MH 17: KEMANUSIAAN YANG TIDAK ADA PERBATASAN
Hari ini 22 Ogos 2014, kita berkabung penuh sayu
menyambut ‘kepulangan’ dua puluh jenazah mangsa malapetaka kapalterbang MH 17
yang ditembak jatuh di Ukraine. Tidak ada siapa yang tidak bersedih
mengenangkan peristiwa ini. Walaupun peristiwa itu tidak berlaku kepada saudara
mara dan kaum keluarga, namun ia menyentuh perasaan semua orang . Ini yang dinamakan
perasaan kemanusiaan.
Aku teringat kepada kata-kata dalam sajak Allahyarham Usman Awang, ‘Kemanusiaan’.
Telah
mereka saksikan sejak pertama cair merah tumpah
putera
Adam membunuh-terbunuh dalam pertarungan menang
kalah
dan
kematian demi kematian dinyanyikan di mana-mana
dan
dilanjutkan sehingga segala tanah jadi pusara
Berapa
titiskah airmata untuk seorang yang pergi
sebelum
keranda bertolak untuk nanti ditambah lagi
dibandingkan
dengan hebatnya air terjun di Niagara
airmata
putera-putera tercinta dan gadis-gadis menunggu di muka jendela
bersama
kerutan pahit para ibu uang pernah menyusui
mendengar
berita kematian ngeri dari daerah peperangan
Jika
kita menyesali kematian atas seorang
dan
tidak tidak terdenyut untuk kematian yang lain
maka
kemanusiaan tidak wujud di mahkota kebenaran
sebab
bukanlah kemanusiaan bila ia ada perbatasan
Dan
sekarang tiap kota menangis dan mengucap kata
kerana
sewajarnyalah kemanusiaan itu berdenyut dan terasa
tapi
tak seorang pun akan menangis untuk pembunuhan yang bakal tiba
atau
akan berkata: mari kita padamkan segala api sengketa
Siapa
yang merasa dan kehilangan kesayangannya, menangislah
dunia
telah didandankan, kehidupan adalah kematian yang berdarah
Kita mendengar dan melihat ( melalui kaca TV)
tentang pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku di Iraq, Mesir, Syria, dan yang
sedang berlaku kini di Palestine. Kita turut merasakan kesedihan dan
penderitaan yang dialami oleh mangsa perang di tempat-tempat tersebut walaupun,
‘betapa berat mata memandang lagi berat bahu yang memikul’.
Kini kita telah ‘didedahkan’ dengan peristiwa
kematian yang menyayat hati setiap insan. Tidak dapat kita membayangkan
kesedihan dan penderitaan yang diderita oleh sanak saudara mangsa nahas. Apatah
lagi apabila mengenangkan derita ibu atau ayah yang kehilangan anak, menantu
dan cucu-cucu tersayang yang sedang membesar. Tidak ada kata dan bahasa untuk
mengukir kesedihan dan kesayuan yang dialami oleh keluarga berkenaan.
Aku masih teringat peristiwa feri karam di Sungai
Kerian yang berlaku pada 13 September 1972 yang mengorbankan 27 nyawa anak-anak
sekolah yang masih dahagakan ilmu pengetahuan, menemui ajal mereka dalam
keadaan yang amat ngeri ketika feri yang dinaiki mereka tenggelam. Dan mereka
juga tenggelam bersama feri yang dinaiki mereka itu. Tentulah hancur luluh
perasaan ibu yang mengandung.
Begitu jugalah dengan kejadian keruntuhan The
Highland Towers pada 11 Disember 1993 yang melibatkan kehilangan nyawa seramai
48 orang. Semua peristiwa ini pastinya meninggalkan kesan yang amat mendalam di
hati rakyat Malaysia. Apatah lagi apabila mengenangkan kehilangan MH 370 yang
tidak tahu ‘garis kesudahannya’.
Namun yang paling elok dilakukan oleh kita ialah
mengukuhkan kepercayaan kita kepada Tuhan kerana Dialah yang menentukan
segala-galanya.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka
yang meninggalkan kita terlebih dahulu. Amin.
abuhassanadam
22 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment