Friday, August 15, 2014

SEKILAS IKAN DI AIR SUDAH TAHU JANTAN BETINANYA

Walaupun beberapa orang pemimpin tertinggi PAS telah membuat kenyataan yang agak positif terhadap peranan mereka dalam Pakatan Rakyat berkaitan dengan kemelut politik di Selangor, namun kelihatan juga  bahawa parti PAS keseluruhannya masih belum menyatakan secara jelas dan terang tentang pendirian mereka dalam Pakatan Rakyat. Semacam mahu berdolak dalik. Namun rakyat tahu dan faham bahawa, ‘sekilas ikan diair sudah tahu jantan betinannya”. Walaupun berbagai alasan dan hujah diberikan tentang mengapa dilambatkan keputusan itu namun rakyat sudah mula ‘menangkap’ dan dapat meramalkan tentang  peranan dan pendirian parti berkenaan dalam kemelut yang berlaku kini.

Mungkin akan berubah selepas 17 Ogos 2014. Mungkin!...

Persoalannya ialah apa signifikannya mesyuarat pada 17 Ogos akan datang di tinjau dari segi kesannya ke atas kemelut politik di Selangor itu. 30 orang ADUN di Selangor termasuk dua ADUN PAS telah membuat keputusan menyokong Dr. Wan Azizah sebagai MB Selangor menggantikan TS Khalid Ibrahim. Maknanya walaupun kepimpinan pusat PAS pada 17 Ogos akan datang menyokong TS Khalid  untuk meneruskan tugas sebagai MB, tentulah tidak akan memberikan impak kerana majority ADUN (30) telah memberikan sokongan kepada Dr. Wan Azizah.

Sekiranya PAS bekerjasama dengan UMNO ( katakanlah begitu keputusan yang diambil) dan bersetuju untuk meneruskan perkhidmatan TS Khalid sebagai MB, tidak juga akan berlaku keadaan sedemikian dalam keadaan pemerintahan negara yang berasaskan pemerintahan Raja Berperlembagaan. Dr Wan Azizah masih memiliki sokongan majority ADUN Selangor, ia itu 30 orang. Dan yang lebih parah lagi tentulah PAS akan berpecah dua. Keadaan ini berpunca daripada ‘keserikan’ ahli PAS (veteran) yang telah merasakan ‘penangan’nya apabila bekerjasama dengan UMNO berpandukan pengalaman yang lampau. Hanya golongan yang mencari kepentingan diri sahaja yang rela ‘menggadaikan’ prinsip perjuangan PAS untuk bekerjasama dengan UMNO.

Lantas hujah yang mengatakan bahawa keputusan yang diambil oleh PKR dan DAP mengenengahkan Dr. Wan Azizah itu sebagai satu tindakan yang tergesa-gesa agak tidak dapat diterima. Dan tindakan dua orang ADUN PAS yang menyokong tindakan PKR/DAP itu juga satu tindakan yang terpuji. Apa tidaknya. Ketika Pakatan Rakyat (PKR,DAP) dalam keadaan ‘nazak’ dan amat-amat memerlukan rakan taulan, tiba-tiba TG Haji Hadi dan TG Nik Aziz mengeluarkan kenyataan menyokong TS Khalid Ibrahim dengan kenyataan yang sungguh ‘menghiris perasaan’ rakan yang berada dalam keadaan yang sangat memerlukan rakan. Walaupun kenyataan itu dikatakan pandangan peribadi dan bukan kenyataan mewakili parti PAS, namun kenyataan itu juga akan mempengaruhi kepimpinan PAS untuk membuat sebarang keputusan parti.

Sementara itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tun Man dan beberapa orang pemimpin tertinggi yang lain, yang meminta supaya semua ahli mematuhi arahan dan tidak membuat sebarang keputusan yang membelakangi parti, adalah sesuatu yang agak menghairankan juga. Mengapakah mereka ‘sampai hati’ membuat saranan sedemikian? Mereka juga harus sedar dan faham bahawa keadaan politik di Selangor pada ketika ini adalah dalam keadaan yang amat ‘cemas’ dan kritikal dan memerlukan rakan dan kawan untuk menyelamatkannya. Dan tindakan yang dilakukan oleh dua ADUN  PAS ia itu YB Saari Sungib dan ADUN Morib YB Hasnul Baharuddin adalah tepat dan bersesuaian.

Tindakan YB Saari Sungib yang sudah bersedia untuk keluar parti PAS sekiranya parti itu menyokong TS Khalid Ibrahim adalah merupakan tindakan seorang rakan yang betul-betul ikhlas memperjuangkan semangat setiakawan. PAS perlu sedar bahawa dalam keadaan apa pun kepimpinan PAS tidak boleh mempersoalkan tentang mengapa TS disingkir dan mengapa Dr. Wan Azizah dipilih untuk menggantikannya. Itu adalah keputusan PKR dan sebagaimana yang dikatakan oleh TG Nik Aziz bahawa hal itu merupakan hal dalam rumah tangga PKR sendiri dan terserahalah kepada mereka untuk membuat keputusan.


Apakah langkah yang diambil oleh Tuan Ibrahim dan beberapa orang pemimpin tertinggi PAS itu sesuai? Beliau meminta supaya ahli parti bersabar menunggu keputusan pada 17 Ogos 2014. Apakah perlu menunggu mesyuarat berkenaan sedangkan negeri hampir ‘terbakar’. Lagi pun jika difikirkan secara terperinci, strategi apakah yang akan diambil oleh kepimpinan PAS. Dan mengapakah seolah-olah Tuan Ibrahim agak ‘berdukacita’ dengan sokongan dua ADUN PAS kepada Dr. wan Azizah. Apabila beliau bertindak sedemikian membayangkan seolah-olah sudah ‘ada udang yang terselindung disebalik batu’

Dalam keadaan Dr. Wan Azizah sudah mendapat sokongan 30 orang ADUN ini, seolah-olah sudah ada penyelesaian tentang perlantikan MB yang baru. Dan mesyuarat PAS yang akan diadakan pada 17 Ogos yang akan datang hanya untuk menentukan samada PAS akan bersama dengan Pakatan Rakyat ataupun akan meninggalkan Pakatan yang terbentuk sudah sekian lama.

Namun yang jelasnya, mungkin akan terdapat juga perpecahan dalam PAS antara golongan yang dianggap ‘conservatif’ dan ‘ yang berfikiran liberal’. Tentulah kita tidak mahu pula mempersoalkan keadaan dalam rumah tangga yang dihadapi oleh PAS. Tidak juga rakyat Selangor mahu menyebelahi mana-mana pihak dalam PAS. Rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia umumnya hanya mahu melaihat kesetiakawanan PAS apabila berhadapan dengan keadaan yang meruncing sepertimana yang berlaku kepada keadaan yang ‘menimpa’ Selangor itu.

Dan yang lebih penting lagi, rakyat masih mahu melihat PAS bersama dalam Pakatan Rakyat untuk ‘menyudahkan’ kerja yang agak ‘terbengkalai’. Rakyat mengharapkan sangat agar tugas sedemikian dapat disempurnakan dengan jayanya, walaupun tugas membaiki imej yang tercalar bukan suatu tugas yang mudah dan senang.

Kita hanya mendoakan…

abuhassanadam

15 Ogos 2014

2 comments:

  1. PAS pimpinan Hadi Awang, Nik Aziz, Mustapa Ali dan Haron Din semua orang 'tua' atau senior PAS yang mempunyai 'medieval theoloji' memerlukan masa lama sehingga 17 Ogos untuk mendapat 'wahyu' atau ihlam bagi membuat keputusan sama ada bersama PR atau bergabung semula dengan UMNO atau mahu bersolo semula meskipun kita tak perlu 'berzikir', berdoa begitu lama untuk menyedar betapa UMNO hampir berjaya dengan projeknya 'kill two birds with one stone'. Satu cuba bunuh PKR/DAP/PR melalui si serabut bijakbistari Khalid Ibrahim yang sudah dilangsaikan hutan RM 59.6 jutanya, kedua jika termakan dakyah UMNO , PAS akan tarik diri dari ikatan longgar PR lalu bersolo kut lalu jadi hero hanya di Kelante dan Terengganu aje kerana suku kaum bukan Melayu akan hajar PAS habis-habisan. Laungan takbir, tasmid akan bergaung di dua negeri itu.Hairan kenapa PAS tak nampak projek licik UMNO ke atasnya? Maknanya PAS naif dengan politik licik UMNO dan harus sedar bahawa musuh ketat PAS adalah UMNO bukannya seorang yang mempunyai faraj dan menopos nak menjadi MB atau tiada bukti kukuh kesalahan pentadbiran Khalid Ibrahim. UMNO dah senyum kambing dan PAS dah kena ketuk kali kedua selepas episod 1977-78 dulu.PAS tak pandai mengaplikasi pepatah klsik Melayu "SEKILAS IKAN DI AIR SUDAH TAHU JANTAN BETINANYA"

    ReplyDelete
  2. Jika keputusan PAS adalah menarik balik sokongan kepada TSKI, TG Hadi perlu letak jawatan. Jika PAS setuju dengan Hadi maka PAS perlu undur dari Pakatan.

    ReplyDelete