Thursday, August 7, 2014

POLITIK MALAYSIA: KEPENTINGAN DIRI MENGATASI PERJUANGAN

Tentulah ramai yang merasa kagum dengan tindakan Baroness Sayeeda Warsi, Menteri Kanan Pejabat Kementerian Luar Britain yang membuat pengumuman meletakkan jawatan serta merta sebagai membantah kegagalan David Cameron (Perdana Menteri Britain) untuk mengutuk penderitaan di Gaza. Berbanding dengan tindakan para pemimpin di negara kita yang hanya berani ‘berkorban’ memotong kad kredit bank yang berkait rapat dengan Yahudi, tetulah amat jauh bezanya seperti panggang dari api.  Ataupun kita dengar cakap yang berdegar-degar dari pemimpin kita yang mengutuk Israel tanpa tindakan konkrit dan berkesan ‘mengiringi’ cakap-cakap yang berdegar-degar itu.

Rakyat Malaysia tidaklah meminta pengorbanan pemimpin sepertimana yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin di Jepun atau Korea apabila berhadapan dengan sesuatu krisis. Rakyat Malaysia tidak pula mengharapkan seseorang pemimpin Malaysia itu membunuh diri sekiranya terdapat kegagalan dalam usahayan mencari penyelesaian dan menyelesaikan masalah. Rakyat Malaysia hanya mahu seseorang pemimpin itu betul-betul bertanggungjawab di atas kegagalan yang dilakukan.

Mungkin agaknya disebabkan budaya bangsa kita yang tidak begitu mementingkan ‘accountability’ dan ‘pertanggungjawaban’ telah menyebabkan apa yang dilakukan dilaksanakan dengan ‘sambil lewa’ tanpa memikirkan kesan dan akibatnya kepada sesuatu kegagalan itu. Lihat sahaja apa yang telah terbukti melalui sistem audit negara. Tahun demi tahun pembaziran dan ketirisan berlaku yang dilakukan oleh para pemimpin kita, samada pemimpin politik atau pun pemimpin pentadbiran badan pelaksana. Saban tahun terus berlaku dan akan terus berlaku tanpa ‘di empang dan disekat’.

Keadaan ini ada juga kaitan dengan sikap yang terlampau mementingkan diri dan sekali gus mengenepikan prinsip perjuangan untuk memajukan bangsa dan negara. Disebabkan sikap yang sedemikianlah maka apa saja yang dilakukan oleh para pemimpin kita, seolah-olah meletakkan kepentingan diri mengatasi kepentingan perjuangan memajukan bangsa dan negara.

Rakyat Malaysia umumnya memerhatikan perkembangan kemelut politik di Selangor dengan penuh minat. Rakyat selama ini telah meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Pakatan Rakyat untuk memulihkan keadaan negara yang sudah begitu lama berada di bawah cengkaman Barisan Nasional. Rakyat merasakan telah ternampak ‘cahaya baru’ yang boleh dan akan menerangi alam Malaysia yang akan diperkenalkan oleh Pakatan Rakyat.

Tetapi nampaknya, menjaga kepentingan diri dan ‘periuk nasi’ ini bukan sahaja menular dikalangan ahli politik UMNO (BN), malah telah juga mula kelihatan diamalkan oleh setengah ahli Pakatan Rakyat. Dengan beberapa pendedahan telah menampakkan bahawa ahli Pakatan Rakyat juga tidak ‘sunyi’ daripada melakukan sesuatu demi untuk menjaga diri terlebih dahulu.

Kemelut politik di Selangor menjadi bertambah rumit untuk diselesaikan adalah berpunca daripada hasrat setengah pihak yang lebih tertumpu untuk menjaga diri dari segala-galanya. Apa tidaknya. Isu yang muncul di Selangor adalah dikira sebagai ‘straightforward’.

·      TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor seharusnya akur dengan keputusan kepimpinan Pakatan Rakyat supaya mengundur dari jawatan berkenaan. Jelas. Beliau berada di situ disebabkan pelantikan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat khususnya PKR. Yang menjadi ‘kusut’ adalah disebabkan TS Khalid tidak mahu berundur.

·      Yang menjadi bertambah kusut adalah disebabkan kenyataan yang dibuat oleh TG NikAziz dan TG Haji Hadi Awang. Walaupun kedua-dua pandangan itu merupakan pandangan peribadi, namun ahli PAS akan mematuhi ‘arahan’ demikian. Ditambah kusutkan lagi keadaan ialah dengan kemunculan beberapa kenyataan yang dibuat oleh pemimpin kecil yang senada dengan pandangan kedua-dua tuan guru berkenaan. Sepatutnya pemimpin PAS dari semua peringkat hanya menyerahkan keputusan melantik dan memilih MB Selangor diserahkan saja kepada PKR.

·      Sejarah telah membuktikan bahawa dalam melantik MB Perak selepas PRU 2008, Pakatan Rakyat telah bersetuju melantik MB Perak dari kalangan ahli PAS walaupun kerusi yang dimenangi oleh PAS agak kurang berbanding dengan yang diperolehi oleh PKR dan DAP. PKR tidak pernah mempersoalkan siapa yang akan dilantik oleh PAS. Mengapa pula apabila timbul isu di Selangor ( yang sepatutnya diserahkan saja kepada PKR) maka PAS memainkan peranan yang ‘cukup penting’ sehingga menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan itu.

Telah memperlihatkan kepada kita bahawa sekiranya semangat perjuangan tulin diutamakan dalam menyelesaikan kemelut ini, maka tidaklah isu di Selangor ini berlarutan sehingga terlalu kusut untuk diselesaikan. Mungkinlah unsur mementingkan diri dan keluarga telah menyerap masuk dalam apa juga keputusan yang hendak diambil oleh pihak-pihak tertentu. Mungkin. Dan lantas semangat perjuangan dan setiakawan sesama sendiri telah diketepikan.

Mungkin kenyataan yang dibuat bersama oleh pemimpin Pakatan Rakyat pada 1 April 2008, ia itu, ‘“to uphold the rights and interests of all Malaysians, regardless of religion or race, as enshrined in the Constitution” (Lim Kit Siang) telah dilupakan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Lupanya kenyataan itu mungkin juga disebabkan oleh pengaruh kepentingan diri jua. Mungkin.

Kini telah muncul pula pemimpin muda dari ketiga-tiga parti PAS, DAP dan PKR untuk mencari jalan penyelesaian mengatasi kemelut di Selangor ini. Aku amat yakin hasrat ini akan berjaya sekiranya pengaruh kepentingan diri ini diketepikan dan tumpukan saja kepada perjuangan meletakkan bangsa Malaysia di tempat yang sepatutnya sebagaimana yang telah dilakarkan oleh kepimpinan ketiga-tiga parti berkenaan suatu ketika dulu.

abuhassanadam
7 Ogos 2014


1 comment: