APAKAH MELAYU MASIH BERJIWA HAMBA DAN
FEUDALISTIK?
Aku kena tegaskan di sini bahawa aku ialah orang
Melayu tulin. Tidak ada ‘campur-campur’. Tulin. Mungkin keturunan orang asli
yang mula-mula menetap di negeri Perak di gua-gua Gunung Pondok berhampiran
dengan pekan Padang Rengas yang kini telah dijadikan antara ‘quarry’ terbesar
di Tanah Melayu. Oleh itu siapa aku tidak perlu dipertikaikan. Sememangnya
Melayu tulin. Dan apa yang aku tulis nanti adalah mengenai ‘diri’aku juga dan
keturunan aku yang dinamakan ‘orang Melayu’. Seperti kata peribahasa Melayu,’
meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri’. Jelas.
Aku masih lagi merenung dan bermenung
mengenangkan nasib orang Melayu. Dan apabila aku mengenangkan nasib bangsa
Melayu, tidak pula aku marah dan benci
pada kaum lain yang sama-sama tinggal di negara yang tercinta ini. Tidak pula
aku mahu mengikuti jejak langkah setengah NGO Melayu yang sentiasa menyalahkan
orang lain. Dan ada juga NGO yang kononnya memperjuangkan Islam, sentiasa
memusuhi golongan bukan Islam atas dasar yang tidak tentu rasionalnya. Bagi aku
perbuatan sedemikian semamngnya tidak ‘Islamic’.
Diambang Merdeka yang ke 57, izinkanlah aku
berterus terang. Sebagai ‘anak bangsa’ yang lahir sebelum Merdeka dan
bersekolah pada zaman penjajahan mengikuti sistem pendidikan yang direncanakan
oleh Inggeris, izinkan aku untuk menyatakan bahawa orang Melayu masih mundur,
miskin dan yang paling menyedihkan ialah berjiwa hamba dan ‘feudalistic’. Maksud
aku bukanlah orang Melayu tidak maju. Maju. Tetapi kemajuan orang Melayu tidak
seiring dengan zaman yang dilaluinya. Maknanya orang Melayu hanya boleh
menganggap dirinya maju dan berubah sekiranya dibandingkan dengan masyarakat
Melayu pada zaman penjajahan atau zaman pendudukan Jepun. Tetapi sekiranya
dibandingkan dengan bangsa lain yang hidup pada Kurun ke21, maka kemajuan yang
dicapai oleh orang Melayu agak jauh ketinggalannya. Mungkin boleh dikatakan
amat jauh ketinggalannya.
Jikalau ditinjau dari segi infrastruktur yang
dibina di kampung-kampung memanglah terdapat kemajuannya. Hakikat inilah yang
selalu ‘didendangkan’ oleh pemimpin-pemimpin kita ( pemimpin besar mahu pun
kecil) untuk menunjukkan orang Melayu sudah maju. Semenjak pilihan raya kedua
lagi, inilah isu yang diketengahkan kepada masyarakat Melayu luar bandar untuk
memancing undi. Sehingga sekarang, masih lagi ‘naynyian’ yang sama. Dan yang
anih dan peliknya orang Melayu kampung ( ramai juga yang bersikap begitu) masih
‘termakan’ dengan kempen sedemikian. Bagi aku itu menandakan bahawa sikap orang
Melayu tidak banyak berubah berbanding dengan tahun-tahun sebelum merdeka
ataupun selepas sahaja mendapat kemerdekaan.
Yang peliknya, masih ramai orang Melayu masih ‘terhibur’
dengan ‘nyanyian-nyanyian’ yang didendangkan oleh para ‘penglipur lara’ yang
terus menerus ‘menghiburkan’ orang kampung dengan ‘nyanyian-nyanyian’
sedemikian. Disamping ‘hiburan-hiburan’ sedemikian, orang Melayu
‘digula-gulakan’ pula dengan pemberian ‘saguhati’ yang boleh terus menerus
dapat menawan hati orang kampung yang ‘berjiwa
hamba dan feudalistik’ itu.
