Saturday, August 30, 2014

NGO YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB LUNTURKAN PATRIOTISME DAN PERPADUAN DI MALAYSIA

Kata Sasterawan Negara Usman Awang,

“ ……Perpaduan tidak memberi erti kalau sekadar dalam lafaz kata-kata semata-mata. Perpaduan tidak wujud hanya dengan disuruh-suruh dan diseru-seru. Perpaduan harus diwujudkan atas kepentingan rakyat dan bukan kepentingan suatu pihak atau golongan sahaja”

Awal tahun-tahun 1990an, kebiasaannya ketika negara bersiap-siap menyambut ulang tahun kemerdekaan negara (bulan Ogos ) kita akan melihat bendera negara berkibaran di mana-mana saja. Di rumah, di kedai-kedai, shopping complex, bangunan kerajaan. Tak kira di mana, akan berkibarlah ‘Jalur Gemilang’. Malah kita merasa amat bersalah sekiranya kita tidak memacakkan ‘Jalur Gemilang’ di kereta kita. Dan sekiranya kita melalui Lebuhraya Persekutuan dari Kuala Lumpyr ke Kelang, jarang sangat kita melihat kereta yang tidak dihiasi dengan ‘Jalur Gemilang’. Itu dulu. Awal dan pertengahan tahun-tahun 1990an.

Kini, awal Kurun ke 21 keadaan sedemikian tidak lagi sedemikian. Pada tahun 2014, jarang sangat kelihatan kereta yang mengibarkan ‘Jalur Gemilang’. Ada, tetapi tak banyak. Puas RTM berkempen agar rakyat mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ tetapi ramai seolah-olah ‘memekakkan telinga’. Mungkin ada setengah kedai yang mengibarkannya dan di kawasan perumahan pegawai kerajaan di Puterajaya, seolah-olah penghuni kawasan berkenaan ‘dipaksa’ mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ di bangunan rumah mereka.

Mengapa terjadi demikian?

Tidak ada jawapan yang konkrit untuk menyatakan sebab-sebab dan puncanya. Seolah-olah rakyat ‘merajuk’ dan ingin melahirkan perasaan dengan menunjukkan ketidakpuasan hati dalam bentuk yang ‘tidak berapa kena’.Cuma yang boleh disarankan ialah bahawa keadaan sebegini jika dibiarkan berterusan akan melunturkan semangat patriotisme rakyat. Maknanya dalam bahasa senangnya lama kelamaan, perasaan cintakan negara dikalangan rakyat Malaysia akan terhakis. Para pemimpin seharusnya mengambil perhatian dan mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengatasinya. Ini merupakan perkara serious yang perlu mendapat perhatian segera.

Persoalannya ialah mengapa pada awal tahun-tahun 1990an, rakyat Malaysia menunjukkan kecintaan yang begitu tinggi kepada negara dan tidak begitu keadaannya kini. Mengapa dulu ternampak perpaduan yang cukup erat dikalangan rakyat Malaysia dan mengapa tidak sedemikian kini?. Mengapa?

Aku tidak ada juga statistik yang konkrit untuk menyokong hujah  berkaitan dengan tajuk di atas. Tapi aku yakin apa yang aku rasa berkaitan dengan tajuk diatas adalah betul. Aku yakin ramai rakyat Malaysia pun bersetuju. Dan ramai juga rakyat Malaysia dari berbagai keturunan merasa amat kecewa dengan perkembangan di negara kita kini yang seolah-olah sudah melupakan hasrat pemimpin kita yang terdahulu yang menganggap bahawa perpaduan kaum adalah merupakan tunjang dan pasak kepada kemajuan negara dan bangsa.

Kadang-kadang aku tidak dapat memberikan jawapan mengapa keadaan jadi begini. Dan lebih membingungkan aku ialah apabila ada golongan di negara kita yang seolah-olah tidak mahu  perpaduan kaum itu wujud di negara kita melalui tindak tanduk yang ditunjukkan oleh mereka. Sikap mereka, kata-kata mereka dan tindakan mereka amat bertentangan dengan konsep perpaduan yang hendak diwujudkan. Ada NGO yang amat tidak bertanggungjawab yang sengaja menimbulkan isu agar ‘api perkauman terus membara’. Seolah-olah mereka amat tidak senang dengan keharmonian yang dikecapi oleh rakyat di negara ini.

Apa tidaknya….

Lihat saja golongan-golongan tertentu tanpa segan silu terus menerus ‘mengecilkan hati’ kaum-kaum di Malaysia. Mereka sedar bahawa tindak-tanduk mereka itu pastinya akan mendapat reaksi yang negatif dari kaum-kaum tertentu, namun masih juga diteruskan tanpa segan silu. Tanpa memikirkan hati dan perasaan kaum lain. Tanpa memikirkan bahawa perbuatan mereka itu menyentuh sensitiviti kaum lain sampai ke tulang sum-sum. Tanpa memikirkan bahwa tindakan mereka itu akan mendatangkan kesan yang amat mendalam yang boleh mencetuskan perbalahan kaum seperti yang pernah dialami oleh negara.

Janganlah diulangi lagi Peristiwa 13 Mei 1969. Sudahlah. Biarlah persitiwa itu pergi dan terus meninggalkan kita. Biarlah golongan tua yang mengalami peristiwa itu saja yang terasa sedih dan pedihnya. Dan janganlah anak-anak dan cucu kita turut merasa dan mengalaminya. Jangan. Peristiwa 13 Mei 1969 adalah peristiwa pahit negara dan kesan daripada peristiwa itu lagi menyedihkan dan amat parit untuk dideritai. Dan mengambil masa yang agak panjang untuk betul-betul memulihkan keadaan itu. Mengapa perlu diungkit-ungkit lagi.

Mengikut pemerhatian aku (mungkin aku tersilap) suasana negara menjelang PRU 13 yang lalu adalah merupakan kemuncak semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia. Aku belum pernah lagi melihat semangat perpaduan yang begitu akrab dan jitu yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dari semua kaum dan segenap lapisan masyarakat terutama apabila menghadiri program-program yang dianjurkan oleh BERSIH dan Pakatan Rakyat.

Beberapa program yang dianjurkan oleh BERSIH  pada ketika itu amat menyentuh perasaan aku ditinjau dari sudut perpaduan yang telah ditunjukkan. Aku melihat dan mengalami sendiri bagaimana konsep perpaduan kaum itu telah dilahirkan oleh anak-anak bangsa Malaysia dalam berbagai bentuk dan tindakan yang dijelmakan. Aku hampir mengalirkan air mata apabila anak-anak muda dari keturunan Cina menghulurkan kepada aku sebotol air apabila melihatkan mata aku berair akibat daripada terkena gas pemedih mata. Bukan itu saja. Si anak muda terus berada disamping aku menanyakan soalan-soalan seperti ‘ Pakcik Ok ke?” Soalan-soalan seperti itu sudah cukup untuk ‘mengubati’ mata aku yang berair.

Apakah itu bukan semangat perpaduan namanya?

Kenyataan-kenyataan dan slogan-slogan perpaduan telah menarik perhatian semua kaum yang hadir dalam perhimpunan sedemikian. Slogan-slogan itulah yang telah memuncakkan semangat patriotisme dan cintakan bangsa dan negara golongan yang hadir. Dan apabila tiba masanya untuk mereka menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ akan dapat dilihat rakyat menyanyikan dengan kuat dan penuh semangat tanpa ada arahan dan paksaan. Mereka menyanyikan dengan sepenuh hati dan perasaan. Semua kaum menyayikannya. Tidak ada pula undang-undang dan peraturan yang mewajibkan mereka menyanyi.

Sekali lagi aku termenung memikirkan keadaan yang wujud kini. Kadang-kadang aku juga menyoal. Kemana perginya ‘rakyat’ yang patriotik dan bersemangat menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ itu. Di mana mereka berada sekarang? Apakah golongan ini jugakah yang ’enggan’ mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ dan ‘liat’ untuk menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’

Dan tentulah aku terkejut apabila mendapati bahawa sudah ramai yang tidak mahu mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ dan ramai juga yang enggan menyanyikan lagu ‘Negaraku’. Aku tentunya semacam tidak percaya keadaan sebegini boleh berlaku disebabkan apa yang ditunjukkan oleh rakyat ketika menghadiri perhimpunan BERSIH dan ketika menghadiri ceramah Pakatan Rakyat adalah sebaliknya. Aku bersetuju dengan pendapat seorang menteri yang mengatakan bahawa seharusnya perbezaan politik tidak seharusnya mempengaruhi perasaan patriotisme rakyat Malaysia.

Tetapi aku merasakan bahawa bukan rakyat tidak patriotik dan tidak juga rakyat tidak sayangkan negara ini. Mereka amat sayang dan cintakan negara yang tercinta ini. Mungkin disebabkan ada terdapat rasa kecewa di hati mereka yang menyebabkan mereka bertindak demikian. Aku tidak dapat merasakan kekecewaan mereka itu dan tidak juga dapat meneka dengan tepat tentang kekecewaan yang macam mana yang menyebabkan sebahagian besar rakyat bertindak sedemikan.

Diambang kemerdekaan yang ke 57 ini seharusnya kerajaan sedar bahawa wujudnya NGO-NGO yang ekstreme memperjuangkan bangsa dan agama itu mungkin salah satu faktor yang menyebabkan lunturnya semangat perpaduan dikalangan rakyat yang berbilang kaum. Kerajaan telah dituduh bersubahat dengan kumpulan-kumpulan ini, walaupun pihak kerajaan seringkali menafikannya.

Mungkin keengganan kerajaan untuk bertindak tegas membenteras kumpulan sedemikian yang menyebabkan ada rakyat yang ‘merajuk’…..Mungkin.

abuhassanadam

30 Ogos 2014

5 comments:

  1. NGO-NGO ektremis berikut memang ditaja dan dianjur oleh 'kerajaan' dengan duit rakyat untuk memisahkan rakyat. Rakyat yg tidak bersatu senang dikawal dan diperintah oleh rejim yg berasaskan pemecahan kaum, ie: UMNGOK, MIC, MCA, etc. Kami sayang negara tapi benci rejim yg memerintah.

    ReplyDelete
  2. Kena banyak masuk sukan peringkat wakili negara. Kalau boleh masuk kontinjen sukan ke sukan SEA maupun Olimpik.

    Jangan berfikiran sempit dengan terharu dan mengeluarkan air mata apabila puak2 sendiri menghulurkan air ketika perhimpunan BERSIH yang pada hemat saudara mewakili keseluruhan rakyat Malaysia.

    Saudara akan lebih terharu dan menitiskan air mata apabila berjuang untuk negara di dalam sukan menaikkan nama negara bertanding dengan negara lain.

    Ketika itu jika ada rakan senegara kontijen berbangsa lain yang menghulurkan air dan bantuan kepada saudara, ianya 1000 kali lebih baik daripada contoh saudara berikan.

    ReplyDelete
  3. Pak Abu,
    Buat seketika saya tidak menulis. Seperti komen-komen saya dahulu, saya akan memberi pandangan saya sebagai seorang bangsa Malaysia bukan Melayu.
    Elok sangat saya memberi pandangan sebagai respons kepada apa yang Pak Abu menulis kali ini. Semalam saya menamatkan 'contact' saya dengan seorang kawan lama dalam ruang Facebook, kawan (yang berbangsa Melayu) yang pernah se darjah dahulu sewaktu kami belajar pada tahun 60an lagi. Dan kawan ini sekarang bergelar Dato, dan kalau mendapat gelaran sedemikian tahulah apa jawatan beliau dalam kerajaan. Beliau sudah bersara. Sebab saya memutuskan 'contact' adalah kerana saya dapati komen beliau dalam 'posting' sering berbau perkauman. Saya sememangnya sangat kecewa dengan sikap beliau kerana pernah memegang pangkat tinggi dalam pasukan keselamatan negara. Dan apa yang mencetuskan rasa hendak tutup 'contact' FB semalam adalah apabila saya terbaca komen daripada seorang kawan beliau (mengenai sesuatu 'posting' kononnya berkenaan dengan "Kontrak Sosial") yang menulis......"kita halaukan mereka balik ke negara asal"....Saya merasa pedih; saya terus memberi komen di muka FB orang itu, dengan menggunakan kata-kata yang saya kira cukup bertamaddun, dan selepas itu saya terus tutup 'contact' saya dengan kawan yang bergelar Dato itu. Amat sedih.... cukup sedih...
    Ya, apa yang Pak Abu kata betul....NGO-NGO yang tidak bertanggungjawab yang cuba merenggangkan hubungan antara kaum-kaum di negara ini. Itu NGO.... dan apakah perasaan bangsa Malaysia bukan Melayu yang sentiasa di beri 'amaran' oleh individu-individu yang berbangsa Melayu bahawa negara ini sememangnya Tanah Melayu dan mereka ialah pendatang... dan kalau berani 'biadap' "kita akan halau semua balik ke negara asal". . Pak Abu, sebagai rakyat yang hidup di bumi bertuah ini, dan pernah dahulunya saya bergaul dengan kawan-kawan yang berasal daripada pelbagai kaum kerana saya belajar di sekolah English medium (sekolah rendah dan menengah) dan selepas itu berkhidmat dengan kerajaan selama 34 tahun, dan sememangnya banyak bergaul dengan individu-individu yang berbangsa Melayu, cukup fasih dalam Bahasa Melayu, dan setiap hari memakai kain pelikat di rumah, dan sangat mengenali budaya Melayu, inilah kali pertama saya merasa lain, sangat lain, entah di mana negara tercinta saya? Negara nenek moyang saya atau negara ini yang pernah bergelar Malaya dan kemudiannya Malaysia?
    Sekarang, secara nyata, selepas lebih daripada 60 tahun saya menetap di negara ini, saya merasakan bahawa saya layak untuk memanggil negara ini “bukan negara saya”. Juga saya tidak pernah mengalami perasaan bimbang dan takut dahulukala apabila saya mendampingi orang-orang Melayu, tapi sekarang saya tertanya-tanya setiap kali saya cuba mendampingi mereka. "Apakah mereka suka saya"?

    ReplyDelete
  4. Saudara Yukon,

    Sebenarnya golongan orang Melayu yang 'tidak berperadaban' ini di Malaysia tidak ramai. Golongan 'cari makan' ini walaupun kecil bilangannya tetapi menyusahkan. Percayalah, majoriti orang Melayu masih seperti dahulu - baik, beradab sopan, tahu menghormati orang lain, bersifat lemah lembut.

    Pak Abu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Pak Abu kerana sudi menjawab. Nilai-nilai yang di pamerkan oleh Pak Abu cukup mengagumkan saya. You are a statesman!

      Delete