mana ada internet.Perkara begini pun bolih berlaku.Dzaman serba canggih ini tak mustahil berlaku.Kenapa sekarang terlalu di perhebohkan?Pada masa itu tak sekecoh begini pun.

    ReplyDelete
  2. Segala kemungkinan ada apabila memperkata prihal kebocaran soalan peperiksaan dan kebocoran kertas peperiksaan. Barangkali semua sedar dan memahami erti kebocoran soalan dan kebocaran kertas soalan. Isu kebocoran soalan saban tahun bebunyi tatkala tiba musim peperiksaan. Sejak saya mulai menduduki peperiksaan awam, memang sudah kedengaran. Cuma apabila kertas soalan bocor, sememang tidak dapat diterima akal. Persoalan intergriti diperkata. Keesahan dan kebolehpercayaan diragui. Mana mungkin kertas soalan bocor tanpa tangan manusia tertentu melakukan. Tuduhan demi tuduhan disebut dan dicanang tetapi belum ada kesudahan. Hampanya rasa seluruh petugas peperiksaan waima dari.Lembaga Peperiksaan, Sektor Penilaian & Peperiksaan JPN & Unit Penilaian & Peperiksaan di Pejabat Pendidikan Daerah dan petugas guru yg diamanah menjadi Penyelia Kawasan, Ketua Pengawas, Timbalan Ketua Pengawas dan Penolong Pengawas seolah olah dipersalahkan sedangkan golongan ini sedayaupaya mempertahankn intergiti dan amanah negara. Kecil hati apabila dituduh sebagai punca kebocoran kertas soalan.

    ReplyDelete