Seingat aku, pernah juga Tun Mahathir menyatakan tentang kekecewaannya atas sikap
orang Melayu yang tidak mahu berubah. Bukunya berjodol, ‘ Malay Dilemma’ adalah
mengenai sikap orang Melayu yang ketinggalan dalam serba serbi lapangan. Dan
apabila beliau menjadi Perdana Menteri, isu ‘mengubah sikap orang Melayu’
menjadi tumpuan utamanya. Dimulakan pentadbirannya dengan ‘memutar’ jarum jam
satu jam lebih awal. Seluruh negara ‘terbangun’ dari tindakanya itu. Orang
Melayu ‘terkejut dan terperanjat’ kerana masih ramai orang Melayu tidak sedar
tentang wujudnya ‘budaya’ menganjakkan jarum jam satu jama kehadapan atau satu
jam ke belakang seperti mana yang diamalkan di negara-negara yang mengalami
empat musim seperti di Eropah.
Mungkin sengaja Tun Mahathir berbuat demikian
untuk ‘mengejutkan’ orang Melayu dari ‘tidur’ yang agak ‘nyenyak’. Disamping
itu dipantakkan pula pada pemikiran rakyat Malaysia itu tentang slogan ‘
Bersih, Cekap dan Amanah’ dan ‘ Kepimpinan Melalui Teladan’ agar terus menerus
diamalkan oleh rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu. Tidak cukup dengan
tindakan sedemikian, rakyat Malaysia telah disarankan agar ‘memandang ke timur’
melihat tentang betapa berjayanya rakyat negara Jepun dan Korea dalam memajukan
ekonomi negara mereka.
Aku yakin tindakan Tun Mahathir pada ketika
semata-mata untuk ‘mengubah haluan’ pemikiran orang Melayu supaya membuat
perubahan. Aku masih teringat juga tentang ratusan juta ringgit diperuntukkan
oleh kerajaan kepada Biro Tatanegara yang matlamatnya adalah untuk mengubah
sikap rakyat Malaysia dengan penanaman nilai-nilai murni yang sesuai untuk
membangunkan bangsa Malaysia yang merdeka. Dan kepada BTN lah diserahkan tugas
ini dan peranan BTN pula pada ketika itu adalah untuk mengubah sikap dan menanamkan
nilai-nilai murni kepada rakyat Malaysia dan tidak pula ditugaskan untuk
membangunkan orang Melayu semata-mata tetapi untuk rakyat Malasyia seluruhnya.
Jauh sekali BTN berperanan untuk memburuk-burukkan peribadi individu tertentu
atau pemimpin tertentu.
Pada akhir pentadbirannya, Tun Mahathir masih
‘kecewa’ kerana beliau masih belum berjaya untuk mengubah sikap rakyat
Malaysia, khususnya orang Melayu sebagaimana yang diharap-harap dan
dicita-citakannya.
Sudah dua orang Perdana Menteri selepas era Tun
Mahathir. Dan apa yang diperhatikan bahawa orang Melayu ada membuat beberapa
‘perubahan’. Antara ‘perubahan’ yang agak drastik ialah kemunculan NGO-NGO yang
‘garang memperjuangkan’ nasib orang Melayu dan agama Islam yang tidak begitu
keadaannya pada zaman sebelumnya. Yang kelihatan juga ialah kemunculan
‘tokoh-tokoh’ yang tidak segan silu bertindak tanpa memikirkan hati dan
perasaan kaum lain yang sama-sama menumpang di negara Malaysia.
Berbanding dengan bangsa lain orang Melayu masih
tidak banyak berubah. Boleh juga dianggap sebagai masih berada di ‘takuk’ lama
juga.
Mungkin pemerhatian aku tersasar jauh……mungkin….
abuhassanadam
27 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment