Sunday, August 17, 2014

PAKATAN DALAM ‘DILEMMA’

Teringat aku kepada lirik lagu,’Seri Sarawak’ – ‘hendak ku bawa perahu ku sempit, nak ditinggalkan tak sampai hati’.

Begitulah gambarannya keadaan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat kini apabila berhadapan dengan kemelut politik di Selangor. Walaupun isunya ialah berkaitan dengan pertukaran Menteri Besar Selangor, namun isu yang leBih besar yang menyelubungi Pakatan Rakyat sekarang ialah kedudUkan parti PAS dalam Pakatan itu. Secara umumnya dikatakan bahawa PAS masih mahu berada dan teguh dalam Pakatan, namun secara ‘tersembunyi’ seolah-olah PAS sudah mahu meninggalkan Pakatan dan menacri ‘kekasih’ lain sebagai ‘teman hidup’.

Terakhir isu yang menjadi ‘duri dalam daging’ ialah keengganan PAS untuk menerima cadangan PKR untuk melantik Dr. Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor. Ditanyakan sebab dan mengapa PAS tidak menerima pelantikan itu, tidak pula dinyatakan sebab-sebabnya. PAS tidak pula menyatakan dengan jelas sebab-sebabnya, melainkan dengan menyatakan bahawa mereka memerlukan calon lain. Dan PAS menafikan tentang penolakan itu berasaskan yang Dr. Wan Azizah adalah calon wanita.

DAP semenjak dari awal lagi sentiasa bersama dengan PKR dalam keadaan ‘susah dan senang’. Malah DAP sudah dianggap sebagai rakan yang paling setia mengahadapi kemelut ini. DAP juga sebulat suara menyokong pencalonan Dr. Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor berasaskan prinsip pakatan dan setiakawan yang sebenar. Dan seolah-olah DAP terus memegang prinsip bahawa sesiapa sahaja yang diputuskan oleh parti berkenaan terus diterima.

Ini tidak pula bermakna bahawa PAS bukan merupakan rakan yang setia. Seeingat aku semenjak tahun 1998 lagi ( ketika bermulanya sejarah hitam negara yang membabitkan pemecatan dan terpenjaranya DS Anwar Ibrahim) PAS adalah merupakan rakan setia yang memperjuangkan idealisme ‘Reformasi’ ke arah pembentukan negara Malaysia yang adil. Ketika itu PAS juga sentiasa bersama ‘susah dan senang’ besama-sama dengan PKR dalam arus ‘Reformasi’.

Melihatkan kepada kemelut politik di Selangor kini rakyat mula ‘terpinga-pinga’ melihatkan dua peristiwa yang begitu ‘anih’ yang amat sukar difahami oleh mereka.

·      ‘Kedegilan’ TS Khalid Ibrahim untuk berundur dari jawatan Menteri Besar. Ramai yang hairan mengapa TS Khalid bersikap demikian. Ramai juga yang merasa ‘sedih’ mengapa TS Khalid bersikap sedemikian rupa, mengenangkan tentang TS Khalid adalah merupakan seorang tokoh negara yang tidak boleh dilupakan jasanya kepada negara. Kenangan rakyat tentang sumbangannya bukan disebabkan beliau adalah bekas Menteri Besar Selangor tetapi, sumbangannya yang paling besar adalah mewujdukan skim ASN/ASB bersama-sama dengan tokoh lain seperti TS Ismail Ali. Dan jangan dilupakan juga tentang sumbangannya dalam ‘Dawn Raid’ yang berjaya memertabatkan maruah negara. Mungkin ramai yang tidak tahu tentang hakikat ini. Dengan demikian, maka ramai juga yang begitu ‘sedih’ mengenangkan tentang mengapa TS Khalid masih tidak mahu berundur sedangkan sudah diputuskan oleh partinya bahawa ‘jasamu tidak diperlukan lagi’. Walaupun dalam keadaan ‘linangan air mata’, sepatutnya TS Khalid berundur dengan secara terhormat.

·      Sikap setengah pemimpin PAS yang seolah-olah semacam tidak mahu ‘berkawan’ dengan PKR dan DAP dalam mengharungi kemelut politik di Selangor itu. Walaupun ada alasan tertentu yang dikemukakan oleh mereka tentang mengapa mereka bersikap sedemikian rupa, namun ‘sekilas ikan di air, tahu juga tentang jantan dan betinanya’. Sikap yang sebegini menyebabkan ramai yang mepersoalkan keikhlasan parti PAS berhubung dengan kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat.

Walaubagaimana pun, jangan dilupakan peribahasa Melayu yang mengatakan tentang, ‘ biduk lalu kiambang bertaut’. PAS,DAP dan PKR seharusnya ‘menyudahkan’ segera kemelut yang berlaku. PAS seharusnya merenung masa hadapan Pakatan dalam keadaan terbuka terutama dalam menyelesaikan isu yang kusut yang boleh menyebabkan tergugatnya kelangsungan Pakatan Rakyat. PKR, DAP dan PAS seharusnya merujuk semula cara penyelesaian yang paling asas dalam menentukan sesuatu keputusan, ia itu dengan cara pengundian. Inilah cara yang paling asas dan paling adil dalam menentukan sesuatu keputusan, setelah setiap isu dirungkai dan dibincang dengan fikiran yang terbuka dan ikhlas.

Semoga lagu ‘Sri Sarawak’ diubah liriknya ’ hendak ku bawa perahu ku sempit, tetapi ku bawa juga bersama akhirnya”

abuhassanadam

17 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment