AKAN HILANGKAH SEMANGAT PERJUANGAN KEMERDEKAAN?
Sudah 57 tahun rupanya negara mencapai kemerdekaan.
Dan setiap tahun kita merayakannya. Dengan penuh kemeriahan. Apakah anak-anak
merdeka tahu dan faham erti kemerdekaan sebenarnya. Apakah mereka dapat merasakan
denyut nadi bapak-bapak kemerdekaan ketika memperjuangkan kemerdekaan tanah air
tercinta ini daripada British.
Ramai yang mengatakan bahawak kita agak beruntung
kerana kita mencapai kemerdekaan dengan tidak menumpahkan darah. Kita
mendapatkan kemerdekaan kita melalui kebijaksanaan pemimpin kita seperti Dato
Onn Jaafar,Zaaba, Dr. Burhanuddin, Ibrahim Haji Yaakub, Tunku Abdul Rahman, Tan
Cheng Lock, Sambanthan dll. Kita beruntung kerana tanah bertuah ini memiliki
anak bangsa yang berlainan keturunan tetapi bersatu hati untuk mendapatkan
kemerdekaan tanah air ini.
British agak ‘kecewa’ melihatkan perpaduan kaum-kaum
Tanah Melayu berjuang mencapai kemerdekaan. British tidak memikir hal
sedemikian boleh berlaku. British agak ‘pening’ melihatkan tiga kaum terbesar,
Melayu, Cina, India boleh berganding bahu menentang mereka bagi mendapat
kebebasan tanah air. Sememangnya British tidak terfikir yang kaum-kaum ini akan
dapat bersatu erat dan teguh.
Dengan sendirinya memberikan pengertian bahawa dasar
British ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh penjajah British berkecai.
British pernah suatu ketika meletakkan syarat bahawa untuk Tanah Melayu
mencapai kemerdekaan, perlulah ada persetujuan daripada tiga kaum terbesar dan
dapat bekerjasama antara satu sama lain. British amat sedar pada mulanya bahawa
hakikat perpaduan tiga kaum ini tidak akan menjadi satu realiti. Ini disebabkan
perancanaan British untuk ‘memisah-misahkan’ tiga kaum terbesar sudah dirancang
lebih awal.
British terus menerus membiarkan orang Melayu yang
merupakan penduduk peribumi tinggal di kampung, tanpa memberikan galakan untuk
kaum ini untuk memajukan diri mereka. British amat gembira membiarkan kaum ini
terus menerus hidup dalam suasana aman damai di kampung dengan membiarkan
sahaja perubahan dan pembangunan yang berlaku kepada bangsa-bangsa lain di
dunia. Itu yang dinamakan penjajahan.
Orang Cina pula yang pada mulanya digalakkan untuk
datang ke sini sebagai pekerja lombong bijih timah lama kelamaan telah menjadi
golongan pedagang yang mendiamai kebanyakan bandar-bandar di Tanah Melayu.
Orang India yang didatangkan dari India hanyalah untuk dijadikan pekerja ladang
getah British. British tidak pun berhasrat walau sedikit pun untuk
membelanjakan wang pemerintah untuk memajukan kaum-kaum ini. Jikalau pun ada
usaha British untuk memajukan kaum-kaum ini, hanyalah merupakan seperti kata
pepatah Melayu, ‘ seperti melepaskan batuk di tangga sahaja’.
Sememangnya British tidak menyangkan yang kaum-kaum
di negara ini boleh bersatu dan memperjuangkan kemerdekaan negara ini secara
bersama. Anak merdeka seharusnya dapat merasakan denyut nadi pemimpin-pemimpin
lama ketika memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Persoalannya ialah apakah
pemimpin-pemimpin muda kini faham dan betul-betul faham erti kemerdekaan yang
dinikmati oleh mereka kini.
·
Apakah para
pemimpin kini faham dan dapat menghayati erti perjuangan yang dilalui oleh
pemimpin yang terdahulu. Dan apakah pemimpin kini tahu tentang jerih payah yang
terpaksa dideritai oleh pemimpin terdahulu bagi menyatukan rakyat berbilang
kaum demi membebaskan negara tercinta ini.
·
Pemimpin
muda kini harus memenungkan dan merenung kembali apakah erti perjuangan yang
seharusnya mereka lakukan demi memajukan bangsa dan negara. Apakah cukup hanya
dengan melafazkan perkataan ‘perjuangan’ sedangkan tidak ternampak walau
sedikitpun pengisian perjuangan sepertimana yang pernah dilakukan oleh pemimpin
lampau.
·
Tahukah
(dengan sebenar-benarnya) para pemimpin muda kini bahawa kemerdekaan yang
diperjuangkan oleh generasi lama dulu adalah untuk ‘menghalau’ penjajah yang
‘menghisap darah’ anak negeri disamping melakukan berbagai tindakan yang terus
menerus melemah dan memundurkan rakyat T. Melayu, khususnya orang Melayu.
Apakah para pemimpin kini mengambil alih pula peranan yang telah dimainkan
British dulu dengan terus menerus melakukan apa yang telah dilakukan oleh
British dahulu? Dan apakah para pemimpin kini sedar tentang hakikat bahawa
mereka perlu mendokong terus menerus hasrat pemimpin lama ini agar terus membawa
kemajuan kepada bangsa Malaysia.
Tidak ternilai dan tidak terbayar oleh generasi kini
tentang sumbangan pejuang kemerdekaan yang terdahulu. Persoalan yang harus
diselesaikan oleh pemimpin kini ialah tentang penerusan perjuangan. Apakah para
pemimpin kini sudah begitu selesa dengan ‘nikmat’ yang berbagai-bagai yang
dikecapi sehinggakan melupai perjuangan yang sebenar. Apakah erti perjuangan pemimpin
terdahulu itu sama ertinya dengan perjuangan pemimpin kini?
Dan tidak kurang pentingnya untuk disedari oleh
pemimpin kini ialah bahawa sebenarnya pemimpin terdahulu berjuang melalui
keringat dan pengorbanan wang ringgit. Dan amat berbeza dengan perjuangan
pemimpin kini yang terpaksa berjuang kerana wang ringgit. Tanpa wang ringgit,
tidak akan muncul istilah perjuangan kepada pemimpin kini.
Mungkin anggapan ini salah…..
abuhassanadam
1 September 2014
No comments:
Post a Comment