TS KHALID TERPAKSA MEMBUAT
PERHITUNGAN
Mahu tak mahu TS Khalid terpaksa membuat
perhitungan untuk mengelakkan perpecahan yang lebih teruk dalam Pakatan Rakyat
kecualilah sememangnya TS Khalid mahukan berlaku perpecahan dalam pakatan
demikian yang seterusnya membawa perpecahan yang lebih besar dikalangan rakyat
Malaysia.
Penyokong dan pengikut setia TS Khalid mendakwa
rakyat Selangor begitu marah dengan usaha penyingkiran TS Khalid sebagai
Menteri Besar Selangor. Kita tidak boleh mengambil ‘dakwaan’ sedemikian sebagai
satu kebenaran disebabkan bahawa TS Khalid menduduki kerusi Menteri Besar bukan
di atas sokongan majoriti rakyat Selangor tetapi hanya mendapat sokongan dari
kawasan DUN yang diwakilinya sahaja. Malah TS Khalid seharusnya terhutang budi
kepada Pakatan Rakyat yang telah memberikan peluang kepadanya untuk menerajui
Selangor buat beberapa ketika. Sebenarnya ‘nyawa’ TS Khalid bergantung kepada
Pakatan Rakyat yang melantik beliau ke jawatan itu dengan persetujuan Baginda
Sultan Selangor.
Sekiranya ada yang mendakwa bahawa ada rakyat
Selangor yang mahu TS Khalid kekal sebagai MB Selangor, maka ramai pula yang
menyatakan bahawa mereka merasakan bahawa TS Khalid sepatutnya berundur dari
jawatan MB itu berasaskan beberapa faktor yang telah mereka ketahui dan
didapati terbukti benar. Maka apabila ada pihak yang menyokong dan ada pihak
yang menentang sudah tentulah timbul jalan buntu di pihak rakyat Selangor
samada memihak kepada yang ‘mahu’ ataupun kepada pihak yang ‘tidak mahu’.
Harus ditegaskan sekali lagi dan sepatutnya difahami
bahawa yang boleh menentukan kedudukan TS Khalid adalah jawatankuasa tertinggi
Pakatan Rakyat kerana merekalah yang bertanggungjawab memutuskan tentang
pelantikan TS Khalid sebagai Menteri Besar Selangor itu. Dan mereka jugalah
yang berhak untuk melucutkan jawatan TS Khalid itu.
Persoalan yang sentiasa di suarakan oleh rakyat
ialah mengapa proses penukaran Menteri Besar ini mengambil masa yang begitu
lama sehinggakan timbul berbagai angkara yang boleh memecah-belahkan parti
Pakatan Rakyat. Aku tidak tahu jawapan sebenar melainkan dengan hanya merujuk
kepada amalan seni silat yang merupakan budaya yang dipusakai oleh orang Melayu
turun temurun. Amat jauh bezanya dengan perlawanan tinju yang dipopularkan oleh
Barat. Dalam perlawanan tinju, peninju akan terus menerpa pihak lawan sebaik
saja loceng dibunyikan. Tetapi dalam seni silat, ia dipenuhi dengan berbagai
gerak geri, berpusing kanan-kiri sebelum menerpa musuh. Beginilah juga caranya
ahli politik kita menyelesaikan sesuatu masalah rumit yang sedang dihadapi.
‘Seperti mengambil rambut dalam tepung’ kata
peribahasa Melayu. Dan ‘jikalau memukul ular, ular biar mati tetapi tanah
jangan lebam dan kayu pemukul jangan patah’. Peribahasa ini amat sesuai untuk
dirujukkan kepada peristiwa politik yang sedang berlegar di Selangor kini. Aku
yakin ‘ular’ akan dipukul juga akhirnya dan aku tidak dapat meramalkan samada
dalam proses memukul ular itu, tanah akan lebam dan kayu yang memukul akan
patah. Ataupun mungkin tepung akan berselerak walaupun rambut akan dapat ditarik
dari dalam tepung berkenaan.
TS Khalid tentu faham sebenar-benarnya peribahasa
sebagaimana yang dipaparkan, harus bertindak segera agar keadaan ‘kayu patah, tanah lebam, tepung
berselerak’ ini tidak berlaku.TS Khalid tentulah lebih faham kesan ekoran
daripada keadaan sedemikian. Orang tua-tua kata, ‘ sekiranya sesat di hujung
jalan hendaklah balik ke pangkal jalan’. Janganlah sampai ke peringkat
sepertimana berlakunya peristiwa pertempuran Hang Tuah dan hang Jebat kerana
yang akan rugi nanti tentulah rakyat juga yang selama ini mengharapkan sesuatu
keadaan yang membanggakan sekiranya Pakatan Rakyat dapat menguasai Puterajaya.
Orang tua-tua juga berkata, ‘biar titik jangan
tumpah’ dan ‘ biar retak jangan belah’. Itulah gambaran harapan rakyat kepada
TS Khalid bagi menyelesaikan ‘perselisihan’ ini. Kini menampakkan bahawa di
tangan TS Khalid sendiri yang akan dapat menyelesaikan isu ini. Sekiranya TS
Khalid dapat berundur dengan baik maka ‘tepung tidak akan berselerak, kayu
tidak akan patah, tanah tidak akan lebam, retak tidak akan belah, dan titik
tidak akan tumpah’.
Terserahlah kepada TS Khalid untuk membuat
pertimbangan demi untuk rakyat dan penerusan Pakatan Rakyat.
abuhassanadam
4 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment