Wednesday, August 13, 2014

YB SAARI SUNGIP: SATU TINDAKAN LUAR BIASA

Orang putih kata,’ a friend in need is a friend indeed’. Sesuai untuk ditujukan kepada YB Saari Sungip yang sanggup membuat keputusan ‘menentang arus’ ketika partinya sedang ‘berkira-kira’ untuk membuat keputusan samada (mungkin!) untuk terus bersama Pakatan Rakyat ataupun ‘meninggalkan’ sahabat lama yang sedang ‘nazak’. Tindakan YB Saari Sungip dari PAS membayangkan iltizam yang terlalu tinggi untuk terus bersama-sama berjuang menyokong terus Pakatan Rakyat.

Memang wajar bagi YB dari Ulu Kelang ini mengambil tindakan sedemikian memandangkan ‘persahabatan’ yang telah terjalin antara PAS, DAP dan PKR telah agak sekian lama terjalin dan tentulah amat sukar untuk menyatukan semula jika berlaku sesuatu keadaan yang tidak diingini. Sebagaimana yang dinyatakan beliau bahawa persoalan tentang siapa yang akan menggantikan TS Khalid adalah merupakan ‘perkara kecil’ berbanding dengan isu keruntuhan sebuah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang telah sekian lama dibina semenjak tahun 1998.

“I would like to remind my colleagues in PAS that we have built this strength from 1998... and we used it to bring fresh air to politics by creating a two-party system. …So, why do we want to give up this strength? To rebuild this will take another 20 to 30 years. We have gone through it” (Malaysiakini 12 Ogos 2014)

Dan perlu diingat oleh kepimpanan PAS secara umumnya, bahawa adalah amat tidak rasional dan lojik sekiranya penanganan isu kemelut Selangor dilihat melalui perspektif yang sempit. Harus diingat bahawa kelahiran Pakatan Rakyat (PAS,DAP,PKR) telah menelurkan kesan yanga amat besar kepada senario politik tanah air. PR yang telah melahirkan sebenar-benarnya Bangsa Malaysia yang sudah mula memahami perasaan dan aspirasi rakyat Malaysia yang sebenar. Rakyat Malaysia amat yakin bahawa PR akan memulakan ‘kehidupan baru’ bagi rakyat Malaysia sekiranya berjaya menawan Puterajaya. Bermakna rakyat telah meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Pakatan Rakyat.

Kini nampaknya harapan rakyat hampir berkecai dengan tercetusnya kemelut Selangor ini apatah lagi sekiranya PAS sudah mula ‘goyang’ dengan kedudukannya dalam Pakatan Rakyat. Dalam artikel berjodol, Presiden PAS belum mahu beri kenyataan isu MB’ bertarikh 12 Ogos 2014 (Malaysiakini) menyatakan bahawa, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum berhasrat untuk membuat sebarang kenyataan berhubung isu Menteri Besar Selangor, sehingga beliau menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahad ini’

Apakah ‘muslihat’ pemimpin tertinggi PAS ini sehinggakan sanggup ‘mengenepikan’ hasrat ‘kawan’ yang betul-betul mengharapkan  pertolongan dalam keadaan saat-saat yang memerlukan pertolongan. Apakah pemimpin berkenaan ‘mahu menahan lukah di pergentingan?’ atau sedang ‘menangguk di air keruh’. Apakah kepimpinan PAS sudah melupakan ‘falsafah’ yang dipegang selama ini bahawa sebarang masalah dapat diselesaikan melalui rundingan dan ‘akan bersetuju’ dengan isu-isu yang dipersetujukan disamping terus merundingkan isu –isu yang tergantung ( yang belum sesuai untuk diselesaikan’.

Bukan semua pemimpin PAS yang bersikap demikian. Tidak. Ramai yang sudah memahami senario politik Malaysia Kurun ke 21 disamping sedar tentang perkembangan politik di dunia. Sudah ramai pemimpin PAS yang sudah keluar dari ‘bawah tempurung’ dan mula ‘mengenali dunia’ yang penuh dengan reality. Walau bagaimana pun masih terdapat segelintir pemimpin PAS yang masih ‘bergelumang’ dalam ‘cocoon’ mereka yang tersendiri dan seolah-olah menganggap bahawa ‘dunia’ mereka adalah yang paling ideal di dunia ini.

Amat tidak wajar rasanya apabila ada pemipin tertinggi PAS yang menawarkan keahlian PAS kepada TS Khalid Ibrahim, sejurus selepas TS Khalid dipecat daripada PKR. Apakah pemimpin berkenaan tidak tahu ‘adab’ dan tatasusila dalam berparti terutama apabila mengaitkan parti kawan dalam satu pakatan. Apakah pemmpin sedemikian tidak ada ‘empathy’ untuk meletakkan dirinya di pihak yang bertentangan. Yang sedihnya ‘perlakuan’ sebegini dilakukan oleh ‘sekerat-dua’ pemimpin kanan dalam PAS.

Sedikit sebanyak keadaan dan imej Pakatan Rakyat kini, sudah tercalar. Banyak kenyataan-kenyataan yang dihamburkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah ‘mengecilkan hati’ banyak pihak. Bak kata pepatah Melayu, ‘ apabila mata berpandangan, maka budi kedapatan’.

Rakyat mula mempersoalkan kejujuran PAS dalam menangani isu kemelut Selangor ini. Apakah kepimpinan PAS (sebahagian pemimpinnya) betul-betul jujur untuk besama-sama dengan DAP dan PKR untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat ataupun hanya menunggu peluang untuk ‘menangguk di air keruh’.

Apakah begitu keadaannya?

abuhassanadam
13 Ogos 2014


11 comments:

  1. Dalam isu kemelut politik selangor, PAS seharusnya menunjukkan semangat setiakawan yang luar biasa kepada rakan2nya bukannya pendirian yang terumbang ambing, tiada hala tuju yang kukuh, PAS tiada pilihan lain selain memberi kerjasama jitu rakan2nya dalam PR, rakan2nya amat memerlukan bantuan serta pertolongan pihak PAS....semarak lagi semangat slogan "PAS FOR ALL"....

    ReplyDelete
  2. Jika selesai krisis MB ni dan PAS kembali ke pangkuan PR maka orang PAS harus cari jalan untuk menyisihkan Hadi Awang, Haron Din dan Nik Aziz kerana kelewatan respons positif mereka membantu PR dalam krisis ini. Pemimpin seperti Zulkifli Sulong, Husam Musa, Salahudin Ayub, Mat Sabu,Mahfus Omar, Saari Sungip dan Dr. Hatta yang dikira berfikiran terbuka dan selari dengan tuntutan abad ke-21 ini harus membuat sesuatu bagi menggantikan mereka jika tidak nanti ada suara sumbing/sumbang melelahkan dari pemimpin lapisan bawah yang masih terpukau dengan penguasaan ilmu yang dimiliki oleh golongan teologi itu yang mudah dimanipulasi oleh UMNO, sikorap dan penjarah harta negara.Lihat bagaimana UMNO?Najib/Mahuyudin Yassin berjaya mempermainkan sikalut/siserabut Khalid Ibrahim menyebabkan ramai benggong beruk!

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by a blog administrator.

      Delete
    2. penjilat lebih molek dari pembunuh, womeniser, perompak duit rakyat, pemakan duit haram bangkai haiwan, penjual beli agama, dan kemunafikan yang sudah tentu meranakan dan meranapkan masa depan rakyat dalam skala yang lebih menyeluruh termasuk anak cucu cicit yang masih belum lahir......

      Delete
  3. Shaari Sungip, orang kuat JIM sebelum masuk PAS, penulis buku Risalah Usrah menggunakan nama pena Abu Urwah. Mengambil pendekatan metodologi dakwah Ikhwan Muslimin cetusan Imam Syahid Hasan Al Banna..

    Saya seribu kali sayang, jurutera ini hanya mampu menulis tetapi gagal memahami inspirasi Tanzim Haraki Ikhwan Muslim sekali gus gagal dalam perlaksanaan di peringkat taarif!!!

    Persoalan sekarang apakah PAS masih mahu bersama dan bersekongkol dengan kafir musyrikin dalam "Pakatan Ahzab" untuk menjatuhkan kekuatan kerajaan Melayu Islam yg zalim lagi maksiyat seperti umno??

    Masih ramai yang tertipu dan terpedaya dengan permain al juburi walaupun kini sudah jatuh teronggeng !!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Blog ini bukanlah medan untuk memaki hamun seseorang. Sekiranya mahu mengkritik seseorang gunakan adab sopan sebagaimana yang diamalkan oleh orang Melayu yang beradab. Bukan biadab.

      Delete
    2. Kalau nak nemaki hamun pegi tempat lain

      Delete
  4. saya menyertai black 505 selepas pilihan raya, dan seumur hidup saya , saya tidak pernah berasa lebih semangat menyanyi lagu negaraku seperti malam itu. ia akan menjadi kenangan hidup saya dimana saya menyertai satu majlis keramaian yang sebegitu rupa, benar benar menbuat diri merasakan saya sebagai Anak Malaysia..
    Disini saya nak tanya pemimpin pemimpin pas seperti tok guru nik aziz, hadi awang dan haron din pernahkah dalam sepanjang karrer politik mereka , melihat senario yg sebegini rupa? dimana rakyat bukan islam memakai t shirt pas dan dgn bangga dan gembira mengibarkan bendera pas? belia belia india memukul gendang berarak mengibarkan bendera pas, belia belia cina meniup vuvuzula, memakai t-shirt pas memberikan tepukan gemuruh, mengalu alu penceramah penceramah pas seperti yb mat sabu dll...? kenapa senario yg sebegini rupa. jawapannya, kerana kita lihat pakatan rakyat adalah harapan kita dan kerana pas bukan lah seperti apa yang di war war kan oleh media media umno.
    Buat pertama kali saya melihat malaysia ada harapan, anak anak malaysia bersatupadu demi satu matlamat.
    Disini sana berharap agar Pas dapat membuat keputusan yang betul dan jangan menghampa rakyat yg memilih pakatan rakyat. Saya juga benar benar berharap agar ahli ahli politik baik dari DAP, KeAdilan dan Pas supaya berfikir sebelum bercakap kerana yang terlepas adalah amat sukar untuk di telan balik dan elakan dari mengeluar kata kata yang menguris hati rakyat atau pun memperdodohkan pemikiran rakyat.
    sekian terima kasih

    ReplyDelete
  5. Saudara Albert,

    Tulisan saudara menggambarkan satu harapan yang menggunung bagi kewujudan bangsa Malaysia sebenarnya. Inilah harapan saya sebagai orang tua yang begitu berharap akan kewujudan keadaan sedemikian. Kita sama-sama berdoa kepada Tuhan.

    Pak Abu

    ReplyDelete
  6. Sedih-sedih sangat saya melihat sandiwara yang dipersembahkan di negeri Selangor buat masa kini. Sebenarnya saya bukan minat sangat tentang politik, jauh lagi mengambil tahu apa yang betul-betul melanda PKR Selangor dan bekas MB nya. Mestilah sesuatu yang sangat berat yang dialami PKR sehingga terpaksa disingkirkan TS Khalid. Perasaan bimbang yang dilahirkan oleh pucuk pimpinan DAP sememangnya “real” dan bagi saya juga “surreal” kalau kita cuba kaitkan peristiwa sekarang dengan apa yang berlaku di Perak selepas pilihanraya 2008. Watak yang di mainkan oleh PAS dalam dua kejadian ini amat berbeza. Setuju? Dan jika dahulunya di Perak UMNO adalah orang jahat, siapa pula orang jahat kali ini?
    Sebagai seorang bangsa Malaysia bukan Melayu, sejak akhir 1970an, saya cuba memahami parti yang di gelar PAS yang saya tahu kuat bertapak di Kelantan. Saya tahu bahawa di kalangan orang bukan Melayu khususnya orang Cina, mereka tidak senang dengan PAS; mereka lebih mesra dengan UMNO. Ini cerita dahulu. Fahaman ini saya peroleh daripada ibu saya, dan disokong setelah saya meneliti situasi dan daripada pemikiran orang-orang Cina pada masa itu, khususnys sebelum 2008. Saya masih ingat pada tahun 1978 menjelang Piliharaya Umum saya terlihat sekeping kain rentang di tepi jalan di sebuah pekan kecil di negeri saya tinggal di pantai barat Semenanjung Malaysia. Saya berasa terkejut dengan tulisan Cina yang memberi sokongan kepada PAS dalam pilihanraya tersebut. Saya bertanya: Apakah yang sudah jadi kepada orang-orang Cina yang sekian lama kurang senang dengan orang-orang Melayu yang berjenama PAS?
    Orang Cina melihat orang Melayu UMNO sebagai golongan yang lebih inklusif, yang boleh didampingi (bukan cakap tentang pemberi/penerima rasuah!), lebih mesra daripada orang-orang PAS (PAS dengan pakaian mereka yang kurang memberi keselesaan kepada orang Cina, sebagai contoh!) Sebenarnya orang bukan Melayu di pantai barat tidak ada peluang langsung mendampingi PAS, kecuali mereka yang tinggal di kawasan kampung yang majoritinya orang Melayu. ..... (komen akan disambung.....)

    ReplyDelete
  7. Bersambung bahagian akhir.....

    Ketidakselesaan orang Cina di pantai barat (mungkin lain di Kelantan dan Terengganu) terhadap PAS bukan sahaja kerana pakaian jubah mereka, walhal lebih kepada ekslusiviti yang ditunjukkan oleh mereka: mungkin jarang sangat orang PAS cuba mendampingi orang-orang bukan Melayu. Kata orang putih, sama-sama “we keep a distance”!
    Dalam tahun 1990an kelihatan cubaan parti PAS menukar ‘brand’ mereka, cuba membuat mereka lebih diterima oleh orang bukan Melayu. Usaha “rebranding” ini agak berjaya dengan penubuhan “sayap-sayap” mesra yang dapat menarik minat orang bukan Melayu terhadap perjuangan PAS. Dan usaha ini berjaya jika kita melihat kepada kejayaan besar pada dua pilihanraya umum yang lalu.
    Dengan kemelut yang sedang melanda Selangor, sememangnya PAS akan menjadi penentu yang “crucial” yang akan melakar lanskap politik negeri itu buat beberapa tahun yang akan datang, dan sekaligus senario politk masa depan PAS akan mereka tentukan pada masa yang sama. Saya merasakan bahawa bangsa Malaysia bukan Melayu, khususnya orang Cina, akan mengenali siapa sebenarnya orang-orang Melayu berjenama PAS ini, kalau kerajaan Selangor jatuh kepada pihak lain dalam masa terdekat ini.
    Tepat juga apabila beberapa tokoh PAS (spt Husam Musa, Mujahid, Saari Sungip) mengeluarkan kenyataan (dan kebimbangan mereka) tentang betapa perlunya tindakan bijak diambil oleh pucuk pimpinan PAS demi masa depan dan survival parti itu. Bukan senang bagi PAS untuk ‘rebrand kan” mereka yang menjadikan mereka diterima oleh orang-orang Malaysia bukan Melayu yang ramai sudah menyokong PAS, dan pengundi-pengundi inilah yang memberi kejayaan kepada PAS dalam beberapa pilihanraya yang lalu. Saya tertarik dengan slogan “PAS FOR ALL”...(but with some reservations) Sebenarnya saya sudah beberapa kali pangkah “bulan”, dan adakah saya akan terus pangkah “bulan” pada masa akan datang? Tak pasti....

    ReplyDelete